Blogger Templates

Monday, May 9, 2011

LanGsiR BiJi ReMia...


Nama Buku : Langsir Biji Remia
Penulis : Noor Suraya
Penerbit : JS Adiwarna
Harga : RM17.00
Cetakan Pertama : 2011
Editor : Mohd Rosdi Mohd Zin
Genre : Kekeluargaan
Bintang : 5

---------------------------------------------------
"apa yang saya hendak kata ini, tak perlu tulis. Sudah ada dalam hati, lama sudah."

Kata Kucc:

Membaca dan menikmati hasil karya adalah dua perkara yang berbeza. Membaca secara biasa hanyalah sekadar memerhati dan memahamkan apa yang tertulis pada lembar kertas. Sementara menikmati hasil sesuatu karya ialah membaca secara memahamkan makna naskhah berkenaan dengan penuh perasaan dan membuat kesimpulan tentang isi karya yang dibaca. Dan bagi saya, sesuatu yang merugikan jika karya penulis ini sekadar dibaca sahaja oleh para pembaca tanpa mahu menikmati hasil karyanya. Terlalu banyak yang dapat dikutip setiap kali kita menikmati karya penulis hebat ini. Segala yang dizahirkan begitu dalam maknanya untuk kita renungkan didalam kehidupan seharian.

Sastera itu adab persuratan,
Pelbagai makna serta tafsiran,
Namun bakat serta indah penulisan,
Tentang Tuhan, makhluk-Nya dan pemikiran. (petikan pidato SN ke 10)



Karya terbaharu penulis; Langsir Biji Remia(LBR) sekali lagi mengangkat tema kehidupan didalam skop yang begitu indah tafsirannya. Setiap sisi karya ini biarpun diolah dengan mood santai tetapi penulis seperti biasa tidak akan pernah gagal memanfaatkan kuasa pena beliau didalam menyalurkan pemikiran tentang metafora kehidupan untuk dikongsi bersama para pembaca. Menerusi watak utamanya Duha Hafa, naratif ini menggarap makna kasih sayang dan hubungkaitnya didalam kehidupan manusia juga masyarakat. Duha Hafa selaku subjek utama diadun penuh indah didalam versi yang tersendiri. Indah dan cantik Duha Hafa perlu dihayati dan difahami. Mesej penulis biarpun bersulamkan personifikasi, saya kira jika anda sudah biasa dengan karya beliau tidak sukar menjejaknya.


Plot sesebuah karya adalah cermin jiwa dan perasaan seseorang pengarang dalam apa juga keadaan. Saya rasa kenyataan ini tepat. Menghayatinya bagaikan kita mendalami hati budi pengarang itu sendiri yang terpancar cahayanya didalam karya tersebut. LBR tidak terkecuali. Jiwa dan rasa penulis dicurahkan sepenuhnya kala dia bercerita didalam naskhah ini. Lihat sahaja sebagai contoh perjalanan watak Duha Hafa dan babahnya; prof Hud ke tanah suci untuk mengerjakan umrah. Pengalaman penulis ke sana saya kira digunakan sepenuhnya didalam menzahirkan perasaan mengerjakan ibadah tersebut kepada pembaca. Indah dan tertib penceritaan penulis pada bab-bab ini berjaya membuatkan pembaca bagaikan merasa turut berada disana. Biarpun plot linear dan imbas kembali saling beriringan, perjalanan LBR ternyata lancar sahaja tanpa sebarang komplikasi yang memungkinkan mood pembaca terganggu. Suntingan yang baik, teliti adalah antara faktor kejayaan ini.

Persuratan itu mengandungi ilmu,
Juga mendidik tiadalah jemu,
Mutiara kata dapat ditemu,
Yang indah-indah dan merdu turut diramu.
(petikan pidato SN ke 10)

Bila memperkatakan tentang bahasa dan penggunaan sistem juga peraturannya didalam naratif ini, maka kesimpulannya mudah sahaja. Tiada apa yang perlu diperkata. Bahasa dan segala hukum juga susunaturnya adalah dunia penulis ini. Beliau orang bahasa maka apa yang ditemui didalam LBR ini adalah jalinan bait-bait yang memukau. Lihat sahaja bait yang ini;
"kalaulah hati ini memang sebatang pena, tintanya tentulah daripada pelangi tujuh warna". Sisipan Doa Duha saya kira antara yang paling indah dititipkan penulis buat pembaca. Saya tidak akan menulisnya disini. Bagi yang mahu menghayati keindahan doa ini dan bahasanya, maka sila dapatkan LBR ye.


Perwatakan LBR memberikan satu jalinan rasa yang begitu berkesan. Penulis hebat didalam mencipta, membangun dan menggerakkan tiap watak agar peranan mereka tidak kira besar atau kecil, utama atau sampingan memberikan persembahan yang mantap agar diri mereka akan diingati pembaca sampai bila-bila. Bukan setakat berhenti disini sahaja. Habis baca, maka hilanglah bayang mereka.


Duha Hafa Hud. Si pemilik mata cantik sayu persis unta dipadang pasir. Si cantik berdarah Melayu-Gujerati yang lahir kala renyai menimpa bumi diwaktu duha. Si cantik yang diduga hidupnya didalam satu kejadian lalu berselindung disebalik purdah demi menyembunyikan. Cantik itu dinilai dari mata hati dan Duha Hafa, dia tetap cantik dengan hati yang luhur. Perwatakan utama LBR garapan penulis ini cukup mempersona sekali. Sisi pilunya kala dilagukan penulis begitu menyentuh hati. Duha yang bangkit dari persembunyian teliti sekali dipenakan penulis. Duha yang bersemangat baru, Duha yang lebih redha, Duha yang tenang. Semuanya dipotretkan dengan cemerlang.


Ahmad Muhsin Hj Amiruddin. Si peguam syarie ini punya aura yang tersendiri. Watak ini walau tidak banyak ceritanya didalam LBR namun kemunculannya yang sedikit itu terlalu besar maknanya. Perwatakan Ahmad Muhsin buat kita sedar diri. Buat kita bersyukur. Bilah kata-katanya penuh bermakna. Ahmad Muhsin lambang lelaki yang melihat keindahan itu dengan mata hati dan tidak mudah terpesona dengan kilauan kaca. Duha Hafa dan Ahmad Muhsin adalah mesej penulis bahawasanya manusia itu tidak sempurna.



Umair Johan. Akauntan berpangkat penolong pengarah ini sukakan kecantikan dan kesempurnaan. Melihat kesempurnaan itu satu kemestian tanpa memikirkan manusia itu tiada yang sempurna selain Dia. Perwatakan Umair yang memikat diawal namun mengundang benci dipertengahan cerita dan menerbitkan rasa kasihan pembaca padanya dipenghujung kisah dijalin denga baik sekali oleh penulis. Hebatnya penulis mempermainkan pembaca. Namun itulah mesejnya. Jangan mudah terpesona pada lelaki sebegini. Umair ini ramai diluar sana.



Prof Hud, Puan Taslima, Dadi juga Tok begitu mewarnai LBR. Biar sekadar pembantu, merekalah pelengkap yang tambah mengindahkan LBR. Watak-watak begitu hidup dimata.

Aduhai, kemunculan Ain Najwa dan Nik Adam bagai ditunggu-tunggu sekian lama. Sedihnya membaca kisah mereka bertiga. Cameonya bagai penamat Kebun Mimpi yang tergantung. Maka tahulah kita apa yang sudah terjadi pada pasangan ini.

Bakat dan karya ada tanggungjawab,
Berbuat di dunia balasannya di alam baqa,
Diingatkan Allah menjadi khalifah-Nya,
Bantu membimbing umat manusia. (petikan pidato SN ke 10)


LBR menyusuri kisah dua insan yang bersahabat sejak kanak-kanak. Duha Hafa dan Umair Johan. Persahabatan mereka yang mula terjalin dari bicara dijendela membibitkan rasa indah dihati Umair terhadap Duha. Umair suka pada Duha! dan rasa itu dia semai hingga ia mekar. 10 tahun berlalu, Umair masih teguh rasa sukanya pada Duha. Tidak sedikit berubah. Melihat Duha yang tidak seperti dahulu, jiwa Umair jadi tidak keruan. Duha harus didekati...mesti! Umair tidak tahu sepanjang 10 tahun ketiadaannya, si buah hati masa kecilnya itu sudah tiada. Dia bukan Duha yang dahulu. Dia Duha yang sudah berubah. Perubahan yang terselindung disebalik purdahnya!

Penulis sebenarnya bukan sekadar mencipta ceritera semata-mata bersandarkan bakat yang dianugerah atau yang digilap. Lebih dari itu, penulis juga ada tanggungjawab kepada pembaca menerusi karya yang dicipta. Penulis ini saya kagumi kerana beliau adalah antara penulis yang tidak pernah lupa tanggungjawabnya kala berkarya. Sejak dahulu karya-karya beliau penuh ilmu dan pengisian berguna. Langsir Biji Remia meneruskan kecemerlangan legasi beliau didalam melaksanakan tanggungjawabnya sesama manusia. Moga usaha beliau ini yang disandarkan daripada bakat istimewa anugerah dari-Nya ini akan sentiasa diberkati. Insyaallah.


Buat penulis yang saya panggil kaksu, sekalung tahniah untuk sebuah lagi naskhah hebat dari anda yang begitu saya kagumi sejak dahulu. Moga-moga kaksu akan terus berkarya demi mendidik anak bangsa untuk menghargai dan menggagumi hasil seni sastera kreatif tanahair.


Psst : Kaksu, kisah Ain dan Nik Adam dah ada penamat, kisah Kamal bila nak buat, hehehe...

Monday, May 2, 2011

PBAKL2011 - 23 ApRiL n 1 Mei 2011




Bersama Kak Yah (Mariah), Abang Imaen dan Kaksu. Cuba tengok senyum abang Imaen, macam si manis 17 kan...ahaaks




Bagpack Geng Kicap untuk PBAKL2011. BiG TQ utk DD, Kak Ju'a & Kay sbb usahakan projek ni. Terima kasih geng...sayang korang!!!

set e-Qalam ni beli utk hadiah harijadi mak. Alhamdulillah tercapai juga niat nak beli utk mak.


Novel-Novel Jemari Seni...

Novel2 CESB...


Novel-novel PTS yang dibeli...


Novel dari Alaf dan Buku Prima yang dibeli...