Blogger Templates

Thursday, October 9, 2008

KrisTaL BerBunGa BaTu


TAJUK : KRISTAL BERBUNGA BATU
KARYA NUKILAN : SITI ZABEHA HASHIM
PENERBIT : FEDERAL PUBLICATION
CETAKAN PERTAMA : 2003
HARGA : RM 25.00
GENRE : DRAMA & KEKELUARGAAN
---------------------------------------------------------------------------------------------------
RESENSI SI UNGU :

Arca kehidupan manusia secara dasarnya disirami dengan rangkaian warna pelangi. Kadangkala indah, kadangkala ceria..adakala ia suram, kelam, malap...paling menakutkan bila ia bertukar menjadi gelap, tapi itulah realitinya...sebagai manusia walau apa pun jua warna yang mendekati, terima lah dengan penuh rasa syukur kerana setiap yang menimpa pasti ada hikmah yang tersurat.
Menerusi karya ini, penulis berbakat ini cuba mengupas isu kasih sayang...dengan isu sisipan utama persoalan berkongsi kasih-sayang. Menggunakan 2 watak utama wanita sebagai peneraju cerita; Maisarah dan Shafira penulis cukup hebat menyusuri dan membentangkan pergolakan dalaman berhubung persoalan kasih sayang yang dialami 2 watak utama ini. Maisarah dan Shafira punya kisah, punya cerita yang berbeza namun warnanya tetap sama.
Persoalan perkongsian kasih-sayang yang ditonjolkan penulis dalam karyanya ini bukan hanya melibatkan antara si isteri dan si suami tapi melangkau juga dalam hubungan si ibu, si bapa dengan si anak juga keluarga. Kata pepatah, kita akan bahagia bila melihat insan yang kita kasihi bahagia walaupun bunga kebahagiaan itu bukan dari kita sumbernya. Yang penting keikhlasan dalam pengorbanan yang dihulur pasti dibalas dengan sewajarnya.Walau isu yang diutarakan penulis ini agak berat penerimaanya, tapi itulah realiti kehidupan di luar sana.Kisah kasih sayang seringkali merantai manusia, mengheret jiwa dan hati manusia hingga adakala menggadai kewarasan minda tika bertindak.
Saya sukakan cara penulis membina watak Maisarah. Wanita berkerjaya yang lemah lembut, isteri yang ideal, pendiam, pemaaf tapi juga pendendam. Cara Maisarah berhadapan dan menyelesaikan permasalahan antara dirinya dan suami, Nazir digarap dengan cukup cantik, menyentuh perasaan dan ternyata saya sungguh sukakan cara ia dinoktahkan..padan muka si Nazir!!

Shafira pula begitu cemerlang dibangunkan penulis dengan imej wanita baik yang sangat sukar ditemui di alam realiti...mungkin ada insan sebegini, tapi boleh dibilang dengan jari jumlahnya. Pengorbanan Shafira sangat menyentuh hati nurani. Demi kasih pada seorang kawan Shafira rela bergelar ibu walau dirinya belum menerima lafaz ijab dan kabul. Namun kawan itu jugalah yang akhirnya tega mengkhianati janji dan sumpah yang dimeterai...zalimnya manusia hingga lupa yang hak tetap akan kekal pada yang berhak.
Begitu juga watak pembantu seperti Fatiha, Fatin, Nurul Fatimah, Ahmad Harith juga Ahmad Firdaus yang menjadi pemanis dan pelengkap cerita. Namun begitu, saya fikir penulis tidak perlulah menambah terlalu banyak watak sampingan yang sedikit sebanyak akan menjejaskan tumpuan juga fokus pembaca dalam menghayati cerita...
Plot kisah berkembang secara kronologi dalam menggerakkan cerita. Penggunaan bahasa yang digunakan penulis ini bagi saya cukup indah dan mengesankan sekali. Unsur dan imej personifikasi dan metaforanya cukup cemerlang...mungkin disokong latar belakang pengajian penulis ini sendiri.
Buat empunya nama, Siti Zabeha Ibrahim sekalung tahniah buat anda.Mengikuti susur galur penulisan anda membuatkan saya begitu mengkagumi lontaran pandangan, ilham juga corak pemikiran anda dalam mengupas sesuatu isu dalam masyarakat yang diangkat sebagai tema dan mesej cerita. Buat pembaca, karya ini tidak rugi anda miliki. Banyak ilmu dan pandangan bermanafaat yang dikongsikan penulis buat menambah pengetahuan juga teladan.

No comments:

Post a Comment