Blogger Templates

Thursday, February 12, 2009

SoNata KasiHku


Nama Buku : Sonata Kasihku
Penulis : Siti Hazneza Abdul Hamid
Penerbit : CESB
Harga: RM17.90
Cetakan Pertama : 2009
Genre: Drama & Romantik
Bintang : 4


--------------------------------------------------------
"Hawa...dia kuat dengan memberi kekuatan pada orang lain...dia gembira dengan memberi kegembiraan pada orang lain...dia bahagia dengan memberi kabahagiaan pada orang lain..."

* * * * * * *
Resensi Si Ungu

Sonata Kasihku(SK) karya terbaru Siti Hazneza Abdul Hamid meneruskan profil seorang wanita bersemangat kental, waja yang dibentengi elemen keimanan yang jitu yang diangkat oleh penulis ini di dalam setiap karya beliau. Menerusi naskhah terbaru ini penulis menyelami perasaan dan emosi seorang wanita; Hawa Hamzah yang dirantai oleh kenangan cinta pertama yang tidak kesampaian dan perasaan itu terus membelenggu dirinya hingga ia seperti menjadi halangan untuk dirinya mencipta dan menerima cinta yang baru dari lelaki lain.

Kasih sayang dan cinta merupakan tema yang bersifat universal yang sering digarap oleh penulis di dalam karya-karya mereka. Tanpa cinta dan kasih sayang, kehidupan menjadi tidak bermakna dan tidak sempurna. Justeru itu, pemikiran kasih sayang sering mendapat perhatian para penulis dan Siti Hazneza juga tidak terkecuali dalam memaparkan persoalan kasih sayang dalam naskhah beliau ini. Konsep kasih sayang sesama insan dizahirkan penulis secara konkrit dan abstrak. Jalinan hubungan erat antara Hawa dan subjek ini membuktikan akan kebenaran hakikat ini. Lihat sahaja bagaimana dia mendahulukan dan mengutamakan Haikal dalam setiap hubungan baru yang tercipta atau hadir dalam dirinya. Haikal perlu dimaklumkan, Haikal perlu diletakkan sebagai lelaki yang ada dalam hidupnya dan hubungan mereka perlu diterima dan direstui oleh cinta barunya itu.

SK memaparkan kisah Hawa Hamzah, seorang pensyarah di USM yang juga penulis novel dan menjadi penceramah motivasi pada waktu-waktu terluangnya. Hawa suatu waktu dahulu menyintai seorang teman yang disebut sebagai Yun. Namun cintanya tidak berbalas dan Yun meninggalkannya untuk cinta yang lain. Walau dapat menerima hakikat dirinya ditolak, namun cintanya pada Yun terus kekal kukuh didalam jiwanya dan menjadi syarat wajib bagi setiap lelaki baru yang ingin hadir dalam hidupnya supaya “kehadiran” Yun diterima. Hawa masih “berhubung” dengan Yun menerusi surat juga kad walau tidak pernah mendapat balasan. Tanpa pengetahuan Hawa semua kirimannya itu diterima insan lain; Amirol. Anehnya Hawa dan Amirol walau tidak pernah kenal apatah lagi bersua namun jiwa mereka seolah berhubung antara satu sama lain. Amirol bisa tahu keadaan emosi Hawa biarpun tanpa melihatnya. Hanya bisikan kata -kata semangat dan doa tulus dikirim oleh Amirol buat mententeramkan jiwa Hawa dikala dia diamuk resah gelisah dihambat ingatan pada Yun.Tiada yang mahu “dimadu” Hawa hatta sahabat baiknya Haikal yang juga menaruh hati padanya. Hanya Adam yang bersetuju dan sanggup dengan syarat gila Hawa!..Perkahwinan Hawa dan Adam yang melahirkan perasaan cinta baru pada Hawa yang sedikit sebanyak mengikis perasaannya pada Yun walau tidak sepenuhnya namun khilaf yang dicipta Adam akibat terlalu gopoh mahu memiliki Hawa secara total menggoncang bahtera perkahwinan mereka yang masih segar harum bulan madunya. Kemalangan yang menimpa Hawa menemukan rohnya dengan Amirol biarpun yang dicari adalah Yun!


Perwatakan Hawa Hamzah selaku fokus utama SK diangkat dengan cukup cemerlang oleh penulis. Sebagaimana hebatnya watak wanita utama dalam karya terdahulunya, Hawa meneruskan kehebatan tersebut. Hawa dipotretkan secara cukup positif selaku model yang menjadi idola pelajar-pelajarnya. Wanita yang boleh diajak berbincang di dalam apa jua subjek. Adam Mokhtar punyai watak yang sangat “charming” dan lengkap pakejnya bagi saya, memahami, penyayang, romantis juga punya kedudukan ekonomi yang baik .Ciri-ciri lelaki yang menjadi buruan wanita.Haikal, seorang sahabat yang cukup ideal, sahabat dunia akhirat yang sukar ditemui. Perwatakan Amirol cukup menarik bagi saya. Semangat dan dedikasinya terhadap kehidupan begitu indah sekali digarap penulis.

Buat penulis, tahniah atas kehebatan pena anda sekali lagi di dalam mengangkat kehebatan martabat seorang hawa. Semoga jemari sakti anda akan terus hebat melakar kisah kehidupan yang sarat mesej kemanusiaannya untuk tatapan pembaca. Juga diharap belum terlewat untuk ucapan tahniah diatas pernikahan anda. Semoga kekal berbahagia hingga ke akhir hayat.

Buat anda peminat Siti Hazneza Abdul Hamid, Sonata Kasihku ini tidak akan mengecewakan anda. Hawa pasti membuat anda terpaku pada sonatanya.


No comments:

Post a Comment