Blogger Templates
Showing posts with label HaiZa NaJwa. Show all posts
Showing posts with label HaiZa NaJwa. Show all posts

Tuesday, October 20, 2009

KaliMah JiWa...


Tajuk : Kalimah Jiwa
Penulis : Haiza Najwa
Penerbit : Alaf21
Harga : RM19.90
Cetakan Pertama: 2009
Genre : Romantik
Bintang : 4


-----------------------------------------------------
“ Dia hanya berpaksikan cinta tulusnya pada Liany. Dia jatuh cinta pada Liany. Hanya Liany dan kalimah-kalimah Liany...”

Resensi Si Ungu:

Bagi saya, ciri yang menarik pada naskhah penulis ini adalah kelainan pada naratif yang ditampilkan beliau berbanding karya-karyanya sebelum ini. Sebagai penulis, kreativiti di dalam penghasilan sesebuah karya amat perlu bagi membangkitkan keterujaan pembaca terhadap karya tersebut dan penulis bagi saya berjaya didalam merealisasikan misi tersebut.

Isu persoalan moral yang diangkat didalam naskhah Kalimah Jiwa (KJ) sebagai intipati perdana didalam naskhah ini sememangnya sebuah usaha yang begitu murni penulis. Sebagai wanita, sebagai ibu yang punya anak gadis remaja sememangnya penulis sebaik mungkin cuba menyampaikan keprihatin tersebut dan pena ajaib ditangan ada saluran terbaik beliau kearah itu. Saya melihat kesungguhan beliau itu cuma ada beberapa situasi di dalam pengkisahan KJ ini yang saya fikir penulis juga editor terlepas pandang didalam merealisasikan matlamat murni ini dan ia secara tidak langsung sedikit menjejaskan kecemerlangan naskhah ini. Saya akan membutirkan perihal ini di segmen perwatakan untuk sama-sama direnungi.

Tema yang berpaksikan cinta dan tawakal menjadi medan buat penulis menzahirkan rasa kasih sayang antara dua jiwa yang berkongsi ritma hati yang senada; Ifliany dan Naqlis. Dugaan yang datang dan pergi tidak sesekali menggugat irama hati mereka berdua yang tidak pernah berubah rentak.

Plot KJ berformatkan campuran teknik kronologi dan flashback yang seimbang. Bagi saya pemilihan penulis untuk konsep ini sesuai dengan kaedah persembahan keseluruhan cerita bagi menjalin hubungkait antara satu situasi dengan situasi yang lain. Penggunaan diksi dan susunan kosakata yang cantik dan indah mewarnai gaya bahasa di dalam naskhah ini. Penulis hebat dalam mengadun ritma bahasa yang cukup halus dan penuh pengertian…ada situasi ia begitu menyentuh perasaan. Saya ingin mengutarakan pandangan berhubung penggunaan perkataan “Cikling” yang diperjelaskan penulis maksudnya didalam naskhah ini. Perkataan ini bagi saya sangat menyentuh sensitiviti kaum. Sewajarnya ia tidak diaplikasikan didalam naskhah ini walau dengan apa alasan sekalipun. Kita tidak boleh merumuskan naskhah ini hanya ditatap oleh satu golongan kaum atau bangsa sahaja. Penggunaan perkataan “Cindian” itu sudah cukup untuk menjelaskan makna yang ingin disampaikan penulis.

Kita sentiasa maklum perwatakan dan pembentukkan sesuatu watak adalah fokus utama kejayaan sesebuah karya. Ifliany Basiron dan Naqlis Tan Sri Khir Izuddin adalah 2 nama yang dibina dan diangkat sebagai tonggak utama didalam KJ. Penulis sedari awal sedaya mungkin membina imej yang sanagt putih buat kedua-dua hero dan heroin ini dan sebagai pembaca kita cuba menerima input penulis ini dengan tangan terbuka. Ifliany gadis yang digambarkan sangat cantik rupa parasnya, punyai wajah iras orang putih (rambut perang semulajadinya itu bukti terbaik) walau dia sebenarnya berdarah melayu tulen. Seorang gadis yang pintar (pelajar UPM) cuma sayang tidak menamatkan pengajian bila berkahwin dengan si bapa ayam; Fahren. Juga dipotretkan seorang gadis yang alim/warak (solat dan al-quran itu satu kewajiban baginya). Segala ciri ini sudah dipotretkan dengan baik oleh penulis demi seorang Ifliany membuktikan bahawasanya dia gadis solehah…namun kenapa tidak bertudung pula?. Agak pincang disini kehebatan watak Ifliany bila kita membicarakan persoalan sifat dirinya yang digambarkan sedari awal, sedari sekolah sangat solehah orangnya. Jika diperhalusi surah Ali Imran, ayat 31:

“ Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutlah daku nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) Allah maha pengampun lagi maha mengasihani.”

Ayat ini dikatakan adalah pemutus kepada sesiapa yang mendakwa mencintai Allah. Maka sewajibnya lah dia menurut segala suruhan yang diwajibkan-Nya. Sewajarnya Ifliany yang bijak, yang tahu hukum hakam maklum apa maksudnya dengan ketaatannya pada perintah tuhan. Jika ingin mempersoalkan isu keikhlasan didalam hal ini kita wajib tahu tiada kompromi didalam hal ini. Justifikasi bukan ditangan kita atau dimata orangramai. Hanya Dia yang maha mengetahui. Yang perlu dan wajib kita tahu ia adalah satu kewajipan yang mesti dituruti oleh tiap wanita islam yang mengakui akan ketaatannya pada Allah. Saya juga sedikit tidak setuju perihal Ifliany membantu Afian dari sudut pengetahuan agamanya. Dengan keadaan Ifliany ketika itu yang sedang berpisah sementara dengan suaminya sewajarnya dia menjaga tingkah dan tatasusila sebagai isteri orang. Niat tidak akan sama sekali menghalalkan cara. Banyak alternatif lain yang boleh dipilih, diunjur Ifliany untuk membantu Afian. Kenapa harus sampai ke rumah, biarpun cuma di anjung sahaja, tidak manis bukan si bujang dan isteri orang berkeadaan sedemikian?.

Watak Naqlis selaku peguam muda berkaliber, terkenal didalam anggota masyarakat, anak yang baik, pemuda yang hebat dimata tiap wanita. Hampir sempurna dimata pembaca tapi dicacatkan oleh tindakannya membawa Ifliany tinggal serumah sebelum mereka bernikah. Baik Naqlis mahupun Ifliany sewajar tahu tindakan tersebut sangat tidak manis biarpun tiada apa yang berlaku antara mereka. Jika dikatakan sebagai hujah untuk melindungi ifliany sepanjang tempoh perbicaraan kenapa tidak menggaji pembantu rumah untuk tinggal bersama di rumah itu atau pilihan paling baik meletakkan Ifliany dibawah jagaan bondanya; Tengku Marini. Masyarakat melayu ini penuh adat dan hukum. Sebagai orang islam apatah lagi. Matlamat dan cara mesti halal belaka. Saya tidak berniat sama sekali menuding jari pada sesiapa, sekadar secebis komentar buat penulis, buat editor agar hal ini diambil perhatian di masa hadapan. Sayang sekali naskhah yang kreatif sebegini dicacatkan dengan hal yang tak sepatutnya.

Penulis bagi saya lebih cemerlang mempotretkan watak hitam didalam naskhah ini. Baik Fahren, Irfan juga Basiron adalah binatang-binatang berwajah manusia yang dijelmakan dalam dunia. Segala sifat dan peribadi buruk mereka sehabisnya keji dicoretkan penulis sehingga ke akhir hayat mereka. Tiada sekelumit ikhsan pembaca buat mereka malah saya mendoakan agar golongan sebegini dihapuskan dri muka bumi ini dengan keadaan yang paling setimpal dengan perbuatan mereka. Watak Eljie, Amanda dan Marissa adalah contoh terbaik golongan yang tersasar dari landasan hidup namun sempat disedarkan dan kembali ke pangkal jalan.

Naskhah ini menyingkap kisah kehidupan seorang gadis cantik bernama Ifliany Basiron siswi UPM yang terperangkap dalam sebuah perkahwinan bila mengetahui lelaki yang dikawininya; Fahren adalah seorang bapa ayam versi moden. Drastiknya dia turut terseret untuk menjadi bahan dagangan suami durjana. Dia dilacurkan di banglo mewah milik suami yang turut dihuni perempuan-perempuan senasib dengannya. Dalam kegetiran suasana yang tidak sama sekali mengizinkan dia melarikan diri dari tembok penjara mewah itu kerana ia dikawal rapi oleh samseng-semseng ganas upahan suaminya, dia yang pintar menjana idea sendiri untuk mempertahankan maruah diri. Dengan bantuan Eljie si budak suruhan yang juga orang kepercayaan suaminya doanya dimakbulkan. Nazarnya untuk memperhambakan diri pada sesiapa yang berjaya mengeluarkan dirinya dari penjara ciptaan suaminya itu termakbul pada malam ke 1001 bila Naqlis yang juga sepupu suaminya muncul menjadi pelanggannya. Naqlis yang punya misi tersendiri kala menjejak kaki ke banglo itu tidak langsung menyangka segetir itu nasib Ifliany di tangan Fahren. Atas bantuan Naqlis, Ifliany berjaya dilarikan dan dengan saranan Naqlis juga dia tampil mendakwa suami yang menyembunyikan selama 2 tahun 8 bulan dibanglo itu untuk dilacurkan!. Segala seperti mencerminkan kemenangkan akan berpihak padanya biarpun Ifliany yakin tidak mungkin ia berlaku. Dan akhirnya testimoni dari ginekologi berjaya membongkar diri Ifliany yang sebenarnya dan ia juga telah merubah status dirinya dimata Naqlis.

Hidup ini adalah kembara merentasi benua yang begitu mencabar. Ketakutan dan cabaran sering menghambat kita di mana-mana. Namun Dia menyediakan berbagai bekalan kekuatan yang jika dihayati, diselami dan diperhalusi hingga ke dasar umbinya akan menjadikan kita sabar dan yakin dalam meneruskan perjalanan hidup ini. Inilah mesej yang saya fikir ingin dikongsikan penulis pada khalayak pembacanya.

Buat Haiza Najwa, tahniah atas inisiatif anda didalam mengenengahkan permasalahan yang seringkali menghantui tiap anggota masyarakat khasnya buat ibu bapa. Semoga anda akan terus kreatif berkarya di masa hadapan dan gigih memotretkan kisah-kisah masyarakat untuk dikongsi bersama dengan para pembaca sekalian.

Monday, January 12, 2009

SeNtuHan CinTa


Tajuk : Sentuhan Cinta
Penulis : Haiza Najwa
Penerbit : Alaf21
Harga : RM18.00
Cetakan Pertama: 2008
Genre : Romantik & Kekeluargaan
Bintang : 4

------------------------------------------------------------------
“ kecantikan sebenar seseorang itu terletak pada hatinya…”

Resensi Si Ungu:

Agak lama juga saya mencari naskhah ini dan hanya baru-baru ini menemuinya dan kebetulan ia salinan terakhir yang mereka ada di kedai tersebut…alhamdulillah, memang rezeki saya. Seorang rakan Geng Kicap mencadangkan saya membacanya kerana ia membawa satu tema yang agak berlainan sedikit dan jalan cerita katanya sangat menarik diikuti.

Sentuhan Cinta (SC) merupakan satu percubaan yang cukup baik dari penulis ini bagi menzahirkan sebuah karya yang berteraskan kefahaman psikologi manusia. Konsep dan pemahaman sudut psikologi tersebut diasimilasikan penulis menerusi watak utama novel ini iaitu Hurin Ain dan menerusinya ia dikembangkan dengan cukup baik sekali. Penulis bagi saya membuat kajian rapi tentang tema cerita yang ingin disampaikan beliau menerusi naskhah ini. Mesejnya cukup terkesan di jiwa kita sebagai pembaca, kita turut berkongsi emosi tatkala Hurin dihambat kekejaman mental kesan dari masalah intepritasi mindanya yang teruk dicelarukan…kasihannya Hurin!!

Kalau ada yang berpandangan konsep cerita ini adalah seperti sebuah dongengan versi moden yang cuba dimomokkan penulis, ia sebenarnya kurang tepat. Jangan terkejut jika ia suatu permasalahan kejiwaan yang sedia wujud dalam persekitaran kita..di sekeliling kita, cuma yang membedakannya adalah topiknya sahaja. Di sini topiknya ialah kecelaruan personaliti. Kecelaruan pada minda yang telah tanpa disedari mengendurkan sifat jati diri pada individu berkenaan secara perlahan-lahan.

Naskhah ini menyingkap kisah kehidupan seorang gadis kacukan inggeris-melayu bernama Hurin Ain yang mengalami kecelaruan personaliti kesan dari perbuatan kejam ibu tirinya; Tajiyah sejak dia kecil lagi yang mengadaptasi ke minda anak malang ini bahawasanya dirinya sangat hodoh, matanya nan biru itu umpama mata pontianak dan rambut perangnya nan beralun itu umpama rambut hantu kubur. Kesan dari akal fikiran yang telah dihipnotis dari kecil dia mempunyai tanggapan dan persepsi yang berlawanan sifatnya terhadap fizikal dirinya sendiri walau pada hakikat sebenar ia adalah bertentangan sama sekali...dia kanak-kanak yang sangat comel dan dewasa menjadi wanita yang cukup mempersonakan pada mata yang memandang. Tanggapan ini akhirnya berkembang dalam minda anak kecil ini dan membentuk satu persepsi kejam terhadap dirinya sendiri.Dia merasakan dirinya amat jelik, buruk dan tidak segandingan dengan orang lain di dunia luar dan perkara ini berlarutan hingga dia menginjak usia dewasa dan terus terpahat kukuh di minda dan sanubarinya tanpa dapat digugat.

Perwatakan dalam SC memberikan tumpuan yang berkesan kepada tonggak utama cerita ini; Hurin Ain Ilham dan penulis menggarap perwatakan Hurin dengan cukup berkesan sekali. Bahasa tubuhnya cukup baik dizahirkan penulis. Tidak ketinggalan watak-watak pembantu lain yang turut merancakkan jalan cerita ini. Steven Zaiful Aman , Redzal Idham. Watak-watak antagonis turut dipersembahkan dengan cukup baik oleh penulis.Tajiyah, Rini & Rima dipotretkan dengan cukup kelam sekali oleh penulis.

Penggunaan terma-terma, istilah atau jargon didalam dunia psikologi yang sedikit sebanyak diselitkan di dalam naskhah ini amat bersesuaian dengan jalan cerita dan bertepatan dengan masa dan keadaannya. Laras bahasa mudah difahami biarpun ada penggunaan unsur-unsur metafora juga personifikasi yang bertujuan mengindahkan suasana dan mood cerita.

Mesej yang jelas menerusi naskhah cantik ini anak-anak umpama kain putih…mereka bersih, tulus, jujur….diserakkan dengan warna putih, tuluslah dia, kalau hitam, maka kelamlah dia. Justeru itu, jiwa anak-anak janganlah dikotori dengan elemen-elemen negatif juga momokan songsang kerana segala apa yang diterapkan dalam minda mereka dari kecil akan memberi kesan pada tingkah-laku juga mempengaruhi persepsi mereka terhadap perkara tersebut apabila dia dewasa kelak.

Buat Haiza Najwa, tahniah atas percubaan anda didalam mengenengahkan permasalahan ini menerusi Sentuhan Cinta. Semoga anda akan terus kreatif berkarya di masa hadapan dan memotretkan kisah-kisah masyarakat untuk dikongsi bersama dengan para pembaca sekalian.