Blogger Templates
Showing posts with label BahRuddin BeKri. Show all posts
Showing posts with label BahRuddin BeKri. Show all posts

Thursday, March 18, 2010

DimaNa TeRangnYa BuLan...


TAJUK: DIMANA TERANGNYA BULAN
PENULIS : BAHRUDDIN BEKRI
PENERBIT : PTS LITERA UTAMA SDN BHD
HARGA : RM17.90
CETAKAN PERTAMA : 2010
GENRE : REMAJA DEWASA & KOMEDI RINGAN
BINTANG : 4


-----------------------------------------------------

“…Hati ini umpama cahaya bulan dan ia akan memancar pada kelakuan & sikap kita.”

Resensi Si Ungu
:

Identiti karya penulis ini saya kira memang tersendiri dan unik. Sejak dari naskhah beliau yang pertama lagi. Ditangannya, naskhah terbaru ini; Dimana Terangnya Bulan (DMTB) cemerlang diterjemahkan dilayar cetak. Aplikasi formula cerita yang menggabungkan unsur humor spontan yang begitu mencuit hati walau dipenakan secara cukup bersahaja namun ia sudah cukup mengundang senyum dan tawa pembaca samada secara langsung mahupun tidak. Seawal-awal muka surat pertama senyum saya sudah tersuring.

Melihat pada tema dan mesej cerita tentang yang mengangkat semangat juga jatidiri seorang mahasiswa yang terpaksa berdepan dengan pelbagai masalah, halangan dugaan juga cabaran didalam dia menyempurnakan impian keluarga untuk bergelar graduan sebenarnya menyuraikan mesej bahawasanya kehidupan ini sebenarnya penuh warna-warni, pelbagai ragam dan rencam manusia yang kita temui sebenarnya akan mematangkan diri didalam mengharungi kehidupan. Tiap musibah yang menimpa maka harungi ia dengan penuh redha dan usaha itu jangan sesekali ditinggalkan separuh jalan. Tiap pekerjaan yang baik pasti ada ganjarannya. Saya kira ini bukanlah satu tema yang ringan namun kebijaksanaan penulis muda berbakat besar ini nyata berjaya menggarap tema yang sedikit berat ini kepada lebih santai dan menarik menerusi teknik penceritaan yang bersahaja dengan sisipan unsur-unsur komedi tanpa sedikitpun mengurangkan matlamat asal cerita.

Perwatakan dalam DMTB didominasikan oleh watak utamanya; Kamarul bin Zamarul. Sebagai peneraju utama watak Kamarul ini ternyata dimanipulasi semaksimanya oleh penulis. Saya sukakan watak Kamarul. Dalam lurusnya dia pemuda berhati mulia, semangat setiakawannya sangat tinggi, sifat jujurnya sangat mencuit hati. Pembentukan watak Kamarul mewarnai perjalanan naratif ini dan pergolakan dalaman watak ini berjaya dizahirkan dengan baik sekali oleh penulis. Kita pasti rasa sayu dengan pelbagai dugaan yang menimpa diri Kamarul silih berganti namun semangat dirinya itu sangat meruntun hati. Begitu juga watak-watak pembantu yang lain; Bondan, Teng An Ni, Selamat, Irfan, Saripuddin, Junaidi, Yazid turut cemerlang dipaparkan. Antagonis Sihanop, Salman & Sulaiman dari Geng The Real Pelangi begitu melucukan. Dalam keadaan kritikal, antara orang jahat dan orang baik adegan persembahan nasyid di tangga kediaman yang disewa Kamarul membuatkan saya gagal mengawal ketawa. Penggunaan lenggok bahasa yang mudah difahami pembaca memudahkan kisah ini diikuti. Penulis ternyata memahami apa yang dimahukan pembaca dalam karya-karya sebegini kerana penggunaan laras bahasa yang kurang tepat akan mempengaruhi mood pembaca untuk menghayati sesuatu cerita.

Isu penggunaan bahasa melayu tinggi dan rendah yang dibawakan penulis didalam karya ini saya kira satu krtitikan sosial kepada umum untuk menyuraikan maksud tersirat penulis. Begitu juga isu menggunakan elemen cukai dan LHDN sebagai satu kaedah menangkap penjenayah licik untuk dihadapkan ke muka pengadilan saya kira begitu baik sekali dipersembahkan penulis.

Plot cerita dibina dengan cukup kronologi dengan sedikit sisipan teknik imbasan kembali. Kesegaran plot yang dicipta banyak membantu pergerakan cerita yang disampaikan penulis dalam merealisasikan mesejnya kepada pembaca.

Dari saya, sekalung tahniah buat penulis. Teruskan usaha anda. Semoga terus cemerlang menghasilkan karya-karya hebat dan bermutu di masa hadapan buat tatapan, renungan dan pedoman buat kami semua, pencinta novel tanahair.

Monday, November 30, 2009

PuiSi UnTuK NaDina...


TAJUK: PUISI UNTUK NADINA
PENULIS : BAHRUDDIN BEKRI
PENERBIT : PTS ONE SDN BHD
HARGA : RM16.90
CETAKAN PERTAMA : 2009
GENRE : REMAJA DEWASA & KOMEDI RINGAN
BINTANG : 3 ½


--------------------------------------------------------
“…Tuhan, berikan aku cinta yang tidak perlu aku memilih antara dua keindahan...dan terima kasih kerana Kau berikan aku dia…cinta yang tidak perlu aku pilih..”

Resensi Si Ungu:

Kisah cinta antara 2 darjat memang terlalu sinonim di dalam masyarakat kita dan kisah klise begini tidak asing diterjemahkan oleh penulis mengikut acuan masing-masing didalam naskhah mereka. Kesamaan yang kerap akan menimbulkan kebosanan jika tiada kelainan yang ditampilan. Disini kreativiti penulis akan dicabar untuk menghasilkan corak persembahan yang akan menentukan hala tuju naskhah mereka dan samada ia dapat diterima atau sebaliknya oleh pembaca.

Puisi Untuk Nadina (PUN) merupakan naskhah ke-3 penulis yang telah saya sudahkan. Dengan berpaksikan format dan aplikasi formula cerita yang menggabungkan unsur humor spontan, PUN direalisasikan sebaiknya oleh penulis . Unsur humor spontan yang dilayarkan mencuit hati walau dipenakan secara cukup bersahaja namun ia sudah cukup mengundang senyum dan tawa pembaca samada secara langsung mahupun tidak. Saya kira inilah trademark penulis untuk karya-karya yang dihasilkan beliau.

Pembentukan identiti didalam setiap karya yang dihasilkan oleh seseorang penulis saya kira memang perlu kerana ia akan membezakan karya seseorang penulis itu dengan penulis yang lain. Saya kira penulis ini sudah berjaya mencipta identiti beliau yang tersendiri di dalam karya yang beliau hasilkan cuma saya fikir penulis perlu lebih kreatif didalam mencorakkan agar tidak kelihatan stereotype jika perbandingan diantara karya dibuat. Ini penting agar penulis mampu menjadi lebih versatile didalam penghasilan sesebuah karya baru dan tidak terlalu terikut dengan rentak karya terdahulu. Saya kira penulis perlu mengambilkira hal ini didalam penghasilan karya-karya beliau dimasa hadapan. Ia perlu demi menjamin kesetiaan pembaca pada karya-karya beliau.

Tema dan mesej cerita memfokus pada elemen kasih sayang sesama manusia yang ditonjolkan melalui watak utama PUN; Borhan namun diolah dengan begitu bersahaja menjadikan ia cukup ringan dimata pembaca ditambah dengan rencah komedinya tanpa sedikitpun sisipan unsur melankolik pasti mengundang juring senyum pembaca. Laras bahasa yang mudah dipilih sebagai mode penulisan sangat bertepatan dengan corak persembahan cerita.

Perwatakan Borhan adalah fokus utama didalam PUN. Biarpun watak pemuda tidak kacak ini diangkat sebagai watak utama ditambah dengan banyak kekurangan lain pada dirinya namun penulis saya kira berjaya menjadikan Borhan seorang role model yang patut dicontohi. Semangat, keazaman juga sikap positifnya didalam mengharungi cabaran hidup adalah pengajaran terbaik untuk dijadikan ikutan dan panduan. Nadina bagi saya tidak begitu ditonjolkan. Wataknya bersifat sederhana sahaja dan bagai seimbang dengan watak-watak pembantu yang lain seperti Sehah, Ramadhan dan Iqwan Daniel. Kemunculan watak kumpulan Yumilo dan Jeruit anak Tumpang di dalam insiden-insiden tertentu seperti disengajakan sahaja namun tetap menghiburkan.

PUN membawa kisah seorang pemuda miskin bernamah Borhan yang terpaksa menamatkan zaman sekolah lebih awal demi memberi laluan pada adiknya Sofea. Borhan yang tidak kacak dan berambut tebal (lawak ayat ni..) adalah pemuda yang sangat rajin berusaha dan bekerja keras demi memenuhi keperluan keluarga tercinta kerana dialah tempat bergantung ibu, adik dan datuknya yang sakit. Penglibatan abangnya didalam kancah penyalahgunaan dadah menambah beban yang perlu digalas Borhan. Borhan yang mulanya bekerja sebagai pencabut bulu itik di pasar dan di sana dia mengenali Emil, si gadis cina penjual sayur yang menjadi cinta pertamanya…cinta yang tidak kesampaian bila Emil melanjutkan pelajaran ke luar negara. Pertemuan yang tidak disengajakan antara Borhan dan Nadina; gadis hartawan disaat kedua-dua sedang berduka adalah takdir yang sangat indah…namun bukan seindahnya di mata mereka berdua. Borhan dan Nadina sering bercakaran tiap kali berjumpa dan tidak pernah mahu berbaik. sehinggalah satu ketika semasa Borhan bekerja sambilan sebagai pelayan di kafe kolej tempat Nadina belajar dan disitu tercetus insiden yang mengubah tanggapan buruk Nadina terhadap Borhan.


Plot cerita dibina dengan cukup kronologi dengan sedikit sisipan teknik imbasan kembali. Kesegaran plot yang dicipta banyak membantu pergerakan cerita yang disampaikan penulis dalam merealisasikan mesejnya kepada pembaca.

Buat penulis,teruskan usaha kreatif anda. Semoga terus cemerlang menghasilkan karya-karya hebat dan bermutu di masa hadapan.

Thursday, July 2, 2009

DeTekTif BerTuduNg HiTam...


TAJUK: DETEKTIF BERTUDUNG HITAM
PENULIS : BAHRUDDIN BEKRI
PENERBIT : PTS ONE SDN BHD
HARGA : RM17.90
GENRE : REMAJA & THRILLER RINGAN
BINTANG: 4

-------------------------------------------------------
“…Tak ada yang salah. Memang saya sengaja letak jawatan awak sebagai ‘Penyiasat Persendirian’ kerana bekerja di syarikat penyiasat membuatkan awak menjadi penyiasat. Takkan saya hendak letak kerani pula?Kerani buat apa ada kad bisnes?Jadi secara tidak langsung awak dapat mempromosikan syarikat ini..Faham?”

Resensi Si Ungu:

Sekiranya orang yang amat kita sayang, orang yang amat bererti di dalam hidup kita ditimpa ujian dari-Nya yang memerlukan kita menjana usaha bagi membantu meringankan ujian tersebut, maka sejauh manakah kita sanggup bertindak demi merealisasikan harapan tersebut. Sejauh manakah sanggup kita berkorban deminya?. Inilah tema dan intipati yang ditampilkan di dalam Detektif Bertudung Hitam garapan penulis muda berbakat besar, Bahruddin Bekri.

Walau tema naskhah kali ini nampak serius dan berat namun penulis seperti juga 2 naskhah sebelumnya; Dunia Ini Sederhana Kecil dan Doa Untuk Aku bijak memanipulasi kisah yang diutarakan hingga akhirnya diadun menjadi hidangan cukup enak untuk dinikmati, santai, bersahaja penuh unsur humor spontan yang begitu mencuit rasa namun cukup kaya dengan mesej-mesej kehidupan yang diselitkan untuk dikutip buat renungan para pembaca.

Detektif Bertudung Hitam (DBH) menemukan pembaca dengan Az Zahra Idwan, seorang gadis berusia 20 tahun lulusan STPM yang mempunyai masalah sifat pemalu yang melampau. Disebabkan sifat tersebut dia sukar mendapat pekerjaan walaupun mempunyai tahap pencapaian akademik yang baik. Keadaan ayahnya yang sakit teruk dan memerlukan pembedahan dengan segera begitu menekan Zahra disamping masalah dirinya yang masih gagal mendapatkan sebarang pekerjaan. Saranan dari teman akrabnya Mia agar Zahra memasuki sebuah kelas bimbingan untuk mengurangkan sifat malunya itu menemukan Zahra dengan Jazzabel, Kamarul, Zamri, Hamidon juga Nico yang kemudiannya menjadi teman akrabnya. Zahra akhirnya diterima menjadi kerani yang juga perlu melakukan tugas-tugas lain dengan gaji RM800 sebulan di Syarikat Siasat Siasat Sdn Bhd yang dipunyai oleh Encik Zabidi . Apabila syarikatnya diupah untuk menyiasat kematian Tan Sri Azman, Zahra telah dilibatkan secara”paksa” oleh ketuanya itu untuk sama-sama turun padang menyiasat dengan disertai oleh seorang lagi penyiasat di syarikat itu; Ram @ Muharam. Walau mulanya Zahra agak keberatan namun bila dia ditawarkan bayaran bonus RM50,000 jika mereka berjaya menyelesaikan kes itu, Zahra merasakan itu adalah peluang untuknya menyelesaikan masalah bayaran pembedahan ayahnya. Bermula dari saat itu, Zahra melangkah menjadi penyiasat dan dengan dibantu oleh teman-teman dari kelas bimbingannya mereka merangka strategi untuk menangkap pembunuh Tan Sri Azman.

Pelbagai insiden juga kejadian lucu yang terjadi di sepanjang tempoh siasatan tersebut memperlihatkan bagaimana penulis bagi saya cukup kreatif didalam mengadun cerita, di dalam kita suspen,kita teruja, kita masih boleh tersenyum dan ketawa dengan aksi-aksi dan dialog humor yang ditampilkan. Bukan mudah untuk mencipta situasi sebegini di dalam penulisan. Naratif ciptaan penulis kali ini cukup menghiburkan sekali. Penggunaan laras bahasa yang cukup ringkas, mudah menjadikan irama naratif ini cukup segar hingga ke akhirnya.

Teknik penyampaian dan pengolahan yang cukup santai membolehkan penulis mengadaptasikan tema yang agak kompleks ini menjadi lebih mudah dihadam oleh minda pembaca. Mesej-mesej yang disampaikan penulis juga cukup santai di mata pembaca biarpun makna yang disisipkan cukup tersirat. Mesej tentang nilai kasih sayang antara anak dan bapa, nilai persahabatan, ketamakan manusia yang akhirnya mengundang padah dipaparkan penulis dengan cukup bersahaja sekali tapi penuh personifikasi yang mewarnainya.

Perwatakan Zahra DBH dipotretkan dengan sebaiknya oleh penulis. Saya tertarik dengan watak Zahra yang mengalami proses asimilasi dari seorang yang pasif kepada yang seorang yang optimis. Dari seorang yang pemalu, tiada keyakinan diri wataknya dikembangkan sedikit demi sedikit menjadi seorang yang punyai semangat dan keyakinan diri hingga berjaya menyelesaikan siasatan kes yang dipertanggungjawabkan kepada dirinya. Perwatakan Zahra yang lurus, tulus sungguh menarik sekali ditangani penulis. Watak Nico paling membuatkan saya tersenyum dengan aksi dan dialog bersahajanya. Penciptaan nama-nama watak sampingan yang cukup unik, juga lucu begitu mengambarkan daya kreativiti penulis yang sangat mengagumkan. Setiap kali berpapasan dengan nama-nama ini, sering kali saya tersenyum sendiri. Kelakar sungguh!

Pergerakan plot cerita dibina penuh sifat kronologi yang cukup santai dan segar laluannya bagi memberikan pembaca peluang menikmati perjalanan naratif ini dengan penuh rasa keseronokan di jiwa.

Sekalung tahniah buat penulis untuk sebuah persembahan yang cukup baik di dalam Detektif Bertudung Hitam. Teruskan usaha anda ini dan semoga terus cemerlang menghasilkan karya-karya unik, hebat dan bermutu di masa hadapan buat pencinta novel tanahair.
Bagi anda yang belum mendapatkan naskhah yang cukup berintisari dengan mesej-mesej kehidupan yang diadun dengan begitu cantik dan bersahaja ini, anda tidak akan sekali-kali kecewa memilikinya. Disamping anda tersenyum, anda ketawa, minda anda disogokkan dengan pengajaran yang baik buat bekalan kehidupan.

Friday, November 7, 2008

DuNia Ini SeDerHaNa KeCiL


TAJUK: DUNIA INI SEDERHANA KECIL
PENULIS : BAHARUDDIN BEKRI
PENERBIT : PTS ONE SDN BHD
CETAKAN PERTAMA : 2008
HARGA : RM23.90
GENRE : NOVEL REMAJA (MOTIVASI)
* * * * * * *
"..Bas itu umpama cinta yang kita tunggu...
Kadangkala ada cinta yg hadir,
namun krn merasakan ia tidak sesuai dgn diri kita...
kita membiarkan ia terus berlalu...
Kemudian datang pula cinta yg kita rasa sesuai dgn hati kita...
Sayangnya cinta itu sudah berpunya...
Kita hanya mampu melihat ia pergi...
Kita terus menunggu dan terus menunggu...
hingga waktu sudah mulai lewat...
Usia sudah semakin jauh...
dan kita mula khuatir berkenaan masa depan...
Risau tidak sempat ke destinasi...
kita nekad naiki bas ke tiga...
Kita sudah kurang peduli rupa bas itu...
Sama ada ia buruk ataupun penuh...
asalkan kita sampai ke destinasi...
Itulah kita dlm menunggu cinta.
* * * * * * *
“… masalah itu umpama terowong yang gelap, tetapi di hujungnya pasti ada cahaya.Cuma terpulang kepada kita, sama ada bersabar dan terus berjalan ataupun kalah dan duduk meratapi nasib di dalam terowong itu. Ingat , di hujung terowong nanti pasti ada cahaya…”
-----------------------------------------------------------------------------------------------
Saya sebenarnya sudah memberi pendapat dan ulasan peribadi tentang karya pertama penulis muda berbakat ini di laman rasmi geng saya; Geng Kicap yang mana saya juga adalah ahli bersekutunya..hehehe. Saya sangat menggemari karya sulung beliau ini. Bagi saya ia sebuah naskhah yang bertindak sebagai hiburan juga motivasi kepada pembaca kerna setiap gerak dan laku dalam cerita yang dipaparkan banyak terkandung unsur nasihat yang tersirat untuk sama-sama kita fikir-fikirkan. Di sini saya paparkan semula komentar saya itu untuk tatapan pengunjung pondok saya ini pula.
* * * * * * *
Resensi Si Ungu:
Asas kepada pembentukan sesebuah karya melibatkan 3 elemen utama iatu rangka cerita, tema juga isi cerita. Isi cerita pula memfokus kepada 3 elemen utama kepada penghasilan sebuah naskah yang baik; pemerhatian, pengalaman & pembacaan. Harus diingat penulis yang baik selalunya adalah juga pembaca yang baik. Pada hemat saya ketiga-tiga elemen ini telah digunapakai dan digabungkan oleh penulis hingga terhasilnya naskah nan cantik ini.Bagi saya juga penulis yang baik adalah penulis yang mampu mengadaptasi sesuatu tema yang komplek dengan teknik penyampaian dan pengolahan cerita yang lebih santai, ringan tanpa sedikit pun mengurangkan mesejnya.Tulisan yang paling baik adalah tulisan yang mempunyai isi paling berat dan tepu tetapi disampaikan dengan lenggok bahasa yang paling mudah difahami. Ia akan jadi lebih mengagumkan sekiranya disampaikan dalam cara yang paling menarik tetapi mengesankan.Penulis ini bagi saya begitu berjaya dalam melaksanakan misi ini. Dalam kita senyum, ada maksud yang tersirat yang cuba disampaikan olehnya, dalam kita gelak ada makna yang terselindung yang cuba diselitkannya, dalam kita tawa ada pengajaran yang disemat di dada kita olehnya.
Kicap, perhentian bas dan bas adalah simbol kehidupan yang cuba dipaparkan oleh penulis dalam novelnya ini namun penulis menyerahkan pada pembaca yang budiman lagi arif untuk mentafsirnya dari sudut pandangan masing-masing.. 3 elemen ini sangat dekat dengan kehidupan kita…sejauhmana pengaruhnya dalam kehidupan kita, tepuk dada tanyalah hati kerna jawapannya ada disitu.
Walau secara fizikalnya novel ini nampak biasa sahaja, maksud saya kulit luar novel ini tidak langsung menampakkan ciri-ciri “kemewahan” namun keistimewaan yang terkandung di dalamnya begitu “mencuri hati” dan yang paling utama pengajaran yang tersirat di dalamnya sangat berharga dalam kita melihat kehidupan dari pelbagai sudut falsafah dan hukum adatnya. Sesungguhnya karya ini begitu kaya dan sarat dengan falsafah kehidupan. Menerusi watak utamanya, Syamir pembaca diajak menyusuri ruang kehidupan insan yang diuji dengan pelbagai dugaan hidup. Walau dalam penyampaian kisah hidupnya penulis selesa mengolahnya dengan selitan unsur humor yang spontan, namun ia cukup berkesan kerana mesej yang tersirat disebalik nya tetap sampai di jiwa pembaca. Plot cerita yang lebih segar, ringan nampak begitu serasi dan bergerak seiring dengan tema kehidupan yang difokuskan penulis.. Tambah terserlah dengan pembabitan watak-watak pembantu seperti Jid, Tasha,, Musa, Sophea, Haliza . Tidak ketinggalan watak-watak sampingan seperti si lelaki gempal, budak-budak black metal, pakcik KJ, En Harun, nenek tukang urut juga yang lain yang turut sama mendokong keberkesanan karya ini.Walau ada sedikit kesilapan cetakan watak pada beberapa bahagian di dalam novel ini ia tidaklah menjejaskan jalan cerita namun diharap pihak penerbit amnya juga bahagian suntingan khasnya agar lebih berhati-hati dimasa hadapan di dalam meminimakan kesilapan sebegini.
Buat penulis, sekalung tahniah atas penghasilan cemerlang anda di dalam Dunia Ini Sederhana Kecil. Semoga anda akan terus menghasilkan karya yang lebih ummphh di masa hadapan. Selamat maju jaya di dalam dunia penulisan.
Kisahnya...
Syamir, graduan ekonomi yang menghadapi kesulitan memperolehi pekerjaan yang setaraf kelulusannya akhirnya tertipu pada satu iklan kerja yang membawa beliau menjadi seorang penjual kicap..kicap kesihatan cap basikal sulaiman. Bagi saya ini adalah antara satu kisah antara ribuan kisah anak-anak muda yang pernah terperangkap dengan iklan ala2 putar alam yang sering berleluasa di media cetak negara ini dan Syamir mewakili mereka-mereka yang malang itu..namun begitu saya sukakan watak Syamir ini…begitu sukakan semangatnya, kerna bagi saya tidak semua insan dianugerahkan semangat sebegini tika menghadapi ujian/dugaan hidup. Ada yang dengan mudah kecundang, tersungkur begitu sahaja.
Bertemankan rakan sepejualan, Musa Marjoko juga si cantik,penyelia Sophea Miyagi sesi jualan kicapnya menemukan pembaca dengan pelbagai insiden lucu, suspen juga mengujakan. Pembaca pasti tidak berhenti tersenyum dan gelak tawa juga tidak terlepas dari terhambur dengan pelbagai kelucuan spontan yang terjadi disepanjang kerjaya penjual kicap ini.Walau akhirnya dia bersara dan bertukar menjadi si tukang urut, hidupnya tidak lepas dari dihinggapi ujian…hinggalah dia tekad mengiklankan diri demi untuk mencari kerja.Langkah inilah kemuncak kepada ujian dalam hidupnya..namun berkat juga niat ikhlas yang sedari awal disemat habuan yang diraih Syamir sangat berbaloi..benarlah seperti dikata, Dia tidak akan menguji hambanya dengan sesuatu yang tidak mampu dipikulnya dan dalam setiap ujian, redha yang diberi akan dibalas dengan setimpal..janji Dia memang benar.
Hubungan yang bermula di perhentian bas antara Syamir dan Tasha, Syamir dan Haliza, Syamir dan Si Lelaki Gempal terjalin secara abstrak tapi rentetan dari pertemuan demi pertemuan antara mereka membawa kepada suatu ikatan antara mereka…saling memerlukan dalam meneruskan kehidupan. Perkara yang sama terjalin antara Syamir dan Sophea, Cuma bezanya mereka dipertemukan buat pertama kali bukan di perhentian..tapi di dalam bas hingga menbawa kepada suatu hubungan yang cukup misteri namun mengujakan antara mereka berdua.Tidak ketinggalan hubungan Syamir dan rakan sebiliknya Jid /Majid @ Majidah…hubungan antara mereka cukup istimewa bagi saya..walau secara kasar nampak sumbang, namun yang tersirat cukup tulus tersimpul.
Paling menarik dalam hubungan antara Syamir, Tasha dan Haliza..adalah kewujudan unsur “hubungan jiwa”.Walau Syamir lebih kerap terserempak Haliza berbanding Tasha tapi hubungan jiwa antara mereka lebih dekat walau secara fizikal mereka jauh…mungkinkah Cik Pelangi akan berjumpa Encik Bedak Sejuk dan terbongkar identiti antara mereka.?hmm, biarlah Inchek penulis, Bahruddin Bekri menjawabnya bagi pihak saya…
Buat semua pembaca sekalian, selamat menghayati sebuah lagi naskhah hebat buah tangan dari seorang penulis muda yang sangat berbakat dan kreatif.
Notapipi : Inche Din, pernah ker MPH Wangsa Maju?...terduduk saya tatkala melihat DISK dan DUA dipamerkan di Rak BACAAN UNTUK KANAK-KANAK!!!!, atas dasar apa yer DISK dan DUA diklassifikasikan sedemikian rupa...

Sunday, October 19, 2008

DoA UnTuK AkU


TAJUK: DOA BUAT AKU
PENULIS : BAHRUDDIN BEKRI
PENERBIT : PTS ONE SDN BHD

CETAKAN PERTAMA : 2008
HARGA : RM22.90
GENRE : REMAJA DEWASA & KOMEDI RINGAN

-----------------------------------------------------------------------------------------------------
RESENSI SI UNGU


“…Doa itu Allah makbulkan dengan pelbagai cara…Allah sudah menjelaskan dalam Al-Quran. Berdoalah kepada-Nya, Dia akan tunaikan. Paling penting, jangan putus harapan dengan rahmat Allah. Selagi kita bersangka baik dengan Allah, selagi itu rahmat Allah terbuka luas...”
-------------------------------------------------------------------------------------
Sejak kecil kita sering mendengar ia disebut, ia dilafaz.… 3 huruf yang membentuk perkataan hikmat ini, dal wau ain sering kali singgah dan dibisik di telinga, ditanam di hati, disemai dijiwa.tentang kuasa yang dimiliki disebalik perkataan itu.Akan.tetapi sejauhmanakah pemahaman kita tentang pengertian, konsep dan amalannya. Mungkin tidak semua di kalangan kita benar-benar memahami kaedah sebenar dan tertib yang betul tatkala mengamalkannya agar ia benar-benar “berkuasa”. Dalam naskhah setebal 436 mukasurat ini, penulis membentangkan kepada kita sesuatu yang mungkin kita terlepas pandang atau mungkin kita juga tidak tahu sebelum ini tentang apa itu Doa dan makna disebalik perkataan ini.

Dengan mengekalkan resipi dan ramuan dari bukunya yang pertama; Dunia Ini Sederhana Kecil, Doa Untuk Aku (DUA) ditangan penulis yang sama cemerlang diterjemahkan dilayar cetak. Aplikasi formula cerita yang menggabungkan unsur humor spontan yang begitu mencuit hati walau dipenakan secara cukup bersahaja namun ia sudah cukup mengundang senyum dan tawa pembaca samada secara langsung mahupun tidak.

Melihat pada tema dan mesej cerita tentang misi pencarian 40 Doa watak utamanya; Adly yang kemudian dipisahkan mengikut sub golongan sasaran bukanlah suatu tema yang ringan namun kebijaksanaan penulis muda berbakat besar ini nyata berjaya menggarap tema yang sedikit berat ini kepada lebih santai dan menarik menerusi teknik penceritaan yang bersahaja dengan sisipan unsur-unsur komedi tanpa sedikitpun mengurangkan matlamat asal cerita. Penilaian terhadap sesuatu karya yang baik dari kacamata saya mudah sahaja. Penulis yang baik akan mampu mengadaptasi satu cerita yang berat atau kompleks tema/mesejnya menjadi satu cerita yang cukup ringan dan mudah diterima pembaca menerusi teknik penyampaian dan laras bahasa yang dipilih. Penulis naskhah ini bagi saya telah berjaya mencapai misi tersebut.

Perwatakan dalam DUA banyak mengingatkan saya pada karya penulis yang pertama. Ada banyak persamaan yang terpalit dalam Adly dan Syamir. Sebagai peneraju utama watak Adly ternyata dimanipulasi semaksimanya oleh penulis. Sebagai peneraju utama Adly hebat ditangani penulis.Misi pencarian 40 doa oleh Adly begitu cantik dilayarkan penulis walaupun secara bersahaja dan insiden-insiden lucu yang tercipta samada secara sengaja atau tidak dalam perjalanan Adly mencapai misi tersebut cukup hidup digambarkan penulis.Begitu juga watak-watak pembantu yang lain; Kassim, Amin bin Damit, Sarah, Zulaikha, Jefri, Elizabeth yang turut cemerlang dipaparkan bagi memantapkan jalan cerita DUA ini. Penggunaan lenggok bahasa yang mudah difahami pembaca memudahkan kisah ini diikuti. Penulis ternyata memahami apa yang dimahukan pembaca dalam karya-karya sebegini kerana penggunaan laras bahasa yang kurang tepat akan mempengaruhi mood pembaca untuk menghayati sesuatu cerita.

Plot cerita dibina dengan cukup kronologi dengan sedikit sisipan teknik imbasan kembali. Kesegaran plot yang dicipta banyak membantu pergerakan cerita yang disampaikan penulis dalam merealisasikan mesejnya kepada pembaca. Walau ada sedikit kesilapan cetakan nama watak yang menuturkan dialog ia tidaklah menjejaskan jalan cerita Cuma diharap pihak editor lebih peka kerana perkara yang sama pernah terjadi dalam karya pertama penulis ini.

Dari saya, sekalung tahniah buat penulis atas kelahiran novel kedua anda ini dan ternyata banyak peningkatan telah anda pamerkan. Teruskan usaha anda. Semoga terus cemerlang menghasilkan karya-karya hebat dan bermutu di masa hadapan buat tatapan, renungan dan pedoman buat kami semua, pencinta novel tanahair.

Buat pembaca, buat pencinta novel tanahair sesungguhnya banyak yang dapat dikutip, direnung dan difikirkan dalam naskhah kecil tapi padat dan mampat isinya ini. Dua Untuk Aku ternyata tidak akan sesekali mengecewakan anda kerana sebagai pembaca anda lebih tahu. Hanya Jauhari yang lebih mengenal Manikam.