Blogger Templates

Monday, November 30, 2009

PuiSi UnTuK NaDina...


TAJUK: PUISI UNTUK NADINA
PENULIS : BAHRUDDIN BEKRI
PENERBIT : PTS ONE SDN BHD
HARGA : RM16.90
CETAKAN PERTAMA : 2009
GENRE : REMAJA DEWASA & KOMEDI RINGAN
BINTANG : 3 ½


--------------------------------------------------------
“…Tuhan, berikan aku cinta yang tidak perlu aku memilih antara dua keindahan...dan terima kasih kerana Kau berikan aku dia…cinta yang tidak perlu aku pilih..”

Resensi Si Ungu:

Kisah cinta antara 2 darjat memang terlalu sinonim di dalam masyarakat kita dan kisah klise begini tidak asing diterjemahkan oleh penulis mengikut acuan masing-masing didalam naskhah mereka. Kesamaan yang kerap akan menimbulkan kebosanan jika tiada kelainan yang ditampilan. Disini kreativiti penulis akan dicabar untuk menghasilkan corak persembahan yang akan menentukan hala tuju naskhah mereka dan samada ia dapat diterima atau sebaliknya oleh pembaca.

Puisi Untuk Nadina (PUN) merupakan naskhah ke-3 penulis yang telah saya sudahkan. Dengan berpaksikan format dan aplikasi formula cerita yang menggabungkan unsur humor spontan, PUN direalisasikan sebaiknya oleh penulis . Unsur humor spontan yang dilayarkan mencuit hati walau dipenakan secara cukup bersahaja namun ia sudah cukup mengundang senyum dan tawa pembaca samada secara langsung mahupun tidak. Saya kira inilah trademark penulis untuk karya-karya yang dihasilkan beliau.

Pembentukan identiti didalam setiap karya yang dihasilkan oleh seseorang penulis saya kira memang perlu kerana ia akan membezakan karya seseorang penulis itu dengan penulis yang lain. Saya kira penulis ini sudah berjaya mencipta identiti beliau yang tersendiri di dalam karya yang beliau hasilkan cuma saya fikir penulis perlu lebih kreatif didalam mencorakkan agar tidak kelihatan stereotype jika perbandingan diantara karya dibuat. Ini penting agar penulis mampu menjadi lebih versatile didalam penghasilan sesebuah karya baru dan tidak terlalu terikut dengan rentak karya terdahulu. Saya kira penulis perlu mengambilkira hal ini didalam penghasilan karya-karya beliau dimasa hadapan. Ia perlu demi menjamin kesetiaan pembaca pada karya-karya beliau.

Tema dan mesej cerita memfokus pada elemen kasih sayang sesama manusia yang ditonjolkan melalui watak utama PUN; Borhan namun diolah dengan begitu bersahaja menjadikan ia cukup ringan dimata pembaca ditambah dengan rencah komedinya tanpa sedikitpun sisipan unsur melankolik pasti mengundang juring senyum pembaca. Laras bahasa yang mudah dipilih sebagai mode penulisan sangat bertepatan dengan corak persembahan cerita.

Perwatakan Borhan adalah fokus utama didalam PUN. Biarpun watak pemuda tidak kacak ini diangkat sebagai watak utama ditambah dengan banyak kekurangan lain pada dirinya namun penulis saya kira berjaya menjadikan Borhan seorang role model yang patut dicontohi. Semangat, keazaman juga sikap positifnya didalam mengharungi cabaran hidup adalah pengajaran terbaik untuk dijadikan ikutan dan panduan. Nadina bagi saya tidak begitu ditonjolkan. Wataknya bersifat sederhana sahaja dan bagai seimbang dengan watak-watak pembantu yang lain seperti Sehah, Ramadhan dan Iqwan Daniel. Kemunculan watak kumpulan Yumilo dan Jeruit anak Tumpang di dalam insiden-insiden tertentu seperti disengajakan sahaja namun tetap menghiburkan.

PUN membawa kisah seorang pemuda miskin bernamah Borhan yang terpaksa menamatkan zaman sekolah lebih awal demi memberi laluan pada adiknya Sofea. Borhan yang tidak kacak dan berambut tebal (lawak ayat ni..) adalah pemuda yang sangat rajin berusaha dan bekerja keras demi memenuhi keperluan keluarga tercinta kerana dialah tempat bergantung ibu, adik dan datuknya yang sakit. Penglibatan abangnya didalam kancah penyalahgunaan dadah menambah beban yang perlu digalas Borhan. Borhan yang mulanya bekerja sebagai pencabut bulu itik di pasar dan di sana dia mengenali Emil, si gadis cina penjual sayur yang menjadi cinta pertamanya…cinta yang tidak kesampaian bila Emil melanjutkan pelajaran ke luar negara. Pertemuan yang tidak disengajakan antara Borhan dan Nadina; gadis hartawan disaat kedua-dua sedang berduka adalah takdir yang sangat indah…namun bukan seindahnya di mata mereka berdua. Borhan dan Nadina sering bercakaran tiap kali berjumpa dan tidak pernah mahu berbaik. sehinggalah satu ketika semasa Borhan bekerja sambilan sebagai pelayan di kafe kolej tempat Nadina belajar dan disitu tercetus insiden yang mengubah tanggapan buruk Nadina terhadap Borhan.


Plot cerita dibina dengan cukup kronologi dengan sedikit sisipan teknik imbasan kembali. Kesegaran plot yang dicipta banyak membantu pergerakan cerita yang disampaikan penulis dalam merealisasikan mesejnya kepada pembaca.

Buat penulis,teruskan usaha kreatif anda. Semoga terus cemerlang menghasilkan karya-karya hebat dan bermutu di masa hadapan.

Saturday, November 28, 2009

HappY 7tH BirThdaY BabY..maY AllaH blesseD yoU & youR liFe ALways, Ameen...





Selamat Ulangtahun harilahir yang ke-7 buat anak saudara kucc; baby @ Nur Aqilah Saffiya. Moga perjalanan hidupnya yang masih panjang ini akan sentiasa didalam rahmat, lindungan dan barakah dari-Nya, insyaallah...amin.

Thursday, November 26, 2009

SeLamaT HaRi RaYa AiDiLAdHa


Buat semua teman sealiran juga para pengunjung budiman blog Si Kucing UnGu, Selamat Hari Raya Aidiladha dari kucc. Pada yang melakukan ibadah korban, selamat melakukan ibadah mulia ini dan semoga ia diterima di sisi-Nya dan semoga ia diberkati, insyaallah.

Thursday, November 19, 2009

EpiSoD CinTa di TaNaH HiJraH...


Tajuk Buku :Episod Cinta Di Tanah Hijrah
Penulis : Amaruszati Noor Rahim
Penerbit : Dewan Bahasa & Pustaka
Harga : RM35.00
Cetakan Pertama : 2009
Genre: Patriotisme & Kasih Sayang

Bintang : 4 1/2


--------------------------------------------------------------
“Kemajuan mengembangkan kemajuan, keyakinan menimbulkan keyakinan, kejayaan mengulangi kejayaan..

…dalam diri kita ini ada satu sumbu cinta. Bila kita nyalakan sumbu yang ini, hidup kita akan terang benderang. Cinta kepada Allah, pilihkah sumbu itu. Bila kita cinta kepada Allah, kita akan cintai diri kita sendiri. Sebelum mengharapkan orang lain mencintai kita sepenuh jiwa, kita mesti cintai diri kita sendiri, jaga diri kita sendiri..”

Resensi Si Ungu:

Agak lama penulis hebat ini menyepi. Pasti ramai yang merindui kehebatan penanya menari di lembar putih. Saya tidak terkecuali. Beliau antara penulis yang saya begitu kagumi…kagum pada ideanya tika dicoretkan di lembar kertas lalu menjadi sebuah naskhah yang hebat dimata, kagum pada gayanya yang tersendiri, karya beliau ada identiti diri. Lalu saat mengetahui beliau muncul dengan kisah baru, saya jadi sangat teruja untuk mendapatkannya. Saya sudah mendapatkannya pada bulan Julai dulu namun kekangan masa membuatkan “dia” terpaksa menunggu giliran dirinya. Alhamdulillah, Naskhah terbaru beliau; Episod Cinta di Tanah Hijrah ini berjaya saya sudahkan hujung minggu lalu. Buat makluman, naskhah ini bukanlah kisah cinta biasa…ia kisah cinta tersirat yang penuh sejarah, penuh suka duka...penuh pengajaran. Yang pastinya bagi saya naskhah ini sangat mengagumkan sekali.

Saya generasi pasca merdeka maka segala pahit getir ketika negara di zaman gelap, penuh kelam dan bermandi darah tidak saya lalui. Hanya melalui pembacaan juga penceritaan sedikit sebanyak segala memori pahit di kala itu ada tersimpan di minda sebagai makluman juga peringatan pada diri sendiri. Peringatan tentang perlunya saya bersyukur tidak perlu melalui keadaan dulu yang penuh catatan sedih. Lalu bila penulis ini membongkar laluan getir sejarah silam dengan catatan perjalanan watak utama naskhah ini; pakcik Ghaffar jiwa rasa sangat tersentuh dengan pengkisahan yang mengembalikan semula ingatan tentang sejarah silam…sejarah duka yang tidak mungkin terpadam. Sejarah yang seharusnya menjadi teladan dan ingatan pada kita semua khususnya generasi pasca merdeka.

Sejajar dengan penghasilannya yang bertitik tolak dari ulangtahun 50 tahun kemerdekaan negara, maka memang tepat naskhah ini berintipatikan tema dan mesej perjuangan. Perjuangan yang tidak menjurus pada ledakan senjata dan aliran darah namun lebih tersirat pada perjuangan diri…perjuangan memartabatkan pencapaian diri khususnya dan negara amnya. Perjuangan yang mengangkat semangat memajukan diri demi kesejahteraan generasi akan datang. Saya sangat kagum dengan cara penulis menyampaikan wacananya ini pada pembaca. Teknik aliran kesedaran yang dipilihnya cukup realistik dan beliau tidak perlu penceritaan yang penuh elemen bunga-bunga bagi memukau pembaca. Jiwa cukup tenang tika menghayati naskhah ini, seakan merasai diri berada di lokasi cerita.

Saya sering menyatakan peri penting perwatakan didalam sesebuah naratif kerana di situlah “nyawa” naskhah tersebut. Ghaffar adalah watak utama yang memberi warna dominan pada naskhah ini. Watak Ghaffar seorang peneroka gigih berusia 80-an Felda di Kg Awah, Pahang cukup kuat sekali pengaruh pada persembahan keseluruhan naratif ini. Segala rentetan hidupnya dari zaman bergelar anak teruna seawal usia 20 tahun hinggalah kepada catatan penglibatannya pada zaman pendudukan Jepun, Bintang Tiga ,British di Tanah Melayu tidak ketinggalan kisah cintanya pada tunangan; Salmiah yang akhirnya dikahwini setelah 41 tahun diikat dengan tali pertunangan hinggalah kepada zaman selepas kemerdekaan yang membawa kepada keputusannya menyertai Felda dipersembahkan dengan cukup teliti melalui nota pengkisahan pada Fragmen Perjuangan tulisan Ghaffar. Maisarah & Masitah anak kembar Ghaffar juga berdarah pejuang sepertinya. Perwatakan Maisarah; seorang pembantu pengurus kanan di Trend Excell yang akhirnya dibuang kerja akibat dengki kianat rakan sekerja begitu mengujakan saya. Saat dia bangkit dari kecewa dilempar seperti sampah oleh bekas majikan dan bagaimana penulis melakar dengan cukup cantik kewajaan jiwanya yang tidak mahu mengalah lalu memutuskan mahu menjadi penternak kambing baka import di Felda dengan menggunakan ladang sawit ayahnya sebagai tempat bermula, saya sudah jatuh cinta pada watak Maisarah. Dr.Masitah, pakar perbidanan dan sakit puan yang juga berpangkat adik kepada Maisarah. Seperti juga watak Maisarah, perwatakan Masitah sangat indah dipotretkan penulis. Cukup teliti digambarkan keutuhan watak doktor muda ini yang cukup berwawasan dan komitet dalam kerjaya. Rentetan sedih kehilangan umi; Nor Aisyah dan melihat kesulitan arwah umi saat melahirkan adik yang berkeadaan songsang mendorong Masitah mahu terus berbakti pada masyarakat di dalam bidang pilihannya. Kita dapat menyelami kesedihan Masitah dan kita turut teruja dengan semangat kecintaannya yang cukup tinggi dalam bidang kerjayanya. Watak Ikram lebih hebat dimata saya biarpun dia tewas di tangan Tanaka untuk bertakhta di hati Maisarah. Watak Ikram cukup idea dan wajar menjadi ikon yang baik buat generasi muda. Semangat dan usahanya di dalam meningkatkan martabat Felda Kg Awah begitu cantik diportetkan penulis. Biarpun Dr Eng @ Mohamad Amin cumalah watak sampingan, saya sukakan penampilan wataknya di dalam naskhah ini. Watak Salmiah cukup menghibakan saya. Trauma yang dialami cukup berkesan dipenakan penulis. Kita boleh merasakan derita batin yang dialami Salmiah. Sesukar mata kita yang melihat apatah lagi tubuhnya yang merasainya sendiri.

Episod Cinta Di Tanah Hijrah menemukan pembaca dengan pakcik Ghaffar seorang peneroka Felda di Kampung Awah, Pahang. Beliau yang juga bekas anggota Rejimen Askar Melayu di zaman pendudukan Inggeris di Tanah Melayu pernah melalui zaman getir ketika pemerintahan Jepun, Bintang Tiga dan merupakan juga anggota Tentera Pembebasan Melayu Nasional yang menentang British selepas kekalahan Bintang Tiga. Dalam usia sudah mencecah 80-an beliau cukup bersemangat dan dengan dibantu cucu saudara; Ikram Ghaffar mengambil keputusan melakarkan segala kisah getir yang dilalui dulu tika di zaman penjajah untuk dikongsi dengan generasi muda didalam sebuah Fragmen Perjuangan yang akhirnya berjaya dibukukan. Dalam mengharungi hidup yang tersisa, dugaan tidak terlepas darinya. Maisarah puteri sulungnya dibuang kerja tiba-tiba. Berbekal semangat yang ada, anaknya itu bangkit lalu berkeputusan mahu menjadi penternak di tanah kelahirannya. Ghaffar yang sedikit cuak namun cepat sedar lalu sokongan padunya melakar kejayaan buat sang puteri. Namun hubungan mereka yang mesra itu tiba-tiba muram. Kemunculan Tanaka, bekas rakan sekerja Maisarah tidak dialu-alukan Ghaffar. Maisarah buntu, tidak tahu sebab ayahnya bertindak sedemikian. Hatinya jadi pilu, jika bangsa dijadikan ukuran mengapa Dr Eng, teman istimewa adiknya Dr Masitah begitu diterima baik oleh Ghaffar. Puas bertanya, puas menyelidik, namun tetap gagal. Ikram yang menaruh hati pada Maisarah tetapi sedar diri bahawa dirinya cuma teman baik dimata Maisarah cuba menolong. Lalu Fragmen Perjuangan yang hampir siap diajukan pada Maisarah. Disitulah terletak jawapan pada persoalannya selama ini. Namun lebih hebat, catatan itu membongkar lebih dalam tentang siapa ayahnya itu. Dia punya abang rupanya selama ini, malah arwah umi bukanlah isteri pertama ayah mereka rupa-rupanya.

Gaya bahasa yang diaplikasikan penulis cukup ringkas, bahasa perbualan hari-hari. Tiada langsung sebarang elemen metafora, personikasi yang mewarnai naskhah ini namun ia langsung tidak menjejaskan keindahan naskhah ini di mata pembaca. Sebagai wanita, penulis ternyata begitu hebat mengartikulasi emosi dengan lebih baik dan jelas. Lihat sahaja watak Masitah dan Maisarah. Emosi kewanitaan mereka cukup terserlah ditangani penulis.

Teknik suntingan dalam naratfi ini hebat lebih-lebih lagi apabila ia membabitkan plot cerita yang bukan bersifat jajaran kronologi langsung. Tanpa suntingan yang teliti, imbasan kembali yang dicuba dibawa pasti mengganggu tumpuan pembacaan dan ia pasti menjejaskan mood pembacaan. Kaedah yang digunapakai dalam naratif ini untuk pembaca kembali ke zaman muda pakcik Ghaffar digarap dengan cukup halus, teliti dan cemerlang sekali sehingga kita seolah merasakan kita turut berada di zaman itu.

Latar cerita yang mengabadikan Felda Kampung Awah sebagai lokasi utama cerita diadaptasikan ke dalam naskhah ini dengan cukup teliti. Ketelitian inilah yang membentuk satu gerak kerja yang menghasilkan gambaran sinematografi yang membanggakan walau cuma dizahirkan dilayar kertas. Kreativiti penulis benar-benar terpamer di sini. Saya seolah boleh melihat si putih boer berlari riang di ladang sawit meragut rumput.

Untuk penulis, terima kasih untuk sebuah episod cinta yang cukup indah. Lakaran kisah perjuangan di sebuah tanah hijrah yang sangat mendamaikan. Buat pembaca budiman di luar sana, jika anda sedang tercari satu kisah, satu cerita yang akan meninggalkan satu kenangan bermakna yang tidak akan anda lupakan sepanjang hayat, maka pastikan Episod Cinta Di Tanah Hijrah berada di dalam senarai mesti beli anda.

Monday, November 9, 2009

Biarlah YM Berbicara

Tajuk Buku :Biarlah YM Berbicara
Penulis : Hanni Ramsul
Penerbit : Kaki Novel
Harga : RM20.00
Cetakan Pertama : April 2009
Genre: Romantik
Bintang : 3


-------------------------------------------------------
" everyone falls in love sometimes, sometimes it's wrong, sometimes it's right, For every win, some one lose..."

Resensi Si Ungu:

Kuasa cinta sememangnya ajaib. Manusia adakalanya sanggup melakukan apa sahaja deminya. Kerana cinta kuasa akal adakala tidak mampu mengambilalih aliran emosi seseorang...kerana cinta itu sebenarnya adalah aliran elemen rasa...elemen perasaan. Maka akal seakan dibius tatkala ia hadir. Namun, Ia juga sebenarnya mampu menggerakkan motivasi seseorang individu untuk berhempas pulas untuk merealisasikan impian. Impian cintanya. Inilah intipati yang diangkat didalam Biarlah YM Berbicara (BYMB); karya sulung penulis muda berbakat besar kelahiran negeri Darul Iman ini. Sebuah persembahan yang saya kira agak baik dari beliau walaupun ada serba sedikit perihal yang perlu diteliti penulis demi memantapkan mutu karyanya di masa hadapan.

BYMB bergerak sebagai sebuah naratif yang serba santai sifatnya dimana hampir 90% naskhah ini dipenuhi dengan dialog antara kesemua watak-watak utamanya. Konflik yang dibangkitkan didalam naratif ini adalah konflik cinta yang stereotaip sifatnya..soal curiga, ketidakpastian tentang perasaan, was-was pada pasangan lalu diseret dengan elemen rajuk yang membawa kepada pelarian sang bulan yang saya kira sudah terlalu sinonim dengan kisah cinta yang seringkali kita baca atau tatapi samada di layar kertas, kaca mahupun perak. Sebuah kisah cinta yang begitu klise.

Watak utama Dhiya @ Tiya dan Firdaus berganding dengan nisbah yang seimbang antara kedua-duanya. Tiada dominasi antara kedua-dua watak utama ini. Dalam situasi tertentu saya kira watak Firdaus selaku ketua di kilang agak sedikit tidak relevan dengan kedudukan professionalnya. Adakah masa ketua pejabat berchatting kala di waktu berkerja?. Pergaulan sosial antara pekerja pasti ada batasnya bukan. Saya bukan prejudis, jauh sekali memandang pangkat didalam etika bergaul tapi kita bicara soal logik disini. Dan persoalan logik jugalah yang agak membingungkan saya tatkala memikirkan bagaimana watak Dhiya yang dipotret sebagai akauntan boleh diarahkan menjadi setiausaha. Saya seorang setiausaha dan kerjaya saya dikelilingi oleh individu-individu yang bergelar akauntan...saya bertanya mahukah mereka bertukar tempat dengan saya ..saya kira anda tidak akan sanggup mendengar jawapannya. Justeru itu, saya kira agak tidak relevan tentang pertukaran jawatan Dhiya hanya kerana penulis ingin mendekatkan mereka berdua. Pilihlah situasi jawatan yang lebih logik dan mampu dihadam akal. Saya kira penulis juga perlu mengambilkira persoalan susila adap dan adat yang saya lihat tidak begitu ditekankan didalam naratif ini. Jangan kerana asyik memotretkan emosi cinta dan kasih antara kedua-dua watak utama, perkara ini terlepas pandang. Perlakuan Firdaus tatkala dikampung Dhiya saya kira sedikit keterlaluan. Memegang dan mengelus pipi, memeluk pinggang anak dara orang di halaman rumah, bukankah itu kurang sopan namanya?. Mungkin ini faktor penyumbang kepada kelonggaran naskhah penulis ini. Kita sedia maklum watak dan perwatakan sangat penting didalam sesebuah naratif. Kelemahan penulis mengolah setiap watak yang dicipta akan memberi kesan langsung yang cukup besar kepada persembahan naratifnya secara keseluruhan.

BYMB menyusuri kisah cinta romantis yang disulam di alam maya antara Ugly Betty dan Charming. Charming tahu siapa sebenarnya Ugly Betty tapi tidak Ugly Betty dan demi merapatinya, Charming menggunakan cara maya untuk memikat kerana dia pasti jika tidak begitu dia tidak mungkin dapat mendekati Ugly Betty. Dan kerana alasan itu jua lah identiti dirinya terpaksa dirahsiakan. Di alam nyata mereka adalah insan yang sebenarnya saling mengenali, sering berjumpa dan berhubung di dalam urusan kerja. Firdaus adalah ketua yang juga anak tuan punya kilang tempat Dhiya bekerja. Selain dicintai Firdaus, Dhiya juga diburu cinta abang sepupunya, Kamal yang sedari dulu tidak pernah putus asa mendapatkan cinta Dhiya. Di tempat kerja, Dhiya juga diminati dalam diam oleh Johan, rakan sepejabat namun sayang cinta Dhiya hanya untuk kekasih alam mayanya, Charming. Dhiya sebenarnya dalam diam juga menyukai Firdaus, tindak tanduk Firdaus adakalanya mengelirukan Dhiya yang sedikit keanak-anakkan. Penyamaran Charming akhirnya diketahui Dhiya dan kerana dihimpit rasa malu, tidak yakin juga ragu-ragu Dhiya tanpa berfikir panjang nekad meletak jawatan. Pelariannya di kampung akhirnya menemukan sebuah kepastian di dalam hatinya...bicara di YM nyata bukanlah semuanya tipu daya.

Mesej penulis dalam naratifnya kali ini menyimpulkan satu perkara tentang manusia yang adakala sukar atau mungkin tidak berupaya meluahkan perasaan sendiri pada insan yang dikasihi secara diam-diam. Kadangkala keputusan itu mungkin membawa kesan pada diri sendiri juga pada pihak yang satu lagi. Jika tidak diluahkan bagaimana mahu dipastikan jawapannya. Risiko pasti ada tapi adakala lebih baik begitu dari terus menerus memendam rasa. Naskhah ini turut menyimpulkan tentang satu perkara penting yakni, jodoh adalah suatu ketentuan yang pasti dari-Nya. Setiap yang terjadi pada setiap insan dalam perjalanan hidupnya pasti ada hikmahnya yang tersirat.

Pergerakan naratif BYMB tidak seratus peratus bersifat kronologi. Ada ketika teknik imbasan digunapakai namun cukup tersusun dan bijak ditangani penulis dengan baik agar tumpuan pembaca tidak tersasar . Dari satu bahagian ke bahagian yang lain, kesinambungan cerita nampak cukup kemas .Penggunaan laras bahasa mudah dan santai mewarnai naratif beliau ini.

Buat saudari penulis, semoga komentar saya ini diterima dengan hati terbuka. Sebagai pembaca yang mengagumi bakat anda, anggaplah catatan ini sebagai cabaran untuk anda menghasilkan yang lebih baik dan hebat pada karya akan datang. Saya akan menunggu karya terbaru anda itu.

Sunday, November 1, 2009

BaTu SeremBan...



Pasti ramai yang tahu main batu seremban kan...permainan tradisional zaman kanak-kanak yang paling popular untuk budak-budak perempuan selain teng-teng...ni laa 2 permainan favourite kucc masa kecik-kecik kerana ia tidak memerlukan ramai pemain takat 2 orang pun dah boleh main...tak macam main galah panjang, konda kondi atau polis sentri kenalah ramai-ramai baru best!...
Batu seremban ni ada 2 cara ia dimainkan. Ada buah 5 macam gambar kat atas atau buah 7...tapi main cara buah 5 lebih popular berbanding buah 7 sebab main buah 7 ni lebih susah sikit berbanding buah 5...
Dulu kalau nak main batu seremban ni pergilah kutip batu-batu kat luar rumah atau kalau rajin ambiklah perca kain kemudian dipotong empat segi kecil ikut saiz yang sama untuk bilangan 5 kemudian diisi kacang hijau atau pasir kemudian dijahit...sesudah siap, boleh main..yeahhh!
Sekarang ni..jangan terkejut batu seremban pun dijual di kedai!..tengoklah macam gambar yang kucc pastekan kat atas tu. Kucc langsung tak tahu hinggalah dimaklumkan oleh anak saudara, baby dan bila melihat sendiri bungkusan-bungkus kecil bersalut plastik yang mengandungi 5 punjut kain berbagai corak dan warna bergantungan di kedai kucc jadi terkejut beruk...walla beb!

Setiap bungkus dijual RM1...dan untuk nak lepaskan gian, kucc pun beli satu untuk diri sendiri..ahaaks... dan dipaksa belikan 2 untuk baby...satu untuk main kat sekolah agama dan satu lagi untuk main kat sekolah kebangsaan katanya, issh lawan tokei betul!