Blogger Templates

Friday, December 24, 2010

Novel Terbaik Terbitan Tahun 2010 - Pilihan Kucc

Masa ada guru yang terbaik. Itu dari kacamata saya. Orang lain mungkin berbeza pendapat. Masa juga menjadi teman serta pengkritik setia. Dari masa, banyak yang saya pelajari. Baik dan buruk tentang tabiat diri sendiri. Tabiat membeli dan membaca novel khususnya. Saya sudah makin memilih. Tidak akan membeli sembrono sahaja seperti masa-masa dahulu. Saya mahu tiap sen yang saya laburkan atas pembelian itu mesti memberi "pulangan yang menguntungkan" kepada saya selaku pembaca. Saya perlu selektif demi mencapai kepuasan diri.

Bila bercakap pasal novel terbaik terbitan tahun ini, saya punya penanda aras sendiri didalam memilih karya-karya terbaik dari sudut penilaian saya. Pemilihan saya ini tidak memberi fokus pada genre tertentu tetapi berdasarkan pada ciri-ciri penting yang mengangkat karya tersebut menjadi berbeza dan istimewa dimata saya berbanding yang lain-lain.

1. Tema, persoalan dan isu yang diangkat sebagai nadi cerita;

2. Mesej serta pengajaran berguna yang disisipkan sebagai tauladan pada pembaca;

3. Garapan serta jalinan plot yang mantap dan teknik suntingan yang cemerlang lalu membentuk jalan cerita yang begitu tersusun lalu menghasilkan sebuah persembahan yang cemerlang;

4.Olahan dan pemilihan gaya bahasa yang sesuai dengan naratif dan yang paling penting;

5.Pendukungan watak-watak yang cukup kuat, tersendiri didalam memberi nyawa pada naratif yang dicipta. Watak-watak yang longgar tidak akan memberi impak yang berkesan kepada pembaca. Paling ditakuti perwatakan yang goyah, tidak statik, tiada arah tuju dan tidak ada unsur baik yang dibawa akan menyebabkan kegagalan sesebuah naratif itu sendiri. Sebaliknya watak yang cemerlang dipotretkan dan mantap dari segi "lakonannya" akan mampu memberi jiwa pada naratif berkenaan dan ia akan sentiasa diingati pembaca.

Rangkuman kesemua elemen diatas ini adalah ciri penting yang membezakan antara karya yang baik dan yang tidak. Karya yang baik adalah karya yang mampu membuat pembaca berfikir dan bermuhasabah diri menerusi nilai-nilai yang dipaparkan. Ia bukan semata-mata berfungsi sebagai alat untuk menghiburkan pembaca sahaja!

Penulis yang baik bagi saya adalah penulis yang bukan sekadar melontar idea dan berkongsi cerita mereka namun lebih dari itu dia perlu tahu tanggungjawab sosialnya pada masyarakat khusus kepada khalayak pembaca. Jika penulis punya kesedaran sedemikian maka tidak wujudlah istilah penulis syok sendiri.

Tahun 2010 sudah sampai penghujungnya. Dan sebagai penutup tirai, inilah senarai novel-novel terbaik terbitan 2010 yang menjadi pilihan saya. Inilah karya best of the best yang menjadi pilihan saya.

1. Versus - Hlovate, Jemari Seni Publishing.

2. Seikat kembang Merah - Imaen, Jemari Seni Publishing.

3. Melur Bunga Ivy - Nazurah Aishah, Jemari Seni Publishing.

4. Nama Atas Kertas - Nasron Sira Rahim, Jemari Seni Publishing.

5. Warna- Nazurah Aishah, Rynsa, Nasz, Jemari Seni Publishing.

6. Damai - Saidatul Safaa, Noor Suraya, Syud, Jemari Seni Publishing.

7. Bidadari Hujan - Nur Azzahra, Jemari Seni Publishing.

8. Menunggu Cinta Tuhan - Lily Haslina Nasir, PTS.

9. Cinta Sufi - Ramlee Awang Mursyid, Alaf 21.

10. Aku kan novelis - Nurul Syahida, Buku Prima.

Thursday, December 23, 2010

Masih Setia.


Nama Buku : Masih Setia
Penulis : Aisya Sofea
Penerbit : Alaf 21
Harga : RM19.90
Cetakan Pertama : 2010

Genre : Romantik
Bintang : 3

--------------------------------------------------

"bila yang dikasih kepunyaan orang, adakah masih menggantung harap?..."

Kata Kucc:

Seusai menamatkan bacaan, saya tertanya-tanya..dimana hilangnya sentuhan majika penulis terkenal ini. Mungkin harapan saya terhadap karya terbaharu beliau setinggi awan. Sungguh, saya kecewa dengan naskhah ini. Jika tidak kerana kupasan adat minangkabau yang cukup indah dan jika tidak kerana paparan tragedi gempa bumi di Padang yang meruntun jiwa, saya kira naskhah ini telah gagal jika ingin bersandarkan pada kekuatan kisah hero heroinnya semata-mata. Inilah kesimpulan saya.

Perwatakan adalah tiang seri sesebuah cerita dan kekuatan mereka adalah kunci kejayaan naratif penulis dan ternyata kedua-dua tunjang utama naratif ini begitu mengecewakan. Miera dan Dr Malik Zikri sungguh mengecewakan saya. Tapi apalah daya pembaca. Bukankah jodoh pertemuan ajal dan maut watak-watak sesebuah naratif ditangan penulis penentunya. Watak dan perwatakan Miera tidak statik. Adakala dia utuh berdiri dengan prinsip diri namun dalam sekelip mata dia boleh berubah. Chameleon ke Miera ni? Goyah potret wataknya. Saya kira inilah kelemahan yang seperti diabaikan penulis. Jika mahu dibandingkan dengan heroin-heroin beliau yang terdahulu memanglah tidak adil, tapi Miera lah saya kira heroin penulis yang paling gagal dimata saya.

Dr Malik Zikri. Personalitinya berbalam-balam. Sekejap begini, sekejap begitu. Paling sukar saya terima dia sanggup curang dibelakang tunangan yang sangat dicintainya sepenuh hati! Apa relevannnya dengan fakta watak yang dia contoh lelaki yang sesuai untuk dijadikan ketua keluarga dan tidak tinggal solat tapi berkelakuan sedemikian rupa. Bermain mata dengan gadis lain kala diri sudah bergelar tunangan orang, sanggup pula mengajak gadis lain bertemu janji di tempat agar tidak dilihat tunangan. Teruknya perangai! Saya kira inilah watak utama yang paling gagal direalisasikan penulis sebaiknya agar menjadi contoh pada pembaca. Jika benar Dr Malik sudah jatuh cinta pada Miera, maka sewajarnya sebagai lelaki budiman berterus terang dengan tunangan itu. Jadilah lelaki sejati. Tapi, maaflah jika saya katakan sikap Dr Malik yang ini jelas menunjukkan dia seorang yang mementingkan diri sendiri. Di mata saya, watak Rudi seribu kali lebih berjaya menawan hati dengan personaliti, gaya perwatakan juga pengajaran yang dibawa oleh Rudi pada pembaca. Klisenya watak antagonis Maisarah sudah seperti boleh dihidu dari awal.

Sisipan bahasa minang yang diutarakan penulis sangat memikat terutama didalam menerangkan tentang adat minangkabau. Elemen gaya bahasa romantis sedikit tidak menjadi. Maaf, tapi inilah saya rasakan. Tidak seperti naskhah-naskhah awal penulis. Langsung tidak melekat dihati..lalu mana mungkin akan tersangkut dijiwa!

Tema dan persoalan kekeluargaan juga kemanusiaan yang diangkat penulis saya kira baik terutamanya perihal isu kemanusiaan yang mengangkat perihal gempa bumi di Padang sebagai subjek utama. Sangat menyentuh hati. Mesej penulis saya kira jelas dan mudah dilihat dan difahami pembaca. Jodoh pertemuan ditangan tuhan. Bukanlah Dia sudah menetapkan bahawasanya perempuan yang baik itu adalah untuk lelaki yang baik. Begitu juga sebaliknya.

Plot berkronologi yang hampir seratus peratus bergaris linear. Bergerak lancar. Tiada lompangan yang boleh menjejaskan pembacaan. Suntingan naratif juga kemas.

Pada yang belum membaca naskhah terbaharu penulis terkenal ini, bacalah. Nilailah sendiri. Jangan sesekali terpengaruh dengan pandangan saya. Bak kata seseorang yang saya kutip frasa ayatnya "don't judge a book by the review's but judge it only when you've read it." Selamat membaca!

Monday, December 6, 2010

3 campur 1 = Satu


Tajuk Buku : 3 Campur 1= Satu
Penulis : Ana Farhana
Penerbit : Jemari Seni Publishing
Harga : RM19.00
Cetakan Pertama : 2010
Genre : Kekeluargaan
Bintang : 3.5


--------------------------------------------------
"sayang adik timang-timangkan, kalau dah tak larat nak timang, kejap lagi dia tangankanlah..."

Kata Kucc:

Naratif ini kaya dengan elemen kasih sayang. Naratif ini sarat dengan nilai kekeluargaan yang amat menyentuh perasaan biarpun dipersembahkan dengan nada yang cukup selamba. Naratif ini mengheret pembaca mendalami dan memahami erti sebuah ikatan yang disimpulkan atas nama adik-beradik. Inilah tema yang menunjangi naratif yang diberi judul comel tapi penuh makna tersirat. Kasih sayang antara keluarga ibarat air yang dicincang. Tiada tarikh luput. Tiada sempadan. Deminya segala sanggup dilakukan. Inilah mesej yang saya kira cuba disampaikan penulis pada khalayak pembaca.

Plot cerita cukup mudah digarap. Tiada yang menyukarkan perjalanan pembaca menyelusuri kisah yang dipenakan penulis. Suntingan yang baik memberikan satu kelebihan pada sesuatu naskhah agar tidak menyulitkan pembaca memahami isi cerita dan pada naskhah ini ia telah dilakukan dengan cukup baik. Flashback yang diselitkan punya makna tersirat demi merungkai sebuah persoalan yang telah menjadi antara sub plot didalam naratif ini dan ternyata ia dijalin dengan baik demi menyampaikan maksud tersebut pada pembaca.

Gaya bahasa yang digunapakai sememangnya seratus peratus gaya pertuturan muda-mudi semasa. Jangan ditanya elemen personifikasi jauh sekali unsur metafora..takkan berjumpa!Saya sedikit tidak gemar bahasa-bahasa sapaan yang digunakan didalam naratif ini terutama bila ia membabitkan dialog antara watak-watak utama; adik beradik along, angah, acik dan Rin. Terus terang saya kira ia sedikit "kurang manis" dan tidak sesuai diaplikasikan kerana penggunaan "aku" dan "kau" tidak manis digunakan bila kita berbicara dengan insan yang lebih tua dari kita lebih-lebih lagi dikalangan anggota keluarga.

Perwatakan didalam naratif ini semudah gerak persembahannya. Selamba potret tiap wataknya yang menunjangi naskhah ini. Rin @ Khairina si adik bongsu yang bekerja di kaunter pejabat pos menjadi kesayangan tiga abangnya yang bertindak sebagai pelindung dan melindungi dirinya demi amanah dari ibu dan ayah. Perwatakan Rinn cukup baik dilayarkan penulis baik dari segi luaran mahupun dalaman. Konflik emosi yang melanda Rin disebabkan tragedi silam nan hitam cukup baik dipotretkan penulis dan saya kira penulis berjaya membawa pembaca menyelami hati kecil Rin juga gelora yang melanda dirinya. Along, Angah juga Acik baik ditangani penulis didalam menggambarkan keutuhan hubungan antara mereka berempat. Saya kagum pada nilai kasih sayang antara mereka berempat. Tidak nampak seperti dibuat-buat. Ia begitu semulajadi. Hakimi tidak kurang juga memberi sumbangan yang menghidupkan naratif ini biarpun wataknya cukup terbatas.

Buat penulis, tahniah untuk sebuah persembahan yang cukup baik dari anda. Kasih sayang Along, Angah,Acik dan Rin anda cukup istimewa dimata saya. Moga akan terus mencoret jutaan kasih sayang yang pelbagai genre untuk tatapan para pembaca.

Thursday, November 18, 2010

Warna


Tajuk Buku : Warna
Penulis : Nazurah Aishah, Rnysa & Nasz
Penerbit : Jemari Seni Publishing
Harga : RM21.50
Cetakan Pertama : 2010
Genre : Cinta & Kekeluargaan
Bintang : 4.5

-----------------------------------------------------------
Kata Kucc:

Warna I: Bukan Dipaksa oleh Nazurah Aishah


“ kabut ungu di hatiku tanda luka itu tidak pernah sembuh…”

Mengenali karya-karya Nazurah sejak dari naskhah awal beliau;Lili Buat Najah saya melihat beliau semakin kemas didalam melahirkan naratif-naratf berat lagi beremosi. Ada jiwa dan roh didalam jalinan penceritaannya. Menyerap ke seluruh pelusuk jiwa.


Kali ini Nazurah mempersembahkan sebuah drama kehidupan yang cukup menyentuh jiwa. Sebuah lakaran kehidupan manusia yang cuba sembunyi dari kenyataan dan takdir. Beliau menterjemahkannya menerusi kemelut sebuah perkahwinan rahsia yang dibina atas dasar cinta tapi perkahwinan tanpa restu pastinya akan dilanda masalah.Itulah harga yang perlu dibayar. Paling sedih, jiwa insan kecil yang tidak berdosa juga terpaksa menerima natijah akibat kerakusan dendam manusia yang tiada sempadan.

Bertemakan cinta & kekeluargaan yang digarap dengan cukup melankolik, penuh emosi Nazurah ternyata semakin hebat memperlihatkan kemahirannya didalam mewarnakan karya beliau. Naskhah ini mendukung tema cinta uda dan dara seperti karya-karya terdahulu beliau namun memberikan suntikan berbeza didalam kita melihat makna kehidupan dan perkahwinan. Perkahwinan yang dimulai dengan hubungan cinta tapi mendapat tentangan juga tiada restu bisakah berkekalan? Mesej penulis saya kira jelas. Dendam tidak akan membawa manusia kemana-mana. Tiap yang tertulis oleh-Nya pasti ada hikmah didalam kehidupan seseorang manusia. Percayalah. Yakinlah.

Plot kronologi mendominasikan keseluruhan perjalanan naratif ini. Sisipan teknik flashback ada juga diselitkan sama demi menguatkan lagi jalan cerita. Sangat kemas digarap, begitu juga suntingannya yang cukup teratur. Perwatakan dua nadi utama Bukan Dipaksa; Ayu Nardine Zahiyyah dan Affan Hakeem sangat serasi diganding. Nazurah cukup berjaya mengemosikan kedua-dua mereka di dalam meladeni kemelut perkahwinan mereka berdua yang awal-awal lagi terputus akibat tekanan Hajah Normah; ibu Affan yang sedari awal mendendami keluarga isterinya itu kerna sebuah janji silam yang tidak tertunai. Setiap pergerakan, dialog sangat menyentuh naluri . Nazurah berjaya membuai perasaan pembaca didalam menyusuri dilemma dan onak yang terpaksa dihadapi pasangan muda ini. Watak antagonis Hajah Normah tidak begitu diserlahkan hanya sekadar pemberitahuan didalam penceritaan oleh watak utama sahaja. Gaya bahasa yang diterapkan Nazuarh dalam naskhah beliau ini cukup melankolik sekali lenggoknya bersesuaian dengan corak persembahan naratifnya. Keseluruhan naratif ini cukup mantap cuma penamat cerita yang saya kira agak terburu-buru sedikit mengurangkan keindahan naskhah yang cukup berkesan ini.

Buat penulis muda berbakat besar ini tahniah untuk naratif terbaru anda. Buat pembaca juga pengemar penulis ini, lihatkan kematangan beliau membuai jiwa anda didalam Bukan Dipaksa.

* * * * * * *

Warna II: Hikari Ainori oleh Rnysa

“cinta pandang pertama…the love ride of hikari ”

Sudah begitu lama tidak membaca nukilan Rnysa dan kemunculan cahaya baru ini bagai serakan warna salju yang mendamaikan jiwa. Hikari Ainori; perjalanan kisah insan-insan yang mencari diri, mencari identiti yang hilang, mencari jalan hidup dipersembahkan penulis dengan begitu indah sekali. Saya sukakan kisah ini. Dengan isi yang cukup berat, penulis berjaya menyampaikannya dengan kaedah paling mudah dan santai. Pembaca seolah-olah sama-sama menyusuri pencarian diri yang diangkat sebagai tema naratif hebat ini.

Kisah cinta yang dilayarkan penulis di dalam naratifnya kali ini bukanlah cinta yang biasa namun cinta yang lebih simbolik. Persoalan cinta pertama terjemahan penulis kali ini memperlihatkan dimensi perasaan cinta seorang lelaki pada wanita yang kekal bertakhta disanubari. Biar dipisah jarak dan masa, rasa cinta itu tetap tidak pernah hilang ditelan arus waktu. Kekal kejap dihati dan jiwa.

Plot naratif ini konsisten pergerakannya dari mula hingga ke akhir cerita. Persembahan yang sangat cemerlang ini juga disumbangkan oleh susunan teknik olahan dan suntingan yang cukup teliti yang membuatkan pembacaan tidak terganggu. Gaya bahasa biasa yang diaplikasi penulis begitu sederhana namun tetap cantik dan tersendiri.

Perwatakan di dalam Hikari Ainori memfokuskan pada beberapa watak utama; Hazelina, Rafique, Umar Rayyan dan Adriena Ayuni. Watak Hazelina @ Hazel dibangunkan dengan cukup berhati-hati bersesuaian dengan latar diri watak yang sedang mencari diri. Hazel cantik ditangani penulis. Potret watak ini cukup mencuri perhatian. Kewajaan dirinyadidalam menangani hubungannya bersama Rafique begitu memikat. Rafique bukan hero pilihan saya. Sikapnya memang dari awal sangat menjengkelkan. Penulis begitu berjaya mewarnakan watak Rafique sedemikian rupa. Rafique insan yang mencari cintanya yang hilang lalu cuba singgah dihati insan lain tanpa sepenuh hati dan jiwa.Dan benarlah lelaki yang baik pasti untuk wanita yang baik begitu juga sebaliknya. Adriena Ayuni yang muncul dalam Albatros dinoktahkan kisahnya di sini. Umar Rayyan si Naruto alim ini begitu mencuri hati. Diam dirinya berisi. Pencarian cinta yang tertambat buat pertama kali pada si mata coklat di negara matahari terbit termeterai disana juga akhirnya.

Mesej yang diselitkan penulis kali ini buat pembaca bukan calang-calang . Didalam menerajui isi cerita yang berat adakalanya sesetengah penulis gagal didalam menyampaikan mesejnya pada pembaca namun Rnysa saya kira berjaya melakukannya. Selangkah kita mencari cahaya-Nya, seribu kali langkah kita dipandu ke jalan-Nya.

Buat Rnysa, anda memang mengagumkan!

* * * * * * *

Warna III: Karamel oleh Nasz

“Karamel itu benda hangus yang sedap...”

Sepanjang menyusuri naratif sempoi ini saya tidak sudah-sudah senyum dan ketawa. Karamel; secomel tajuknya begitulah juga perjalanan kisahnya. Karamel nukilan kedua penulis membawa pembaca mengenali warna diri dan kehidupan seorang Nory Ana; sang setiausaha yang polos dan lurus pekertinya.


Tema cinta dan kekeluargaan dalam naskhah santai dan lucu penulisi ini sangat menangkap dimata pembaca, Penulis saya kira cemerlang menarik pembaca menghayati sepenuhnya perjalanan naratifnya ini dengan penuh perasaan.

Nory Ana selaku tunjang naratif sangat cemerlang ditangani penulis. Ana diangkat sebagai lambang gadis yang polos jiwanya, jujur hatinya didalam menjalani hidup dan sifatnya itu membuatkan dia cukup disayangi keluarga juga rakan sekerja kecuali ketua barunya; Encik Arif. Penulis saya kira cukup bijak mencipta potret watak seorang Ana yang cukup memikat.Dialog yang ditutur Ana sentiasa buat saya tersenyum . Arif Mohammad; si boss yang sentiasa mencari pasal dengan Ana berjaya mencuri perhatian. Potret seorang Arif disingkap sedikit demi sedikit hingga warna dirinya yang sebenar terserlah. Arif yang nampak sungguh beku rupanya hangat juga. Hebat! Nana si watak pembantu yang mengindahkan lagi warna naratif ini. Lucu dan spontan!

Gaya bahasa yang mudah, menggunakan jargon bahasa muda-mudi semasa sangat kena dengan persembahan cerita. Teknik suntingan pada naskhah ini saya kira cemerlang direalisasikan pada pembaca. Walau ia cuma sebuah naskhah ringan penulis penuh berhati-hati demi memberi sentuhan yang lebih sempurna pada pembaca.

Bermesejkan paksi cinta dan kasih sayang, plot naratif penulis bergerak dengan cukup santai teralun namun kemas digarap. Buat penulis muda yang semakin kukuh membina nama dipersada kreatif tanahair tahniah untuk sebuah naratif yang cukup membuat saya tidak cukup senyum dan ketawa hingga ke noktah terakhir. Karamel anda hangus tapi rasanya memang sungguh ummphhh!


psst : Nasz, dialog Ana dalam bahasa isyarat tika mula memperkenalkan diri pada Arif mengingatkan kucc pada dialog Sudin dengan isteri pak Mat Tempe dalam Seniman Bujang Lapok, siap ketawa terbahak-bahak sorang-sorang tengah-tengah malam buta....ahaaks

Wednesday, November 10, 2010

Suka Saya Ya? Suka Saya, Tidak?


Tajuk Buku : Suka Saya, Ya? Suka Saya, Tidak?
Penulis : Manjlara
Penerbit : Jemari Seni Publishing
Harga : RM19.00
Cetakan Pertama : 2010
Genre : Romantik & Kekeluargaan
Bintang : 4

--------------------------------------------------------------
"Allah pinjamkan dia buat aku mengenal cinta. Allah temukan dia untuk aku mengenal kaca dan permata. Andai bersua lagi, akan aku kotakan janji padanya. Tetapi benarkah, dialah pilihan hati?.."

Kata Kucc:
Tema & Mesej
Saya kira mesej penulis didalam naskhah kedua beliau ini mudah difahami pembaca. Persoalan jodoh yang sememangnya urusan dan rahsia Allah diangkat sebagai mesej utama naratif yang begitu melankolik ini. Mesej ini disimpulkan penulis dengan cantik bersaksikan sebuah garapan kisah yang indah terlakar dikanvas kertas putih. Persoalan kasih sayang yang disulami suntikan unsur ukhuwah kekeluargaan mewarnai tema naratif ini. Terselit juga pengajaran yang ditinggalkan penulis untuk renungan pembaca.

Plot
Persembahan dan olahan plot naratif ini sangat menarik dimata saya. Tersusun, kemas garapan dan suntingannya. Gaya kronologinya menguasai keseluruhan teks. Teknik imbas kembali yang disisip sekadar penambah seri cerita.

Perwatakan
i. Qisya Amni - Ya, saya suka dia! Gadis yatim piatu ini cukup mengundang simpati dan hiba pembaca dengan dirinya yang malang. Latar wataknya digarap cemerlang oleh penulis. Memang ada waktunya sifat mengalahnya yang sedikit keterlaluan mengundang rasa geram saya padanya. Saya kira penulis berjaya mengusik hati pembaca dengan sifat dan keperibadian Qisya nan menawan ini.
ii. Azam Jufry - Ya, saya suka dia! Ketulusan, kesabaran dan kematangan watak ini begitu memikat. peribadinya cantik dipotretkan penulis. Figura hero ini ternyata punya karismanya yang tersendiri dan cukup menyerlah! Yang pernah membaca naskhah pertama penulis; Persis Sebutir Pasir pasti kenal siapakah hero ini..
iii. Wafi Ilya - Ya, saya tak suka dia! Penulis berjaya mencipta rasa misteri pada watak ini dengan kemunculan awalnya yang tampak "baik".
iv. Julia, Pak Long Mukri - Ya, saya suka dia! Watak pembantu ini sangat mewarnai dan signifikan dengan keseluruhan cerita.
v. Mak Long Ainun - Ya, saya tak suka dia! Anatagonisnya sangat menjadi dan terserlah!

Cameo Widya @Kasih dan Syed Irwan Zahir yang sudah berstatus Dr. pasti mengembalikan nostalgia romantis Persis Sebutir Pasir. Solo lagi Irwan rupanya...hehehe

Gaya Bahasa
Melankolik dan estetikanya cukup berseni. Indah digambar dan digarap. Metafora kehidupan watak-watak utama diterjemahkan dengan begitu baik menerusi suasana sekeliling.Alam, persekitaran memainkan peranan didalam menghidupkan mood perjalanan cerita.

Buat penulis, tahniah! Kisah cinta garapan anda kali ini nampak seperti klise namun dari sisi yang lain anda bijak mengajak pembaca menyorot definisi cinta itu sendiri dari sudut Keluhuran dan ketulusannya.

Saturday, October 16, 2010

TuHan Masih MencinTaiku...


Tajuk Buku : Tuhan Masih Mencintaiku
Penulis : Lily Haslina Nasir
Penerbit : PTS Litera Utama Sdn Bhd
Harga : RM21.50
Cetakan Pertama : 2010
Genre : Kemanusiaan
Bintang : 4


-----------------------------------------------------------------
"bukankah lelaki itu harus jadi khalifah yang memakmurkan bumi Allah ini?..."

Resensi Si Ungu:

Tema & Mesej;
Sekuel Mencari Cinta Tuhan ini menjurus pada persoalan kemanusiaan sejagat yang sentiasa melingkari kehidupan. Pasang surut, naik turun carta diri adalah lumrah dunia. Berada dipuncak suatu ketika lalu dipuja dan saat tersungkur dipinggir itu hukum alam ciptaan manusia rakus. Dipersembahkan dengan begitu baik demi membawa mesej indah ini kepada khalayak pembaca.

Perwatakan;
Azrul Rasyid nadi pada Tuhan Masih Mencintaiku. Perubahan diri yang berputar 360 darjah dari kedudukan asal; persoalan sikap dan peribadinya yang tiba-tiba bagai dihembus bayu firdausi mengejutkan seisi pejabat dipotretkan dengan sebaiknya oleh penulis. Namun berhijrah dari kelaziman yang jahil kepada sesuatu yang baru, segar dan lebih putih tidak akan semudah yang disangkakan. Perwatakan Azrul yang mengalami tranformasi diri ini sebaiknya dilayarkan penulis demi menyampaikan mesejnya pada seisi pembaca. Saat mengetahui siapa diri yang sebenar bila terbongkar kisah silam penuh hitam keluarga dipenakan dengan baik oleh penulis. Kita bagai boleh merasakan perasaan hati juga cetusan naluri Azrul dan ibunya saat berdepan kebenaran ini tersingkap juga tohmahan masyarakat sekeliling.


Khalida Atikah yang selamba! saya sukakan cara wataknya dipenakan penulis. Sikap lurusnya, tulus hatinya yang polos, tanpa secubit curiga malah kelam kabutnya yang melucukan dipotretkan dengan cemerlang oleh penulis.

Antagonis Azee dan cik Latifah yang kembali tidak begitu menggugat pada naskhah kali ini. Bagi saya, Cik Latifah lebih cemerlang pada Mencari Cinta Tuhan.

Gaya Bahasa;
Penerapan dan pengaplikasian lenggok bahasa pertuturan harian dengan kemasukan terma-terma moden pad dialog-dialog tertentu yang diterapkan penulis bersesuaian dengan jalan juga latar cerita. Gaya bersahaja yang digunakan begitu kena dan menangkap!

Plot;
Kaedah kronologi yang menguasai hampir seratus peratus perjalanan juga persembahan cerita. Persembahan dari satu bab ke bab yang lain dijalin dengan baik dan pembaca saya kira lancar tanpa sebarang gangguan yang boleh memjejaskan mood pembaca.

Buat penulis, tahniah untuk sebuah sekuel yang sangat indah dari penaan anda. Dari Azrul dan Khalida anda menyalurkan sebuah mesej sejagat yang begitu dekat dalam kehidupan seharian. Azrul dan Khalida lambang ujian juga anugerah Dia pada hamba-Nya yang sabar dan beriman.

Saturday, September 25, 2010

UnTuk aWak TeJa AuLia...


Tajuk Buku : Untuk Awak Teja Aulia
Penulis : Syud
Penerbit : Jemar Seni Publishing
Harga : RM20.00
Cetakan Pertama : 2010
Genre : Romantik
Bintang : 3.5

-------------------------------------------------------------

benarkah lelaki dan perempuan tidak mungkin boleh menjadi sahabat baik...akan tergelincirkah salah seorang lalu terhumban ke gaung gelora perasaan.

* * * * * * *

Untuk Awak Teja Aulia (UATA) - Resensi Si Ungu;

1. Tema;
Tema cinta dan persahabatan antara dua insan, Teja Aulia dan Adil. Persahabatan yang penuh pelangi. Adil yang menyimpan rasa suka pada Aulia dalam diam. Takut dan ragu-ragu untuk mengungkapkan perasaannya kerana tidak mahu ia nanti akan menjejaskan persahabatan akrab antara mereka berdua. Aulia yang kurang jelas dengan perasaannya pada Adil walaupun hakikatnya diri juga hidupnya tidak boleh dipisahkan dengan Adil.
Adil hadir pada setiap gerak nadi hidupnya. Saling mempengaruhi antara satu sama lain. Itulah mereka berdua.

2. Perwatakan;
2a) Teja Aulia - sifatnya yang kelam kabut, ego, ada ketikanya sedikit emosional dipotretkan dengan cukup baik dan berkesan. ketidakpastian perasaannya pada Adil dapat dilukiskan dengan sebaiknya oleh Syud. Gelojak perasaan yang penuh warna tatkala mengharungi musim duka tanpa Adil sebaiknya dipenakan penulis ini.

2b) Adil - tenang, bersifat melindungi, mengalah banyak pada Aulia yang ada kalanya bersifat menguasai Adil. Adil indah ditangan Syud walaupun mungkin ada yang meluat dengan sifat ketenangannya yang melampau.

3. Gaya Bahasa;
biasa-biasa. Tiada elemen metafora atau personofikasi yang keterlaluan. Gaya yang sesuai dengan mood dan perjalanan cerita juga latarnya.

4. Plot;
Linear. Kronologi tiap peristiwa juga jalinan antara tiap bab saling digarap dengan baik. Tiada lompang masa yang boleh menganggu persembahan cerita. Cuma saya kira "perpisahan" antara kedua watak dengan plot penghidupan masing-masing yang agak panjang lalu dipertemukan di penghujung cerita dengan penamat yang singkat mengurangkan sedikit rencah perisanya.

5. Mesej;
Apa ye mahu disimpulkan pada naskhah ini. Cuma satu yang dapat saya rumuskan. Dengarlah keputusan hati yang sudah diminta bantuan dari-Nya didalam menentukan keputusan dalam hidup. Jauhi sifat terburu-buru kerana padahnya sudah banyak yang tersurat didepan mata. Malu, ragu, tiada keyakinan, prasangka itu musuh utama diri kita sendiri. Percayalah pada diri sendiri. Sekurang-kurangnya usaha...bukan hanya sekadar menyerah....dan menunggu.

Tahniah buat penulis untuk sebuah UATA...

Tuesday, September 7, 2010

SelamaT tinGGaL RamaDhan...seLamat DatanG EidulFitri...





Buat geng, teman juga pengunjung blog rumah ungu, selamat menyambut lebaran dari kucc. Mohon ampun dan maaf atas semua kekhilafan samada yang disedari atau tidak, yang disengajakan atau tidak....semoga kita dipanjang umur untuk berjumpa lagi di ramadhan al mubarak yang akan datang, insyaallah...

Thursday, August 26, 2010

SeLamaT menYamBut UlanGtaHun HaRi keMERDEKAan ke -53



Merahmu bara semangat waja
Putihmu bersih budi pekerti
Kuning berdaulat payung negara
Biru perpaduan kami semua...

Puncak dunia telah kau tawan
Lautan luas telah kau redah
Membawa semangat jiwa Merdeka
Semangat jaya kami warganya...

Empat belas melintang jalurnya
Semua negeri dalam Malaysia
Satu suara satu semangat
Itu sumpah warga berdaulat...

Jalur Gemilang dibawah naunganmu
Jalur Gemilang kami semua bersatu
Perpaduan ketaatan
Amalan murni rakyat Malaysia...

Jalur Gemilang megah kami terasa
Jalur Gemilang kibarkanlah wawasan
Merah, putih, biru, kuning
Jalur semangat kami semua
(2x) Berkibarlah, berkibarlah, berkibarlah
JALUR GEMILANG!...

Wednesday, August 18, 2010

MeLur BunGa iVy...


Nama Buku : Melur Bunga Ivy
Penulis : Nazurah Aishah
Penerbit : Jemari Seni Publishing
Harga : RM20.00
Cetakan Pertama : 2010
Genre : Kemasyarakatan
Bintang : 4.5


----------------------------------------------------------
"sesungguhnya hidup ini umpama kembang yang hidup didalam pasu, tidak bisa memilih ditanah mana ia akan tumbuh, tidak berdaya memilih dipasu mana ia bakal disemai..."

Resensi Si Ungu:

Hidup ini tidak pernah sunyi dari dugaan, cabaran dan rintangan. Segalanya ini menjadi penanda aras samaada manusia itu cekal,kental, waja dan sabar. Kalah dengan permasalahan hidup bererti kita manusia yang rugi kerana selagi hidup, selagi masih bernyawa, selagi masih bernafas rahmat dari-Nya tidak pernah sekali menjauh. Dia sentiasa ada dan dekat disisi. Pintalah dari-Nya, tawakal sahaja pada-Nya namun jangan sesekali putus asa biar badai yang menghentam kehidupan bukan calang-calang. Inilah saya kira initipati/mesej yang cuba dirungkai penulis didalam naratif terbaharu beliau ini kepada khalayak pembaca juga penggemarnya. Seindah tajuknya; Melur Bunga Ivy seharum itu jugalah teladan yang dititipkan buat pembaca sebagai renungan.

Satu persembahan yang saya kategorikan amat mengagumkan. Si ratu air mata dari selatan tanahair ini kembali dengan sentuhannya yang sentiasa bisa membuatkan genangan air mata bermukim di pinggir kolam mata biarpun kisah kali ini bukanlah tergolong dalam kumpulan tangkap nangis tapi pada babak/dialog tertentu sentuhan beliau cukup menumpahkan rasa pilu!

Penulis saya kira sudah semakin matang dan bijak mencipta naratif yang berbeza dari dua naskhah beliau yang terdahulu. Dengan mengangkat isu yang saya kira sensitif, permasalahan didalam kehidupan sosial masyarakat terutama perihal peralihan akidah yang diangkat sebagai antara tema didalam naskhah ini wajar kita perhalusi. Hal ini bukan baharu di telinga kita, malah sejak sekian lama ia sudah bertapak didalam masyarakat. Mata kita mungkin cuba dikaburkan agar perihal yang begitu mencemarkan ini tidak terlihat dipandangan namun hakikatnya ia tetap sudah berlaku. Tanggungjawab tetap terpikul jika kita mengetahuinya. Usah dikira sebab atau punca ianya terjadi kerana kita ini manusia lemah. Menyelamatkan akidah itu satu fisabilillah...itu paling utama!

Perwatakan didalam naratif ini memfokuskan pada dua watak utama Stephanie Ivy Gabrielle aka Durratun Khalida dan Azam Adham. Watak Stephanie/Khalida dibangunkan dengan cukup berhati-hati namun cemrlang dipersembahkan pada pembaca. Stephanie mewakili segolongan insan diluar sana yang tiada landasan hidup dan sering kali mengundang persepsi negatif masyarakat. Hidayah ditiupkan dijiwa untuk menjejaki kembali sejarah diri yang hilang. Saya sukakan kemisterian watak Stephanie/Khalida, saya sukakan kekentalan jiwa wanita ini didalam memperjuangkan hidupnya. Keampuhan jiwanya menerima setiap dugaan yang hadir berjaya dipotretkan menerusi wataknya ini. Azam Adham bagi saya sangat indah dilakarkan penulis. Azam anak yang budiman, patuh pada keluarga, namun bila sudah nekad sangguh menempuh apa jua cabaran! Watak pembantu Valentina dan Jane yang kelakar dan spontan begitu melucukan, Attia Khalilah yang comel dan adakala meruntun jiwa dengan dialog pilunya juga Hajah Azimah yang menyimpan rindu pada anak yang telah pergi dijemput illahi memberi sumbangan yang mencemerlangkan lagi naskhah ini. Penampilan cameo Tasha dari Lily buat Najah juga Ikhmal dari Rahsia Hati Sofea pasti mengubat rindu pembaca pada kedua-duanya.

Persembahan plot cerita menarik dimata saya, penulis bijak membuat pembaca bermain teka-teki. Dibiarkan tertanya-tanya siapa Stephanie Ivy Gabrielle.. siapa pula Khalida? Apakah kaitan antara Khalida dan Stephenie Ivy Gabrielle?.. Plot cerita banyak berlatarkan lokasi dikedai bunga Loving an Ivy milik Stephanie. Olahan plot yang kemas didalam menjalin rantaian cerita serta bagaimana penulis merungkai tiap konflik yang tercipta digarap cemerlang. Aplikasi gaya bahasa penulis cantik berseni dan saya kira sangat masuk dengan lenggok cerita. Diskripsi beliau pada bahagian tertentu seperti kala menggambarkan gubahan bunga yang dirangkai cukup teliti hingga pembaca boleh melihatnya didepan mata! Penulis saya fikir sudah melakukan kerja rumah dengan baik sekali sebelum menarikan penanya di kanvas!

Melur Bunga Ivy menyusuri hidup seorang balu muda; Stephanie Ivy Gabrielle aka Durratun Khalida Azlan yang kematian suami semasa dia berada di berada US. Dibuang keluarga, dinafikan hak sebagai anak hanya kerana dia memeluk islam dan berkahwin dengan pemuda islam. Satu tamparan yang sukar diterima ayahnya; Tan Sri Gabrielle Anthony yang suatu ketika dahulu pernah melakukan perkara yang hampir sama..melarikan ibu Stephanie; Lara Rizal Gabrielle aka Wardah Hj Rizal dari keluarga dan menukarkan pegangan agamanya! Kegetiran hidup di rantau selepas suami tempat bergantung meninggal dunia dalam kemalangan ngeri mengakibatkan dia bangkit demi kelangsungan hidup...demi anak yang dikasihi sepenuh jiwa. Atas bantuan ibu saudara, aunty Celia yang simpati pada nasib yang menimpa dia dibawa balik ke tanahair bersama-sama puterinya Attia Khalilah Amir. Dia berusaha menjejaki pusara suami dan mencari keluarga mertuanya di Johor Bahru. Dengan sokongan aunty Celia dan sepupunya Jane dan Tina serta bersama sisa ringgit yang masih ada, Khalida bangkit dan membuka sebuah kedai bunga 'Loving an Ivy'. Di sini kita diperlihatkan erti dan makna kasih sayang, keakraban dan kekuatan ikatan kekeluargaan biarpun berlainan pegangan dan fahaman. Didalam misinya menjejak keluarga arwah suami tanpa sengaja dia pertemukan dengan Azam Adham yang membawa 'wajah" suami yang telah tiada sedangkan dirinya itu telah lama diintai dari jauh oleh Azam. Azam Adham; akauntan yang tak pernah jatuh cinta,tetapi insiden kemalangan kecil yang menimpa temannya telah membuat Azam jatuh cinta pandang pertama pada Khalida sedangkan tanpa diketahui wanita muda itu punyai kaitan rapat dengannya. Wanita itulah kunci pada amanah arwah adiknya yang cuba dijejaki sekian lama. Azam berusaha untuk mendekati Khalida walau awal-awal sudah ditolak. Demi membuktikan kesungguhannya Azam sanggup meletakkan jawatan yang bergaji lumayan dan menjadi pemandu dan penghantar bunga 'Loving an Ivy'. Dendam si ayah tidak surut walau Stephanie sudah menjauh. Tindakan Stephanie sukar diterima, kedegilan Stephanie mencabar maruah dirinya dan kerana itu dia sanggup merenggut nyawa si anak demi kepuasan diri!

Buat penulis muda berbakat besar ini, tahniah buat anda untuk naratif yang begitu menyentuh nurani ini. Keberanian anda mengutarakan isu berat dan sensitif ini dengan penuh ketelitian amat mengagumkan. Teruskan berkarya, teruskan keberanian anda mengupas isu-isu kemasyarakatan dengan cara anda yang tersendiri. Buat khalayak pembaca diluar sana, Melur Bunga Ivy ini sesungguhnya bukan sahaja mengajak kita menghirup keharuman jambangan-jambangan kembang di Loving an Ivy namun lebih dari itu ia mengheret kita menyusuri kisah pilu insan-insan yang memayungi Loving an Ivy!

Monday, August 9, 2010

RamaDan AL MubaRaK 1431 HiJri...

Do'a malaikat Jibril menjelang Ramadhan " "Ya Allah tolong abaikan puasa ummat Muhammad, apabila sebelum memasuki bulan Ramadhan dia tidak melakukan hal-hal yang berikut:

* Tidak memohon maaf terlebih dahulu kepada kedua orang tuanya (jika masih ada);
* Tidak berma'afan terlebih dahulu antara suami isteri;

* Tidak bermaafan terlebih dahulu dengan orang-orang sekitarnya.

Maka Rasulullah pun mengatakan Amin sebanyak 3 kali. Dapatkah kita
bayangkan, yang berdo'a adalah Malaikat dan yang meng-aminkan adalah
Rasullullah dan para sahabat , dan dilakukan pada hari Jumaat.

* * * * * * *

Mata ini kadang tajam memandang tapi tidak memahami apa yang dilihat....
Lidah ini kadang bijak berucap tapi tidak tahu apa yang dikata....
Hati ini kadang pandai menduga tapi tidak pintar mentafsir....

Jika saya ada berbuat kesalahan, baik yang tidak disengajakan mahupun yang disengajakan , yang saya sedari atau yang tidak saya sedari...saya mohon ampun dan maaf dari semua... semoga kita dapat menjalani ibadah puasa dengan khusyuk, penuh keimanan dan keikhlasan. Moga ibadah kita ini diberkati dan dirahmati Allah S.W.T dan dikurniakan ganjaran pahala yang setimpal, insyaallah...

Semoga Ramadhan tahun ini menyuntik lebih banyak hidayah dan kita kekal mengamalkannya sesudah itu... Amin

Salam Ramadhan Al-Mubarak 1431 Hijri dan Selamat Berpuasa buat semua terutama pada komrat Kicap, teman-teman sealiran juga rakan taulan.


Saturday, July 24, 2010

sEikaT KeMbanG MeRah...





TAJUK BUKU : SEIKAT KEMBANG MERAH
PENULIS : IMAEN
PENERBIT : JEMARI SENI PUBLISHING
HARGA : RM20.00
CETAKAN PERTAMA : 2010
GENRE : AKSI ROMANTIK
BINTANG : 4.5


-----------------------------------------------------------------------

"cinta itu adalah nikmat yang tersendiri dan eksklusif yang tidak mungkin sama antara setiap rasa cinta. Cinta juga boleh merubah seseorang;negatif ke positif,pesimis ke optimis...bergerak dari gelap malam kepada cerah matahari."



Resensi Si Ungu:


Kreativiti itu anugerah. Dan bukan semua penulis ada nilai ini didalam diri mereka tatkala menurunkan pena ke lembar kertas untuk melakar landskap bernama manuskrip. Kreativiti itu membolehkan seseorang penulis menyatakan atau menyampaikan sesuatu pandangan dengan begitu bersahaja, santai, lucu malah pedas atau kadangkala retorik tanpa sedikit pun khuatir akan menjadi sasaran bom plastik dari segelintir golongan pembaca walaupun memang pasti isu yang diangkat dan diulas itu agak sensitif kepada sesetengah pihak. Saya kira penulis ini adalah antara pengkarya yang membuktikan kebenaran kenyataan ini. Lihat sahaja barisan karya-karyanya dari dahulu hingga kini. Sinonim sekali dengan lenggok begini. Itulah dirinya..taglinenya yang tidak pernah berubah. Yang membezakan karya-karyanya berbanding karya penulis-penulis aliran semasa.


Seikat Kembang Merah (SKM) adalah sebuah manifestasi penulis tentang falsafah dan pengertian cinta. Saya suka kaedah dan aliran yang dibawa beliau didalam naskhah ini. Cinta diterjemahkan dari sudut pandangannya sebagai penulis dan dengan manipulasi kuasanya sebagai penulis, beliau menggunakan sepenuhnya peluang dan ruang yang ada untuk mentarbiahkan pembaca tentang isu utama ini yang diangkat beliau sebagai pokok perbincangan. Apakah konsep dan pengertian cinta yang ada diminda kita selama ini benar-benar menepati saranan atau sekadar untuk kepentingan diri kita semata-mata. Pembaca diumpan dan diasak dengan cara yang cukup berhemah. Berfikir dan berfikir. Perkara utama yang cukup menarik adalah bagaimana penulis memaparkan karyanya tanpa menjerat pembaca didalam perangkap khayalan tegar dengan sajian gugusan kisah cinta yang memaksa pembaca untuk berfantasi bersama lalu pembaca jadi khayal umpama terhidu candu yang melalaikan!


Penulis menerusi SKM menampakkan bagaimana dirinya begitu peduli dan ambil tahu tentang apa yang berlaku dipersekitarannnya lalu mengemukakan teori dan pandangan mengikut pemahamannya.Persoalan semasa diungkit dan dibangkit secara santai namun penuh bermatlamat dan ada tujuan. Pembaca yang prihatin saya kira sewajarnya sudah dapat menangkap destinasinya. Soal sama ada pembaca bersetuju atau menolak teori dan aliran fahamannya adalah perkara yang berbeza..tepuk dada tanya kepala! Tetapi penulis bagi saya seorang yang menghasilkan karya yang berpijak pada bumi yang nyata..bukan kosong tapi penuh pengisian. Dalam santai ia sarat leluconnya dengan tujuan menyiku pihak tertentu...siapa yang makan mangga muda dialah yang rasa masamnya bukan?


Plot SKM berkembang dengan landskap yang begitu teratur, digarap kemas menerusi teknik suntingan yang sangat teliti dan cemerlang. Tiada lompang untuk pembaca tercicir dari menyusuri rantaian kisah yang dibentangkan. Pengaplikasian gaya bahasa serasi dengan pola cerita. Sesekali dialog lucu romantisnya begitu mencuit hati!


Perwatakan adalah medan utama sesebuah naratif. Ia warna utama yang mencorakkan hamparan dimensi sesebuah kisah. Hail Amir aka Gary adalah si penyangak bijak yang diangkat sebagai teraju utama naratif ini. Sebenarnya saya sudah tersenyum dan ketawa kecil tatkala membaca nama sebenar si Gary ini. Boleh terbayang empunya nama yang cukup terkenal di zamannya itu, hehe. Dan nama Gary itu sendiri ada sejarah lukanya, kalau mahu tahu carilah sendiri ya kisah tersebut didalam SKM. Gary bijak, aliran pengurusan perniagaan dari universiti tertua tanahair tapi sejarah malang menjebak dirinya ke lohong gelap...menjadi penyeludup. Kalau difikirkan logik memanglah Gary ini tolol kerana semudahnya membiarkan dirinya terjun ke lembah kotor sedemikian tapi itulah realiti kehidupan. Kita boleh bercakap tapi belum tentu dapat bertindak dan berfikir waras bila terdesak, terasak dan terhimpit. Gary adalah contoh segelintir manusia yang sanggup berdepan risiko biarpun menyedari langkahnya itu jika silap percaturan pasti membawa padah. Namun itulah jalan yang dipilih. Inilah konflik watak Gary yang begitu baik dilakarkan penulis. Begitu juga saat Gary jatuh cinta pada Tahani. Kesanggupannya mengharungi segala kesukaran, melakukan apa sahaja biar terpaksa menipu dan rasa malu yang ditolak ke tepi demi memastikan Tahani menjadi miliknya adalah kedangkalan yang membuta tuli tapi itulah realiti bila rasa cinta itu menghambat jiwa tanpa pemahaman tepat yang disalurkan ke minda. Manusia jadi buta. Nina aka Siti Nina Suriani sangat polos wataknya. Biarpun perwatakan gadis kota miliknya dipotretkan kelam ditambah perisa sifat tidak malu dan gedik yang terlebih namun wataknya saya lihat lebih ikhlas, jernih...tiada nilai hipokrit yang tersembunyi. Watak Gary juga Nina adalah cerminan bahawasanya siapa kita untuk menjatuhkan hukuman kerana hidayah itu milik-Nya dan Dia juga lah yang maha berhak menentukan siapa insan istimewa yang akan dipancarkan nur itu. Hani aka Tahani adalah watak sampingan yang mewarnai naratif ini. Nuur Tahani adalah contoh segelintir manusia yang sukar menerima sisi gelap orang lain biarpun orang itu sudah insaf. Hukuman yang dijatuhkan kekal tanpa kompromi. Tiada sesi bela diri. Ilmu itu perlu difahami dan diamal tanpa pemahaman tentang ilmu yang dipelajari maka hijab tidak akan terbuka. Namun begitu Tahani adalah simbolik penyatuan antara Gary dan Nina yang berwajah baru.


SKM mengenalkan pembaca kepada Gary si penyeludup minyak ke sempadan. Lulusan aliran perniagaan ini terjebak ke kancah kerja jenayah kerana kecewa dengan malang yang menimpa dirinya yang gagal memperolehi sebarang kerja biarpun berkelulusan. Kerja jenayah memberi pulangan yang baik ditambah kebijaksanaannya maka kerja-kerja penyeludupan yang dibantu rakan; Joe berjalan dengan baik. Demi menutup aktiviti punca pendapatan tidak halal dari diketahui masyarakat sekeliling Gary membuka perniagaan yang nampak halal di mata masyarakat; kedai dobi. Perkenalan dengan Nuur Tahani si ahli Farmasi bertudung labuh yang tiba-tiba membuatkan Gary jatuh cinta pandang pertama padanya. Kesannya dia berubah dan mahu berubah demi mahu memikat dan memiliki Tahani. Perubahannya yang mendadak mengejutkan Joe teman perniagaan juga rakan serumah.Walau punya teman wanita; Nina namun Gary menyedari rasa cinta itu hadir untuk Tahani. Ditolak, ditepis dan dihinadari Tahani langsung tidak mematahkan semangat Gary yang sudah mabuk asmara. Demi teman rapat, Joe menghulur bantuan..jumpa bomoh! namun gagal juga lalu demi memastikan Tahani jadi milik Gary rancangan lebih extreme digerakkan..rompakan bersenjata di farmasi milik Tahani!


Seperti selalu membaca karya seni penulis pastinya membawa pemikiran baru didalam kepala ini yang sudah tepu dengan karat karat karya pop yang terlambak dipasaran. Menatap karya penulis seringkali membuat diri bermuhasabah. Faedah yang diselitkan, mesej yang ditinggalkan seakan suatu keseronokan dan kepuasan didalam melayari sebuah naskhah. Itulah yang saya rasai setiap kali usai melayari karya penulis. Anda bagaimana?. Apa-apa pun saya sangat mahu mengesyorkan anda sekalian membaca naskhah ini dan lihatkan cinta penulis disebalik jambangan merah nan seikat ini.

Thursday, July 1, 2010

SweeT SouR...


TAJUK BUKU : SWEET SOUR
PENULIS : NASR
PENERBIT : JEMARI SENI PUBLISHING
HARGA : RM21.00
CETAKAN KEDUA : 2010
GENRE : ROMANTIK & KEKELUARGAAN
BINTANG : 4


----------------------------------------------------------------------

“...to be upset about what you don’t have is to waste what you do have.”

Resensi Si Ungu:

Selamba, ada debaran namun cukup menghiburkan. Tiga elemen menarik ini saya kira bijak diadun mesra oleh penulis lalu terhasillah sebuah naskhah yang boleh diklassifikasikan mampu membuat pembaca tidak lekang pandangan daripada lembar kertas putih bertajuk Sweet Sour ini.

Perjalanan naskhah ini ringkas dan cukup bersahaja terutama dari aspek gerak "lakonan" para pendukung watak utamanya. Ternyata dalam kebersahajaan itu karakter mereka cukup kuat dibangunkan penulis. Suntikan sisipan elemen humornya “hidup” namun jelas punya mesej disebaliknya. Pembaca yang bijaksana pasti dapat melihat dari hijab yang terlindung. Mesej yang tersirat pada diri Joe adalah cerminan untuk sama-sama kita renungkan. Hidayah dari-Nya akan hadir tanpa mampu diduga kerana hanya Dia yang maha mengetahui.

Kekuatan keseluruhan naskhah ini terletak pada jalinan hubungan dan konflik dalaman yang wujud antara 3 watak utama; Alia, Joe dan Zarul. Aksi yang ditampilkan sesekali menimbulkan debaran pada pembaca biarpun ada suntikan elemen romantik diaplikasikan didalam naskhah ini terutama didalam memperlihatkan hubungan suami isteri antara dua watak utamanya; Alia dan Joe. Suntikan elemen ini bukanlah luar biasa kerana biasa kita temui didalam naskhah –naskhah yang sedia terdampar dipasaran. Saya cuma sedikit rasa terkejut kerana naskhah ini bercop mohor Jemari Seni. Itu yang saya kira sedikit luar biasa kerana sepanjang melayari produk-produk keluaran rumah penerbitan tersohor lagi disegani ini, inilah produk pertama mereka yang saya kira sedikit “daring” sentuhannya. Pemvisualan kemesraan kedua-dua watak utama seakan mampu terlihat dimata biarpun cuma dinyatakan dillembar kertas. Teknik sinematografi yang saya kira sangat hidup dipenakan penulis. Bagi saya tidak perlulah sampai begitu, bahasa tubuh yang baik sudah cukup dan memadai.

Tema dari naskhah sulung penulis ini bukanlah sesuatu yang luar biasa atau pelik kerana konflik kisah cinta tiga segi juga rasa cinta yang wujud selepas kahwin sudah kerap kita tatap sebelum ini pada naskhah penulis-penulis lain. Perbezaan mungkin kita lihat dari pengolahan, jalan cerita juga kaedah ia dipersembahkan dan ternyata penulis ini mengangkat tema biasa ini dengan adunan resipinya yang tersendiri. Bersama rempah ratus istimewa sebagai penambah perisa, teknik yang tersendiri lalu terhidanglah ia didepan mata dan ternyata resipi ciptaaan penulis memang menangkap deria rasa…ia cukup membuka selera pembaca!

Watak Alia saya kira cukup cemerlang dibangunkan penulis. Alia lambang wanita yang penuh emosi yang adakalanya celaru dengan tindakannya sendiri dan rasa itu dizahirkan dengan begitu berkesan sekali. Zarul adalah watak yang saya kira tidak statik. Bukan hero pujaan bak kata teman baik saya, Rinn..hehe. Joe adalah watak hitam yang diangkat penulis didalam naskhah ini dan wataknya dipotretkan melalui proses pemutihan dari budaya kehidupan lampau yang cukup hitam lagi memualkan kearah hidup yang lebih baik dan sempurna .Saya kira watak Joe lebih cemerlang dipotretkan penulis berbanding Zarul. Sikap dan perwatakan bersahaja Joe mungkin mengundang persepsi dari pelbagai sudut. Soalnya dapatkah kita melihat apa yang tertulis dihatinya? Penulis saya kira bijak menjebak pembaca kerana sebagai manusia kita tidak lari dari prasangka kerana...kita cuma insan biasa.

Plot cerita berkembang baik dan tersusun dengan cukup baik. Persembahan plot naratif diselenggara dengan kemas sekali. Plot diteliti dengan sebaik mungkin dengan mengambil kira mood pembaca. Perjalanan plot sangat lancar. Kronologinya 100 peratus. Tiada sekatan. Suntingan saya kira sangat cemerlang diaplikasikan didalam persembahan keseluruhan naratif ini cuma kekerapan adegan "mesra alam" kedua-dua watak itu sahajalah yang sedikit mengganggu pandangan mata, hehe. Laras bahasa yang diaplikasikan adalah gaya bahasa masa kini dengan kewujudan terma juga ciptaan jargon-jargon baru yang saya kira cukup kena dengan pergerakan keseluruhan naratif ini. Jangan mimpi untuk berjumpa elemen melankolik dalam naskhah ini kerana ia tidak akan masuk..janggal!

Siapa kita untuk menidakkan kehendak-Nya yang sudah tersurat sejak azali buat diri kita nan kerdil lagi lemah ini. Larilah jika boleh, sembunyilah kalau mampu, tentanglah jika ada kudrat bagaimanapun, jodoh tetap jodoh dan ketentuan-Nya tidak mampu diubah hingga akhirnya perasaan itu datang, dan terbit dari hati dan sanubari kita. Dipancarkan oleh nur dari-Nya. Seperti yang terjadi pada Lia yang akhirnya disedarkan dan tersedar tentang perihal ini. Naskhah yang penuh rasa masam manis ini membawa pembaca pada seorang Alia Akma @ Lia, si lincah yang bersahabat baik dengan teman sepengajian Azarul @ Zarul.Persahabatan akrab yang terbina menerbit rasa kasih antara keduanya namun tidak diluahkan. Baik Lia mahupun Zarul yang menyimpankan kejap di lubuk hati. Hadir Joe @ Faizul yakni abang Zarul yang tanpa diduga Lia jatuh cinta pandang pertama padanya. Sejak pertemuan pertama tika Lia masih menuntut, Joe seakan sukar melepaskan bayangan wajah Lia. Joe adalah musuh Zarul. Dunia gelap Joe cukup memualkan. Pertemuan secara tidak sengaja yang sering terjadi antara Joe dan Lia membuatkan Joe nekad menjejak latar belakang Lia. Huluran kad undangan Zarul meremukkan hati Lia. Dan tanpa berfikir panjang lamaran Joe diterima. Sakit hati atas perbuatan Zarul seakan mahu dibalas namun langkah Lia sumbang. Tanpa persediaan dan waras akal akhirnya tindakan tergesa-gesanya memakan diri.

Buat penulis anda sememangnya sangat berbakat dan naskhah sulung anda ini telah membuktikannya sebagai penanda aras pencapaian anda di bidang penulisan kreatif ini. Semoga anda akan terus giat dan cemerlang berkarya di masa hadapan.

Monday, June 21, 2010

CinTa SuFi


Nama buku : Cinta Sufi
Penulis : Ramlee Awang Murshid
Penerbit : Alaf21 Sdn Bhd
Harga :RM19.90
Cetakan Pertama : 2010
Genre : Thriller & Fantasi
Bintang : 4
--------------------------------------------------------
"sukar sekali menghindari rasa cinta terhadap Sunan kerana...ia adalah cinta sufi. Cinta yang turut menjurus kepada mencintai Allah."


Resensi Si Ungu:
Cinta Sufi (CS) merupakan naskhah keempat dari sekuel triller Bagaikan Puteri. Saya kira bagi yang mengikuti sekuel ini sedari awal pasti tidak mahu melepaskan peluang untuk mengetahui perjalanan kisah yang seterusnya dan juga apakah kesudahan kembara Laksamana Sunan a.k.a Saifudin. Saya sendiri cukup teruja untuk mengetahui apa yang terjadi seterusnya pada pahlawan handalan bergelar Laksamana Sunan ini.

Selepas pembaca melihat bagaimana Sunan dibawa merentasi relungan waktu ke abad-21 menerusi naskhah Hijab Sang Pencinta, didalam naskhah Cinta Sufi ini laksamana handalan ini dikembalikan semula ke zamannya; abad ke-15. Kisah yang membawa pembaca mengingati semula sejarah Ashabul Kahfi seperti yang tercatat didalam Al-Quran. Perjalanan merentasi masa dengan izin-Nya itu dan dikembalikan semula pada zaman yang sepatutnya dia berada telah memberikan kesan pada kudrat Saifudin. Keampuhannya tiba-tiba luntur. Lemah dan tidak berdaya. Segalanya tiba-tiba lenyap.

Tema cinta yang diangkat penulis saya kira sangat halus terjemahan demi menyampaikan sebuah mesej sejagat tentang cinta itu secara keseluruhannya. Cinta dari sudut yang lebih luas, yang lebih suci dan lebih bermakna.

Latar masa dan tempat dinyatakan dengan jelas pada tiap peristiwa dalam naskhah ini. Abad ke-15 dan Melaka adalah dua latar utama yang dipilih menjadi medan penceritaan CS. Begitu juga ketika imbasan kembali peristiwa..ia diceritakan, diperjelaskan dengan terperinci. Saya kira format penceritaan penulis yang tersusun dan lengkap latar tempat serta masanya nampak cukup kena jalan cerita. Sebuah persembahan yang cantik disusun dengan suntingan yang saya kira cukup berkesan.

Perwatakan utama dalam naskhah ini saya kira mengalami rombakan sifat yang cukup ketara. Jika dalam naskhah terdahulu watak Laksamana Sunan a.k.a Saifudin cukup sempurna dipenakan dimata pembaca namun kali ini sifat dirinya sebagai manusia biasa yang lemah terserlah. Namun keperibadian dan elemen diri Saifuddin yang unggul dan teguh berpegang pada syariat islam tetap terpelihara dipena penulis. Satu kekaguman sifatnya yang saya kira tidak luntur dan diterjemahkan dengan cukup indah oleh penulis. Kemunculan watak lagenda Laksamana Hang Tuah bersama 2 ekor naga ditasik Hulu Melaka juga mitos Puteri Gunung Ledang cukup mewarnai juga mengindahkan naskhah ini. Taghut terlaknat yang dipotret berwajah Pangeran Garitno dan berpadu dengan Puteri Kober Gandring yakni anak saudara Taming sari begitu mengujakan perwatakan mereka. Hitam sehitamnya gambaran yang dipena, yang terlayar di kertas. Catalina, sang balu bangsawan dari Portugal dan Luna dari rumpun bangsa Polip, dua watak wanita dari latar dan benua yang berlainan ini diangkat menerusi naskhah CS dan mencerminkan keperibadian masing-masing dan saling menyimpan rasa pada Saifuddin.

Gaya bahasa yang diaplikasikan tidak sukar difahami biarpun pembaca sudah terheret ke abad ke -15. Saya kira seperti pertuturan biasa sahaja cuma ada satu dua perkataan yang sedikit mencerminkan ia datang dari abad yang berkenaan. Ganti diri sebagai contohnya.

CS membawa pembaca ke abad ke -15 yang dimulai dengan kedatangan armada Portugis ke Melaka. Laksamana Sunan yang kembali dari abad-21 menghadapi kesukaran bilamana kudrat juga kekuatannya tiba-tiba hilang. Dirinya yang terdampar di pantai ditemui Catalina, balu seorang panglima perang Portugis; Aryas de Lopo lalu dijadikan tawanan oleh Catalina. Catalina yang merantau ke Hulu Melaka mencari Maryam yang sering muncul dalam mimpinya demi menjejaki iman dan taqwa sebagaimana yang sering disebut Maryam didalam mimpinya itu. Sunan yang diburu Taghut juga didendami Puteri Kober Gandring lalu angkatan Catalina yang dipimpin Kapten Leandro serta Aloisio diserang dua makhluk terkutuk ini ketika dalam perjalanan ke Hulu Melaka dengan misi utama menghapuskan Sunan. Misi terkutuk ini digagalkan 3 pahlawan Polip; Thariq, Indera dan Yedee lalu Sunan dibawa pergi ke tempat mereka yang tidak pernah dijejaki manusia. Sunan dipulihkan semula dengan izin-Nya dan disini dia dipertemukan dengan Luna serikandi Polip juga seorang balu pahlawan Polip; Munik yang dibunuh Taghut. Luna yang sekian lama menyukai Sunan gagal mengawal rasa lalu menzahirkannya secara terus terang Sunan. Kepulangan Sunan semula ke Melaka menyedihkan Luna lalu atas izin Thariq Luna diizinkan mengikuti Sunan tapi diberikan syarat. Lalu sanggupkah Luna?
Buat pembaca yang sudah mengikuti kisah Laksamana Sunan bermula dari Bagaikan Puteri, Cinta Sang Ratu dan Hijab Sang Pencinta maka saya kira anda pasti tidak mahu melepaskan peluang untuk memiliki Cinta Sufi kerana sesungguhnya naskhah ini sangat berbaloi untuk dimiliki.

Sunday, June 6, 2010

EniGma...


Tajuk Buku : Enigma
Penulis : Nasron Sira Rahim
Penerbit : Buku Prima Sdn Bhd
Harga : RM15.90
Cetakan Pertama : 2008
Genre : Thriller
Bintang : 4



---------------------------------------------------------------
"setiap dari kita punya rahsia silam tersendiri..."

Resensi Si Ungu:

Sulit dan sukar difahami. Itulah Enigma. Satu cetusan kisah bagaimana manusia ini adakala memang terlalu sulit dimengertikan, payah dibaca isihatinya dan sukar dijejak tindakannya. Tenang dipermukaan namun deras berkocak didasarnya. Siapa tahu bukan! Tema juga mesej penuh simbolik inilah yang dibawakan penulis buat titipannya kepada para pembaca. Awas, salah menduga, anda pasti terperangkap oleh mainan licik penulis berbakat ini. Ternyata naskhah kecil dan tidak mewah ini punyai nilai cerita yang begitu baik untuk diteladani kita semua. Pengisiannya penuh informasi yang berguna. Maklumat berhubung perihal saka, santau diterangkan dengan begitu baik sekali oleh penulis.

Plot naratif dipersembahan dengan berformatkan selangseli past and present dilengkapkan dengan latar masa pada setiap bab. Saya kira penulis memilih kaedah begini demi memberikan maklumat awal dan terperinci pada pembaca tentang latar dan kisah silam setiap watak yang dicipta. Masing-masing punyai sejarah diri tersendiri. Hitam dan putih.

Watak dan pewatakan dalam naratif ini seimbang peranannya. Razif, Syukri, Zilla, Rina, Aisyah juga Suria tidak ketinggalan Lokman diberikan fungsi dan mainan watak secara adil namun jika mahu dipilih, saya pilih Aisyah selalu hero naskhah ini. Saya sukakan cara penulis memprovokasi pembaca dengan cetusan mainan emosi nan mendebarkan untuk memaksa pembaca menuding jari mencari pesalah atau suspek didalam naskhah thriller ini.

Garapan bahasa sangat mudah. Tiada sebarang unsur bahasa melankolik atau unsur-unsur puitis diterapkan dalam naskhah ini. Ini tepat kerana corak penceritaan sebegini lebih sesuai mengaplikasi lenggok bahasa mudah dan biasa. Suntingan saya kira baik biarpun pada adegan tertentu ada sedikit menimbulkan persoalan.

Enigma membawa pembaca kepade ekspedisi 6 kakitangan dari sebuah syarikat ke Tasik Pedu. Dengan diiringi seorang jurupandu; Lokman yang dicadangkan resort tempat mereka menginap Razif, Syukri, Zilla, Rina, Aisyah juga Suria memasuki hutan Tasik Pedu. Ekspedisi yang disangka sekadar mengisi masa lapang rupa-rupanya mengundang padah. Kematian Razif yang tiba-tiba dan mengngerikan mengundang persoalan dikalangan anggota ekspedisi. Tuduh menuduh tidak kurang yang hilang arah dengan kematian Razif selaku ketua kumpulan. Kehilangan satu-satunya alat perhubungan mereka dengan dunia luar yakni telefon bimbit Syukri sangat misteri dan membingungkan semua. Tindakan mereka mencari jalan keluar menemui jalan buntu dan Lokman mengisytiharkan mereka sesat bila percubaan mereka keluar gagal dan perjalanan mereka membawa mereka semula ke tapak perkhemahan di mana Razif dibunuh!Keadaan makin gawat bila Zilla pula menjadi mangsa seterusnya dengan modus operandi yang sama seperti kematian Razif. Kehilangan Rina tambah menakutkan ahli yang tinggal. Lalu hanya tinggal Syukri, Aisyah juga Suria bersama Lokman yang masih menunggu bantuan tiba. Dan kemuncak kematian Syukri membongkar dalang disebalik tiap kejadian yang menimpa. Aisyah akhirnya menemui siapa pembunuh sebenar lalu dia terpaksa bertarung demi menyelamatkan nyawanya bila penemuannya itu berjaya dihidu si pembunuh!

Buat penulis, anda sangat kreatif dengan cetusan idea anda yang cukup unik dan tersendiri. Moga terus kreatif berkarya dan memperjuangkan genre yang anda mahir ini dengan sebaiknya.

Sunday, May 23, 2010

NaMa AtaS KerTas...


Nama Buku : Nama Atas Kertas
Penulis : Nasron Sira Rahim
Penerbit : Jemari Seni Publishing
Harga : RM20.00
Cetakan Pertama : 2010
Genre : Thriller
Bintang : 4.5

-------------------------------------------------------------
" engkau boleh bersembunyi di mana saja...tapi aku akan tetap menjumpaimu!"

Resensi Si Ungu:

Sudah agak lama juga karya berpaksikan genre Thriller tidak saya baca. Terakhir adalah Labyrinth dan Gapura. Nama Atas Kertas (NAK) karya pertama penulis ini yang saya baca memberikan satu keterujaan rasa yang sukar dilafazkan. Satu karya yang saya kira sungguh uummph! Usai menamatkan pembacaan ke atas karya ini yang telah memaksa minda saya sama berfikir dan berlari untuk mengejar si licik nan bijak yakni sang pembunuh yang menjadi buruan pegawai penyiasat polis; Faiz dan pasukannya demi menamatkan sebuah siri kegilaaan yang sungguh sadis!

Perasaan dendam yang dipendam jika tidak dikelolakan dan ditangani dengan penuh berhemah bisa membuatkan manusia yang bijak hilang pertimbangan akal nan waras. Perasaan tertekan kesan dari rasa itu akan membentuk sebuah identiti diri yang mengundang bahaya bukan sahaja pada diri sendiri tapi juga pada insan lain disekitarnya. Inilah persoalan utama yang saya kira diangkat didalam karya hebat ini dan digarap dengan begitu bijaksana oleh penulis untuk diterjemahkan kepada pembaca untuk sama-sama berfikir kesan dan akibat dari persoalan berkenaan. Mesej penulis saya kira jelas, setiap kejadian biar baik atau buruk pasti ada hikmahnya. Setiap perbuatan pasti ada balasannya.

Perwatakan adalah nadi dalam setiap naratif. Tidak dapat dinafikan. NAK mengengahkan seorang pegawai polis, Faiz selaku hero yang menerajui naratif thriller hebat ini. Watak Faiz ditangani dengan sangat baik dan penulis saya kira begitu menjiwai emosi diri seorang pegawai polis yang tertekan dengan beban tugasan menjejak penjenayah bijak nan berbahaya dan pada waktu yang sama perlu mengendalikan gelodak dalaman jiwanya yang kehilangan isteri yang dibunuh demi dendam penjenayah pada dirinya. Kredibiliti Faiz selaku pegawai polis diterjemahkan ke kanvas oleh penulis dengan begitu berkesan sekali. Pembaca jadi begitu mengagumi pegawai polis muda nan berwibawa ini. Perwatakan Hanim saya kira stabil ditangan penulis. Biar tidak begitu menonjol berbanding Faiz, sisi watak Hanim dibangunkan secara sederhana lengkap dengan mainan perasaan wanita muda yang terjerat rasa kasih namun tidak pasti mahu meluahkannya. Komposisi watak Hanim di dalam menjalankan tugas kepolisian adalah pelengkap pada Faiz. Gambaran ini diterjemahkan dengan sangat baik sekali oleh penulis. Keakraban dalam tugas antara keduanya adalah buktinya. Aswadi Hamzah si wartawan agresif lagi sensasi dari Warta Harian adalah watak pembantu yang memberi warna dan rentak pada persembahan naratif ini. Begitu juga watak Prof. Zaman; si pakar psikologi dan Tuan Kamal. Masing-masing memberi sumbangan yang mengangkat naskhah ini menjadi cukup rencahnya. Perwatakan si gadis misteri Natasya Haliza begitu mengujakan, begitu mendebarkan dan dirinya dipersembahkan penulis dengan begitu bijaksana sekali!

Gaya bahasa naratif ini mengaplikasikan lenggok bahasa pertuturan biasa. Tiada penggunaan elemen estetika nan mempesona dan mengasyikkan tapi karya ini tetap mempunyai kelasnya yang tersendiri dengan pengenalan penuh berinformasi penulis terhadap dunia sains forensik, psikologi juga tidak ketinggalan informasi berkenaan ilmu grafologi. Ternyata perkongsian informasi dan maklumat ini secara tidak langsung menambahkan pengetahuan pembaca berkenaan bidang tersebut.

Plot disusun begitu teliti dengan latar masa, tempat dan waktu pada tiap bab. Menerusi suntingan yang cemerlang, urutan tiap peristiwa dijalin dengan cukup baik menerusi perletakan elemen berkenaan lalu berjaya membina sebuah landasan bacaan yang cukup mendebarkan pembaca!

NAK memperkenalkan pembaca dengan kejadian pembunuhan sadis bersiri yang dilakukan seorang penjenayah yang begitu licik namun cukup bijak! Pembunuh tersebut akan mengirimkan notis obituari setiap mangsanya kepada seorang wartawan sensasi dari Warta Harian; Aswadi Hamzah dengan tujuan untuk disiarkan. Didalam mulut mayat setiap mangsanya, akan ditinggalkan kertas/puzzle mengandungi sebuah teka-teki untuk diselesaikan oleh pihak polis dan pada teka-teki itulah terkandung maklumat kesalahan yang dilakukan mangsa-mangsa berkenaan. Faiz dan rakannya Hanim yang mengetuai siasatan menghadapi jalan sukar dan buntu untuk menjejak pembunuh kejam berkenaan dan juga menyelesaikan teka-teki yang ditinggalkan hinggalah seorang prof.matematik; doktor Sufiyan berjaya menyelesaikannya dan membawa Faiz dan pasukannya pada pembongkaran jenayah yang dilakukan mangsa-mangsa. Biarpun pada mula enggan percaya, namun siasatan terperinci pada setiap mangsa membuktikan kebenaran dakwaan pembunuh obituari tersebut. Menggunakan kaedah psikologi menerusi bantuan prof Zaman, penyiaran notis obituari yang dihantar pembunuh dihentikan penyiarannya dengan harapan agar rasa keterujaan pembunuh disekat namun malang, tindakan tersebut menimbulkan kemarahannya pada pihak polis lalu tanpa diduga, Hanim dipilih menjadi mangsa seterusnya!

Buat penulis, sukar digambarkan kekaguman saya tatkala menyelusuri Thirller nukilan anda ini dan seusai membacanya ingin saya pahatkan ucapan tahniah atas persembahan yang cukup cemerlang ini. Pena anda ternyata begitu berjaya membuatkan degup jantung saya berlari kencang. Pena anda berjaya memahat dan memaku pandangan mata saya untuk terus setia pada kanvas kertas putih kaku ini hingga ke laman akhirnya. Buat pembaca yang tercari-cari sebuah karya yang akan membuatkan minda anda diuji dan dicabar hebat maka Nama Atas Kertas adalah pilihannya.

Sunday, May 16, 2010

TiaDa SeperTimu...


TAJUK BUKU : TIADA SEPERTIMU
HASIL NUKILAN : ANITA ARUSZI
PENERBIT : KAKI NOVEL ENTERPRISE
HARGA : RM24.00
CETAKAN PERTAMA : 2010
GENRE : ROMANTIK
BINTANG : 4


------------------------------------------------------------
‘..Cinta atau benci semuanya bermula dari hati. Jika dua hati bersatu, maka cinta akan muncul. Jika satu hati terlerai, maka cinta akan hancur berderai...’

Resensi Si Ungu:

Setelah berhempas-pulas mencuri masa terluang yang begitu terhad kebelakangan ini kesan hambatan kerja yang sukar dibendung, akhirnya berjaya juga buku ini saya khatamkan. Karya ini seperti kebanyakan karya penulis ini bermula dengan format e-novel di blog beliau sebelum dipindahkan ke versi cetak.

Jika dilihat daripada judulnya sahaja, pembaca pasti sudah dapat mengagak isinya yang membawa makna sebuah kisah romantik. Ya, ini sebuah kisah genre romantik yang disulami sedikit sisipan unsur suspen sebagai rencah yang merancakkan lagi perjalanan cerita. Saya kira penulis semakin mahir mengolah naratif yang berformat sebegini namun penulis bagi saya secara peribadi lebih handal didalam menghidupkan naratif yang bergenre romantik.

Tiada Sepertimu (TSM) membawa pembaca mengenali seorang Kiefli Benjamin. Anak muda yang berjiwa besar, pekerti mulia namun sukar ditebak isi hatinya. Rasa kecewa pada perlakuan bapanya, Qadrim yang dianggap penyebab utama kematian satu-satunya adik; Fiza membawa Kiefli hidup jauh dari keluarga biarpun terpaksa membuatkan ibu tersayang bersedih hati dengan keputusannya. Kiefli yang mempunyai sebuah restoran; De’Raya begitu komited didalam memajukan perniagaan yang diceburi. Persahabatan tulus yang terjalin antara Kiefli dan Rubiah membawa dirinya mengenali anak Rubiah; Zara Melissa si ejen insuran yang keras kepala dan begitu sukar difahami rentak dirinya. Zara yang secara terangan tidak menyetujui persahabatan antara keduanya lantaran meragui niat Kiefli terhadap Rubiah. Zara yang lincah, degil adalah cabaran buat Kiefli tatkala tanpa diduga dia diminta Rubiah menikahi anak gadisnya itu. Demi permintaan Rubiah yang diambang maut, Kiefli yang masih terikat hatinya pada sang kekasih lama sukar menerima permintaan Rubiah namun hatinya yang lembut akur dengan rayuan sahabat yang tidak berdaya. Tidak Zara ketahui hasrat Rubiah itu terkandung kisah tersirat yang bakal mengubah persepsi dirinya pada Kiefli. Zara dan Kiefli akur melangkah ke gerbang perkahwinan bersyarat yang akhirnya tanpa dirancang membuka hati beku kedua-duanya untuk saling kenal, saling menerima kelebihan dan kekurangan masing-masing juga saling merasai ikatan antara mereka biarpun secara zahir ia cuba dinafi. Saat hati sudah saling seia dan sekata, kemunculan Intan merobek hati Zara dan kemunculan kembali Rania memaksa Kiefli bertindak demi Zara biarpun dia tahu keputusan itu bakal melukakan lagi Zara.

Rentak penulisan sang penulis ini yang saya kira lebih sinonim dengan unsur-unsur romantik ternyata berjaya digarap dengan baik sekali lalu memberi peluang pembaca menyusuri sebuah kisah kehidupan yang begitu menarik dibaca. Mungkin ada beranggapan kisah kahwin paksa atau kahwin kontrak ini sudah terlalu kerap dipersembahan dalam karya-karya di pasaran sebelum ini namun penulis memberikan nafas baru didalam pengolahannya menerusi kelainan jalan dan jalinan cerita yang diukir beliau didalam naratif ini.

Persembahan plot berjajaran kronologi ini cemerlang ditangani penulis. Bagi saya penulis semakin hebat mengawal pergerakan plot agar Nampak teratur, kemas dan tiada lompang yang berkemungkinan akan menjejaskan fokus pembaca. Plot TSM dibina dengan unsur dramatik demi mencuri perhatian pembaca dan ternyata penulis sangat Berjaya di sini. Tema cinta dan kasih sayang adalah yang tema yang begitu popular dan cinta yang diangkat di dalam TSM lebih kudus dan tulus didalam memberi pemahaman secara lebih mendalam hubungan kasih sayang sesama manusia itu begitu luas dan tiada sempadannya.

Laras bahasa pilihan penulis didalam naratif ini lebih bersahaja, selamba dan bersesuaian dengan persembahan jalan cerita. Tiada penggunaan elemen-elemen personifikasi juga metafora yang sukar difahami maknanya oleh pembaca. Sunting dikawal baik didalam memastikan persembahan naskhah ini nampak hidup dan tidak bercelaru dari satu peristiwa ke peristiwa yang lain.

Dari sudut perwatakan memperlihatkan kecemerlangan Kedua-dua watak utama; Kiefli dan Zara yang menerajui naratif ini. Watak Kiefli dan Zara seimbang dan cemerlang digarap penulis. Mainan emosi juga pergolakan dalaman kedua-dua watak utama ini dilayarkan dengan baik oleh penulis. .Rahsia yang melingkari kehidupan kedua-dua tunjang utama ini dalam mencari jawapan pada persoalan tersebut dibuka hijabnya dengan begitu baik sekali. Watak Rubiah, Jaherry, Gabriel, Romei, Rueben, Zakry, Intan juga Camelia adalah sokongan kepada lengkapnya kisah ini disamping kecemerlangan garapan watak Rania yang misteri.

Kepada penulis, sekalung tahniah atas persembahan hebat untuk naskhah ini.. Semoga Nita akan terus hebat melakar kisah-kisah lain dimasa hadapan untuk tatapan para pembaca juga penggemarmu.

Saturday, May 15, 2010

"SeLamaT Pagi CikGu!..."

Tanpa guru, rasanya aku tidak akan bisa kenal abjad juga nombor...

Tanpa guru, rasanya aku tidak akan bisa membaca, menulis juga mengira...

Tanpa guru, rasanya aku tidak akan bisa tahu apa itu makna sebuah kehidupan dan masa depan...

Dan pastinya tanpa ilmu juga tunjuk-ajar oleh guru-guruku dahulu, aku tidak mampu mengukir catatan ini...

Buat Mrs Wong, guru darjah kala aku di dalam darjah 1B Primary MGS Jln March Kuala Lumpur, million thks teacher Wong...for your care, for you patient, for your thought...for everything!

Buat barisan bekas guru-guru di Secondary MGS Jalan Cenderasari Kuala Lumpur dari tahun 1983-1989; Mrs Peter, Mrs Joseph, Mrs Oun, Mrs Nathan, Puan Hamidah, Puan Kalsum, Puan Salbiah, Puan Saodah, Puan Fatihah, Puan Siti Senja serta lain-lain yang tidak sempat aku senaraikan di sini.... jasa anda semua terlalu besar maknanya didalam diri ini.

Buat insan-insan mulia yang pernah aku panggil cikgu dari 1977 -1989, terima kasih atas segala ilmu yang diberi, tunjuk-ajar yang tidak berbelah bagi, nasihat juga teguran demi kebaikan diri. Tanpa cikgu, aku tidak akan sampai ke tahap ini...hari ini.

Buat semua bekas guru-guruku baik di Sekolah Rendah Perempuan Methodist juga di Sekolah Menengah Perempuan Methodist Kuala Lumpur...buat anda semua yang amat aku sanjungi dan hormati...Selamat Hari Guru!

Selamat Hari Guru buat semua insan bergelar guru dan cikgu di Malaysia...anda adalah nian yang menerangi tiap jiwa kerdil bernama murid!