Blogger Templates

Thursday, April 28, 2011

BLuEs ReTro...


Tajuk Buku : Blues Retro
Pengarang : Imaen
Penerbit : JS Adiwarna Sdn Bhd
Editor : Noor Suraya Adnan Sallehudin
Harga : RM17.00
Cetakan Pertama : 2011
Genre : Semi Drama
Bintang : 4.5

--------------------------------------------------------
"saya dah biasa susah. Saya manusia yang tak rasa apa-apa kalau baca novel sad ending.Jadi saya manusia yang boleh hidup dengan kesedihan.Jiwa saya kuat, seteguh karang, insyaallah."

Kata Kucc:
"kesian tak pada Ghazi?" Itu soalan pertama yang dilontar penulis pada saya. Saya memang tak jawab soalan saudara Imaen masa tu. Saya sebenarnya banyak terdiam seusai membaca naskhah ini. Seperti ada yang tersangkut di lubuk hati. Tak terluah. Jika mahu menjawab soalan penulis, saya akan kata perasaan saya ada macam-macam pada Ghazi. Bukan setakat kasihan. Lebih dari itu. Sungguh!

Kisah ini bukan setakat masam manis kehidupan. Masin, pahit, kelat, payau juga tidak terkecuali. Semuanya bercampur-gaul. Kata penulis, ini kisah benar. Kisah seorang teman yang dipenakan didalam naskhah nukilan terbaharu beliau ini. Saya cuba membayangkan teman penulis dan cuba meletakkan diri pada jarum kehidupan temannya pada waktu itu. Tidak terjangkau dihati rasa itu. Sukarnya membayangkan perasaan "G" yang ditubi dengan pelbagai rintangan, dugaan juga hambatan hidup. Kiri dan kanan, Atas dan bawah. Yang melihat tidak akan sama dengan yang menelan. Justifikasi tidak akan berpaksi pada garis linear yang sama kerana kiblatnya berbeza.

Blues Retro (BR), buah tangan terbaharu penulis yang sangat saya kagumi pena sinisnya bila berkarya. Sinis beliau kali ini melankolik warnanya. Kisah kehidupan dua darjat yang diangkat sebagai tema utama. Mungkin bukan satu tema yang asing didalam karya penulisan kreatif namun bila ia disandarkan dari sebuah realiti dan bukannya ciptaan semata-matanya, lakon layarnya pasti lebih hidup dan terkesan dihati. Berlatarkan Universiti Lembah Pantai sekitar tahun 1987-1990, BR dibangunkan dengan gambaran suasana mahasiswa dan mahasiswi disekitar latar masa berkenaan. Sinematografi jalan kisah ini berkembang cemerlang dan disunting dengan begitu teliti agar tiada lopak-lopak pada hamparan naratif yang boleh mengganggu perjalanan bacaan pembaca.

BR menobatkan Ghazi; si anak kampung miskin sebagai peneraju naskhah. Penuntut jurusan tidak glamour; antropologi Universiti Lembah Pantai yang seawal jejak ke menara gading sudah ditempelak dengan budaya suai kenal yang tidak memihak padanya. Perwatakan Ghazi mampat dan jitu ditangan penulis. Optimisnya mengujakan, langkah pantang undurnya mengagumkan dan kental jiwa juga semangat juang anak muda ini meruntun naluri. Peribadi luhurnya memikat, keunikan personaliti menggamit hati untuk dekat padanya. Sisi manis dirinya yang tersendiri menghiburkan. Ghazi hidup dimata pembaca dan sememangnya wajar begitu kerana dia bukan watak ciptaan biar hanya dilakar di kanvas lembar putih.

Nik Farhana @ Hana. Awal pembuka bicara watak gadis cantik bakal doktor yang ada bau istana ini memikat. Perwatakannya jernih dimata. Personaliti sederhananya sejuk mata. Buah hati Ghazi yang pada awal kata bicaranya teguh mempertahankan kasih mereka. Tidak kisah biar tahu betapa besar jurang beza status sosial dia dan arjunanya itu. Tidak kisah biar tahu tentangan besar yang bakal datang dari bondanya. Pada tahap ini Hana mengagumkan. Teguh prinsip dirinya yang tidak mudah goyah pada asakan dan dugaan hebat yang menimpa diri arjuna hatinya itu membuai rasa. Tetapi bila akhirnya kata lidah tidak sekata dengan kata hati, jiwa mula goyah pada dugaan yang terzahir didepan mata, mana mungkin boleh bersatu dua jiwa menjadi satu. Hidup ini bukankah perkongsian rasa antara dua jiwa.

Tengku Nordin. Aduhai menjengkelkan betul kerabat yang satu ini. Antagonisnya sekelam-kelam alam. Lagaknya memualkan. Egonya tidak kena tempat. Hipokritnya lelaki ini meletakkan darjah diri di sepatu sahaja layaknya. Sepupu Nik Farhana ini seburuk-buruk potret diri seorang lelaki. Mungkin begini juga sebenarnya doktor gigi ini diluar sana. Eei, menyampah sungguh!

Tengku Zainun. Bonda Nik Farhana ini bukan spesies mesra alam. Antagonisnya sama naik dengan anak saudara yang satu itu. Warna potret diri gelap. Hatinya juga sama. Tidak mungkin boleh cerah biar dicuci air tujuh lautan sekalipun. Melihat manusia pada tingkat-tingkat sosial. Bangga pada darah keturunan yang merahnya sama sahaja dengan insan-insan kelas bawahan. Bukan kuning atau hijau jingga!

Bahasa naratif bersahaja namun melankoliknya terserlah tanpa sedar. Sinisnya disulam penuh berhemah tapi tepat ke sasaran!

BR menebarkan layar tentang kisah Ghazi, si mahasiswa antropologi. Pemuda miskin harta namun kaya budi dan kental jiwa. Demi kelangsungan hidup dan menampung kos pengajian, bersama teman sekepala Alias, gerai burger melayu; Wrap & Roll Express terbina. Berdiri megah dari usaha tangan dua anak muda ini. Berkenalan dengan Nik Farhana, pelajar jurusan perubatan sewaktu minggu suai-kenal, persahabatan mereka makin mekar hingga melangkah ke frasa yang seterusnya. Biar adakala wujud pertentangan pendapat antara mereka lantaran prinsip yang tidak selari, ia tidak pernah menjejaskan perhubungan. Saling memahami diri masing-masing adalah pendekatan selamat yang diambil antara kedua-duanya. Jika Hana tetapkan pendirian dan berpegang pada kata janji yang dilafaz, mungkin bukan begini kesudahan mereka. Namun siapa kita mahu menolak takdir. Yang tersurat sudah tercatat tintanya di loh mahfuz.

Hidup ini landasannya berliku. Bukan satu garisan lurus. Inilah mesej yang saya kira cuba diterap penulis didalam naratif terbaharu beliau ini. Mesej yag menjadikan kita para insan pembaca berfikir tentang kehidupan dan bagaimana rentetan kehidupan itu bisa membantu kita menjadi tabah hati dan paling utama menghargai kehidupan dan nilai-nilai kemanusiaan.

Buat pembaca yang belum menelaah naskhah ini, ia wajib anda baca kerana bagi saya ia sememangnya mempunyai tarikan kontemporari tersendiri. Ia menebar jiwa yang masih mencari ruang dan makna kehidupan agar bangkit membakar semangat diri dan jangan sesekali berputus asa, biar nyawa sudah meniti dihujung jari!

Nota buat penulis:
Saya akan menunggu Blues Retro 2 anda, sebagaimana yang telah anda sebut pada saya dan teman-teman pada perbualan di PBAKL minggu lalu.

Saturday, April 2, 2011

KaCa JenDeLa AinNuR...



Tajuk Buku : Kaca Jendela Ainnur

Penulis : Diya Nordin

Penerbit : Jemari Seni Sdn Bhd

Harga : RM18.00

Cetakan Pertama : 2011

Editor : Ainunl Muaiyanah & Noor Suraya Adnan Sallehudin

Genre : Drama

Bintang : 4



--------------------------------------------------------------

"Masa itu adalah makhluk Allah yang tak pernah henti berdetik..."


Kata Kucc:

Ini kisah pilu anak yang dinafikan haknya. Penafian yang berpanjangan dari sejak dia lahir hingga ke usia remaja. Penafian yang berpaksi pada dendam yang menjadi sekam...membara dan membakar dalam diam. Tanpa belas ikhsan rentung akhirnya hati anak yang tidak bersalah lalu menyeret jiwa yang pecah, lumat di henyak jauh..nun jauh.

Tema kekeluargaan yang menunjangi genre drama Kaca Jendela Ainnur (KJA) ini digarap dengan kemas. Penulis berjaya mengangkat dan menonjolkan dengan jelas tema ini disepanjang penceritaaannya. Tidak ketinggalan mesej utama yang diseret penulis lalu dihamparkan dihadapan pembaca. Mesej yang cukup jelas tanpa selindung. Anak itu anugerah dan amanah Allah. Haknya sudah termaktub sejak didalam rahim lalu jangan sesekali khilaf didalam melaksanakan tanggungjawab ini. Padahnya bakal diusung jiwa seumur hidup.

Ainnur Shahirah memonopoli naratif ini secara keseluruhannya. Pemotretan watak Ainnur ternyata dipena dengan begitu teliti dan dijiwai dengan baik oleh penulis. Ainnur hidup dimata pembaca lalu segala sedih pilu juga beban jiwanya tiap kali dizahirkan bagai turut merengut jiwa pembaca. Ainnur mengoncang sanubari pembaca tiap kali dia disakiti. Zhafran Huwaidi tidak begitu menonjol. Pengaruh wataknya agak terbatas. Tidak begitu berkesan. Saya kira watak papa tiri Ainnur; Luqmanul Hakim lebih memberikan kesan kepada pembaca. Wataknya lebih memberi warna, memberi rasa dan roh pada naratif ini. Antagonis Syuhairah baik sekali dipenakan penulis. Biar tidak banyak adegan, dialog juga bahagian yang melibatkan watak ini, sesekali dialognya begitu menikam..tepat mengenai sasaran!

Melankolik lenggok bahasa penulis diilustrasikan dengan cukup menarik. Patah-patah katanya disusun dan dilukiskan dengan baik. Personifikasinya hidup, penuh warna dan berseni sekali.

Suntingan keseluruhan naskhah baik lalu membawa jalinan sebuah persembahan naratif yang mantap dan berkesan kepada pembaca.

KJA membawa pembaca menyusuri layar hidup seorang Ainnur Shahirah yang penuh lirih. Disisih ibu kandung sendiri, dinafikan kedudukan sebagai anak yang sah tarafnya lalu dibiarkan membawa persepsi negatif terhadap diri sendiri tanpa pembelaan. Ayah yang tidak pernah dikenal sejak kecil lalu bila diketahui kewujudannya, ia bagai memberi sinar untuk dia menumpang kasih. Sayang sekali. Ranap sekali lagi impiannya. Ayah tidak mengakui kewujudan. Dia dikata bukan anak ayah. Sampainya hati seorang mama...teganya hati seorang ayah! Ainnur mencuba segalanya demi merebut kasih mama namun setiap kali itu jugalah dia lukai. Dilukai dengan begitu dalam. Pengorbanannya pada zuriat ayah yang juga adiknya kandungnya sendiri tidak langsung dipandang. Biarpun mempunyai papa tiri yang tidak sedikitpun menyisihkannya tapi mana kan sama! Dia lelah. Dia sudah menyerah. Lalu seakan satu lorongan bila musibah yang menimpa mama membuatkan dia mengikrar janji. Janji yang membawanya jauh nun ke tanah Ratu!

Buat penulis, Ainnur anda hidup sekali dimata saya. Kaca Jendelanya menggapai jiwa untuk dijengah. Tahniah untuk sebuah persembahan yang menyentuh naluri. Buat pembaca, selusuri kisah ini untuk sama-sama merasai lirih jiwa seorang Ainnur Shahirah!