Tajuk Buku : Di Hujung Ranting
Penulis : Indah Hairani
Penerbit : Buku Prima Sdn Bhd
Harga : RM19.90
Cetakan Pertama : 2009
Genre: Kekeluargaan
Bintang : 2.5
-----------------------------------------------------------------
“It takes years to build trust, and a few seconds to destroy it.It only takes a few seconds to hurt people you love and it takes years to heal.”
Resensi Si Ungu:
Saya mengeluh seusai menamatkan bacaan untuk naskhah ini. Saya cuba mencari kekuatan naskhah ini, sayangnya tidak saya temui. Maaf buat puan penulis. Dari kacamata saya yang kerdil ini, itulah yang dapat saya simpulkan. Secara umum saya akui idea penulis yang terlontar di dalam naskhah ketiga beliau ini baik namun kelemahan pengolahan keseluruhan naratif ini menjadikan ia kekurangan zat lalu menjadi sedikit kurang berkhasiat untuk disantap oleh minda.
Siapakah atau nasib siapakah yang Di Hujung Ranting?. Barangkali pasti ramai pembaca yang mungkin tertanya-tanya apakah makna yang tersirat dan cuba disimpulkan penulis disebalik tajuk naskhah beliau kali ini dan apakah perjalanan cerita yang cuba dipaparkan olehnya menerusi tajuk yang dipilih. Pendapat saya yang telah menamatkan bacaan pula cenderung merumuskan Di Hujung Ranting adalah terjemahan kepada kesudahan hidup watak utama naskhah ini; Mawardah.
Tema utama naskhah penulis kali ini mengangkat persoalan lelaki beristeri dua. Isu ini sebenarnya bukanlah baru dalam masyarakat khususnya orang melayu yang beragama islam namun apa yang cuba dipaparkan penulis adalah persoalan kemampuan suami berlaku dan bersifat adil terhadap kedua-duanya juga bagaimana sang isteri-isteri ini harus tahu hak mereka dan perlu berani mendapatkan hak tersebut. Maka dalam situasi begini seperti klise masyarakat melayu, penulis membabitkan isu ilmu hitam yang sinonim dengan wanita-wanita yang mengalami situasi ini. Seolah-olah pelajaran tinggi yang diperolehi tidak digunapakai untuk mengawalselia keadaan tapi cenderung ke arah perkara yang khurafat yang dianggap penyelesai masalah, begitu jengkelkah pemikiran wanita melayu, dimana akal nan waras diletakkan agaknya?.
Tiada jiwa yang mampu saya lihat terpancar pada watak-watak utama yang dibina penulis. Baik Mawardah, Amar juga Hakim. Ketiga-tiga mereka gagal menyentuh perasaan saya tatkala membacanya. Protaganis Mawardah terlalu meletihkan saya. Tiada semangat juang di dalam mempertahankan hak. Sifat beralah yang keterlaluan. Sedari awal wataknya sangat mendatar. Kosong, tiada jiwa. Sayangnya saya melihat antagonis watak pembantu Fatin Asyikin selaku isteri pertama lebih menonjol, lebih mengujakan lalu dia berupaya menenggelamkan kedua-dua watak utama; Mawardah, Hakim dan Amar. Watak Hakim sangat mengecewakan saya. Inikah gambaran lelaki yang hebat dipersada dunia perniagaan, punya harta melimpah ruah namun akal dangkal mengalahkan remaja yang baru kenal dunia. Saya merasakan penulis sedikit tidak berlaku adil di dalam menggambarkan watak Hakim. Perwatakannya tidak statik, tidak mencerminkan gambaran wataknya.
Penamatan naratif ini amat mengecewakan saya. Di mana rasionalnya Hakim sebagai suami bila berhadapan dengan isteri sekejam dan selicik Fatin. Apakah tindakan drastik yang tidak berperikemanusiaan Fatin mampu dimaafkan dengan tangisan sahaja hanya kerana dia telah mengaku bersalah. Di mana wibawa Hakim sebagai lelaki yang terdahulu melafaz janji berlaku adil?. Di mana hak Mawardah sebagai isteri yang dianiaya?, Saya tidak dapat melihat pengajaran yang cuba disampaikan penulis lewat naskhah ini.
Di Hujung Ranting membawa pembaca mengenali seorang Mawardah, gadis kampung anak yatim piatu yang diperlihara ibu saudara; Saerah. Mawardah yang disukai dalam diam oleh Adi, jirannya merangkap teman sejak kecil. Pertemuan tidak sengaja dengan Amar Dato Hashim di dalam satu kemalangan membina ikatan persahabatan antara kedua-duanya. Amar yang juga menaruh hati pada Mawardah namun terlewat melafazkannya bila Mawardah terlebih dahulu dipinang orang yang tanpa diketahui Amar adalah ibunya Datin Fatimah untuk abangnya Hakim, yang baru bercerai dengan isterinya Fatin. Demi wasiat juga hasrat arwah ibunya yang juga teman baik Datin Fatimah Mawardah akur dengan perancangan tersebut. Fatin yang mengetahui perkara tersebut menyusun pelbagai rancangan jahat dan helah demi mendapatkan Hakim semula. Dia berjaya walaupun tika itu Hakim sudah bergelar suami Mawardah. Dengan kelebihan sifat yang agresif, Fatin berjaya menakluk Hakim. Mawardah tidsak langsung mengetahui dia dimadu. Rahsia terbongkar bila dia ditemukan dengan tidak sengaja dengan Fatin tatkala berjumpa teman lama. Seluruh keluarga yang selama ini berdiam dengan rahsia perkahwinan semula Hakim dan Fatin cukup menyedihkan Mawardah. Dia rasa tertipu, walau Hakim akhirnya membuat penjelasan, luka yang sudah sedia ada makin parah jadinya. Bila Hakim membuat keputusan membawa Fatin bercuti keluar negeri demi kebaikan Fatin di saat Mawardah akan melahirkan memberi penjelasan siapa dirinya di mata Hakim dan keluarga mertuanya.
Plot naratif ini berjajaran kronologi. Jalan cerita dipersembahkan secara terus menerus. Teknik flashback ada juga digunapakai pada situasi tertentu. Laras bahasa yang diaplikasikan dalam naskhah ini bercampur-campur bersesuaian dengan situasi penceritaan.
Buat penulis, masih ada ruang untuk anda memperbaiki kekurangan pada mutu karya anda. Anda punyai bakat menulis yang baik dan mampu cemerlang jika digilap dengan baik. Memanipulasikanlah bakat yang dikurnia dengan sebaik mungkin. Banyakkan membaca dan belajar dari penulis-penulis senior yang tersohor. Semoga anda akan terus gigih menghasilkan karya-karya yang baik dan hebat di masa akan datang.
