Blogger Templates
Showing posts with label NorHishaM MusTaffa. Show all posts
Showing posts with label NorHishaM MusTaffa. Show all posts

Thursday, September 24, 2009

BiLa MuSim BerGanTi...




Tajuk Buku : Bila Musim Berganti
Penulis : Norhisham Mustaffa
Penerbit : CESB
Cetakan Pertama : 2004
Harga : RM18.90
Genre : Kemasyarakatan
Bintang : 4.5

------------------------------------------------------------
"saya ni macam musafir, Rahim. Terbuang. Ada hak tertentu bagi saya, tapi tak tahu bagaimana gunakan hak tu. Banyak yang muncul seperti mimpi atau seperti bayang-bayang. Mimpi hilang demi datangnya siang. Bayang-bayang juga hilang demi datangnya gelap. Tapi saya tetap juga seperti ni..Terlontar sebatang kara! "

Resensi Si Ungu:

Secara jujur saya bukanlah penggemar kisah-kisah yang berakhir dengan format "sad ending" namun pada suasana tertentu saya mengecualikan diri saya untuk halangan yang satu itu. Prejudiskah saya?, entahlah...tapi bagi saya, kisah sebegini ada karismanya yang tersendiri dan hanya penulis tertentu sahaja yang mampu menghasilkan kisah-kisah sebegini dengan baik. Tidak semua penulis mampu menerbitkan kesedihan di jiwa pembaca, adakalanya bukan rasa sedih yang singgah...tapi tanda tanya yang muncul, pembaca bagai hilang arah dalam mencari apa yang cuba disampaikan penulis. Justeru itu, saya "tabik" pada penulis yang berjaya mencipta dan menghidupkan suasana sedih didalam naratif mereka dan secara tidak langsung mampu memecahkan kolam airmata pembaca, menyesakkan dada pembaca dengan rasa sebak hanya dengan mata penanya. Salah seorangnya adalah penulis ini...Norhisham Mustaffa.

Mungkin pada sesetengah orang karya beliau agak berat tetapi pada saya itulah keistimewaan Norhisham. Karya-karyanya begitu mencabar minda saya, mendesak pemikiran saya agar lebih peka pada suasana persekitaran, pada kehidupan, pada apa yang saya lihat disekeliling. Bagi saya yang sudah selesai menempuh 4 novel dan 1 kompilasi coretan pak Norhisham, kisah sedih yang beliau lakarkan dalam tiap naskhah buat tatapan khalayak pembacanya begitu istimewa sekali. Rasa dan suasana sedih yang diciptakan beliau bagi saya begitu "hidup" dan cukup menyentap perasaan. Air mata pembaca dengan mudah dicuri oleh beliau hanya dengan bait kata-katanya yang begitu menyentuh naluri. Begitulah keistimewaan pena penulis hebat yang satu ini.

Seperti karya-karya beliau yang terdahulu saya baca, Bila Musim Berganti (BMB) sekali lagi mengundang sebak di hati saya. BMB berlatarkan kehidupan manusia-manusia kerdil tapi berjiwa waja di sebuah estet getah; Estet Getah Ladang Bukit Tempua yang menjadi latar tempat pilihan penulis dalam naskhah ini. Tema kehidupan menjadi nadi utama naratif penulis dan kehidupan yang bertunjang konsep kasih sayang sesama manusia tidak kira latar sosial juga bangsa mencerminkan sebuah ikatan kekeluargaan yang berpaksikan rasa saling hormat-menghormati tanpa batasan agama.

Ikhwan Zaidi adalah penggerak utama naratif kali ini. Anak muda yang bersifat pemimpin sejati ini yang bergelar Pengurus Besar Estet Ladang Bukit Tempua adalah ikon kebanggaan penduduk disitu namun tiada siapa tahu disebalik girang dan ceria serta sifat tanggungjawabnya yang cukup tinggi ini rupa-rupanya dia menyimpan begitu banyak rahsia kehidupan peribadi dari pengetahuan khalayak yang mengelilinginya saban hari. Ikhwan Zaidi adalah simbol kekuatan perwatakan ciptaan penulis untuk naskhah ini. Perwatakan Ikhwan Zaidi sangat cemerlang ditangani penulis. Penulis mencorakkan watak Ikhwan Zaidi dengan penuh jiwa dan semangat . Kita yang membaca akan turut merasai, menyelami rasa hati dan gelora jiwa yang merantai kehidupan insan bernama Ikhwan Zaidi ini.

Perwatakan Ikhwan Zaidi menguasai tiap ruang dan penjuru BMB. Kecemerlangan tonggak utama narattif ini juga dibantu oleh kemunculan watak-watak pembantu yang lain. Di sini penulis mewarnakan watak-wataknya dengan pelbagai rupa dan gaya. Manickavellu, Imam Syafawi, Pak Kudrat, Nur Fatanah yang penuh rasa kasih pada ketua mereka biar berbeza fahaman dan tingkat sosial, Ahmad Hatmi, Khairani Salwana si merpati dua sejoli yang membongkar satu pertalian darah yang sekian lama tersimpul,Datuk Fikri yang punya sejarah lampau yang tidak terduga juga Astuti sang ratna belahan jiwa yang tewas dipertengahan jalan. Kesemua watak-watak ini digerakkan dengan cukup hebat, teliti dan begitu berjaya oleh penulis.

Pergerakan plot banyak membantu kelancaran persembahan sesebuah naratif. Plot yang pincang, kucar-kacir, tunggang-langgang kiblatnya pasti menghuru-harakan arah pembacaan pembaca. Akibatnya, mood pembaca akan tersasar, paling teruk terhumban entah kemana. Pasti yang jadi mangsa, buku itu sendiri...terlontar ke dinding!. BMB terkecuali dari semua elemen yang saya sebut tadi. Dengan suntingan yang cemerlang plot naratif ini begitu tersusun, teliti digubah bagi memastikan kelancaran kisahnya. Penulis sangat takzim membentuk olahan kisahnya menjadi cukup cantik, bagai hidup dimata pembaca biarpun cuma di helaian-helaian kertas yang kaku!

Gaya bahasa penulis sangat saya kagumi. Gaya bahasa karya–karya beliau sentiasa estetik, penuh metafora dan kaya dengan elemen personifikasi yang memukau. BMB tidak terkecuali. Kaedah pengayaan bahasa dalam naratif ini sangat indah, bait-bait kata-kata yang dirangkai penulis sangat menyentuh rasa dan naluri.

BMB membawa pembaca ke sebuah daerah bernama Bukit Tempua yang membentuk sebuah ladang, sebuah estet getah. Sebuah penempatan yang memberi kehidupan para penghuninya yang saban dinihari setia membilang pohon-pohon getah, menakik aliran susu yang terbit dari pokoknya demi sebuah kelangsungan hidup. Disinilah seorang insan, pemuda lewat 30an bernama Ikhwan Zaidi; Pengurus Besar ladang ini menabur bakti dan jasa kepada semua. Ikhwan yang masih bujang namun cukup berwibawa dan matang sebagai ketua menjadi tempat setiap orang di ladang itu mengadu untung nasib, meminta nasihat dan buah fikiran juga sebagai penyelesai masalah berbangkit. Tiada siapa mengetahui dalam kehebatan dirinya itu, Ikhwan sebenarnya menyimpan kisah pilu dirinya...kisah yang membawa dirinya terdampar ke ladang itu. Demi tidak mahu mengulangi sejarah diri yang dirasakan tidak sewajarnya berlaku jika dia bertindak berani, tangan dihulur, diri didepang membentengi sepasang suami isteri muda; Ahmad Hatmi & Khairani Salwana yang datang berteduh di ladang seliaannya. Kisah mereka yang mirip kisah dirinya suatu waktu dulu rupa-rupanya tidak berakhir disitu. Tanpa diduga, pasangan ini menjadi jambatan untuk Ikhwan merungkai sebuah pencarian, jejak kasih yang sekian lama dimulai dulu namun tidak jua bertemu penghujungnya. Rasa kasihnya pada nasib Nur Fatanah, sang kerani di pejabatnya yang akhirnya dicerai sang suami yang cemburu buta sering menimbulkan tanda tanya di hati, di mata semua. Sikap ambil beratnya disalahertikan. Rasa kasih itu kurniaan ilahi maka tiada siapa mampu menolaknya. Lalu kehadiran Nur Fatanah ibarat cahaya yang mula menerangi kegelapan jiwa Ikhwan Zaidi semenjak dia kehilangan Astuti bagai terpancar pada sesiapa sahaja yang melihat. Tapi mampukah, sempatkah kasih yang mula tersirna ini bertaut?.

Kasihnya pada ladang, cinta pada setiap penghuni ladang sukar ditafsirkan lalu dia berjuang memastikan hak mereka semua terbela bila pihak syarikat berura-ura menukar status ladang. Kerja keras yang tidak mengira masa, tidak menghirau diri demi mahu melupakan sebuah kesedihan diri tidak mungkin dapat ditanggung sendiri. Rasa lelah dalam diri berserta jiwa yang parah yang sekian lama dipendam, disorok, disimpan tersirna jua. Dia rebah juga akhirnya. Rebah yang penuh dengan azam dan semangat. Keutamaan diri diketepikan...hak dan kepentingan ladang juga penghuninya diulang-ulang hingga ke nafas terakhir. Dia pergi akhirnya. Pergi sebagai seorang wira.

Norhisham membuatkan jiwa saya terjerat dengan rasa sedih dan kasihan yang menggunung terhadap kehidupan Ikhwan Zaidi hinggakan 'rasa' itu terbawa-bawa hingga ke noktah terakhir naskhah ini. Sungguh tak terduga saya ia dinoktahkan sebegitu. Sedih dan pilunya perasaan kala membaca ayat-ayat terakhir Bila Musim Berganti. Kasihannya!.

Buat penulis terima kasih untuk sebuah karya yang cukup hebat ini. Buat pembaca diluar sana yang belum berpeluang menatap Bila Musim Berganti…cabarlah perasaan anda dengan sebuah kisah nan cukup menyentuh perasaan ini.

Tuesday, September 15, 2009

KomPilaSi KaSih OranG TerBuanG



Tajuk Buku : Kompilasi Kasih Orang Terbuang
Penulis : Norhisham Mustaffa
Penerbit : CESB
Cetakan Pertama : 2005
Harga : RM24.90
Genre : Kekeluargaan & Kemasyarakatan
Bintang : 4.5



------------------------------------------------------------

"hidup ini terbina antara dua rasa...suka dan duka...”

Resensi Si Ungu:

Kompilasi yang menghimpunkan 3 novel pendek; Kasih Orang Terbuang, Gerimis Senja dan Angin Permatang hasil nukilan sasterawan kelahiran Tanah Serendah Sekebun Bunga ini sememangnya begitu sarat dengan mesej kehidupan buat renungan pembaca. Saya yang sememangnya sangat mengagumi karya beliau begitu tersirna perasaan saat melalui perjalanan menamatkan pembacaan ini. Sungguhlah pengarang hebat ini begitu bijak mencuri airmata pembaca hanya dengan bait-bait kata yang dibina. Sebak, sedih, pilu, kasihan saling bertamu, silih berganti.

Tema kekeluargaan menjadi fokus pada ketiga-tiga cerita ini. Tema yang digarap dari sisi yang berbeza paksinya namun tersimpul dipenghujung yang sama. Begitu berseni sekali cara ia dinoktahkan biarpun mengundang airmata yang bukan sedikit.

Plot cerita-cerita di dalam kompilasi ini sangat cantik disusun. Berangkai-rangkai antara satu peristiwa ke peristiwa yang lain. Walau ada flashback, jalan cerita tidak sedikit pun tersasar. Itulah keistimewaan pengarang hebat ini. Persembahan cerita penaan beliau sangat mengagumkan.

Gaya bahasa didalam setiap karya beliau sentiasa indah. Olahan ayat yang cukup berseni, penuh nilai-nilai estetika yang sukar kita temui pada karya-karya lain. Personifikasi dan elemen metafora ciptaan beliau juga cukup cantik, penuh berseni. Suntingan sangat cemerlang menjadikan persembahan keseluruhan kompilasi ini begitu hebat.

Perwatakan sememangnya adalah tunjang sesebuah karya. Dan ditangan pengarang hebat ini, semua watak beliau begitu hidup dimata pembaca. Mahayun dan Fuad begitu mensyahdukan perasaan, menitis airmata dengan kehebatan perwatakan mereka. Kecekalan mereka begitu meruntun naluri. Hajah Habibah, Haji Sulaiman cukup membuat hati jadi sedih..sampainya hati!. Ramlan dan Asnah mencipta rasa kasihan yang bukan sedikit. Meluat betul dengan Zaleha dan Hajah Muyah!. Sumadi hero hebat. Walau tidak kaya, rupa seadanya sahaja, belajar hanya setakat mana namun tiupan aura pengarang pada wataknya membuatkan pembaca jatuh suka hero muda ini. Saya rasa kagum pada Sadariah. Sikap yang ada pada gadis muda ini wajar jadi teladan gadis-gadis di luar sana. Penghulu Saman, Karim, Jarjis..aduh hai, menyampahnya..tapi diakhir cerita...saya ingin katakan ini...padan muka mu!.

Buat pak Norhisham...saya tiada kata untuk menukilkan rasa kekaguman pada kompilasi ini. Sesungguhnya anda satu antara sejuta. Tiada tandingan di pesada ini.

Cerita 1: Kasih Orang Terbuang
Mahayun @ Ayun, gadis cantik namun sayangnya dia anak yang tidak tahu di mana malangnya, dibezakan perhatian dan kasih sayang dari ibubapa; Haji Sulaiman, Hajah Habibah dan adik-beradiknya kecuali adik bongsunya, Suhanum dan suami Rasyid. Tindakan Ayun menolak lamaran Doktor Razlan tapi mengahwini Fuad yang cuma seorang penarik beca dan tidak setaraf kedudukan dengan adik-beradik yang lain, lebih menyisihkan Mahayun dari keluarganya dan menambahkan lagi kebencian mereka padanya. Dia dibuang terus dari menikmati sebarang kekayaaan dan kesenangan keluarga. Namun begitu, Mahayun dan Fuad tidak mengalah dengan segala kata-kata nista juga umpat keji mereka padanya dan Fuad. Mereka tetap gigih berusaha memperbaiki taraf kehidupan dan kelahiran Ahmad Syukran bagai membuakkan semangat untuk lebih berjaya di dalam hidup. Untuk mencapai cita-cita ke menara gading mereka berdua gigih belajar bersama..namun takdir tuhan siapalah mampu menduga. Kisah yang sungguh menyayat hati. Kisah yang banyak pedoman untuk semua.

Cerita 2: Gerimis Senja
Ramlan dan Asnah. Cinta yang terhalang bukan sahaja kerana darjat tapi juga kerana peristiwa lama yang masih berbekas di hati Hajah Muyah; ibu Ramlan. Ramlan yang nekad tapi Asnah berhati lembut. Asnah yang tidak mahu memanjangkan sengketa rela berundur demi harapan seorang ayah...biar terpaksa mengorbankan perasaannya sendiri, ironinya hidup. Bila hati dan perasaan seakan mati...bagaimanalah hidup harus diteruskan. Berbaloikah pengorbanan Asnah, dan ikhlaskah kata-kata akhir Ramlan. Kisah yang penuh tauladan.

Cerita 3: Angin Permatang
Kisah yang membawa pembaca menyusuri kegigihan seorang anak muda kampung; Sumadi Tolib untuk menyempurnakan hidup adik-adik setelah kematian kedua orang tua dipaparkan dengan begitu menarik sekali . Sumadi seorang abang yang sangat bertanggungjawab. Disamping perlu memikirkan masa depan adik-asiknya; Sadariah, Numairah, Isa dia juha berhadapan dengan masalah lain di kampung yang menuntut kesabaran dan kecekalannya. Balas dendam dan dengki boleh menghuru-harakan kehidupan...ia juga boleh memudaratkan diri orang yang menciptanya jika tersilap langkah. Ada sedikit cahaya cinta dalam cerita ini tapi tidak begitu dikerlipkan. Langsung tidak menjejaskan keterujaan untuk terus membaca dan mengetahui penamat kisah ini. Sumadi sangat hero dimata saya. Hero pada keluarga, hero pada adik-adik, hero pada orang kampung yang tertindas.

Monday, July 13, 2009

SaYangku AiNi SoFea...


TAJUK: SAYANGKU AINI SOFEA
PENULIS : NORHISHAM MUSTAFFA
PENERBIT : CESB
CETAKAN PERTAMA : 1998
HARGA : RM5.90
GENRE : DRAMA
BINTANG : 4



---------------------------------------------------------

“…Aku bagai pelancong asing. Datang tatkala kau sudah bukan milikku...”

Resensi Si Ungu:

Ini merupakan buku ketiga garapan penulis ini yang singgah di rak saya. Saya jadi sangat teruja untuk membaca karya penulis hebat kelahiran negeri cik siti wan kembang ini selepas pertama kali diperkenalkan dengan hasil tulisannya yang cukup indah. Dan seperti yang pertama dan kedua, karya yang ketiga ini juga ternyata telah menjerumuskan perasaan sayu saya pada sebuah kisah dua insan yang sangat tragis dipotretkan penulis. Memang penulis ini begitu sinonim dengan pengakhiran cerita yang begitu menyentuh jiwa pembaca.

Saya lebih cenderung menjuruskan tema cerita yang diketengahkan penulis kreatif ini tentang sikap tidak menepati janji . Janji tidak boleh dibuat mainan. Bila janji dilupa, bila janji dimungkiri, pasti buruk akibatnya. Natijah dari sikap tidak bertanggungjawab itu, maka pasti ada jiwa yang merana, ada jiwa yang menjadi korban. Hanya kerana merasakan jiwa remaja tentu tidak tetap dalam membuat keputusan…tanpa bertanya, tanpa menyelidik keputusan yang dibuat bagi pihak selalunya akan menyaksikan sebuah tragedi berlaku. Inilah yang dipaparkan penulis lewat naskhah yang cukup simbolik ini.

Sayangku Aini Sofea (SAS) membawa kita menyusuri tentang kisah seorang remaja, Syahrul Nizam berdarah kacukan melayu-amerika yang dilahir dan dibesarkan di Amerika. Kedatangannya yang tidak dimaklumkan mencipta kekalutan tatkala singgah di konglomerat peninggalan arwah ayahnya; Ahmad Sulaihi yang diuruskan Datuk Baharum. Penampilannya yang tidak langsung menampak ciri-ciri “kemewahan” seorang jutawan juga pewaris empayar perniagaan peninggalan arwah ayahnya itu telah disalahertikan oleh setiausaha Datuk Baharum lantas layanan buruk yang diterima cukup menjengkelkan sekali. Dibiarkan menunggu tanpa rasa kasihan, dia akur lantas meninggalkan bangunan tersebut dengan sebuah noktah yang cukup sinis yang membuat seisi pejabat terutama Datuk Baharum terpana!. Langkah diatur ke rumah Datuk Baharum, sayang sekali demikian juga layanan diterima dari anak dan orang gaji di rumah itu lantaran dirinya tidak dikenali. Tanpa sempat berjumpa, perjalanan diteruskan ke Tanjung Bidara. Di sanalah destinasi utamanya kala menjejakkan kaki ke tanah Melayu. Dia yang datang ke Malaysia dengan satu tujuan….menemui si belahan jiwa Aini Sofea dan melunaskan janji dan impian mereka berdua yang termetri ketika kunjungan Aini Sofea dan neneknya Alang Sibah ke Amerika. Namun sayang…hanya dia seorang yang berpegang utuh pada janji yang telah dibuat bersaksikan bonda tercinta, di pihak Aini…Alang Sibah tergamak memungkirinya, Aini Sofea bakal dinikahkan dengan jejaka pilihan Alang Sibah tanpa kerelaan Aini!

Perwatakan dalam SAS cukup kuat dan selari dengan watak yang dipotretkan. Ternyata penulis ini cukup arif dalam kerja-kerja pemotretan watak-watak ciptaannya dalam naskhah ini. Syahrul Nizam menguasai keseluruhan ruang naratif ini. Menerusi penceritaan Datuk Baharum pembaca diperjelaskan dengan lebih mendalam sejarah keluarga Syahrul Nizam khasnya arwah ayahnya juga ibunya dan bagaimana arwah ayahnya membina empayar perniagaan yang kininya diwarisi oleh anak muda ini. Perwatakan Aini Sofea hanya menonjol pada ¾ perjalanan cerita biarpun di peringkat awal ada kemunculannya bersama Syahrul Nizam ketika dia di Amerika menemani neneknya yang menjalani rawatan jantung.

Penggunaan lenggok bahasa dalam naskhah ini sangat indah..penuh personifikasi, melankoliknya cukup rencah namun tidak memualkan. Penulis ini ternyata memanipulasi kepakarannya melarik bahasa dengan begitu cemerlang sekali…saya jadi jatuh hati dengan laras bahasa yang diguna beliau. Biarpun naskhah ini begitu nipis namun ternyata isinya cukup mantap.

Plot cerita dibina dengan cukup kronologi dengan sedikit sisipan teknik imbasan kembali. Keindahan plot yang dicipta banyak membantu pergerakan cerita yang disampaikan penulis dalam merealisasikan mesejnya kepada pembaca. Biarpun agak terlewat buat saya menghayati buah tangan anda yang cantik ini namun ia sedikit tidak akan menjejaskan kekaguman saya pada anda.


Buat pembaca, buat pencinta novel tanahair sesungguhnya banyak yang dapat dikutip, direnung dan difikirkan dalam naskhah kecil tapi padat dan mampat isinya ini. Bagi anda yang ingin menatap sebuah lagi kisah perjalanan kasih sayang yang sangat istimewa, maka jangan sesekali terlepas membaca naskhah yang cukup istimewa nukilan penulis hebat ini.

Sunday, May 3, 2009

LeRaian NoVella...


TAJUK: LERAIAN NOVELLA
PENULIS : NORHISHAM MUSTAFFA
PENERBIT : CESB
CETAKAN KETIGA : 2001
HARGA : RM15.90
GENRE : DRAMA
BINTANG : 4.5


----------------------------------------------------------
“…dan kematian itu hanyalah penyudah kepada sebuah jalinan novella ciptaan mereka berdua...”

Resensi Si Ungu:

Ini merupakan buku kedua garapan penulis ini yang singgah di rak saya. Sejak jatuh hati pada bukunya yang pertama saya baca; Persinggahan saya jadi teruja untuk meneruskan misi menjejak karya-karya penulis ini. Dan seperti yang pertama, karya kedua yang saya tatap ini ternyata telah menjerumuskan perasaan sayu saya pada sebuah kisah dua insan yang sangat tragis dipotretkan penulis .

Tema cerita yang diketengahkan penulis kreatif ini adalah tentang sikap & penerimaan masyarakat pada hubungan antara lelaki dan perempuan yang berjarak umur yang jauh dan berbeza latar sosial. ini. Naskhah penulis kali ini membawa satu intepritasi yang cukup tragis tentang pandangan berat sebelah manusia terhadap manusia lain berpaksikan pada kedudukan sosial dan material. Ketidakadilan ini lah antara punca yang membawa kepada kekejaman tanpa sedar yang dilakukan hingga membawa kepada musibah yang tidak terduga…musibah yang sudah terlambat untuk dikesalkan!

Leraian Novella (LN) membawa kita menyusuri tentang kisah hubungan 2 insan; Nirwan Bakhtiar dan Atma Afiza. 2 pupu yang berbeza umur sekali ganda (Nirwan berusia 40an, Afiza di awal 20an) ini bertemu tanpa sengaja dalam satu majlis sastera. Nirwan yang merupakan seorang novelis, juga penyair, pelukis dan pemuzik telah lama menjadi pujaan Afiza dalam diam. Mereka yang saling tertarik antara satu sama lain tidak langsung mengetahui hubungan kekeluargaan antara mereka dan hubungan kasih sayang mereka berdua terjalin makin intim tanpa mampu digugat. Afiza dan Nirwan bagai berkongsi nyawa dan jiwa walau jasad antara kedua-duanya terpisah. Segala-gala tentang Nirwan dalam genggaman minda Afiza. Hubungan istimewa antara kedua-dua mereka sukar ditafsir dengan mata kasar tapi mampu diteroka oleh mata hati pada mereka yang arif. Rakan baik merangkap adik angkat Afiza; Nunung Rohana a.k.a Ana adalah saksi hubungan kedua-dua insan dari mula hinggalah ke titik kritikal yang membawa kepada satu perpisahan abadi antara kedua mereka dan hanya di kemuncak konflik hubungan inilah rahsia ikatan kekeluargaan antara mereka terbongkar!. Penamat kisah ini sangat memilukan dalam darjah penilaian saya…mungkin tidak pada pembaca lain…mungkin juga saya terlebih emosi saat itu, hehehe.

Perwatakan dalam LN cukup kuat dan selari dengan watak yang dipotretkan. Ternyata penulis ini cukup arif dalam kerja-kerja pemotretan watak-watak ciptaannya dalam naskhah ini. Nirwan Bakhtiar dan Atma Afiza menguasai keseluruhan ruang naratif ini dengan dibantu dengan cukup baik oleh watak pembantu utama, Ana. Menerusi pengkisahan Ana, kedua-dua tonggak utama LN ini menjadi lebih hidup dimata pembaca. Ana bagai jambatan yang menjadi penghubung antara pembaca dengan Nirwan dan Afiza. Ana jugalah penghubung dengan watak-watak pembantu yang lain yakni Abang Ramlan, Mak Non, Pak Yim juga Taufik.

Penggunaan lenggok bahasa dalam naskhah ini sangat puitis..penuh personifikasi, melankoliknya cukup rencah namun tidak memualkan. Penulis ini ternyata memanipulasi kepakarannya melarik bahasa dengan begitu cemerlang sekali…saya jadi jatuh hati dengan laras bahasa yang diguna beliau dalam naskhah ini. Paling menyentuh tatkala Ana membaca surat-surat kiriman Nirwan kepada Afiza juga kiriman Afiza kepada Nirwan...susunan bahasanya begitu cantik sekali!

Plot cerita dibina dengan cukup kronologi dengan sedikit sisipan teknik imbasan kembali. Keindahan plot yang dicipta banyak membantu pergerakan cerita yang disampaikan penulis dalam merealisasikan mesejnya kepada pembaca. Saya cukup terbuai dengan susunan jalan cerita ini yang cukup cantik dipersembahkan penulis biarpun ia bernada sayu dan penuh sendu!.
Dari saya, sekalung tahniah buat penulis untuk naskhah anda ini. Biarpun agak terlewat buat saya menghayati buah tangan anda yang hebat ini namun ia sedikit tidak akan menjejaskan kekaguman saya pada anda.Teruskan usaha, semoga terus cemerlang menghasilkan karya-karya hebat dan bermutu di masa hadapan buat tatapan, renungan dan pedoman buat kami semua, pencinta novel tanahair.

Buat pembaca, buat pencinta novel tanahair sesungguhnya banyak yang dapat dikutip, direnung dan difikirkan dalam naskhah kecil tapi padat dan mampat isinya ini. Bagi anda yang ingin menatap sebuah kisah perjalanan kasih sayang yang sangat istimewa, maka Leraian Novella ada jawapannya.

Sunday, March 22, 2009

PerSinggaHan...



TAJUK: PERSINGGAHAN
PENULIS : NORHISHAM MUSTAFFA
PENERBIT : CESB
CETAKAN PERTAMA : 2003
HARGA : RM15.90
GENRE : DRAMA
BINTANG : 4


------------------------------------------------------------------

“…Guru itu sangat mulia kedudukannya, sentiasa dikenang orang sepanjang zaman...”

Resensi Si Ungu:

Jarang kita menemui penulis lelaki yang mempunyai gaya penulisan yang cukup indah susunan dan lengguk bahasanya, lengkap dengan metafora dan personifikasi yang sangat cantik dipersembahkan buat tatapan mata dan minda pembaca. Skill yang selalunya didominasi oleh penulis wanita namun bila ianya mendapat sentuhan seorang penulis lelaki, maka pembaca akan mendapat suatu kelainan tatkala menatap naskhah tersebut. Inilah rasa yang saya perolehi tatkala pertama kali menatap buah tangan penulis ini…sangat mengasyikkan sekali biarpun ia bukanlah sebuah kisah cinta yang asyik masyuk!. Sesungguhnya dalam naskhah cuma setebal 255 halaman ini terlalu banyak mesej kehidupan yang diselitkan penulis buat renungan para pembaca.

Melihat pada tema cerita yang mengenengahkan persoalan tentang sikap & pandangan terhadap kerjaya guru di sekolah agama di kampung yang tidak begitu mendapat sambutan di kalangan belia dan beliawanis dewasa ini. Ternyata naskhah ini membawa satu intepritasi yang cukup berkesan tentang tugas dan tanggungjawab guru itu sendiri dan bukannya hanya guru yang mengharapkan gaji yang tinggi dan kemudahan-kemudahan lain tanpa memahami falsafah disebalik tugas nan mulia ini. Dan kerana itu jugalah sewajarnya guru mendapat sanjungan atas budi dan jasa yang ditabur. Tanpa jasa dan, tunjuk ajar guru, siapalah kita. Naskhah ini mengangkat martabat seorang guru dari kacamata penulis dan diterjemahkan dengan cukup berkesan menerusi naratifnya yang cukup berseni.

Persinggahan membawa pembaca menyusuri tentang kisah seorang guru bahasa inggeris di sebuah sekolah agama rakyat di sebuah kampung yang agak terpencil yang pada asalnya tidak pernah berniat atau bercita-cita menjadi guru namun keadaan dirinya yang memaksa dia menerima tugas itu. Oslan Ahmad Zainal lulusan STP yang kecewa dengan situasi dirinya yang gagal memperolehi pekerjaan juga tempat di maktab perguruan biarpun sudah banyak permohonan dihantar. Kegagalan tersebut sedikit sebanyak mengendurkan semangat juang anak muda ini. Tawaran dari datuk saudaranya, lebai Dalib untuk menjadi guru bahasa inggeris di Sekolah Agama Rakyat di kampung Becah Samun yang agak terpencil dengan gaji RM700 tidak langsung memikat hatinya kerana Oslan merasakan dia tidak berupaya untuk memikul tanggungjawab tersebut lebih-lebih lagi dia tidak pernah bercita-cita kearah itu namun atas nasihat emaknya, Oslan menerima tawaran tersebut dengan berat hati. Sememangnya tugas guru bukan mudah. Pelbagai karenah, masalah yang terpaksa dihadapi Oslan. Masalah murid-murid, rakan sekerja yang tidak sebulu dengannya, jiran-jiran sekampung yang tidak mesra dan berpandangan serong terhadap orang luar seperti dirinya. Semangat Oslan banyak diperolehi dari dorongan bapa saudaranya yang juga tenaga pengajar di sekolah itu juga pengetua/mudir; ustaz Mansur. Hasilnya cukup menakjubkan…namun kata orang, hidup ini sentiasa ada onak dan ranjaunya. Dia dicemburui manusia-manusia yang dengki pada dirinya. Fitnah sentiasa ditabur padanya, namun kesabarannya sampai ke kemuncaknya tatkala dia difitnah mencerobohi ke bilik Leha, seorang balu muda yang juga jirannya. Tekadnya dibulatkan untuk meletak jawatan kerana merasakan di kampong itu bukan tempat untuk dia berbakti dan perhitungan terakhir di gelanggang silat dengan awang sahak yang sudah awal-awal diputuskan oleh musuh-musuhnya tanpa diduga telah menjadi titik tolak yang merungkai sebuah sejarah. Sejarah yang cukup manis buat Oslan.

Perwatakan dalam Persinggahan begitu fokus. Oslan menguasai keseluruhan naratif ini dengan dibantu dengan cukup baik oleh watak-watak sampingan yang lain seperti ustaz Mansur, pendekar Saleh, lebai Dalib, nenek Odah, mak, Leha, Wan Derauf, Maimun, Sopiah, ustaz Karim, Jalil, pak uda Meon juga tidak ketinggalan Salikun, Matakib dan Amirudin. Sebagai peneraju utama watak Oslan ternyata dimanipulasi semaksimanya oleh penulis. Penggunaan lenggok bahasa yang mudah difahami biarpun cukup indah larasnya bagai mencantikkan lagi naskhah ini.

Plot cerita dibina dengan cukup kronologi dengan sedikit sisipan teknik imbasan kembali. Keindahan plot yang dicipta banyak membantu pergerakan cerita yang disampaikan penulis dalam merealisasikan mesejnya kepada pembaca. Saya cukup terbuai dengan susunan jalan cerita ini yang cukup cantik dipersembahkan penulis.

Dari saya, sekalung tahniah buat penulis untuk novel ketiga anda ini. Biarpun agak terlewat buat saya menghayati buah tangan anda yang hebat ini namun ia sedikit tidak akan menjejaskan kekaguman saya pada anda.Teruskan usaha, semoga terus cemerlang menghasilkan karya-karya hebat dan bermutu di masa hadapan buat tatapan, renungan dan pedoman buat kami semua, pencinta novel tanahair.

Buat pembaca, buat pencinta novel tanahair sesungguhnya banyak yang dapat dikutip, direnung dan difikirkan dalam naskhah kecil tapi padat dan mampat isinya ini. Persinggahan bukanlah sekadar sebuah naskhah, sebuah kisah yang hanya akan singgah di mata anda tetapi akan bersemadi kekal di minda anda.