Blogger Templates
Showing posts with label FaJaR PaKeeR SdN BhD. Show all posts
Showing posts with label FaJaR PaKeeR SdN BhD. Show all posts

Wednesday, January 27, 2010

CinTa aDaLah CinTa...


Tajuk : Cinta Adalah Cinta
Penulis : Sarnia Yahya
Penerbit : Fajar Pakeer Sdn Bhd
Harga : RM23.90
Cetakan Pertama: 2009
Genre : Romantik
Bintang : 4


-----------------------------------------------------------------
“...dan sesungguhnya akhir itu lebih baik bagimu daripada permulaan..”


Resensi Si Ungu :

Ini adalah karya ketiga penulis yang baru selesai saya baca. Menyusuri naskhah Cinta adalah Cinta (CAC) sering mengingatkan saya pada perwatakan penulis lewat pertemuan dengannya tahun lalu. Diri beliau yang ceria dengan telatah yang bersahaja sangat dekat dengan naratif yang dibentangkannya kali ini. CAC amat dekat di hati para peminat novelis muda ini. Saya seronok melayari gaya penulisan beliau kali ini yang saya rasakan begitu segar, santai namun mengujakan di samping sulaman elemen-elemen romantik nan cantik dan tidak lupa menyelitkan mesej nilai hubungan kekeluargaan yang cukup bermakna untuk dihayati khalayak pembaca.

CAC membawa pembaca menyusuri kehidupan seorang balu muda ; Aina Mastura, seorang penolong pengurus yang punya seorang anak berusia 3 tahun; Hadirah. Aina yang kematian suami akibat kemalangan tatkala mengandungkan Hadirah terpaksa menempuh kehidupan sebagai balu didalam usia yang begitu muda. Aina yang rupawan tapi tegas, ceria, penyayang, prihatin sangat dikasihi orang disekeliling tidak kira kalangan keluarga juga rakan sekerja. Didalam masa yang sama Aina turut menjadi tarikan 2 orang lelaki yang ingin merebut hatinya; Lutfi Danish bekas birasnya juga Syed Harith pengurus besar di pejabat Aina. Mereka berdua bagai saling berperang untuk memikat Aina dan ia sungguh merimaskan Aina yang langsung tidak mahu memberikan sebarang respon pada kedua-dua lelaki ini. Didalam masa yang sama Aina juga terpaksa menangkis godaan ketuanya; Adlan yang tidak jemu-jemu cuba merapatinya. Aina yang masih terikat hatinya pada arwah suami cuba menidakkan perasaannya namun bila Syed Harith mula menyepi lalu meninggalkannya, dia mula merasakan sesuatu yang hilang didalam kehidupannya.

Naratif penulis kali ini membawa tema cinta dan kasih sayang yang sarat dengan mesej tersirat Ia tema yang cukup indah dizahirkan penulis kerana jalan ceritanya penuh elemen kasih sayang yang tidak terbatas sempadannya. Tidak hanya mencakupi kasih sayang antara lelaki dan perempuan tapi yang lebih uatama adalah kasih sayang antara ahli keluarga dan bagaimana keakraban hubungan itu dipertotntonkan penulis dengan cantik sekali. Penulis menggarap begitu indah rantaian hubungan istimewa ini sehinggakan kita cukup tersentuh dan merasai tiap detik yang dilalui watak-watak dalam cerita ini. Paling istimewa, paling menyentuh tatkala Aina yang disisih bekas ibu mertuanya sejak kematian suami tidak jemu-jemu mengunjungi wanita tersebut atas dasar hormat dan tanggungjawab biarpun diarinya hanyalah bekas menantu. .Setiap yang berlaku ada hikmah dan peluang kedua yang dibentangkan dihadapan tentu juga ada sebabnya. Inilah saya kira mesej utama penulis didalam naratif beliau kali ini.

Plot cerita berjajaran kronologi secara keseluruhan dan ia disempurnakan dengan begitu baik oleh penulis. Biarpun ada dalam situasi tertentu penggunaan teknik imbas kembali/ flashback digunakan, ia bersesuaian dengan motif penyampaian jalan cerita agar lebih mudah difahami dan diikuti oleh pembaca. Teknik suntingan juga digarap sebaiknya. Ada terdapat kesilapan minor yang melibatkan ejaan juga nama watak pada dialog yang disebut. Moga editor akan lebih berhati-hati di masa hadapan. Penggunaan laras bahasa didalam naratif ini cukup santai, bahasanya bahasa mudah tiada penggunaan istilah-istilah yang keterlaluan atau memualkan deria telinga.

Perwatakan yang dibina penulis dalam CAC menampilkan heroin sebagai watak dominan/ sebagai peneraju utama. Dan sebagai wanita ternyata penulis mampu memberi persembahan yang cukup baik pada watak Aina. Setiap emosi seorang wanita diselami dan dizahirkan dengan cukup baik oleh penulis. Setiap rentetan perjalanan watak Aina dimanipulasilkan penulis sebaiknya lalu Aina menjadi cukup berkesan dimata pembaca. Setiap perubahan karektornya begitu cantik dilayarkan penulis. Syed Harith; hero bermata hijau ini begitu memukau . Pemotretan wataknya dibina dengan sebaiknya oleh penulis. Memang bukan mudah bagi penulis wanita menyelami perwatakan seorang lelaki seperti Syed Harith namun saya merasakan penulis sudah melakukannya sebaik mungkin. Rasa cemburu dan jauh hati seorang lelaki dizahirkan sebaiknya oleh penulis.Teruk jugak lelaki kala merajuk rupanya ya! Lutfi Danish watak pembantu yang hadir seketika tapi saya kira kemunculannya cukup memberikan kesan. Hadirah yang comel, puan Hajar , encik Ayub, puan Raihan, encik Hafizuddin; ibubapa yang begitu mendamaikan mata dan telinga. Tidak ketinggalan Husnina, Kamarul juga Wati . Mereka ini adalah watak sokongan yang memberikan warna-warni pada naskhah ini.

Buat penulis muda dan berbakat besar ini, tahniah buat anda untuk Cinta Adalah Cinta. Semoga anda akan terus cemerlang berkarya dipersada seni penulisan kreatif tanahair dan terus gigih memenakan catatan kisah-kisah buat tatapan pembaca juga peminat-peminat anda.

Monday, June 1, 2009

CinTa Di Hati...


Tajuk Buku : Cinta Di Hati
Penulis : Nor Rafishah Md Hassan
Penerbit : Fajar Pakeer Sdn Bhd
Harga : RM22.90
Cetakan Pertama : 2009
Genre : Kekeluargaan
Bintang : 3.5


---------------------------------------------------------
"Ada perkara yang hanya akan kita fahami apabila menempuhnya sendiri. Itu sebenar-benarnya pelajaran dan pengajaran..."

Resensi Si Ungu:

Apa bezanya antara sayang dan cinta?. Garis sempadan antara kedua-dua perasaan ini cukup tipis sekali jurangnya hinggakan kita adakala boleh tersasar, terjerumus, tersalah tafsir akan kedudukannya…tersalah anggap akan hati kita sendiri. Kata penulis, cinta itu datangnya dari mata dan rasa manakala sayang itu datangnya dari hati dan jiwa. Bersama dengan yang tersayang lautan menjadi tenang beralun dan bila bersama yang tercinta lautan sentiasa bergelora!, benarkah begitu?...lalu kata penulis lagi, tempuhinya dan alami sendiri untuk kita bisa menafsir dan membezakan kedua-dua perasaan ini.

Naskhah terbaru penulis ini; Cinta Di Hati (CDH) cuba membawa pembaca menyelami kedua-dua perasaan ini menerusi pengalaman dua watak utama yang mendukungi naratif beliau kali ini. Cinta dan sayang adakala bisa menghancurkan diri seseorang jika tidak dikendalikan dengan bijaksana. Lebih buruk ia juga boleh memporakperandakan sebuah kehidupan..kehidupan insan yang tidak bersalah!. Rasa sayang dan cinta ini kadangkala bisa membuatkan kita jadi manusia yang kejam, manusia yang memikirkan kepentingan dirinya sahaja. Dan kadangkala sebagai manusia kita seringkali gagal memanafaatkan juga menghargai anugerah yang dikurniakan oleh-Nya pada kita hinggalah ia diambil semula dari kita. Saat itu segala rasa penyesalan, kedukaan sudah tidak bererti lagi.

Sebagai sebuah kisah yang bertemakan kekeluargaan sebagai teraju utama dengan sisipan hubungan kasih sayang sesama keluarga dan rakan, CDH membawa pembaca menyusuri kisah Nashran seorang graduan yang merajuk atas sikap ayahnya yang dianggap curang pada ibunya yang membawa kepada kemalangan yang meragut nyawa ibunya. Lebih tragis, kekasih ayahnya adalah Shana; gadis yang menjadi pujaan hatinya dalam diam!. Sukar untuk Nashran menerima hakikat yang Shana bakal bergelar ibu tirinya!. Masalah tambah rumit bila identiti adiknya terbongkar. Seri Shahirah rupa-rupanya cuma anak angkat dalam keluarganya. Kecewa dengan semua yang berlaku, Nashran nekad keluar dari rumah. Rajuk yang akhirnya membawa dirinya terdampar ke Kampung Tok Raja, Naka, Kedah. Disana kehidupan barunya bermula dengan menjadi anak angkat kepada Pak Shuib dan Mak Nab yang kebetulan tiada mempunyai anak. Disana jugalah dia diperkenalkan dengan kehidupan kampung yang serba serbi sederhana. Menerusi keluarga angkatnya dia diperkenalkan dengan keluarga Alang Adol dan Alang Bunga juga anak-anak mereka, Noti/Hanafi, Myuji/Tarmizi, Uzi/Fauzi dan Ain Najwa. Hubungan akrab antara mereka tambah mesra dengan penglibatan Nashran dalam projek penanam jagung yang diusahakan Noti. Musibah yang menimpa Ain Najwa ketika dalam tempoh bertunang angkara rasa tidak puas hati pada Myuji telah membabitkan Nashran secara tidak sengaja. Demi membalas budi juga rasa kasihan pada Najwa yang tidak bersalah, Nashran nekad mengahwini Najwa namun kesilapan Nashran didalam melayari kehidupan barunya sebagai suami membawa padah bila Najwa merasakan Nashran bagai enggan menerima diri, lebih buruk kata-kata yang terlepas dari mulut Seri saat mereka berdua bertengkar membawa kepada rajuk Najwa yang berakhir dengan tragedi. Tragedi yang akhirnya juga membongkar identiti sebenar Seri…identiti sebenar Shana!.

Plot cerita ini berpaksikan jajaran kronologi dengan sedikit sisipan teknik imbasan kembali yang digunapakai penulis di dalam mengimbau perjalanan watak-watak di dalam CDH ini terutama Nashran dan Seri .Plot cerita berkembang dengan cukup berwarna-warni didalam menyusuri pergerakan kisah hidup Nashran yang cukup dramatik ini. Paling menarik bila kisah sebenar terbongkar. Tabir di singkap satu persatu secara perlahan-lahan membuat pembaca cukup tidak sabar dan tidak menduga begitu rupa kisah sebenarnya...sangat menarik bagi saya cara yang diguna penulis di dalam merungkai kisah sebenar disebalik kemelut keluarga Nashran dan kisah cinta ayahnya...

Perwatakan Nashran sebagai teraju utama dipotretkan dengan baik oleh penulis. Wataknya sebagai anak muda yang pendiam namun punya sifat memberontak dalam diam digambarkan dengan baik sekali. Nashran adalah contoh pemuda yang kadangkala keliru dengan perasaan hatinya sendiri yang tanpa disedari telah menguris hati orang lain dan disaat dia menyedarinya, ia sudah terlewat. Saya sukakan watak Ain Najwa, biarpun cuma seketika, wataknya cukup berkesan dipenakan penulis…dia lambang gadis malang yang cuba berjuang mendapatkan hak dan kedudukannya sebagai isteri biarpun dipinggirkan suami…sayang sekali wataknya diakhirkan sedemikian. Watak Tuan Abdullah cukup mengundang perasaan yang pelbagai. Ada rasa meluat, menyampah, sakit hati juga simpati pada nasib dirinya. Dia adalah contoh lelaki yang kurang bijak mengendalikan kehidupannya…kekhilafan masa silam yang tidak dijejaki untuk diperbetulkan itu membawa padah pada diri sendiri akhirnya.

Buat penulis, tahniah atas penghasilan sebuah kisah yang cukup memberi tauladan, cukup mengujakan sekali. Semoga anda akan terus cemerlang memenakan kisah-kisah kehidupan yang menjadi pedoman dan panduan masyarakat seperti ini di masa akan datang.