Blogger Templates
Showing posts with label BuKu PriMa SdN BhD. Show all posts
Showing posts with label BuKu PriMa SdN BhD. Show all posts

Friday, March 4, 2011

BiaRkan Ia PerGi...


Tajuk Buku : Biarkan Ia Pergi
Penulis : Liza Nur
Penerbit : Buku Prima Sdn Bhd
Harga : RM19.90
Editor : Mohd Ali Haji Mohd Noor
Cetakan Ketiga : 2010
Genre : Romantik & Kekeluargaan
Bintang : 3.5

--------------------------------------------------
"biarkan derita yang menghambat jiwamu berlalu pergi. Bukalah pintu bahagia yang setia menanti menyambut kedatanganmu kesisi..."

Kata Kucc:
Tema perjuangan mendominasikan keseluruhan naratif penulis muda ini. Perjuangan yang saya kira diterjemahkan beliau menerusi rentetan perjalanan dan onak ranjau yang ditempuhi sekalian watak-watak yang dipotretkan dan dipaparkan didalam naskhah beliau ini. Biarkan Ia Pergi (BIP) mengangkat intipati perjuangan seorang wanita yang teraniaya dan tidak diberi peluang membela diri lalu bangkit demi sebuah kehidupan. Sebuah pemilihan tema yang baik dari segi olahan cerita dan mampu memberikan mesej yang baik kepada pembaca.

Plot memainkan peranan yang begitu penting didalam pembentukan sesebuah naratif yang baik dan berkesan. Persembahan sesebuah cerita atau naratif akan berjalan lancar, kemas, padat dan berkesan jika ia disunting dengan teliti dan sebaik-baiknya. Didalam pembinaan plot sesebuah naratif, konflik yang diangkat sebagai medan utama cerita perlulah padat dan tidak diganggu oleh sub plot konflik-konflik bersifat picisan. Ia harus dielakkan. Penciptaan konflik itu lumrah didalam setiap penulisan kreatif. Cuma yang membezakan hanya darjah kesukaran konflik yang dipaparkan dan kaedah penyelesaian berkesan yang dibentangkan penulis sebagai penamat debaran pembaca. Sekadar satu dua konflik yang diangkat didalam sesebuah naratif, itu sudah bagus kerana sesebuah karya semestinya mahu pembaca diberikan fokus didalam bacaan mereka namun jika terlalu banyak konflik yang dibentang, saya kira ini sudah tidak mencerminkan sebuah naskhah yang baik. BIP sewajarnya tidak perlu memasukkan terlalu banyak konflik yang diangkat menerusi tiap watak yang dicipta. Saya kira konflik Alissa +Zaquan Zachery+ Ameen Zaquan sudah cukup untuk mendominasikan plot. Tidak perlu ditambah dengan sub-sub plot iringan yang lain. Bacaan jadi sedikit berkecamuk. Saya merasakannya. Tumpuan bacaan sedikit terjejas. Saya kira penyunting naskhah ini kurang peka didalam meneliti persoalan ini. Kembangkan sahaja plot utama. Jangan terlalu ghairah mencipta sisi konflik kiri dan kanan sedangkan ia langsung tidak menjejaskan perjalanan cerita jika ia ditiadakan.

Saya seringkali menyatakan watak dan perwatakan adalah nadi utama sesebuah naratif. BIP membawa pembaca dengan rangkaian beberapa watak utama dan watak pembantu. Saya kira jika penulis peka didalam mencari nama watak-watak yang tidak keterlaluan darjah "kesukaran" menyebutnya pasti naskhah ini akan lebih berjaya dan berkesan. Pihak penyunting yang lebih arif dan berpengalaman didalam bidang penulisan kreatif seharusnya lebih teliti mengenai perkara ini dan perlu melihat bagaimana faktor ini akan sedikit sebanyak menganggu kosentrasi pembacaan. Tidak perlulah mengulangi nama watak itu sepenuhnya pada tiap adegan. Cukup sekadar nama pendek. Itu saya kira sudah memadai.

Alissa Othman graduan dari bumi kanggaro. Pemotretan wataknya bergerak, berkembang sedikit demi sedikit dan dijiwai dengan agak baik. Penjiwaan watak Alissa saya kira dipotretkan dengan baik oleh penulis. Setiap inci dukanya sampai kepada pembaca. Alissa adalah watak utama BIP dan wataknya diperkukuhkan dengan penglibatan watak-watak sampingan yang turut mewarnai naratif ini. Zaquan Zachery Antasya; hero BIP. Tergeliat sungguh lidah menyebut nama hero kacukan ini. Perwatakan Zaquan sederhana malahan saya kira sedikit gagal penulis didalam memaparkan penderitaan Zaquan sepanjang dia didalam proses menjejak dosa silamnya. Fara Zaliqa Arifsyam, Aidil Aqasha,Daniella Iswana, dan Elina Maisara adalah wajah-wajah konflik yang turut diangkat dan mewarnai naskhah ini.

Satu yang sangat jelas didalam BIP bila membicarakan perihal perwatakan didalamnya adalah klisenya penulis membahagikan dan mengkelaskan watak. Watak-watak yang mewakili golongan kaya, mewah dicop dengan nama-nama penuh glamour, panjang berjela manakala golongan kurang berharta diwqakili dengan watak yang mendukung nama-nama yang mudah-mudah sahaja. Sekadar menyebut Othman, Hajar, Pak Amin, Makcik Khadijah, Zubaidah, Siti adalah lambang watak yang mewakili golongan kurang berharta didalam BIP. Memang begitukah agaknya aturan kelas sosial masyarakat kita. Pasti penulis ada jawapannya.

BIP membawa kisah Alissa gadis miskin dari Perlis yang menuntut di Universiti Adelaide, Australia. Alissa yang polos dan tulus dicemburu secara diam oleh rakan serumah Fara kerana Fara menyintai teman lelaki Alissa. Tanpa diduga Alissa ditimpa musibbah. Musibbah yang memusnahkan masa depannya dan tambah malang teman lelakinya meningggalkannya tanpa dia sempat membela diri. Kepulangannya ke tanah air juga mengundah padah bila dia disahkan hamil. Dihalau dan dibuang keluarga kerana malu yang terpalit walau ia bukannya berpunca dari Alissa. Penganiayaan terhadapnya terbongkar lalu atas dasar tanggungjawab dan kesal dengan perlakuannya pada Alissa, gadis malang itu cuba dijejaki. Bukan mudah mencari tapak yang tidak berjejak namun Ameen Zaquan menjadi titik penamat pencarian.

Alunan gaya bahasa dan dialog didalam BIP ini sederhana dan banyak mengaplikasikan penggunaan bahasa biasa. Tiada banyak dipengaruhi oleh elemen melankolik. Metafora dan personifikasi juga tiada.

Didalam diari kehidupan, perjuangan untuk terus hidup itu adalah fardu yang dituntut. Berjuang demi sebuah kehidupan adalah dituntut. Dia tidak akan menimpakan ujian pada hambanya tanpa sebab tertentu. Putus asa itu sahabat yang harus dijauhi. Hanya yang berjaya didalam ujian-Nya akan mendapat kemenangan. Saya kira inilah mesej tersirat yang dirangkai penulis untuk renungan pembaca.

Buat penulis, anda berbakat besar. Teruskan berkarya dan moga cemerlang didalam arena penulisan kreatif ini.

Sunday, June 6, 2010

EniGma...


Tajuk Buku : Enigma
Penulis : Nasron Sira Rahim
Penerbit : Buku Prima Sdn Bhd
Harga : RM15.90
Cetakan Pertama : 2008
Genre : Thriller
Bintang : 4



---------------------------------------------------------------
"setiap dari kita punya rahsia silam tersendiri..."

Resensi Si Ungu:

Sulit dan sukar difahami. Itulah Enigma. Satu cetusan kisah bagaimana manusia ini adakala memang terlalu sulit dimengertikan, payah dibaca isihatinya dan sukar dijejak tindakannya. Tenang dipermukaan namun deras berkocak didasarnya. Siapa tahu bukan! Tema juga mesej penuh simbolik inilah yang dibawakan penulis buat titipannya kepada para pembaca. Awas, salah menduga, anda pasti terperangkap oleh mainan licik penulis berbakat ini. Ternyata naskhah kecil dan tidak mewah ini punyai nilai cerita yang begitu baik untuk diteladani kita semua. Pengisiannya penuh informasi yang berguna. Maklumat berhubung perihal saka, santau diterangkan dengan begitu baik sekali oleh penulis.

Plot naratif dipersembahan dengan berformatkan selangseli past and present dilengkapkan dengan latar masa pada setiap bab. Saya kira penulis memilih kaedah begini demi memberikan maklumat awal dan terperinci pada pembaca tentang latar dan kisah silam setiap watak yang dicipta. Masing-masing punyai sejarah diri tersendiri. Hitam dan putih.

Watak dan pewatakan dalam naratif ini seimbang peranannya. Razif, Syukri, Zilla, Rina, Aisyah juga Suria tidak ketinggalan Lokman diberikan fungsi dan mainan watak secara adil namun jika mahu dipilih, saya pilih Aisyah selalu hero naskhah ini. Saya sukakan cara penulis memprovokasi pembaca dengan cetusan mainan emosi nan mendebarkan untuk memaksa pembaca menuding jari mencari pesalah atau suspek didalam naskhah thriller ini.

Garapan bahasa sangat mudah. Tiada sebarang unsur bahasa melankolik atau unsur-unsur puitis diterapkan dalam naskhah ini. Ini tepat kerana corak penceritaan sebegini lebih sesuai mengaplikasi lenggok bahasa mudah dan biasa. Suntingan saya kira baik biarpun pada adegan tertentu ada sedikit menimbulkan persoalan.

Enigma membawa pembaca kepade ekspedisi 6 kakitangan dari sebuah syarikat ke Tasik Pedu. Dengan diiringi seorang jurupandu; Lokman yang dicadangkan resort tempat mereka menginap Razif, Syukri, Zilla, Rina, Aisyah juga Suria memasuki hutan Tasik Pedu. Ekspedisi yang disangka sekadar mengisi masa lapang rupa-rupanya mengundang padah. Kematian Razif yang tiba-tiba dan mengngerikan mengundang persoalan dikalangan anggota ekspedisi. Tuduh menuduh tidak kurang yang hilang arah dengan kematian Razif selaku ketua kumpulan. Kehilangan satu-satunya alat perhubungan mereka dengan dunia luar yakni telefon bimbit Syukri sangat misteri dan membingungkan semua. Tindakan mereka mencari jalan keluar menemui jalan buntu dan Lokman mengisytiharkan mereka sesat bila percubaan mereka keluar gagal dan perjalanan mereka membawa mereka semula ke tapak perkhemahan di mana Razif dibunuh!Keadaan makin gawat bila Zilla pula menjadi mangsa seterusnya dengan modus operandi yang sama seperti kematian Razif. Kehilangan Rina tambah menakutkan ahli yang tinggal. Lalu hanya tinggal Syukri, Aisyah juga Suria bersama Lokman yang masih menunggu bantuan tiba. Dan kemuncak kematian Syukri membongkar dalang disebalik tiap kejadian yang menimpa. Aisyah akhirnya menemui siapa pembunuh sebenar lalu dia terpaksa bertarung demi menyelamatkan nyawanya bila penemuannya itu berjaya dihidu si pembunuh!

Buat penulis, anda sangat kreatif dengan cetusan idea anda yang cukup unik dan tersendiri. Moga terus kreatif berkarya dan memperjuangkan genre yang anda mahir ini dengan sebaiknya.

Monday, February 8, 2010

SeHaruM CinTa LesTary...

TAJUK: SEHARUM CINTA LESTARY
PENULIS : RAMLAH RASHID
PENERBIT : BUKU PRIMA SDN BHD
CETAKAN PERTAMA : 2009
HARGA : RM19.90
GENRE : DRAMA
BINTANG : 4
---------------------------------------------------------------
“…cinta itu tidak berjarak waktu..lama atau singkatnya perkenalan tidak boleh menjadi kayu pengukur pada perasaan itu…”

Resensi Si Ungu

Momentum cinta itu seringkali diterjemahkan manusia dengan persepsi tersendiri. Luasnya makna cinta itu membuatkan manusia seringkali terperangkap dengan jajaran perasaan halus ini dan kesilapan menterjemahnya mungkin boleh mengheret orang yang tidak bersalah ke dalam ruang lingkup yang dibina atas pendapat peribadi tanpa merujuk dan memberi peluang untuk penjelasan diberikan. Tiada hukum yang mewajibkan seseorang itu perlu membalas perasaan kasih dan cinta pada orang yang mengasihi dan menyintainya. Namun, itulah manusia. Suka menjatuhkan hukum dan membuat undang-undang sendiri. Natijahnya akan menyebabkan banyak hati yang terluka, terseksa dalam diam. Penyelesaiannya adalah satu sahaja. Berterus terang, lafazkan sahaja apa yang tersirat dihati. Sifat kasihan tidak akan mampu menjadi penyelamat malah ia sebenarnya pemusnah dalam diam. Inilah intipati keseluruhan yang saya fikir cuba disampaikan penulis kepada khalayak pembaca. Galuran kisah cinta penuh onak yang digarap dengan cukup halus oleh penulis berpengalaman ini ternyata memberi impak yang tersendiri pada kalangan penggemar beliau.

Kisah yang dipersembahkan kali ini membawa pembaca kepada dimensi kisah cinta antara dua manusia dari dua benua yang berbeza sosio-budaya juga bangsa. Yang mengikat cuma mereka seagama. Lalu ia bukanlah penghalang kearah penyatuan itu namun kisah cinta akan lebih memberi makna bila ia dipolemikkan dengan pelbagai rintangan, halangan dan dugaan. Makin berliku laluan kisah cinta itu, makin tinggilah debaran pembaca. Nah, inilah jalinan kisah yang disalurkan penulis pada pembaca yang gemarkan cabaran. Lalu terhasillah sebuah naratif yang pada skala saya cukup baik persembahannya.

Saya lebih cenderung menjuruskan tema cerita yang diketengahkan penulis kreatif ini pada isu hubungan kekeluargaan secara total. Lalu isu ini diimplimentasikan oleh penulis kepada pembawaan watak-watak utama juga watak-watak sampingan yang diisi dengan pelbagai permasalahan diri dan keluarga yang saling berkait-rapat antara satu sama lain dan akhirnya tersimpul di penghujung cerita. Indahnya ia dinoktahkan penulis selepas pembaca berhempas-pulas dengan penuh keterujaan didalam mengikuti cerita ini dari awal hingga akhir. Sisipan unsur suspen agak baik didalam membentuk sebuah pola cerita yang tidak mendatar sahaja sifatnya.

Seharum Cinta Lestary (SCL) membawa kita menyusuri tentang kisah seorang gadis, Lestary Daud berdarah kacukan melayu-arab (Dubai) yang dilahirkan dan dibesarkan di Malaysia. Perkahwinan ibunya; Hanan Alaa dan ayahnya; Daud yang tidak direstui oleh nenek disebelah ayahnya; Wan Badariah membawa pada episod malang didalam hidup Lestary. Dia dan uminya sering disakiti secara mental oleh neneknya itu tapi semangat uminya yang sabar adalah tunjang kekuatan diri Lestary. Rasa sakit hati dan cemburu Wan Badariah akhirnya sampai ke kemuncak dan mencetuskan fitnah ke atas Hanan Alaa lalu dia diceraikan dengan talak tiga oleh suaminya. Lebih tragis dia mati ditembak suaminya itu. Dari rumah anak yatim dia dipelihara Mak Liah dan pak Hasnol seperti anak sendiri. Trauma demi trauma yang menimpa disaat usia yang masih hijau membuatkan Lestary membesar dengan satu persepsi kelam terhadap kehidupan berkeluarga. Nasib yang menimpa uminya sering menghantui dirinya lalu bila Razrim; adik pak Hasnol yang sudah dianggap seperti abang sendiri jatuh hati lalu melamarnya Lestary seakan terpaksa demi tidak mahu melukakan hati insan yang selama ini banyak menghulur kasih sayang disaat dia keseorangan. Kemunculan Dafiezuddin; ketuanya di pejabat yang seakan punya tarikan misteri mencetuskan perbalahan dalaman antara dua sahabat akrab; Razrim dan Dafiezuddin. Tanpa diduga rasa kasih yang mendalam pada Dafiezuddin rupa-rupanya terkandung sebab yang membawa kepada terbongkarnya rahsia kaitan antara mereka berdua.

Perwatakan dalam SCL cukup kuat dan selari dengan watak yang dipotretkan. Ternyata penulis ini cukup arif dalam kerja-kerja pemotretan watak-watak ciptaannya dalam naskhah ini. Lestary menguasai keseluruhan ruang naratif ini. Perjalanan watak gadis arab nan cantik mulus ini cukup indah dilakar penulis. Setiap pergolakan dalaman dirinya yang tertekan dengan peristiwa silam yang menimpa diterjemahkan dengan baik oleh penulis. Perwatakan Dafiezuddin dan Razrim saya kira seimbang. Kedua-dua hero ini ternyata sama hebat didalam memberi sokongan pada Lestary selaku peneraju utama. Dafiezuddin yang tenang, Razrim yang sedikit cemburu dipotretkan dengan sebaiknya. Watak Tania cukup memikat. Pergolakan perasaannya dipersembahkan dengan cukup baik . Rasa iri, takut akan kemunculan Lestary yang bakal menggugat dirinya disampaikan dengan baik sekali. Watak Hanan Alaa biarpun hanya sisipan namun cukup memberi kesan pada pembaca. Hanan adalah lambang wanita yang jitu semangat perjuangan dirinya dan kukuh rasa kasih dan setia pada suami tercinta hingga ke akhir hayat.

Penggunaan gaya bahasa dalam naskhah ini sangat sederhana namun ia bersesuaian dengan konsep cerita. Plot cerita dibina dengan cukup kronologi dengan sedikit sisipan teknik imbasan kembali. Keindahan plot yang dicipta banyak membantu pergerakan cerita yang disampaikan penulis dalam merealisasikan mesejnya kepada pembaca.

Buat penulis tahniah kerana melestarikan sebuah perjalanan kehidupan yang punyai banyak momentum untuk dijadikan renungan bersama.

Wednesday, January 20, 2010

StReet VenDeTTa...(amended version)


TAJUK BUKU : STREET VENDETTA
HASIL NUKILAN : ANITA ARUSZI
PENERBIT : BUKU PRIMA SDN BHD
HARGA : RM19.90
CETAKAN PERTAMA : 2009
GENRE : ROMANTIK & PRA KOMEDI
BINTANG : 3.5


----------------------------------------------------

‘..Cinta itu adakala sangat aneh..ada masam dan manisnya.’

Resensi Si Ungu:

Street Vendetta (SV) ; Ini percubaan pertama penulis untuk beralih ke genre yang berbeza dari stereotaip beliau yang sudah menjadi trademark dirinya dipasaran. Secara umum saya melihat kesungguhan beliau untuk mencabar diri mencuba genre baru ini namun secara khusus jika penulis mahu lagi menghasilkan karya yang berkonsepkan genre ini saya fikir beliau harus lebih peka kepada faktor-faktor yang menjadikan sesebuah karya tu komedi yang bersifat semulajadi…bukan yang dibuat-buat atau komedi plastik. Selain itu, struktur bahasa yang digunapakai juga nilai moral didalam sesebuah karya tidak harus diketepikan hanya kerana ia berkonsep humor dan santai. Setiap penulis ada tanggungjawab sosial mereka pada masyarakat khususnya pada khalayak yang membaca karya mereka. Jangan sesekali diabaikan perkara ini kerana sebuah karya itu bagai cerminan diri penulis itu sendiri.

Jika dinilai pada judulnya yang ada aura “brutal”, kita mungkin menyangkakan ia kisah berat namun apa yang tersembunyi disebalik naskhah berdurasi 636 halaman ini sebenarnya ringan sahaja. Kisah pertembungan perasaan uda dan dara yang akhirnya mengheret pada rangkaian kisah kehidupan manusia yang bermacam rencam. Seperti biasa penulis gemar sekali mengaplikasikan konflik dalaman sesebuah keluarga yang diselubungi elemen rahsia yang tersembunyi namun kali ini rahsianya bagaikan sudah dapat dijangka dari awal lagi…hilang sudah nilai thrillernya. Justeru itu saya tidak mahu meletakkan label thriller pada naskhah ini.

Plot cerita romantik selalunya tidak jauh berbeza antara satu sama lain. Pengemukaan tema pertentangan dan perebutan cinta yang kemudiannya dibina dengan penuh dramatik sekali untuk memagut perhatian pembaca. SV juga tidak terkecuali cuma ditambah dengan suntikan elemen humor yang bertujuan untuk lebih menyegarkan pembacaan. Jalinan plot digarap dengan baik oleh penulis. Hubungan antara satu kisah dengan kisah yang lain disulam erat bagi mengukuhkan lagi persembahan naratif ini. Tiada lompang yang terbentang yang mungkin menimbulkan persoalan pada pembaca. Ternyata pengalaman menjadikan penulis bijak membina sebuah garapan plot naratif yang mantap.

Bahasa santai, pertuturan harian yang diaplikasikan didalam naratif kali ini sememangnya bersesuaian dengan kisah yang dipaparkan. Seperti saya kata kan diawal tadi struktur bahasa perlu diambilberat biarkan konsep karya ini bersifat santai. Penggunaan perkataan yang saya fikir agak kasar bunyinya, keterlaluan maksudnya tidak sewajarnya ada didalam naratif ini. Boleh sahaja diganti dengan perkataan lain yang lebih molek didengar. Penulis dan editor saya kira perlu peka didalam perkara ini.Aspek ini seharusnya dititikberatkan kerana perlu diingat remaja adalah golongan terbesar khalayak pembaca negara ini dan kita pasti tidak mahu ia menjadi ikutan mereka nanti. Begitu juga aspek moral hubungan lelaki dan perempuan yang harus diambilkira. Jangan kerana leka ketawa kita terlupa akan persoalan ini.

Perwatakan cermin sesebuah karya. SV menampilkan Anabella Ibrahim gadis muda kuat berangan yang bukan-bukan, yang sakan bergaya walau harus papa kerana gengsi paling utama. Anabella yang tidak statik pendirian diawal kemunculan namun pantas sedar akan kesilapan diri lalu berubah mencari identiti diri. Pemotretan watak yang saya kira sangat baik dari penulis. Kojie @ Fakruzi/Feiruz Dato Abdullah si selekeh penarik kereta yang sederhana dan baik hati, dari keluarga mewah namun ego diri pantang mengalah walau dengan bapa sendiri, tinggal bersama bekas pembantu rumah keluarganya yang sudah dianggap seperti ibu sendiri. Fragmen Kojie hilang dan diganti Fakruzi yang beza bagai langit dan bumi cuma wajah sahaja tidak mungkin diubahganti.Pembentukan watak Kojie yang kurang gula itu lalu kemudian diganti Fakruzi yang bagai madu itu sangat cantik dilakar penulis. Furqan, Tumirah, Iqbal, Dian, Nora adalah watak-watak sokongan yang bagai melengkapi citra penulis.

Aspek suntingan dalam SV harus diberikan pujian apabila berjaya mengadunkan pergerakan cerita dengan tempo suntingan yang selari, tidak bercelaru yang akan menjejaskan perjalanan cerita.

SV membawa kita kepada satu insiden perbalahan yang menemukan Annabella Ibrahim @ Bella dan Kojie. Kojie yang ditugaskan menarik kereta Bella yang sudah berbulan tidak berbayar ansurannya tertipu dengan helah lucu Bella yang pelbagai. Bila mereka bertemu sahaja pasti ada yang tak kena. Percubaan seterusnya mengheret Kojie ke Cherating bila dia yang tertidur didalam kereta Bella yang mahu merancang mahu menggagalkan hubungan lelaki yang dicintainya sejak zaman sekolah; Iqbal bersama musuh tradisinya, Mira @Tumirah Kuncup. Plebagai insiden yang berlaku yang disini jugalah akhirnya Bella dan Kojie mula menyedari tentang wujudnya perasaan antara mereka. Kerana mengejar sebuah cinta kedua-duanya dapat merasai keserasian dan kesefahaman antara mereka. Kemuncak peristiwa di Cherating membawa kesimpulan pada Bella bahawasnya perasaan cinta yang dikejar itu sudah lama berlalu.Perpisahan antara Bella dan Kojie di Cherating mula membuahkan perasaan aneh pada Bella..mungkin rindu, mungkin cinta lalu bila muncul Fakruzi didepan mata yang punyai iras Kojie, Bella mula jadi keliru. Siapa Fakruzi sebenarnya, adakah dia sememangnya Kojie yang sengaja mahu balas dendam lalu cuba berlagak tidak mengenalinya.

Kepada penulis, tahniah atas percubaan pertama anda ini, Satu anjakan berani yang harus diberikan pujian.Moga akan lebih alert tentang beberapa perkara yang wajib tidak diabaikan didalam sesebuah naskhah. Selamat maju jaya untuk anda dan moga lebih cemerlang dimasa hadapan.

-------------------------------------------------------------

Saya ada kemusykilan : Tolong Jawap Anita.

1.
m/surat 109
“ ….semua orang di kg ini bertemu jodoh dgn pasangan masing2 sebab dialah, termasuk makcik…”

“ biar betul makcik” ujar Anabella melahirkan kekaguman.

2. m/surat 110
“….dgn guru inilah dia belajar membaca nasib seseorang melalui wajah…”
“…mana2 yg dicarikan jodohnya
pasti akan gembira dgn pilihan itu & hidup bahagia sehingga kini..

3. m/surat 200 & 201
“bagaimana kalau nenek kata
kamu & budak perempuan tu ada jodoh?”
“Kojie, kalau kamu benar2 sukakan Bella,
ikut cakap nenek ini, pergi balik ke KL dan ikut takdir kamu…”

4. m/surat 598 & 599
“kamu nak kata yang tilik aku ni silap?...”
“hairan..aku langsung tak nampak aura kematian dekat dengan kamu ni, kecuali kematian abang kamu..”
“tapi nenek cakap betul ni. Nenek tak nampak apa2 yang “mati” disekeliling kamu…”

Apa yang dapat saya simpulkan dari dialog-dialog yang disenaraikan diatas, semua ini adalah mengenai satu perkara yang sangat dilarang didalam islam ; ramalan masa depan. Ia adalah antara 7 dosa besar yang disebut didalam al-quran. Jika membaca sahaja ramalan masa depan (ramalan bintang/ziodak) sudah dikira berdosa apatah lagi mendengar lalu melahirkan kekaguman pula!,

Jika diselidiki dari segi watak nenek Telangkai ini, beliau jelas bukan golongan insan istimewa yang dianugerahkan Allah kebolehan melihat masa depan ( tidak perlu menuntut/berguru) lalu sangat terang perbuatan beliau ini sudah dikira bertentang dengan islam dan orang yang mempercayai kehebatan ilmunya itu sudah dikira syirik. Syirik kerana percaya ada kuasa lain yang dapat mengatur segala kejadian di mukabumi ni kecuali Dia yang satu!. Lalu dimana relevannya watak ini didalam SV jika kewujudan boleh menggugat akidah pembaca secara tidak disedari?.

Saya bukanlah ahli agama untuk meletakkan hukum atas sesuatu perbuatan tetapi berdasarkan apa yang saya tahu dari pengetahuan yang amat tipis ini frasa dialog-dialog diatas membawa subliminal mesej yang sangat jelas. Ia juga nanti seakan-akan menyokong apa yang dibawa didalam frasa tersebut, nauzubillah. Saya tidak berniat apa-apa, cuma apa saya yang tampilkan disini kemusykilan saya untuk penulis berikan maklumbalas. Alhamdulillah kalau penulis lakukan tanpa pengetahuan atau secara tidak sengaja. Sebagai muslim, kita dituntut saling menegur kerana pasti kita tidak ingin disoal di sana nanti, wallahualam.

Wednesday, January 13, 2010

AnDainya KukembaLi...


TAJUK BUKU : ANDAINYA KUKEMBALI
PENULIS : MIA KHAIDINA
PENERBIT : BUKU PRIMA SDN BHD
HARGA : RM17.90
CETAKAN PERTAMA : 2009
GENRE : DRAMA
BINTANG : 5



------------------------------------------------------
“Tanya pada diri sendiri, apa yang kau mahu. Dan apabila kau temui jawapannya, itulah yang kau perjuangkan. Jangan lakukan perkara yang membahagiakan orang lain tetapi membuat diri sendiri sengsara. Pengorbanan harus bertempat.”

Resensi Si Ungu

Sukarkah kalau bergelar perempuan yang sudah terlebih usia tapi masih memegang status anak dara?. Stigma masyarakat seringkali menidakkan hak golongan ini dan paling utama bukankah ini sebahagian dari qada’ dan qadar yang mungkin sudah tertulis buat empunya diri. Bukan dipinta begini namun siapalah kita untuk menolak takdir yang sudah tersurat di loh mahfuz. Adakala bila tekanan datang dari tiap dimensi hidup tanpa sedikit pun memberi ruang dan ikhsan pada empunya diri, tidak boleh tidak kebarangkalian tuan empunya diri ini silap percaturan di dalam membuat keputusan adalah tinggi. Inilah kisah, inilah fenomena kehidupan yang diangkat didalam naskhah terbaru penulis muda yang saya kagumi bakatnya.

Andainya Kukembali (AKK) mengangkat tema perjuangan. Perjuangan seorang wanita; Azlin Kamarulzaman yang pernah kalah di medan cinta setelah 8 tahun menyemai kasih membaja sayang. Dia bangkit mencari dan mahu memilih kehidupan baru yang terbaik buatnya. Kekalahan dahulu membuat dirinya makin kuat, semangat jiwanya makin kental didalam mengharungi cabaran. Namun jiwa yang kental, semangat yang kuat tewas juga dengan tekanan sekeliling. Harapan mak ayah tegakah dihancurkan?. Tegakah dia membelakangkan semua demi kepentingan dirinya semata-mata?.Inilah dilema yang dibentangkan penulis didalam naratif terbaru beliau ini. Naratif ini sesungguhnya sarat dengan kritikan sosial nan sinis iramanya terhadap masyarakat tatkala mendepangi situasi begini. Kenapa harus mendesak?, kenapa perlu melempar kata-kata sinis?, kenapa perlu gurauan kasar yang mengaibkan?. Kenapa perlu menekan? Memaksa secara halus? Tidakkah golongan sebegini punya hak untuk menentukan masa depannya sendiri?. Terlalu banyak teladan dan renungan buat semua yang dititipkan penulis untuk sama-sama kita hayati dan fikir-fikirkan.

Membuat keputusan tentang masa depan, tentang pasangan hidup sudah termeterai garis panduannya didalam islam. Sebagai hamba kita mampu merancang, pelaksana hanya yang maha Esa. Allah menguji dengan pelbagai cara. Kita dipertemukan dengan orang yang salah sebelum bertemu jodoh yang sudah ditetapkan sejak azali. Ibu bapa janganlah memaksa dan mendesak. Masyarakat pula janganlah sinis dan serong pada golongan seperti Azlin. Siapa yang mahu berkeadaan begini. Takdir dan hidayah bukan ditangan manusia, tapi Dia. Inilah saya kira rangkaian mesej-mesej tersirat dan tersurat yang ditinggalkan penulis untuk teladan pembaca.

Persembahan plot AKK bergerak pantas namun cukup kemas digarap. Kronologinya cantik digarap, flashbacknya sangat memikat dipenakan. Dari satu peristiwa ke peristiwa yang lain naratif dijalinkan dengan cukup baik, tiada lompang yang ditinggalkan yang mampu menggugat mood pembacaan. Kekemasan suntingan naskhah ini cemerlang ditangani editor juga penulis membuatkan persembahan kisah berjalan dengan cukup lancar dan teratur ritmanya biarpun berubah latar peristiwa dan masa. Lenggok bahasa penulis cukup santai, bersahaja, adakalanya cukup selamba tetapi gaya yang dipilih sangat menarik sekali . Tiada suntikan elemen yang melankolik juga bahasa bunga-bunga yang adakala melelahkan mata telinga namun naskhah ini tetap berupaya memukau dengan kekuatan isi dan perjalanan kisahnya yang cukup mengesankan. London dan Malaysia adalah latar utama yang menjadi medan cerita AKK, latar sisipan yang membawa pembaca ke daerah bergolak di Pakistan bagaikan cukup hidup sekali. Ternyata penulis bijak mengaplikasikan pengalamannya di bidang kewartawanan bagi memberikan satu gambaran sinematografi yang sangat hidup biar cuma dilayar kertas yang kaku.

Watak dan perwatakan adalah kunci kehebatan sesebuah naratif. Jatuh bangun sebuah cerita banyak bergantung kepada keberkesanan mereka menerajui cerita. Azlin Kamarulzaman, wanita 30 tahun, lulusan Leeds, United Kingdom. Sederhana cantik tapi punyai personaliti yang menarik, bijak dan ceria. Watak Azlin adalah tunjang utama naskhah ini. Azlin yang tegas, Azlin yang sabar, Azlin yang penyayang, Azlin yang yakin memilih agama dari hidup disamping dia yang tercintai tanpa berteraskan agama yang satu. Azlin lambang wanita moden dan berpelajaran. Biar hidup di benua yang punya perspektif yang negatif tentang islam namun dia masih teguh mempertahankan status diri sebagai gadis muslim. Saya sukakan semangat dan jiwa wanita Azlin. Saya sanjungi kasih sayangnya pada keluarga hingga tega membelakangkan bahagia untuk diri sendiri. Watak Azlin cukup cemerlang dipotretkan penulis. Perjuangannya memperolehi bahagia yang akhir muncul jua begitu menyentuh nurani. Marc Darcy @ Umar, peguam lulusan Leeds, kekasih Azlin selama 8 tahun di London, prejudis pada islam, keliru antara agama dan budaya lalu menjatuhkan hukuman islam tu menakutkan cemerlang dipenakan penulis. Wataknya yang penuh keliru, was-was berjaya dilayarkan dengan baik oleh penulis. Begitu juga kala dia sudah menjadi Umar, keteguhan iman diri dan kesungguhannya menebus kesilapan pada sang ratna hati yang jauh di seberang benua dilukiskan dengan indah sekali. Bak kata Umar “Allah pernah mengurniakan aku Azlin yang sempurna dahulu, tapi aku membuangnya jauh, justeru jika aku perlu kembali ketika keadaan kau sudah begini, aku sangat redha.”Amri, antagonis yang cemerlang ditangan penulis. Disebalik wajah yang sempurna, kerjaya yang mantap, tutur kata dan tingkah yang tertib siapa menduga dia rupanya jembalang tanah berwajah manusia. Sesak nafas kala mengingatkan watak yang satu ini. Jujurnya saya tidak puas hati penulis “melepaskan” dia begitu sahaja dipenghujung cerita. Hilang begitu sahaja. Perbuatan yang setara syaitan itu patut dibalas setimpal juga. Rasanya jika penulis ada perancangan mahu menyambung kisah ini pada bahagian kedua nanti saya pasti antara yang terawal akan membelinya. Pastikan Amri terhukum dengan pembalasan paling setimpal. Sakit sungguh hati saya dengan perbuatan “jantan keparat” ini. Asiah, Anita, Ahmad Syukri, Hanafi, Asma adalah rangkaian si watak pembantu yang membantu melengkapkan citra hebat ini.

AKK menjejaki seorang Azlin Kamarulzaman, PR di Royal London Hospital. gadis manis yang menghabiskan 8 tahun usianya berkelana di tanah Ratu. Saat kekasih hati; Marc Darcy masih enggan memberi kata putus tentang hala tuju hubungan mereka kerana berbeza pegangan agama, Azlin nekad berhenti kerja dan pulang ke Malaysia. Kecewa dengan sikap tidak bwersungguh Marc tentang hubungan mereka, Azlin melangkah keluar dari hubungan yang sudah 8 tahun terjalin itu. Marc yang nanar cuba mencari diri dan kebenaran dari lewat kata-kata Azlin dahulu. Di Malaysia Azlin bertukar angin memilih menjadi wartawan di syarikat Surat Khabar. Sikap yang ceria, pintar beserta pengalaman luar di bidang perhubungan awam tidak menyukarkan Azlin menyesuaikan diri dengan suasana baru. Perkenalan dengan Amri yang berlangsung secara tidak sengaja ketika bertugas membenihkan rasa cinta Amri tapi tidak Azlin. Amri bersungguh mahu memiliki Azlin. Azlin yang masih dibayangi cinta pertama sukar melupakan Marc. Marc terlalu istimewa buatnya. Kian hari, Amri kian melemaskan. Azlin cuba rasional, cuba memberi ruang pada diri mahu masa untuk lebih mengenali Amri namun desakan mak dan tekanan dari ayah membuatkan Azlin dalam dilema. Dorongan Anita dan Asiah membuat Azlin mahu membuka hatinya pada Amri. Di saat hampir diijab kabul, Azlin pilu bila dimaklumkan Marc sudah bertukar menjadi Umar. Umar mahukan Azlin, dihati Azlin juga begitu namun demi mak dan ayah dia berkorban… meneruskan perkahwinan dengan harapan yang tinggi, sayang sekali suami pilihan mak dan ayah rupanya bukan manusia, tapi syaitan!

Buat Mia Khaidina, Andainya Kukembali anda ini cukup hebat, bagus sekali..tahniah diatas kecemerlangan anda melayarkannya dengan cukup berkesan..semoga akan terus berjaya berkarya di masa hadapan.

Monday, August 10, 2009

Di HuJunG RanTinG...


Tajuk Buku : Di Hujung Ranting
Penulis : Indah Hairani
Penerbit : Buku Prima Sdn Bhd
Harga : RM19.90
Cetakan Pertama : 2009
Genre: Kekeluargaan
Bintang : 2.5


-----------------------------------------------------------------
“It takes years to build trust, and a few seconds to destroy it.It only takes a few seconds to hurt people you love and it takes years to heal.”

Resensi Si Ungu:

Saya mengeluh seusai menamatkan bacaan untuk naskhah ini. Saya cuba mencari kekuatan naskhah ini, sayangnya tidak saya temui. Maaf buat puan penulis. Dari kacamata saya yang kerdil ini, itulah yang dapat saya simpulkan. Secara umum saya akui idea penulis yang terlontar di dalam naskhah ketiga beliau ini baik namun kelemahan pengolahan keseluruhan naratif ini menjadikan ia kekurangan zat lalu menjadi sedikit kurang berkhasiat untuk disantap oleh minda.

Siapakah atau nasib siapakah yang Di Hujung Ranting?. Barangkali pasti ramai pembaca yang mungkin tertanya-tanya apakah makna yang tersirat dan cuba disimpulkan penulis disebalik tajuk naskhah beliau kali ini dan apakah perjalanan cerita yang cuba dipaparkan olehnya menerusi tajuk yang dipilih. Pendapat saya yang telah menamatkan bacaan pula cenderung merumuskan Di Hujung Ranting adalah terjemahan kepada kesudahan hidup watak utama naskhah ini; Mawardah.

Tema utama naskhah penulis kali ini mengangkat persoalan lelaki beristeri dua. Isu ini sebenarnya bukanlah baru dalam masyarakat khususnya orang melayu yang beragama islam namun apa yang cuba dipaparkan penulis adalah persoalan kemampuan suami berlaku dan bersifat adil terhadap kedua-duanya juga bagaimana sang isteri-isteri ini harus tahu hak mereka dan perlu berani mendapatkan hak tersebut. Maka dalam situasi begini seperti klise masyarakat melayu, penulis membabitkan isu ilmu hitam yang sinonim dengan wanita-wanita yang mengalami situasi ini. Seolah-olah pelajaran tinggi yang diperolehi tidak digunapakai untuk mengawalselia keadaan tapi cenderung ke arah perkara yang khurafat yang dianggap penyelesai masalah, begitu jengkelkah pemikiran wanita melayu, dimana akal nan waras diletakkan agaknya?.

Tiada jiwa yang mampu saya lihat terpancar pada watak-watak utama yang dibina penulis. Baik Mawardah, Amar juga Hakim. Ketiga-tiga mereka gagal menyentuh perasaan saya tatkala membacanya. Protaganis Mawardah terlalu meletihkan saya. Tiada semangat juang di dalam mempertahankan hak. Sifat beralah yang keterlaluan. Sedari awal wataknya sangat mendatar. Kosong, tiada jiwa. Sayangnya saya melihat antagonis watak pembantu Fatin Asyikin selaku isteri pertama lebih menonjol, lebih mengujakan lalu dia berupaya menenggelamkan kedua-dua watak utama; Mawardah, Hakim dan Amar. Watak Hakim sangat mengecewakan saya. Inikah gambaran lelaki yang hebat dipersada dunia perniagaan, punya harta melimpah ruah namun akal dangkal mengalahkan remaja yang baru kenal dunia. Saya merasakan penulis sedikit tidak berlaku adil di dalam menggambarkan watak Hakim. Perwatakannya tidak statik, tidak mencerminkan gambaran wataknya.

Penamatan naratif ini amat mengecewakan saya. Di mana rasionalnya Hakim sebagai suami bila berhadapan dengan isteri sekejam dan selicik Fatin. Apakah tindakan drastik yang tidak berperikemanusiaan Fatin mampu dimaafkan dengan tangisan sahaja hanya kerana dia telah mengaku bersalah. Di mana wibawa Hakim sebagai lelaki yang terdahulu melafaz janji berlaku adil?. Di mana hak Mawardah sebagai isteri yang dianiaya?, Saya tidak dapat melihat pengajaran yang cuba disampaikan penulis lewat naskhah ini.


Di Hujung Ranting membawa pembaca mengenali seorang Mawardah, gadis kampung anak yatim piatu yang diperlihara ibu saudara; Saerah. Mawardah yang disukai dalam diam oleh Adi, jirannya merangkap teman sejak kecil. Pertemuan tidak sengaja dengan Amar Dato Hashim di dalam satu kemalangan membina ikatan persahabatan antara kedua-duanya. Amar yang juga menaruh hati pada Mawardah namun terlewat melafazkannya bila Mawardah terlebih dahulu dipinang orang yang tanpa diketahui Amar adalah ibunya Datin Fatimah untuk abangnya Hakim, yang baru bercerai dengan isterinya Fatin. Demi wasiat juga hasrat arwah ibunya yang juga teman baik Datin Fatimah Mawardah akur dengan perancangan tersebut. Fatin yang mengetahui perkara tersebut menyusun pelbagai rancangan jahat dan helah demi mendapatkan Hakim semula. Dia berjaya walaupun tika itu Hakim sudah bergelar suami Mawardah. Dengan kelebihan sifat yang agresif, Fatin berjaya menakluk Hakim. Mawardah tidsak langsung mengetahui dia dimadu. Rahsia terbongkar bila dia ditemukan dengan tidak sengaja dengan Fatin tatkala berjumpa teman lama. Seluruh keluarga yang selama ini berdiam dengan rahsia perkahwinan semula Hakim dan Fatin cukup menyedihkan Mawardah. Dia rasa tertipu, walau Hakim akhirnya membuat penjelasan, luka yang sudah sedia ada makin parah jadinya. Bila Hakim membuat keputusan membawa Fatin bercuti keluar negeri demi kebaikan Fatin di saat Mawardah akan melahirkan memberi penjelasan siapa dirinya di mata Hakim dan keluarga mertuanya.

Plot naratif ini berjajaran kronologi. Jalan cerita dipersembahkan secara terus menerus. Teknik flashback ada juga digunapakai pada situasi tertentu. Laras bahasa yang diaplikasikan dalam naskhah ini bercampur-campur bersesuaian dengan situasi penceritaan.

Buat penulis, masih ada ruang untuk anda memperbaiki kekurangan pada mutu karya anda. Anda punyai bakat menulis yang baik dan mampu cemerlang jika digilap dengan baik. Memanipulasikanlah bakat yang dikurnia dengan sebaik mungkin. Banyakkan membaca dan belajar dari penulis-penulis senior yang tersohor. Semoga anda akan terus gigih menghasilkan karya-karya yang baik dan hebat di masa akan datang.

Tuesday, April 14, 2009

Ku InGin BersaMamu...


TAJUK BUKU : KUINGIN BERSAMAMU
PENULIS : DYZA AINUN
PENERBIT : BUKU PRIMA SDN BHD
HARGA : RM18.90
CETAKAN PERTAMA : 2009
GENRE : KASIH SAYANG & KEKELUARGAAN
BINTANG : 3 1/2



------------------------------------------------------------
The happiest of people don't necessarily have the best of everything; they just make the best of everything that comes their way."

Resensi Si Ungu:

Jika diimbau kembali, buku ini bukanlah yang pertama yang mengangkat kisah gadis gemuk yang kemudian di hujung cerita menjadi kurus dan cantik. Begitupun menariknya buah tangan kedua penulis dari negeri Darul Iman ini adalah pendekatan yang dibawa dan diaplikasikan kedalam naratifnya ini. Ia bukanlah sekadar bercerita tentang azam, semangat serta kegigihan seseorang didalam mencapai matlamat namun yang lebih utama adalah kaedah penceritaan yang digunapakai penulis nampak lebih segar, bersesuaian dengan mesej yang ingin disampaikan kepada pembaca. Lebih utama kaedah persembahan cerita tampak tidak membosankan. Ia menjelmakan idea yang segar dan menarik daripada kebanyakkan cerita yang berkonsepkan jalan cerita yang sama yang pernah kita baca sebelum ini.

Kuingin Bersamamu (KIB) yang merupakan naskhah kedua penulis selepas Lamaran Hati membawa tema yang baik untuk diasimilasikan dalam kehidupan . Dengan menggabungkan genre kasih sayang dan kekeluargaan, kisah yang digarap cukup hampir dengan kehidupan seharian kita. Penulis ternyata cukup peka, cukup arif dengan persekitaran kehidupan yang digambarkan beliau menerusi KIB ini. Saya kagum dengan perincian penulis di dalam naratif ini terutama ketika watak utama; Dida Qistina melalu proses menguruskan badan.

Dida Qistina dan Ziqree Hadiff adalah peneraju utama yang menjadi nadi kekuatan naskhah KIB ini. Penulis begitu teliti membina kedua-dua watak utama ini dan ternyata mereka sangat memberi pengaruh kepada persembahan cerita secara keseluruhan. Ia dibina dan diperhalusi penulis dengan cemerlang sekali. Dida Qistina semontel yang sentiasa ceria, kesayangan ibu bapa dan mempunyai sikap yang sangat mudah di dalam melihat kehidupannya. Dan kerana keterbukaannya dalam menerima keadaan diri tanpa sekelumit rasa rendah diri menjadi dia seorang yang begitu disenangi ramai.
Berlainan dengan Ziqree yang sangat mendendami perempuan kesan perbuatan bekas tunangan yang curang padanya, Ziqree digambarkan dengan baik sebagai lelaki yang mempunyai sikap berhati-hati dalam memilih teman hidup dan sifat awalnya yang agak pendiam agak kontra dengan Dida yang kecoh! . Satu percantuman watak yang sangat menarik dipersembahkan penulis. Sayang sedikit pembinaan watak pembantu utama yang antagonis, Syarifah Nur Ima kurang menonjol dan tidak cukup kuat dan berkesan didalam memberi impak kepada persembahan cerita. Saya fikir ini mungkin disebabkan penulis tidak mahu terlalu menonjolkan watak antagonisnya ini. Pembinaannya mungkin sekadar mewarnai naratif ini sahaja.

Hampir 95% plot naratif ini dibina berorientasikan jajaran kronologi. Pergerakkan plot yang selari dengan mood penceritaan telah menambahkan lagi keindahan warna KIB.
Penggunaan laras bahasa yang mudah yang kadangkala disulami frasa-frasa baru yang spontan sangat memberi kesan kepada mood pembacaan. Mesej penulis di dalam naratifnya ini bagi saya cukup baik didalam memberi penjelasan tentang amanah pada janji yang termeterai. Juga tentang keazaman dan kesungguhan di dalam melakukan sesuatu pasti mendapat ganjaran yang sewajarnya, insyaallah.

Buat penulis, sekalung tahniah atas persembahan anda yang sangat baik dalam Kuingin Bersamamu. Semoga akan terus menghasilkan karya-karya yang cemerlang di masa hadapan.

Sunday, April 5, 2009

CinTa kaU daN AkU...


Tajuk Buku : Cinta Kau dan Aku
Penulis : Siti Rosmizah
Penerbit : Buku Prima Sdn Bhd
Harga : RM19.90
Cetakan Pertama : 2009
Genre: Romantik
Bintang : 3


--------------------------------------------------------------

''terdorong kaki badan merasa, terdorong lidah jiwa merana...''

Resensi Si Ungu:

Pemikiran yang cuba disematkan penulis menerusi karya keduanya ini ternyata masih tidak berubah seperti naskhah beliau yang pertama; Andai Itu Takdirnya. Kisah kehidupan berumahtangga yang melibatkan 2 kelas sosial ;'pipit' dan 'enggang' yang digarap dengan rempah ratus kisah cinta yang cukup beremosi untuk mengundang airmata pembaca, yang begitu melampau darjah melankoliknya, naratif yang cukup klise di mata pembaca. Saya memikirkan sebagai penulis, Siti mungkin akan mencabar dirinya untuk menghasilkan sesuatu yang berlainan untuk karya beliau yang terbaru. Naskhah yang lebih mantap, yang lebih kuat tapi sangkaan saya meleset sama sekali. Karya ini bagaikan ulangan kerjanya yang lalu dan naskhah ini tidak mencapai piawaian yang saya harap-harapkan. Ia masih ditakuk yang lama. Sewajarnya penulis juga editor lebih teliti dan halus di dalam menterjemahkan naratif ini agar kerja seni ini tampak lebih menarik untuk dibicarakan.

Cinta Kau dan Aku(CKDA) menyelongkar kisah kehidupan seorang gadis lasak pintar; Nur Farisya Iman @ Risya yang mempunyai impian menjadi pemandu. Impian Risya tercapai bila dia ditawarkan jawatan pemandu peribadi pada seorang CEO muda; Farish Hakim. Pertemuan yang tidak disengajakan itu melahirkan cinta pandang pertama Farish pada Farisya. Hubungan yang makin akrab kerna keserasian Farish dengan sifat lurus , tulus juga keselambaan Risya makin melebarkan rasa kasih Farish pada Risya. Keuzuran yang menimpa ibu Risya di kampung dan huluran bantuan segera dari Farish telah membuka lembaran baru dalam kehidupan Risya bila dia diminta ibunya mengahwini Farish selepas selesai ibunya menjalani pembedahan. Risya yang terpaksa akur membuat rencana bersama rakan karibnya, Zack Kapcai dan Zamilah untuk mengelak dari berkahwin dengn Farish, namun rencananya terbongkar tanpa pengetahuannya dan selesai majlis ijabkabul dia dikejutkan dengan penampilan Farish sebagai suaminya!. Akur dengan suratan takdir, perkahwinan dilalui dengan redha namun sikap cemburu yang keterlaluan suami, ego, panas baran ditambah kemunculan adik ipar dan bekas tunangan suami memburukkan lagi suasana rumahtangga. Fitnah yang diatur kedua wanita itu akhirnya meleraikan ikatan perkahwinan yang baru berusia 5 bulan dan penceraian juga tragedi keguguran yang menimpa telahmembuka lembaran baru dalam hidup Farisya. Dia bangkit membina hidup baru.6 bulan berlalu, Farish kembali dan pertemuan secara tidak sengaja dengan bekas isteri akhirnya membawa kepada rentetan pembongkaran pakatan keji yang membawa kepada keruntuhan mahligai mereka dahulu. Farish yang insaf, sedar ingin kembali, namun Farisya yang sudah parah jiwa nya sudah tertutup pintu hati untuk memberi ruang untuk Farish kembali bertakhta.

Pembinaan perwatakan dalam CKDA bagi saya sangat rapuh. Watak Farisya walau dibina untuk meraih simpati pembaca sangat tidak statik. Watak dan perwatakan perlu selari bagi mengukuhkan peranannya didalam sesebuah naratif yang dibina penulis. Sayangnya saya tidak melihat ini pada watak Farisya yang diangkat sebagai teraju utama dalam CKDA. Farisya agak goyah perwatakankannya didalam sesetengah adegan/peristiwa. Jika sudah ditetapkan dia wanita lasak, berani, teguh pendirian maka ia perlu dibuktikan menerusi kemantapan perwatakan tersebut didalam jalan cerita. Begitu juga jika penulis mahu menggambarkan Farisya sebagai simbol insan yang bangkit kesan dari peristiwa pahit yang menimpa diri, membina azam maka penulis wajar memanipulasi watak Farisya kearah itu dan bukannya dengan mengkucar-kacirkan wataknya dengan peristiwa-peristiwa yang tidak langsung menyokong kekuatan pembinaan watak tersebut. Melihat pada watak dan perwatakan Farish, ia bagaikan ulangan pada watak dan perwatakan Syed Aizil; Andai Itu Takdirnya. Lelaki berkedudukan dan berpelajaran tinggi merangkap suami yang ego, panas baran, kaki pukul. Satu kesamaan yang tidak sewajarnya berlaku. Saya tidak pasti samada penulis mahu mencipta satu trademark dalam karya beliau dengan pembinaan watak-watak yang mempunyai sifat dan peribadi yang hampir sama. Saya lebih cenderung menyukai watak Zack Kapcai yang lebih kuat perwatakannya walau dia hanya dicipta sebagai watak pembantu sahaja. Watak antagonis Farah Haleeda dan Suraya tidak langsung ’menakutkan’. Kedua-dua watak hitam ini sangat klise sifatnya. Pembaca bagai boleh membaca pergerakan mereka. Tiada langsung debaran.

Plot naratif ini berjajaran kronologi. Jalan cerita dipersembahkan secara terus menerus. Teknik flashback ada digunapakai di dalam perjalanan cerita tapi cuma sedikit sahaja. Laras bahasa yang diaplikasikan penulis didalam naskhah ini adalah bahasa pertuturan biasa. Ringkas dan mudah difahami.

Mesej penulis di dalam naskhah ini sedikit kabur walaupun secara dasar saya berpendapat penulis sebenarnya ingin menyampaikan tentang perilaku manusia yang adakalanya tika bertindak tidak menggunakan akal waras tapi lebih terdorong oleh tolakan dan hasutan emosi yang bakal menjerumuskan diri sendiri jika tidak bijak mengendalikannya. Manusia juga mudah lupa satu perkara, dalam berkata-kata, biarlah berpada-pada, gunalah akal tika berbicara kerna terlajak kata dan perbuatan, maka kesannya cukup besar pada kehidupan insan itu sendiri.

Buku adalah lakaran masa hadapan generasi muda negara. Ia menjadi platform penulis menyalurkan wadah penaan mereka untuk tatapan dan pengetahuan masyarakat pembaca khususnya pada generasi muda yang membentuk komposisi terbesar khalayak pembaca khususnya genre penulisan kreatif. Justeru, penulis mempunyai tanggungjawab sosial yang cukup besar di dalam menjalankan peranannya menyalurkan karya-karya yang dapat memberi inspirasi, membentuk jatidiri yang mantap juga membina sahsiah diri yang positif. Janganlah dimomokkan mereka dengan naskhah-naskhah yang tidak membina.

Buat penulis, masih ada ruang untuk anda memperbaiki lompang-lompang kekurangan pada mutu karya anda. Anda punyai bakat yang baik dan mampu cemerlang jika digilap dengan baik. Memanipulasikanlah bakat yang ada dengan sebaik mungkin. Banyakkan membaca dan belajar dari penulis-penulis senior yang tersohor. Lontarkan idea hebat yang dapat mengukuhkan industri penulisan kreatif ini agar tidak dipandang sebagai kolam lambakan karya-karya pop @ picisan berstatus rendah. Semoga anda maju jaya dan akan terus gigih berusaha menghasilkan karya-karya yang baik dan hebat di masa akan datang.

Wednesday, March 18, 2009

CinTa SeJaTi...


TAJUK BUKU : CINTA SEJATI
PENULIS : AZRA ARYRIESA
PENERBIT : BUKU PRIMA SDN BHD
HARGA : RM16.90
CETAKAN PERTAMA : 2009
GENRE : DRAMA & ROMANTIK
BINTANG : 4

---------------------------------------------------------

“ cinta sejati adalah cinta yang hanya hadir sekali seumur hidup. Cinta sejati itu datang dari hati yang ikhlas dan suci. Ianya lahir tanpa dipaksa-paksa. Dan cinta itu akan kekal utuh selama-lamanya biar apa jua yang berlaku…”

Resensi Si Ungu

Saya melihat Cinta Sejati (CS) sebagai sebuah persembahan yang cukup baik dari seorang penulis yang baru pertama kali saya tatapi karyanya. Menerusi ruang kacamatanya yang cukup berseni, beliau mencoretkan falsafah cinta dari sudut pandangan peribadinya yang kemudian diterjemahkan menerusi watak-watak yang dicipta dalam naskhah sulungnya ini.

Tema cinta sudah acapkali kita temui dan bukanlah baru di mata para penggemar novel tempatan namun istimewanya CS di tangan Azra Aryriesa adalah cara penulis ini melontarkan ideanya dengan kaedah persembahan keseluruhan cerita yang cukup menarik dengan laras bahasa yang indah dan estetika sekali lenggoknya yang ternyata cukup merencahkan cerita ini hingga kita terbuai tanpa menyedari kita sudah sampai ke penghujung cerita.

Latar cerita yang menggunakan 2 lokasi sebagai latar cerita nampak sangat menarik. Dubai dan Melaka menjadi perantaraan penulis mencoretkan kisah manusia-manusia yang terperangkap dengan perasaan yang gagal diluah kesan dari pengalaman silam, tekanan sekeliling juga pengaruh dalaman diri mereka sendiri yang menjejaskan kemampuan untuk membuat keputusan.

Watak dan perwatakan seringkali menjadi kunci kehebatan sesebuah cerita. Jatuh bangun sebuah kisah banyak bergantung kepada keberkesanan mereka menerajui cerita. Dr. Zarif, Zara, Tengku Yashmaan, Mia Maisarah, adalah penggerak utama CS dan watak mereka sangat berjaya persembahkan sang penulis ini. 4 wajah, 4 kisah yang berbeza tapi terkait antara satu sama lain. Tidak ketinggalan Intan, Iskandar juga Laila dan Anas yang membantu mewarnai lagi catatan falsafah cinta dalam naratif sang penulis ini. Zarif dan Zara pasangan suami isteri yang berkahwin atas permintaan keluarga demi keeratan hubungan dua keluarga. Ketidakpastian tentang perasaan masing-masing kerana tidak merasakan wujud rasa cinta antara mereka mendorong mereka membuat perjanjian berpisah demi memahami perasaan terhadap satu sama lain. Yashmaan yang dihimpit rasa kesal dan bersalah terhadap dosa pada Mia tidak berupaya memadam ingatan pada gadis yang pernah dirosakkannya biarpun menyedari Mia tidak akan mampu dimiliki lagi kerana telah menjadi milik orang lain. 7 tahun menjadi simbol pengesahan perasaan antara mereka ber empat. Dan takdir membawa mereka bersatu semula… atas dasar cinta. Saya amat menyukai watak Dr Zarif yang begitu dalam rasa cinta dan kasih pada sang isteri yang akhirnya menjadikan dia seorang yang berani untuk berterus terang tentang rasa cinta itu. Cinta yang sekian lama cuba dinafikan, tapi kuasa-Nya yang menganugerahkan rasa itu tidak akan mampu disingkirkan oleh kita manusia.

Plot cerita berkembang dengan cukup tersusun, segar biarpun tidak berkonsepkan kronologi. Saya sangat sukakan persembahan plot CS ini. Ia dibina untuk mengujakan pembaca agar berada dalam situasi yang tidak sabar untuk mengetahui kisah seterusnya tanpa sedikitpun menjejaskan tumpuan pembacaan. Plot diteliti dengan sebaik mungkin dengan mengambil kira mood dan sensitiviti pembaca.

Mesej CS ini cukup jelas. Hargai sesuatu itu bila ia masih di depan mata, kala terlepas, hanya takdir yang menentukan samada ia akan kembali kita miliki atau tidak. Setiap apa yang tersurat ada hikmahnya. Yang kita fikirkan baik, tidak semestinya baik buat kita, begitu juga sebaliknya. Hanya Dia yang maha mengetahui.

Buat Azra Aryriesa...anda cukup berbakat dan bagus sekali..tahniah diatas kecemerlangan anda melayarkan falsafah cinta anda menerusi Cinta Sejati dengan cukup berkesan sekali...semoga akan terus cemerlang berkarya di masa hadapan.

Buat rakan pembaca di luar sana...falsafah cinta dalam naskhah ini cukup menarik untuk dihayati. Banyak yang dapat anda kutip disepanjang kisah ini, memilikinya tidak akan sia-sia kerana ia cukup bagus dan berhak berada dikelompok karya-karya berstatus 4 Bintang anda yang lain.

Wednesday, February 4, 2009

TiDak Ku pinTa


Tajuk Buku : Tidak Ku Pinta
Penulis : Kamsiah Abu
Penerbit : Buku Prima Sdn Bhd
Harga : RM16.90
Cetakan Pertama : 2009
Genre : Romantik
Bintang : 3 1/2


----------------------------------------------------------------
“..Love has no relation to price, rarity, or age - J. Cotton ..”
* * * * * * * *
Resensi Si Ungu
Tema dari naskhah terbaru penulis ini bukanlah sesuatu yang luar biasa atau pelik kerana kisah cinta yang berbeza usia, darjat juga kedudukan sosial sudah kerap kita tatap sebelum ini pada naskhah penulis-penulis lain. Perbezaan mungkin kita lihat dari pengolahan, jalan cerita juga kaedah ia dipersembahkan.

Tidak Ku Pinta(TKP) merupakan karya ketiga penulis ini selepas Menggamit Syurga Firdaus dan Terpenjara di Kamar Sutera dan yang pertama bersama Buku Prima. Ia menyusuri pola kehidupan seorang Eksekutif Muda berusia 26 tahun, Nur Seri Haryati. Haryati, seorang graduan lulusan luar negara yang lengkap pakejnya namun kerana dirantai peristiwa hitam ketika menuntut dahulu dia seakan tidak percaya pada cinta lelaki muda lalu kehadiran dan perhatian majikannya, Dato’ Johari berjaya membuka hatinya untuk menerima ketuanya itu sebagai teman hidup. Walaupun rancangan perkahwinan mereka awalnya ditentang hebat oleh anak-anak Dato’ Johari juga ibu saudara Haryati namun ia dapat dileraikan dan mereka akhirnya dapat bersatu.

Konflik hubungan mereka bermula bila anak sulung Dato’ Johari; Ahmad Kamal Nazrin pulang ke tanah air. Tidak terduga oleh Nazrin bahawa ibu tirinya adalah sebenarnya kekasih lamanya sendiri yang telah lama menghilang dan gagal dijejaki. Saya sebenarnya agak kecewa bila konflik ini ditamatkan dengan cukup singkat menerusi penciptaan kemalangan yang menimpa Nazrin/Kamal. Lebih cantik jika penulis dapat menjadikan suasana perebutan anak-bapa lebih dramatik agar kita bisa menyelami pendirian Haryati berhubung pilihan hatinya.

Plot cerita berkembang baik dan tersusun dengan cukup baik. Persembahan plot TKP diselenggara dengan kemas sekali. Plot diteliti dengan sebaik mungkin dengan mengambil kira mood pembaca.

Dari satu sudut lain, saya cukup tertarik dengan isu mahram berhubung taraf juga status perkahwinan Haryati dan Dato’ Johari bila ia melibatkan hubungan intim satu waktu dahulu antara Haryati dan Nazrin/Kamal (anak Dato’ Johari) yang dikemukakan penulis. Satu sisipan maklumat yang cukup berguna dibentangkan penulis buat pembaca sebagai panduan yang cukup berguna. Satu penjelasan yang cukup bermanafaat dari penulis, syabas!.

Saya ingin menyentuh sedikit perihal penggunaan dialog yang agak keterlaluan dalam menggambarkan keintiman, keromantisan hubungan Haryati dan Dato’ Johari terutama sebelum mereka berkahwin. Sedikit memualkan dengan penggunaan ayat-ayat yang keterlaluan begitu kerana hubungan Haryati dan Dato’ Johari seharusnya dipertontonkan dengan cukup berhemah bersesuaian dengan latar pendidikan dan kedudukan sosial mereka. Meminjam kata-kata seorang teman yang terdahulu menatap naskhah ini “ tersekat air liur akak kat kerongkong .. ‘’Tidak perlulah ayat-ayat sebegini untuk menggambarkan perasaan kecintaan seorang insan pada insan yang lain lebih-lebih lagi bila melibatkan watak yang digambarkan matang ,bijak juga disegani. Bahasa tubuh yang baik sudah cukup dan memadai bagi saya.

Buat penulis, maaf jika ada ayat-ayat dalam ulasan saya ini menyentuh atau mengguris perasaan anda, saya sekadar meluahkan pandangan peribadi terhadap naskhah ini ...semoga anda akan terus giat dan cemerlang berkarya di masa hadapan.

Sunday, November 23, 2008

KaLa HuJan MeNiTis


TAJUK BUKU : KALA HUJAN MENITIS
PENULIS : MIA KHAIDINA
PENERBIT : BUKU PRIMA SDN BHD
HARGA : RM17.90
CETAKAN PERTAMA : 2008
GENRE : DRAMA & ROMANTIK
* * * * * * *
“…love will leads the way if she really belong to you…”

“…sudah berapa lama kau berkurung dalam bilik?Sudah berapa lama kau hanya pergi kuliah dan terus berkurung dalam bilik. Sudah berapa lama kau tak jumpa kawan-kawan lain? Kau ni apa hal? Jiwang karat!. ”

“Cerita apa? Cerita awak gigolo belaan? Lelaki simpanan?...”
-------------------------------------------------------------------------------------------------------
RESENSI SI UNGU:
Kala Hujan Menitis (KHM) sebuah persembahan yang cukup baik dari penulis yang baru pertama kali saya tatapi karyanya. Menerusi ruang kacamatanya yang cukup hebat, beliau menurunkan pena mencoret sebuah kisah, sebuah tragedi yang sudah acapkali kita baca dan harungi ceritanya dalam masyarakat. Kisah hitam yang maha jijik namun tidak sekelumitpun memualkan para pengamalnya.

Tema sebegini bukanlah baru di mata para penggemar novel tempatan namun istimewanya KHM di tangan Mia Khaidina adalah cara persembahan keseluruhan cerita yang cukup menarik dengan kesan-kesan khas yang ternyata cukup merencahkan cerita ini hingga kita terbuai tanpa menyedari kita sudah sampai ke penghujung cerita.

Watak dan perwatakan seringkali menjadi kunci kehebatan sesebuah cerita. Jatuh bangun sebuah kisah banyak bergantung kepada keberkesanan mereka menerajui cerita. Nadia, Khairil, Ahmad Danial, Tan Sri Borhan & Puan Seri Aishah adalah penggerak utama KHM dan mereka sangat berjaya ditangani penulis. 5 wajah, 5 kisah yang berbeza tapi tersimpul antara satu sama lain…

Nadia a.k.a Nad – tunangan Khairil yg terperangkap dengan muslihat Ahmad Danial lantas terjebak dengan dunia pura-pura Ahmad Danial, menjadi pertukaran sebuah urusan perniagaan yang membawa dirinya bergelar isteri kedua Tan Sri Borhan…si tua kutuk yang layak bergelar bapa pada Nadia.

Khairil a.k.a Kay - tunangan Nadia yang kecewa dengan ikatan yang terputus, hilang arah, tersasar haluan hidup lantas terjebak dengan dunia gigolo dan mengikat diri menjadi lelaki simpanan seorang isteri kenamaan bergelar Puan Seri…Puan Seri Aishah/Aish, isteri pertama Tan Sri Borhan yang tiba-tiba jatuh hati padanya dan tega melakukan apa sahaja untuk memilki dirinya..milik yang mutlak.

Ahmad Danial – teman rapat Nad dan Kay yang tega mengkianati kawan..hanya kerna irihati…menjerumuskan Nad yang tidak bersalah, mempermainkan hati dan perasaan Nad yang ikhlas… akhirnya memakan diri sendiri.

Tan Sri Borhan – “pakcik” tua yang sudah biasa dengan maksiat…namun di tangan Nadia, akhirnya dia bergelar insan.

Puan Seri Aishah/ Aish – si tua 60an yang tidak pernah puas dengan kurnia yang ada, tidak ada istilah bersyukur dalam dirinya…namun terlupa Dia lah yang maha segala-galanya, bukan wang, bukan jua dukun Suparman.

Plot cerita berkembangan dengan cukup tersusun, segar biarpun tidak berkonsepkan kronologi. Saya sangat sukakan persembahan plot KHM ini. Ia dibina untuk mengujakan pembaca agar berada dalam situasi yang tidak sabar untuk mengetahui kisah seterusnya tanpa sedikitpun menjejaskan tumpuan pembacaan. Plot diteliti dengan sebaik mungkin dengan mengambil kira mood dan sensitiviti pembaca.

Dia yang maha ar-Ghafur, maha ar-Rahman dan ar-Rahim.. Justeru itu peluang kedua sentiasa ada dan terbuka pada setiap hamba-Nya yang insaf, bertaubat dan sungguh-sungguh ingin berubah. Inilah mesej yang terkandung di sebalik naskhah sang penulis berbakat ini. Setiap yang terjadi, setiap yang terbentang di depan mata, ada hikmah yang tersirat...maka bijaklah menbuat perhitungan, baik dan buruk bukan takdir tapi kita sendiri yang memilihnya.

Buat Mia Khaidina...anda cukup hebat, bagus sekali..tahniah diatas kecemerlangan anda melayarkan Kala Hujan Menitis dengan cukup berkesan sekali...semoga akan terus berjaya berkarya di masa hadapan.

Buat rakan pembaca di luar sana...ada banyak yang dapat anda kutip disepanjang kisah ini, memilikinya tidak akan sia-sia kerna ia cukup bagus dan berhak berada dikelompok karya-karya berstatus 4 Bintang anda yang lain.