Blogger Templates
Showing posts with label ImaN XaRa. Show all posts
Showing posts with label ImaN XaRa. Show all posts

Wednesday, April 21, 2010

RumPut MasiH HiJau..


Tajuk Buku :Rumput Masih Hijau
Penulis : Iman Xara
Penerbit : Jemari Seni Publishing
Harga : RM20.00
Cetakan Pertama : 2010
Genre: Romantik
Bintang : 4


------------------------------------------------------
“dia hanya segumpal rumput yang hanyut di sungai, tersangkut sebentar di ranting kasih...”


Resensi Si Ungu:

Akan patahkah hati saat cinta yang begitu didamba selama ini beralih arah. Pungguk yang disangka turut merindu rupanya mengejar bulan yang lain. Bulan yang lebih tinggi. Bulan yang dirasa lebih memahami. Rasa malu usah dihitung. Rasa sedih pilu sudah selaut. Kata pepatah takdir penentu segala. Kalau sudah jodoh tidak akan kemana. Hikayat cinta penyudahnya belum tentu manis sebagaimana yang terawang di mata, terbayang diminda. Inilah saya kira mesej yang ingin digambarkan penulis pada naskhah ketiga beliau ini.

Rumput Masih Hijau (RMH) melankolik yang menyusuri hidup seorang Wafa Rashdan; gadis yatim piatu yang bertugas sebagai pegawai analisis darah. Status diri menjadi punca pertunangan dengan teman sepengajian; Ikram kala di univertiti terputus. Keturunan diri dipertikai lalu terlerai sebuah ikatan. Mimpi ngeri ini menghantui sepanjang perjalanan hidupnya lalu diri jadi sangat takut dihampiri insan bergelar lelaki. Tidak mahu lagi duka lama tercarik kembali. Cukuplah sekali maruah diri dipijak sewenangnya tanpa mampu diri bangkit untuk menangkis. Dikuburkan rasa itu kejap-kejap. Namun siapalah diri mahu menolak takdir. Rasa itu menjelma kembali tanpa diundang. Naim hadir bersama si comel Nurul Asikin. Hati gadisnya terpaut. Sungguh-sungguh terpaut. Lirikan mata juga bahasa tubuh sang arjuna menyakinkan diri tangan tidak bertepuk sebelah. Lalu salam sang adam yang lain tidak diendah. Hatinya sudah bulat pada yang satu. Makin pasti saat lamaran dari ibu sang arjuna yang sangat menyukai dirinya datang ke riba. Padang rumput yang disangka tiada penghuni lalu menjemput dirinya datang mencemar duli rupanya hanya impian zahir semata. Bukan dirinya yang dinanti selama ini.

RMH, sebaris kata yang ditinta pada tajuk mengukir tema kisah cinta yang cukup melankolik. Meruntun perasaan. Lara hati yang dicipta penulis begitu menjadi. Saya sendiri terasa tempias pilu, malu dan duka jiwa Wafa. Kisah cinta yang nampak klise, tapi berpusing 360 darjah di penghujungnya. Kalau ditanya pedapat saya, tidak mahu penamat begini, lebih rela tragis Wafa dibiarkan sahaja, pasti akan diingati minda sampai bila-bila...tapi apalah daya, hidup mati naratif ditangan penulis penentunya.


Pergerakan plot RMH kronologi yang begitu linear persembahan naratifnya bijak ditangani penulis dengan begitu baik agar tumpuan pembaca tidak menjadi bosan. Dari satu bahagian ke bahagian yang lain, kesinambungan cerita nampak cukup kemas ditangani, disunting. Penggunaan laras bahasa mudah dengan sesekali sisipan elemen-elemen bahasa cantik cukup mewarnai naskhah ini.

Wafa Rashdan menguasai keseluruhan naratif dengan begitu baik sekali. Emosi gadis malang ditangani dengan begitu cemerlang oleh penulis. Keluh kesah, gelodak jiwa wanita, rasa yang membalut jiwa dikuasai dan dilayarkan dengan sebaiknya oleh penulis. Naim menguasai naratif dengan misteri dan kesenyapan tersendiri. Sang arjuna yang cukup memikat diawal tapi ternyata penulis cukup berjaya menimbulkan rasa benci yang melampau pada Naim kesan tindakannya pada Wafa. Saya sukakan watak Hajah Naimah. Keibuannya cukup mendamaikan jiwa. Wataknya dilukiskan dengan begitu indah sekali. Rasa kesal yang bermukim di jiwa, rasa bersalah yang menggunung di lubuk hati direalisasikan penulis sebaiknya. Pilu jiwa , malu dan bersalah yang bermukim di jiwanya bagai dapat saya selami. Humairah saya kira watak sampingan yang cantik dibina penulis. Jiwa wanitanya nan halus dipotretkan dengan begitu harmoni. Perwatakan kanak-kanak juga ditangani sebaiknya oleh penulis. Keletah Asikin begitu hidup dipenakan, keceriaannya nampak jelas dibayangan mata. Aisyah, Raihana adalah penambah perisa cerita. Safuan hadir dihujung pena sebagai pelengkap cerita.

Buat penulis, tahniah atas persembahan yang cukup menarik dalam naskhah terbaru anda ini. Semoga akan terus cemerlang menghasilkan karya-karya yang baik juga hebat di masa hadapan.

Thursday, January 22, 2009

TanYa PaDa HaTi


Tajuk Buku :Tanya Pada Hati
Penulis : Iman Xara
Penerbit : Jemari Seni Publishing
Harga : RM20.00
Cetakan Pertama : 2009
Genre: Romantik
Bintang : 4



--------------------------------------------------------------
“bisakah kau berdiri tanpaku disisimu lagi?..
bisakah kau sendiri mengubati luka dihati?…

jika ditanyakan pada diri, masih mampu ia dinafi...
jika ditanyakan pada akal, masih mampu ia dibohongi...
tapi...jika ditanyakan pada hati,mampukah realiti disembunyi?.”


Resensi Si Ungu

Tanya Pada Hati(TPH); seindah tajuk yang diberi pada karya ini, secantik itu juga isi didalamnya. Jika dilihat pada tajuknya sahaja mungkin sudah cukup klise untuk pembaca meramalkan isi didalamnya. Saya juga tidak terkecuali.Kisah Cinta!...betul, ia memang kisah cinta..tapi kisah cinta yang bagaimana?, disinilah kelainan jalan cerita yang diangkat sang penulis ini untuk tatapan pembaca kerana ia tidak “seklise“ yang anda sangkakan.

Saya dimaklumkan bahawa penulis; Iman Xara sebelum ini pernah menghasilkan karya bersama Rhythm Publishing (Sepohon Rindu Terlerai) dengan nama pena Iyza Amyza. Saya tidak berpeluang menatap karya tersebut, namun menerusi TPH ia sudah cukup untuk pembaca menilai potensi yang ada pada penulis muda ini...sangat berbakat !

Aktifkan minda anda sebelum menyusuri kisah nan penuh mesej tersirat ini kerna ia memerlukan sekelumit kudrat untuk berfikir, tapi ini bukan bermakna ia sangat berat untuk dihadam minda pembaca kerna TPH sebenarnya perlukan anda sama-sama “berlakon“ untuk mengetahui jawapan pada persoalan hati yang menjadi fokus penceritaan. Dalam menangani sebuah naskhah yang baik seperti TPH ia bukan sahaja terletak pada betapa baiknya ia ditulis, sokongan elemen suntingan juga kerja-kerja “dibelakang tabir“, namun yang lebih utama adalah memberi kefahaman kepada pembaca dalam menghayati mesej serta nilai sebenar yang cuba ditonjolkan menerusi naskhah berkenaan menerusi jalan cerita dan kesinambungannya, susunan plot juga watak-watak yang dicipta.

TPH menyusuri perjalanan hidup insan-insan yang dihimpit permasalahan yang memerlukan jawapan dari dalam ..jawapan hati. Menerusi naskhah ini, penulis memaparkan dengan penuh emosi kemelut perasaan yang dialami oleh insan yang tidak berani berterus terang hanya kerna takut dengan satu kemungkinan yang akan mengheretnya dengan penyesalan seumur hidup. Kerna berpegang pada konsep teman yg baik susah dicari, lebih sukar ditinggalkan & mustahil untuk dilupakan selamanya, baik Farisya mahupun Fitri mereka berdua lebih rela membuang rasa hati demi kerna tidak mahu menggadai ikatan persahabatan yang terbina sekian lama...mereka berdua sebenarnya adalah antara lambang/contoh insan-insan yang takut dengan kemungkinan yang sebenarnya tidak akan memudaratkan jika ditangani dengan bijaksana.

Pergerakan naratif TPH yang tidak kronologi bijak ditangani penulis dengan begitu baik agar tumpuan pembaca tidak tersasar . Dari satu bahagian ke bahagian yang lain, kesinambungan cerita nampak cukup kemas ditangani, disunting..molek sekali.Penggunaan laras bahasa mudah dengan sesekali sisipan elemen-elemen bahasa cantik cukup mewarnai naskhah ini.

Perwatakan yang dibina di dalam TPH begitu seimbang antara Farisya dan Fitri Hidayat, tidak membayangi antara satu sama lain. Saya melihat pembinaan watak Idayu dan Shima bersesuaian dengan keadaan sosial masyarakat remaja masa kini yang sudah hilang jatidiri ,maruah dan pegangan agama...kerapuhan diri mempertahankan sifat-sifat ini akhirnya memakan diri sendiri!. Begitu juga watak Iskandar yang nampak sungguh tidak terduga sifatnya...namun inilah realiti yang cukup baik dipersembahan penulis buat semua...manusia, sama hitam rambutnya, hati tidak dapat kita tentukan warnanya.

Jodoh itu boleh hadir dalam pelbagai bentuk dan cara, yang penting fahami bahasa hati sendiri…kerna ia tidak mampu untuk menidakkan kebenaran.

Buat saudari Iman Xara, tahniah atas persembahan yang cukup menarik dalam Tanya Pada Hati. Ternyata anda punya bakat yang cukup besar untuk diekplotasi di dalam dunia penulisan kreatif tanahair. Semoga akan terus cemerlang menghasilkan karya-karya yang baik juga hebat di masa hadapan.

Buat anda pembaca jika anda tiada jawapan didalam menangani masalah hati, Tanya Pada Hati ada jawapannya…dan ia pasti tidak mengecewakan anda, selamat menghayatinya.