Blogger Templates

Wednesday, December 31, 2008

NaMa aKu N


Tajuk : Nama Aku N
Penulis : Aina Emir
Penerbit : Karnadya Solutions Sdn Bhd
Harga : RM17.00
Cetakan Pertama: 2008
Genre : Novel Remaja
--------------------------------------------------------------------------------
“Amanina. Tapi panggil saya N. Macam huruf “N” selepas “M” sebelum “O”..”

Resensi Si Ungu:

Kisah yang dipaparkan penulis kali ini menyusuri kehidupan seorang remaja perempuan; Amanina atau lebih gemar di panggil “N” sahaja di kalangan rakan-rakan sebaya mahupun keluarga. Menerusi”N”, penulis cuba mempamerkan kepada pembaca tentang konsep Usaha Tangga Kejayaan menerusi kisah dan paparan watak utama cerita ini. Biarpun dikelilingi cabaran, keperitan dan kesempitan hidup namun kecekalan dan ketabahan yang dimiliki N nyata berbaloi.

Penulis bagi saya cukup berkesan menjiwakan watak N didalam merealisasikan mesej tersirat di dalam penceritaannya kali ini. N boleh dilihat sebagai simbol remaja contoh yang wajar ditauladani yang tidak tergugat dengan kekurangan diri demi memajukan diri demi mencapai cita-cita masa hadapan.

Penggunaan laras bahasa pertuturan yang mudah dengan dialog-dialog yang bersahaja menjadikan cerita ini lebih santai . Tiada penggunaan unsur-unsur metafora juga personifikasi yang sememangnya tidak begitu sesuai dengan genre sebegini agar lebih mudah dihayati pembaca. Penulis cukup arif di dalam pemilihan laras bahasa bagai karyanya ini dan ia sememangnya tepat!.

Menerusi watak Mak Tok dan Aunty Yam, penulis menggunakan kelainan pendekatan di mana persahabatan yang terjalin antara N dan 2 wanita matang dan dewasa ini tidak sesekali digugat oleh faktor umur di dalam menjarakkan keeratan hubungan antara mereka. Secara am, memang agak sukar mempamerkan hubungan persahabatan sebegini berbanding persahabatan N dengan Eric juga Zafran kerana ia jarang dan sukar terjadi, namun penulis bijak memanipulasi kebijaksanaannya berkarya di dalam menjadikan ia bukan tidak mustahil! Malahan ia adalah factor penarik kearah peningkatan prestasi pelajaran, sikap juga keperibadian N secara total.

Buat penulis a.k.a Kak Aina tahniah diatas pendekatan anda menerusi karya terbaru ini dan ternyata ia bukan sahaja menghiburkan namun cukup indah dengan mesej-mesej kehidupan untuk dihayati dan direnungi bersama.

Sunday, December 21, 2008

ChinTa


Tajuk Buku: Chinta
Nama Penulis: Norhayati Berahim
Penerbit : NB Kara Sdn Bhd
Harga : RM24.90
Cetakan Pertama : 2008
Genre : Romantik & Kekeluargaan



"Cinta itu sukar diterjemahkan dengan kata-kata. Ia cetusan perasaan yang hanya jiwa dapat merasa dan menikmati. Segalanya atas nama Cinta...”
------------------------------------------------------------------------------
Resensi Si Ungu:

Usai membaca karya terbaru nukilan penulis kreatif tersohor tanahair ini saya cuba mencari kelemahan cerita ini...yelah mana tau kot-kot boleh menjawap soalan kuiz bersempena dengan kelahiran novel ini, mana tau juga ada rezeki bolehlah bergaya dengan jam Chinta..hehehe...tapi sukarnya pencarian ini...sesukar mencari sebatang jarum didalam timbunan paku! Satu kesimpulan yang dapat saya katakan sulit sekali menebak kekurangan naskhah ini namun jika anda dapat mencari kekurangannya maka saya harus “menabik” kehebatan mata minda anda.

Kisah Chinta sarat dengan persoalan kasih sayang dan hubungan kekeluargaan namun dipersembahkan dengan begitu berhemah sekali dengan sesekali sisipan unsur-unsur humor agar lebih santai isinya. Naskhah ini menggabungkan elemen romantik, maruah dan pengkhianatan didalam merungkai mesej yang ingin disampaikan penulis menerusi cerita ini .Sebuah persembahan yang cemerlang dari sudut tema/mesej, plot dan jalan cerita, laras bahasa, latar juga tidak ketinggalan perwatakan.Persoalan yang dibawa dalam Chinta walau dari lapis mana sekalipun bukanlah sesuatu yang berat.Ceritanya mudah diikuti, difahami dan dijiwai, maka tiada sebarang stigma yang dapat menghalang pemahaman pembaca untuk menghayati kisah ini dengan sebaik-baiknya.

Kehebatan Chinta banyak disokong oleh kekuatan pembinaan watak-watak utama yang menerajui cerita ini. Pemahaman watak dan krisis perwatakan yang ditunjukkan begitu cemerlang menerusi watak Chinta dan Raja Akid. 2 watak ini dibina dengan sokongan psikologi yang cukup kuat yang membawa keserlahan perwatakan mereka dalam keseluruhan perjalanan cerita. Penulis cukup bijak didalam membina dan menzahirkan 2 watak ini dalam mengangkat permasalahan sosial semasa.Watak-watak sampingan antagonis seperti Pak Cik Kamal, Raja Farah, Rodin dan Saiful juga cemerlang dilayarkan penulis hingga mampu menerbitkan rasa benci dan marah pada mereka.

Chinta dan Raja Akid ibarat Rama dan Sita semasa malahan perwatakan mereka menjadi lebih berwarna-warni apabila seorang diberikan kekurangan keberanian dalaman dan seorang lagi sangat tabah dalam menempuh tiap cabaran dan dugaan kehidupan.Perwatakan yang dibina untuk saling melengkapi antara satu sama lain..cantik sekali. Cinta tidak pernah menghalang dua manusia waima berbeza bagai langit dan bumi untuk memahami bahasa jiwa antara mereka dan itulah metafora yang diterjemahkan penulis didalam naskhah ini menerusi 2 watak utamanya ini.

Buat Kak Yati...tidak ada kata yang dapat menterjemahkan kekaguman saya pada kehebatan cetusan idea kreatif anda, dari dahulu anda sangat saya kagumi, sentiasa hebat dan istimewa sekali di mata saya...semoga pena sakti anda akan terus melakar kisah-kisah kehidupan yang penuh berwarna-warni buat tatapan para pembaca sekalian.

Bagi menutup tirai 2008, Chinta adalah buah tangan yang paling manis dari penulis terkenal ini buat peminat-peminatnya. Maka pastikan anda tidak gagal memperolehinya kerana ia sesungguhnya cukup istimewa.

Sunday, December 14, 2008

SeraSi Di HaTi


Nama Buku : Serasi Di Hati
Penulis : Nora Ismail
Penerbit : NB Kara Sdn Bhd
Harga : RM21.00
Cetakan Pertama : 2008
Genre : Romantik
cinta tidak mungkin hadir jika manusia lebih suka menilai dan menjatuhkan hukuman sebelum mengenal hati budi dan keupayaan sebenar seseorang…”
----------------------------------------------------------------------------------------------
Resensi Si Ungu:
Saya diberitahu oleh seorang teman bahawa ini merupakan manuskrip pertama Nora Ismail yang juga dikenali dengan nama penanya Rose Harissa namun ia terperap begitu lama kerna beberapa masalah. Saya jadi kagum dengan penulis ini. Jelas dia memang berbakat besar dalam dunia penulisan kreatif. Saya katakan begini kerana buku pertama beliau yang saya baca; Berikan Cintamu sangat menarik sekali dan sebagai penulis baru persembahan beliau dalam Berikan Cintamu sudah bertaraf 4 Bintang dan bila Serasi Di Hati (SDH) ini dikhabarkan adalah sebenar-benarnya karya pertama beliau dari sudut teknikalnya, maka kekaguman saya pada penulis ini bertambah setingkat. Ternyata telahan saya tepat. Dia dikurniakan bakat penulisan yang mampu membawa dia pergi lebih jauh di dalam dunia penulisan kreatif ini.

Gaya“visual’ dan naratif SDH dipersembahkan dengan sangat manis, ringkas, menarik tapi sangat menghiburkan. Lupakan“unsur-unsur hangat “yang mengiringi karya ini kerana bagi saya apa yang lebih penting adalah apa yang ingin disampaikan penulis dalam naskhah terbaru beliau ini. Ia menghidangkan hikayat cinta yang bukan bersifat artifisial tetapi begitu menusuk kalbu dan sangat romantis pengkisahannya mengenai 2 jiwa, satu cinta dalam sebuah perjalanan yang dipanggil kehidupan. SDH adalah penzahiran kisah cinta dari kaca mata seorang wanita dan terjemahan seorang wanita tentang cinta.Menerusi SDH, penulis cuba menjelaskan bahawa keajaiban cinta hadir dalam pelbagai sudut dan rupa termasuk kebetulan dan insiden yang tidak disangkakan. Demikianlah suatu keajaiban yang dianugerahkan Tuhan kepada hamba-Nya.

Jalinan plot dan sub plot yang ringkas tapi selari di samping pembentukan watak-watak utama; Zarul dan Edrinaz yang cukup berjaya melahirkan roh menerusi karektor masing-masing banyak membantu menimbulkan perasaan dan jiwa pada keseluruhan naratif SDH. Penghayatan watak yang cemerlang banyak membantu kelancaran lenggok cerita ini. Baik watak utama yakni Zarul dan Edrinaz juga watak pembantu lain seperti Zalina Asha, Shamsul Azman, Ainon saling berdiri menyokong antara satu sama lain sehingga ia hidup mengikut keperluan watak.

Mungkin ada yang bertanggapan tema cinta tidak membawa idealisme yang besar, jauh sekali meninggalkan provokasi kepada masyarakat pembaca tetapi bagi saya yang tidak skeptikal terhadap cerita-cerita yang bertema sebegini kerana bagi saya cinta adalah satu elemen yang hakikatnya wujud dalam semua genre cerita waima cerita perang, thiller atau seram.

Penggunaan laras bahasa yang mudah, ringkas tanpa perlu sisipan istilah-istilah cinta yang memualkan cukup meletakkan cerita ini pada kelasnya yang tersendiri. Saya juga cukup gemarkan cara penulis mengaplikasikan segala pengetahuannya tentang dunia muzik di dalam cerita ini menerusi watak Zarul. Kita seolah boleh memvisualkan Zarul dan gitarnya di pentas, berdiri sambil tersenyum..asyik sekali…hehehe

Buat penulis berbakat besar ini, sekalung tahniah atas persembahan hebat anda dalam Serasi Di Hati ini. Semoga peluang dan ruang yang diberikan kepada anda saat melangkah dalam gelanggang penulisan kreatif ini dimanipulasikan sebaik mungkin dengan cetusan idea yang lebih baik di masa hadapan dan semoga akan kukuh berdiri sebagai barisan angkatan penulis baru yang bakal menjadi asset dalam industri ini.

Buat pembaca, buat penggemar kisah cinta, kisah cinta Zarul dan Edrinaz sangat manis untuk dihayati maka pastikan ia memasuki senarai mesti beli anda.

Tuesday, December 9, 2008

KeBuN MimPi


Tajuk Buku : Kebun Mimpi
Penulis : Noor Suraya, Syud dan Rynsa
Penerbit : Jemari Seni Publishing
Harga : RM21.00
Cetakan Pertama : 2008
Genre : Cinta & Kekeluargaan

----------------------------------------------------------------------------------
Resensi Si Ungu:



Ceritera I: Kebun Mimpi oleh Noor Suraya
“ hidup ini sebuah Kebun Mimpi…apa yang kita tanam hari ini, itulah yang kita akan tuai esoknya…”

Kebun Mimpi bermula dari sebuah e-novel penulis yang mengembangkan jalinan cerita lewat karya-karya beliau yang terdahulu; Keranamu Ain, Biru Ungu Cinta dan Nyanyian Tanjung Sepi.

Saya amat-amat terkejut tatkala mula-mula melihat cover buku ini ketika ia diemailkan kepada saya dulu kerana tidak menyangka sama sekali ia diversicetakkan kerna sang penulis sendiri pernah berkata “99% tidak akan dibukukan…” gimik ayat paling bombastik tu kaksu, hehehe…namun ia sangat dan sungguh menggembirakan tatkala melihat versi cetaknya dilayar dan akhirnya berada dalamn genggaman.

Dengan menampilkan Ain Najwa (Keranamu Ain) sebagai tonggak cerita dibantu oleh Nik Ahmad Adam ( Keranamu Ain), Kamal Hanif Khusyairi (Biru Ungu Cinta) serta watak-watak sokongan lain seperti Durrah, Haris Fadillah & Maizurah (Keranamu Ain), Seera Asqikin, & Abdul Fattah (Biru Ungu Cinta) & Dr Syarifah Nuur Khalida (Nyanyian Tanjung Sepi) ternyata Kebun Mimpi sebuah jalinan cerita yang sangat mengasyikkan sekali. Setiap watak diimbas kembali penulis dengan cukup ringkas tapi padat pengisiannya kerna pembaca sendiri bisa mengenang kembali cerita-cerita terdahulu yang membabitkan setiap watak yang ditampilkan. Saya cukup sukakan watak Durrah, malah berharap wataknya akan dapat dikembangkan penulis pada episod akan datang kerna Durrah berdiri dengan cara yang cukup istimewa…penuh misteri.

Bermotifkan tema kasih sayang, plot Kebun Mimpi berkembang dengan cukup teralun, kemas digarap , cukup berhati-hati dan selitan rima jua ritma indah tidak sesekali mengganggu perjalanan cerita. Itulah keistimewaaan pena sang penulis hebat ini. Cerita ini sarat dengan mesej kasih sayang yang sangat meruntun kalbu tidak kiralah ia membabitkan hubungan suami-isteri, antara rakan/sahabat tapi jua antara ahli keluarga.

Tahniah dan terima kasih buat sang penulis @ kaksu kerna sudi memversicetakkan Kebun Mimpi. Sebuah mimpi yang telah direalisasikan dengan cukup sempurna. Saya menantikan Kebun Mimpi Bahg 2 dari kaksu….haa, jangan lupa..dah janji taw kaksu…

---------------------------------------------------------------------------


Ceritera II : Tas Merah Jambu oleh Syud
“ apa diharap padi di ladang,
entah berbuah entahkan tidak,
entah di makan punai melayang,
apa diharap kasihnya orang,
entahkan sudi entahkan tidak,
entah-entah disambar orang... ”

Tas Merah Jambu sebuah cerita, sebuah kisah remaja yang klise namun cukup manis dan mempersonakan sekali. Penulis bagi saya cukup bijak membeli jiwa pembaca dengan persembahan bersahajanya namun cukup memikat.

Plot dan pergerakkan cerita bergerak seiring biarpun ia adakalanya menyelitkan unsur imbas kembali. Penggunaan bahasa yang mudah, ringkas amat bersesuaian dengan genre cerita. Perwatakan Nisa Mahfuzah dan Adif Kamaruzaman amat cantik dilayarkan penulis...setiap peristiwa bersifat kebetulan yang menimpa mereka dibina dengan cukup kemas tapi sangat mengujakan sekali. Saya juga sukakan watak Nini yang penuh keselambaan itu yang adakala mengundang tawa dihujung senyum.

Selain babak nyanyian Adif untuk Nisa, segmen teka silangkata 3-2-1 @ 1-2-3 di penghujung cerita paling mencuri hati. Sangat comel, secomel penulisnya. Ia bahagian yang mengundang senyum simpul pembaca. Sangat cantik.

Buat Syud, Tahniah…selepas Dhiya-Azril, Nisa-Adif juga sebuah buah tangan yang sangat comel dari anda.
--------------------------------------------------------------------

Ceritera III – Albatros :Antara Langit & Bumi oleh Rynsa
“ Life is Drama”
“ gembira & sedih itu tanda nikmat daripada-Nya….”

Dalam ceritera ini, sang penulis membawa kita 2 kisah, 2 cerita, 2 perempuan dengan persepsi hidup yang subjektif rupabentuknya. Menerusi perwatakan Nurul Izzah seorang aquarist dan Adriena Ayuni seorang pelajar yang menafsir kehidupan bertunjangkan pemahaman tersendiri. Menerusi Albatros, kisah mereka disatukan biarkan dari dimensi yang berbeza.

Saya melihat kematangan penulis untuk karya beliau kali ini lewat karya terdahulunya RADHA (Relevankah Aku Dihatimu), satu peningkatan yang sangat mengagumkan. Menerusi dunia marin dan langit aviasi, penulis membawa pembaca menyusuri kehidupan yang sangat sarat dengan falsafahnya. Plot cerita bergerak seiringan dan sangat kemas garapannya ditangan penulis berbakat ini.

Saya paling tertarik pada kisah perjalanan roh di bahagian kedua ceritera ini. Perjalanan yang penuh debar, betapa kerdilnya kita pada kebesaran dan kekuasaan-Nya. Bahagian inilah yang paling mengujakan sekali kerna disinilah isi keseluruhan cerita bermula dan penulis berjaya mengungkap perjalanan sebuah kehidupan dari sudut prinsipnya dengan cukup berkesan di sini.

Buat Rynsa, tahniah untuk sebuah persembahan yang cukup mempersonakan sekali…saya menunggu karya anda yang seterusnya.

Monday, December 8, 2008

RomLaH...ThE UnToLd StoRies


TAJUK BUKU : ROMLAH...THE UNTOLD STORIES
PENULIS : 18 PENULIS (8-SINDIKET SOLJAH, 7-PESERTA SAYEMBARA & 3-PENULIS TAMU)
PENERBIT : SINDIKET SOLJAH
HARGA : RM20.00
CETAKAN PERTAMA & TERAKHIR : 2008
GENRE : PELBAGAI (AMARAN : NOVEL INI DIKLASSIFIKASIKAN 25SX)
--------------------------------------------------------------------------------
Blurb:
seleksi 19 cerpen seksi...oleh 18 penulis sensasi...tentang seorang gadis misteri . Romlah: The Untold Stories adalah suplimentari kepada antologi best seller Sindiket Soljah -K-eight (2007). Dalam antologi ini, para penulis mengungkai identiti si gadis misteri melalui interpretasi sendiri tanpa investigasi. Koleksi ereksi imaginasi dan ejakulasi emosi ini pasti membuat roma anda kaku berdiri dan masa pula belum terhenti.
Romlah...siapa kita untuk menghukum?Cerita-cerita yang termuat ini bukan sebarangan cerita dan bukan cerita sebarangan. Ia menelanjangkan yang tersirat dan menyelubungkan yang tersurat.Benarkah perempuan itu akalnya satu nafsunya sembilan?Romlah...bukan tangan yang menganyam buaian tetapi tangan yang menggoncang iman. Mungkin lebih elok kita tidak kenal dia. Dia ada noda dalam dada.

* * * * * * *
" bukan semua perkara kita tahu tentang seseorang..."
Resensi Si Ungu:


buku ini merupakan terbitan yang pertama saya baca walaupun mereka mereka telah menerbitkan buku lain sebelum ini. Dalam antologi ini, mereka, 18 penulis mempersembahkan hikayat masing-masing di dalam menginterpritasikan subjek cerita; Romlah dari sudut falsafah individu mereka. Maka, disebabkan itulah lahir genre yang pelbagai didalam rangkaian hikayat tersebut yang menyelitkan pelbagai rupa bentuk juga rasa yang cukup menyemarakkan corak persembahan kisah-kisah tersebut. Adakala saya boleh terbahak-bahak ketawa, adakala saya harus berfikir dan adakala saya terdiam seketika di dalam menghayati kisah-kisah Romlah yang pelbagai versi ini. Yang nyata ia cukup menghiburkan sekali...namun disebaliknya satira-satira yang tercipta ia cukup sarat dengan mesej...yang adakalanya juga cukup sinis!!!

Romlah sebenarnya mewakili individu yang ada disekeliling/sekitar kita. Individu yang kita tidak kenal sangat atau mungkin kita tidak kenal langsung tetapi kita membuat tanggapan juga kesimpulan sendiri terhadap dirinya, kehidupannya, perbuatannya berpandukan pada pemerhatian kasar mata kita yang sangat-sangat terhad jajahan takluknya. Kita mudah menafsir yang jelik-jelik tentang orang lain hanya kerna mata yang memandang sedangkan sewajarnya akallah yang paling afdal punyai kuasa putus..namun itulah yang membezakan si bijaksana dengan yang dengan pendek akalnya. Maka, berhati-hatilah bila menafsir kerna mata adakalanya tersilap pandang.

Sunday, November 23, 2008

KaLa HuJan MeNiTis


TAJUK BUKU : KALA HUJAN MENITIS
PENULIS : MIA KHAIDINA
PENERBIT : BUKU PRIMA SDN BHD
HARGA : RM17.90
CETAKAN PERTAMA : 2008
GENRE : DRAMA & ROMANTIK
* * * * * * *
“…love will leads the way if she really belong to you…”

“…sudah berapa lama kau berkurung dalam bilik?Sudah berapa lama kau hanya pergi kuliah dan terus berkurung dalam bilik. Sudah berapa lama kau tak jumpa kawan-kawan lain? Kau ni apa hal? Jiwang karat!. ”

“Cerita apa? Cerita awak gigolo belaan? Lelaki simpanan?...”
-------------------------------------------------------------------------------------------------------
RESENSI SI UNGU:
Kala Hujan Menitis (KHM) sebuah persembahan yang cukup baik dari penulis yang baru pertama kali saya tatapi karyanya. Menerusi ruang kacamatanya yang cukup hebat, beliau menurunkan pena mencoret sebuah kisah, sebuah tragedi yang sudah acapkali kita baca dan harungi ceritanya dalam masyarakat. Kisah hitam yang maha jijik namun tidak sekelumitpun memualkan para pengamalnya.

Tema sebegini bukanlah baru di mata para penggemar novel tempatan namun istimewanya KHM di tangan Mia Khaidina adalah cara persembahan keseluruhan cerita yang cukup menarik dengan kesan-kesan khas yang ternyata cukup merencahkan cerita ini hingga kita terbuai tanpa menyedari kita sudah sampai ke penghujung cerita.

Watak dan perwatakan seringkali menjadi kunci kehebatan sesebuah cerita. Jatuh bangun sebuah kisah banyak bergantung kepada keberkesanan mereka menerajui cerita. Nadia, Khairil, Ahmad Danial, Tan Sri Borhan & Puan Seri Aishah adalah penggerak utama KHM dan mereka sangat berjaya ditangani penulis. 5 wajah, 5 kisah yang berbeza tapi tersimpul antara satu sama lain…

Nadia a.k.a Nad – tunangan Khairil yg terperangkap dengan muslihat Ahmad Danial lantas terjebak dengan dunia pura-pura Ahmad Danial, menjadi pertukaran sebuah urusan perniagaan yang membawa dirinya bergelar isteri kedua Tan Sri Borhan…si tua kutuk yang layak bergelar bapa pada Nadia.

Khairil a.k.a Kay - tunangan Nadia yang kecewa dengan ikatan yang terputus, hilang arah, tersasar haluan hidup lantas terjebak dengan dunia gigolo dan mengikat diri menjadi lelaki simpanan seorang isteri kenamaan bergelar Puan Seri…Puan Seri Aishah/Aish, isteri pertama Tan Sri Borhan yang tiba-tiba jatuh hati padanya dan tega melakukan apa sahaja untuk memilki dirinya..milik yang mutlak.

Ahmad Danial – teman rapat Nad dan Kay yang tega mengkianati kawan..hanya kerna irihati…menjerumuskan Nad yang tidak bersalah, mempermainkan hati dan perasaan Nad yang ikhlas… akhirnya memakan diri sendiri.

Tan Sri Borhan – “pakcik” tua yang sudah biasa dengan maksiat…namun di tangan Nadia, akhirnya dia bergelar insan.

Puan Seri Aishah/ Aish – si tua 60an yang tidak pernah puas dengan kurnia yang ada, tidak ada istilah bersyukur dalam dirinya…namun terlupa Dia lah yang maha segala-galanya, bukan wang, bukan jua dukun Suparman.

Plot cerita berkembangan dengan cukup tersusun, segar biarpun tidak berkonsepkan kronologi. Saya sangat sukakan persembahan plot KHM ini. Ia dibina untuk mengujakan pembaca agar berada dalam situasi yang tidak sabar untuk mengetahui kisah seterusnya tanpa sedikitpun menjejaskan tumpuan pembacaan. Plot diteliti dengan sebaik mungkin dengan mengambil kira mood dan sensitiviti pembaca.

Dia yang maha ar-Ghafur, maha ar-Rahman dan ar-Rahim.. Justeru itu peluang kedua sentiasa ada dan terbuka pada setiap hamba-Nya yang insaf, bertaubat dan sungguh-sungguh ingin berubah. Inilah mesej yang terkandung di sebalik naskhah sang penulis berbakat ini. Setiap yang terjadi, setiap yang terbentang di depan mata, ada hikmah yang tersirat...maka bijaklah menbuat perhitungan, baik dan buruk bukan takdir tapi kita sendiri yang memilihnya.

Buat Mia Khaidina...anda cukup hebat, bagus sekali..tahniah diatas kecemerlangan anda melayarkan Kala Hujan Menitis dengan cukup berkesan sekali...semoga akan terus berjaya berkarya di masa hadapan.

Buat rakan pembaca di luar sana...ada banyak yang dapat anda kutip disepanjang kisah ini, memilikinya tidak akan sia-sia kerna ia cukup bagus dan berhak berada dikelompok karya-karya berstatus 4 Bintang anda yang lain.

Monday, November 17, 2008

SeLagi BinTanG MasiH di LanGiT


TAJUK BUKU : SELAGI BINTANG MASIH DI LANGIT
PENULIS : ZARYL AMZARI
PENERBIT : PTS PUBLICATIONS & DISTTRIBUTORS SDN BHD
HARGA : RM24.00
CETAKAN PERTAMA : 2008
GENRE : PERSAHABATAN & KEKELUARGAAN

* * * * * * *
“ Walau di mana kita berada, walau apa yang kita lakukan, kita masih di bumi Tuhan, masih menatap bintang yang sama. Saya umpamakan Belt of Orion adalah kita…Ingat, walau di mana kita berada, walau beribu batu jarak antara kita, selagi bintang itu masig berkelip, saya tak akan lupakan awak..”

“..manusia tidak pernah berubah melainkan dia hanya menerima perubahan. Masa juga tidak pernah berlalu melainkan dia hanya mengikut laluan..”
-----------------------------------------------------------------------------------------------

RESENSI SI UNGU:
Buku ini sedari awal sudah mencuri perhatian saya. Selain warnanya kulitnya yang merupakan warna favourite saya, petikan di belakangnya cukup menangkap minda..mesti belinya, kata hati ketika itu. Dan seperti dapat dibaca gerak hati saya itu, buku ini dihadiahkan pada saya oleh seorang rakan penulis yang amat saya kagumi bakatnya, seronoknya saya tika itu...terharu pun ada. Terima kasih saya padanya yang menghadiahkan buku ini. Ternyata gerak hati saya benar, selesai membacanya hanya satu kesimpulan yang dapat saya coretkan….buku ini benar-benar telah mencuri hati saya. Ia sebuah naskhah yang cukup bagus dan cukup indah sekali.

Selagi Bintang Masih Di Langit (SBMDL) membawa tema yang sangat dekat dengan hati nurani kita. Dengan menggabungkan genre persahabatan dan kekeluargaan, kisah yang digarap cukup hampir dengan kehidupan seharian kita. Penulis ternyata cukup peka, cukup arif dengan persekitaran kehidupan yang digambarkan beliau menerusi SBMDL ini.

Nor Dalina @ Nora D, Rafiq @ Musafir Zaman & Faiz adalah peneraju utama yang menjadi nadi kekuatan naskhah SBMDL ini. Saya cukup tertarik dan jatuh hati dengan perwatakan mereka biar putih atau hitam warnanya. Ia dibina dan diperhalusi penulis dengan cemerlang sekali. Tersua juga senyum bila mengenang cetera mereka tatkala di Tadika.

Dalina si gemuk yang garang:
“..letak balik kuih tu!..Itu Faiz punya.."
“…Apa ni..kami tak ajak awak main pun!!”

Dalina yang sedari kecil terperangkap dengan rasa kerendahan diri yang melampau kerana rupa bentuk fizikalnya yang agak berisi ditambah dengan momokan sepupunya; Nadia yang berjaya menjatuhkan keyakinan dirinya ke lantai. Perwatakan Dalina dikembangkan dengan begitu berhati-hati dari peringkat kanak-kanak hingga menginjak remaja dewasa dan kita sebagai pembaca turut sama menyelami perasaannya disepanjang tempoh tersebut. Penulis bagi saya cukup berjaya mencuri hati pembaca dengan perwatakan Dalina yang cukup istimewa ini.

Rafiq, jika dilihat secara kasar, dia memang bukan calon pilihan. Perwatakannya yang menjengkilkan itu cukup mengundang amarah dan rasa meluat…namun tiada sapa menduga ada cerita suram, cerita pahit disebalik sikapnya itu. Dia hanya seorang Rafiq yang malang dan itulah cara dia menarik perhatian.

Rafiq si nakal yang tak pernah serik:
“…Hoi, budak baru!..”
“…pinjam pensel warna!!”
“…Ikut suka akulah, nak main di mana pun.."

Faiz, si kecil bongsu yang sering diperisai Dalina tatkala dibuli Rafiq, Faiz yang sedari kecil cukup mempersonakan sesiapa sahaja dengan perwatakannya yang putih salju. Mendamaikan sesiapa yang mendekatinya. Dia umpama si pelengkap Dalina, teman akrab yang menjadi pencetus semangat, pemujuk dan pendengar yang baik juga kekasih yang setia . Kemana mereka pasti berdua sehinggalah Dublin memisahkan mereka...selama-lamanya.

Faiz si keding yang lembik:
“.Ra..Rafiq ambil kuih saya, lepas tu..lepas tu Rafiq kena simbah dengan air"
“…Faiz lembik! Faiz lembik! Faiz lembik!..."

Pembinaan watak pembantu utama yang antagonis, Nadia cukup hebat dan berkesan sekali perwatakannya biarpun kemunculan yang hanya sebentar-sebentar sahaja, namun berperanan penting didalam mencorakkan perwatakan Dalina di kemudian hari. Tersayat hati juga bila mengenang butir bicara lidahnya yang tajam menikam.

Nadia yang sinis :
“...kalau dah gemuk tu, pakai baju apa pun tak lawa..."
“...anak badak jangan berangan dengan Fakhrul..aku yang tulis nota tu..."
“...sebab awak sudah gedempol. Kalau awak makan lagi, nanti hendak masuk bilik pun tak muat, tersangkut pada pintu..."

Perwatakan Hairi yang dibina secara misteri cukup mendebarkan bagi saya. Kita dikelirukan sebentar oleh penulis dengan kesopananan Hairi tanpa menduga dia berjaya memukau pandangan mata dengan kebaikan dan rupa fizikalnya yang sedemikian…, tetapi dia sebenarnya api di dalam sekam…membakar dalam diam!!

Kedewasaan mereka penuh personifikasi dilayarkan penulis. Saya sesungguhnya cukup tertarik dan jatuh cinta dengan perwatakan Rafiq. Dalam diam suaranya, dalam redup pandangan matanya dia penuh pesona, penuh aura..cukup berkarisma. Dia menyimpan segala duka, segala ketidakpuasanhati tanpa siapa tahu. Dia membiarkan dirinya disalahtafsir oleh semua orang. Dia tetap hitam dimata setiap yang memandang.

Kita juga akan turut tersayat dengan kesedihan Dalina bila Faiz mula menjauhkan diri sedangkan Faiz sudah berjanji…namun Faiz bukan sengaja, ketentuan yang sudah tersurat buat dirinya tidak boleh diubah. Di saat ini kita diperlihatkan warna sebenar diri Rafiq…amanah yang digalas dibahu harus dilaksana lebih-lebih lagi Dalina adalah insan yang telah lama bertakhta di hati…sedari kecil hingga kini. Mampukah dia mendapatkan Dalina dan mampukah Dalina menerima dirinya dan melupakan Faiz dan kenangan serta janji yang telah termeterai sekian lama. Pemergian Dalina ke Dublin membongkar segala-galanya…rahsia yang disimpan kemas oleh Rafiq tentang Faiz terlerai akhirnya.

Plot cerita dibina tidak berorientasikan jajaran kronologi dan setiap imej imbasan kembali yang disingkap, ia disampaikan dengan cukup kemas, berhati-hati tanpa sedikitpun menghilangkan tumpuan pembacaan. Pergerakkan plot yang selari dengan mood penceritaan telah menambahkan lagi keindahan warna SBMDL. Di sinilah kehebatan sang editor terserlah, dan ternyata kerja-kerja suntingan telah diperhalusi dengan cukup baik sekali ke atas naskhah ini.

Penggunaan laras bahasa yang mudah yang kadangkala disulami susunan ayat-ayat yang indah, puitis namun penuh bermakna sangat memberi kesan kepada mood pembacaan. Saya cukup senang dengan bahasa dalam naskhah ini...cukup memikat!!.

Buat penulis, sekalung tahniah atas persembahan hebat anda dalam Selagi Bintang Masih Di Langit. Semoga akan terus menghasilkan karya-karya yang cemerlang di masa hadapan.

Buat anda pembaca di luar sana, zaman kanak-kanak adalah suatu masa yang cukup istimewa, akan dikenang selama-lamanya biar apa-apapun catatannya...manis mahupun pahit, suka atau duka. Naskhah ini akan membawa anda kembali pada zaman tersebut...sangat manis perjalanannya, Maka naskhah ini wajar anda miliki kerana catatan kisahnya sangat istimewa
.

Sunday, November 16, 2008

KaLa MimPi BersaTu


Tajuk Buku : Kala Mimpi Bersatu
Nukilan : Emma Maizura
Penerbit : Alaf21
Harga : RM19.90
Cetakan Pertama : 2008
Genre : Romantik & Kekeluargaan
* * * * * * *
RESENSI SI UNGU:

Kala Mimpi Bersatu merupakan karya ketiga nukilan penulis berbakat ini selepas Tiada Noktah Cinta dan Ada Cinta Di Hati. Saya secara amnya amat menggemari karya beliau yang agak ringan dari sudut tema dan penceritaan, mudah dihadam minda serta punya mesej yang positif untuk diterapkan dan disampaikan pada pembacanya. Penulis bagi saya amat pintar dalam memilih cerita yang bagaimana agar ia mudah diterima dengan baik oleh warga pembaca. Cerita yang tidak terlalu berat dari sudut tema, tidak meleret-leret plotnya, ringkas dan santai dialog juga persembahan yang segar lebih mudah disambut baik oleh warga pembaca.

Di dalam Kala Mimpi Bersatu, penulis membicarakan persoalan tentang dilema seorang gadis yang disingkirkan oleh ayah kandung akibat kepercayaan karut yang tidak masuk akal dan penyingkiran tersebut menemukan dirinya dengan sebuah kehidupan dan kalangan orang-orang yang akhirnya banyak mengubah hidupnya. Menerusi Asha Rajesh @ Dr Aisyah selaku peneraju utama, penulis berjaya membina perwatakan Aisyah dengan baik dan konsisten bersesuaian dengan sifat dirinya. Saya sendiri secara peribadi sukakan perwatakan Aisyah yang cukup warna-warni dan perwatakannya cukup cantik bila dipadankan dengan Zaiffudin @ Bidin yang penyabar dan cukup "cool". Kedua-dua watak ini cukup kuat dalam menunjangi cerita ini dibantu kehebatan persembahan Sabedah dan Marlia yang cukup memualkan itu. Bagi saya watak ibu bapa angkat Aisyah, Mak Yah @ Nuriah dan Pak Mail @Ismail cukup mendamaikan sekali dan menjadi idaman di alam realiti.

Tema cerita ini membawa pembaca menyelami konflik dalaman serta cabaran juga dugaan yang dialami seorang gadis yang berhijrah dari satu kehidupan yang kelam, tidak arah, tiada matlamat kepada satu kehidupan baru yang lebih bermakna dan benar. Dalam menangani cabaran yang mendatang, dirinya diuji pula dengan pelbagai dugaan. Kecekalan dan kegigihannya mengharungi setiap permasalahan tersebut dilayarkan dengan cukup berkesan oleh penulis dan wajar menjadi satu kisah tauladan yang baik untuk disempadani.
Buat Emma, tahniah atas buah tangan terbaru anda ini yang cukup ringkas namun cukup terkesan di hati. Semoga terus gigih berkarya dengan cemerlang di masa hadapan. Buat pembaca juga peminat penulis berbakat ini, karya ini berbaloi anda miliki kerna ia pasti tidak mengecewakan anda.

Tuesday, November 11, 2008

CinTanya...KiAn MemBaRa


TAJUK BUKU : CINTANYA...KIAN MEMBARA
NUKILAN : DIYA ELORA
PENERBIT : CREATIVE ENTERPRISE SDN BHD
HARGA : RM31.90
CETAKAN : 2008
GENRE : ROMANTIK
* * * * * * *
kasih dan cintaku akan membara selamanya…semerah kelopak-kelopak ros biarpun reranting kita pernah berserakan…”

RESENSI SI UNGU:

Ini merupakan karya pertama dari penulis ini yang singgah di rak buku peribadi saya walaupun mengetahui ini bukanlah karya pertama beliau di dalam dunia penulisan kreatif tanahair. Naskhah terbaru beliau ini ternyata sarat dengan persoalan cinta yang ditafsir dari dimensi yang berbeza. Cinta itu punya pelbagai makna dan konsep yang diterjemahkan menurut kamus hati masing-masing.

Cintanya…Kian Membara (CKM) bagi saya sebuah naskhah bergenre romantik yang cukup mendebarkan para pembacanya. Kejutan demi kejutan yang tidak disangka-sangka dicipta penulis dalam membongkar perjalanan cerita yang cukup menarik ini. Permulaan cerita sendiri sudah mencipta persoalan di minda pembaca tentang isi ceritanya dan ternyata penulis berjaya membuat pembaca tertarik dan teruja untuk terus mengikuti kisah selanjutnya.

Sebagai sebuah kisah yang bertemakan cinta sebagai teraju utama dengan sisipan hubungan kasih sayang sesama keluarga dan rakan CKM memperkenalkan pembaca dengan tunjang utama cerita; Nik Seri Nataliya a.k.a Liya /Erin Darleena seorang gadis yang sempat bergelar isteri selama 2 jam selepas pernikahannya. Perkahwinan yang diatur keluarga suami itu ternyata tidak menjanjikan bahagia.Dia diceraikan di malam perkahwinannya oleh suami, Engku Rajhan atas alasan yang cukup pahit untuk ditelan oleh seorang isteri. Suaminya sudah punya pilihan hati sendiri; si cantik manis Emilda!!.

Plot cerita ini tidak berpaksikan jajaran kronologi dan teknik imbasan kembali yang digunapakai penulis di dalam mengimbau perjalanan watak-watak di dalam CKM ini terutama Liya sendiri. Kita akan terasa kesayuan di sepanjang mengikuti hidup Liya setelah dibawa ke berpindah kediaman suami.Plot cerita berkembang dengan cukup berwarna-warni didalam menyusuri pergerakan kisah Liya yang cukup dramatik ini. Sisipan monolog juga mimpi Liya cukup menarik digambarkan dalam menimbulkan persoalan tentang perkara yang menghantui diri Liya.Teknik suntingan CKM sangat kemas cuma ada sedikit kecacatan kecil di dalam penggunaan dialog bahasa Inggeris yang tercerna kesilapan tatabahasa juga penyusunan katanya. Di harap pihak editor akan lebih berhati-hati agar perkara sebegini tidak berulang.

Penulis cukup bijak memancing simpati pembaca terhadap Liya dan mengundang benci pada perilaku Engku Rajhan yang keterlaluan juga rasa mual dan meluat yang amat sangat pada sikap Emilda. 3 watak utama ini berjaya dibina perwatakannya dengan baik hingga pembaca terlupa manusia boleh punya pelbagai wajah dan rupa. Jangan cepat menilai hanya dengan pandangan mata kasar sebab mata kadangkala juga tersilap. Saya kagum dengan kebolehan penulis “menipu” pembaca hingga dengan mudah menghakimi Engku Rajhan dan Emilda. Watak-watak pembantu seperti Hazziq, Fateen juga Engku Sofiah juga cemerlang dalam menjalankan tugas mereka mewarnai kisah dalam CKM ini terutama Hazziq yang digambarkan secara konsisten perwatakannya hingga ke akhir cerita.

Paling menarik bila kisah sebenar terbongkar. Tabir di singkap satu persatu secara perlahan-lahan membuat pembaca cukup tidak sabar dan tidak menduga begitu rupa kisah sebenarnya...sangat menarik bagi saya cara yang diguna penulis di dalam merungkai kisah sebenar disebalik kemelut perkahwinan dan penceraian Liya dan Engku Rajhan dan penyatuan mereka adalah kemuncak cerita yang cukup manis bagi saya biarpun cuma seketika...

Buat penulis, tahniah atas penghasilan sebuah kisah yang cukup manis, cukup mengujakan sekali. Semoga anda akan terus cemerlang memenakan kisah-kisah indah di masa akan datang.

Buat pembaca budiman di luar sana, anda tidak perlu ragu-ragu untuk mendapatkannya, kerna naskhah ini sungguh berbaloi dimiliki biarpun ia sedikit mahal dari biasa.

Ku SeRu NaMamu KekaSiH


TAJUK BUKU : KUSERU NAMAMU KEKASIH
NUKILAN : MAYA IRIS
PENERBIT : PTS ONE SDN BHD
HARGA : RM24.50
CETAKAN PERTAMA : 2008
GENRE : KETUHANAN

* * * * * * *
RESENSI SI UNGU:


Kisah Maya kali ini agak berat dengan membawa mesej ketuhanan menerusi paparan perjalanan dan liku kehidupan yang dilalui 4 watak utama nya yang diketuai Rayyan dibantu Zaim, Hanisa dan Mark @ Mahdi Abdullah. 4 watak , 4 wajah yang berbeza rupa dan tingkah tapi dengan satu matlamat yang sama... kisah kehidupan yang mewarni perjalanan mereka dalam mencari nur-Nya.
Saya cukup tertarik dengan pembinaan watak2 utama dalam cerita ini. Setiap mereka punya sejarah kehidupan sendiri. Baik putih mahupun hitam, mereka akhirnya bertemu dan bersatu dalam mencari matlamat hidup yang satu. Bahasa yang diguna adalah bahasa yang biasa sahaja namun selitan potongan hadis di setaip permulaan bab amat menarik sekali. Serampang dua mata dari penulis yang sangat baik hasilnya. Perdebatan anatara Rayyan dan Mark mengenai Islam dan Kristian juga sangat menarik dan dipersembahkan dengan cemerlang oleh penulis.
Sebagai naskhah yang membawa genre sedemikian, saya lebih berhati-hati tatkala membacanya kerna salah pemahaman mungkin juga akan membuatkan fokus dan mood membaca hilang, maka disebabkan itu juga saya mengambil masa yang agak lama untuk menghabiskannya. Bila penulis memilih genre cerita sebegini, plot dan persembahan cerita perlu lah segar agar mampu mengundang minat pembaca untuk terus terpaku di naskhah tersebut. Saya melihat plot cerita ini agak sedikit lemah dalam mencerna idea yang dapat memikat pembaca.
Berbekal pengalaman belajar di luar negara dan dalam cerita ni Sydney adalah latar cerita, penulis dpat memberi gambaran yang cukup jelas tentang corak kehidupan para pelajar tanahair disana juga suasana masyarakat islam di sana. Ukhuwah anatara mereka dilayarkan sebaik mungkin oleh penulis.
Buat Maya, semoga terus berkarya, mencerna idea yang lebih bagus dalam penghasilan karya-karya di masa hadapan.

Sunday, November 9, 2008

GeRhaNa Di HaTi

TAJUK BUKU : GERHANA DI HATI
PENULIS : DHIEYA ADLYNNA
PENERBIT : BUKU PRIMA SDN BHD
HARGA : RM18.90
CETAKAN PERTAMA : 2008
GENRE : ROMANTIK
* * * * * * *
"..cinta letaknya di hati...meskipun tersembunyi, tapi getarnya tetap terasa..."
Resensi Si Ungu:
Berbekalkan tagline yang agak menarik cerita ini menggamit saya untuk mencapainya di rak jualan di sebuah kedai buku baru-baru ini. Saya sebenarnya was-was untuk membeli buku keluaran penerbit ini. Bukan prejudis, bukan juga sentimen peribadi namun kerna pengalaman lampau dengan keluaran mereka banyak mengajar ajar saya jangan mudah diperdayakan lagi oleh saranan dan kata-kata indah... namun bak kata pepatah pelanduk selalu lupakan jerat, tapi jerat tidak pernah sekali-kali melupakan pelanduk!!!..dan ironinya, saya lah pelanduk yang terjerat itu dan terus terjerat lagi kali ini...sadisnya kisah saya ini bunyinya kan..hehehe
saya tidak tahu kata-kata apa yang harus diungkap tatkala selesai membacanya...cuma satu yang pasti, KECEWA sangat dengan Gerhana Di Hati (GDH) ini. Saya tidak tahu harus menyalahkan siapa; penulis atau pihak penerbit khususnya pihak penyunting/editor buku ini.Yang nyata, buku ini sewajarnya disunting dengan lebih teliti, diperhalusi jalan ceritanya sebelum ia diluluskan untuk penerbitan. Saya melihat bila langkah ini dilewakan oleh pihak yang berkenaan maka, mangsanya adalah kami;para pembaca, para pembeli.
Jika dilihat dari sudut jalan cerita, ia memperlihatkan terlalu banyak lompang yang "lupa" ditutup sang editor. Saya sangat -sangat kecewa dengan kerja-kerja suntingan dalam GDH ini, terlalu lemah dan sambil lewa sahaja!!..Maka jadilah cerita ini melompat-lompat persembahannya.Pengolahan cerita terlalu lemah dengan pembinaan watak yang tidak statik. Sebagai pendukung utama cerita, Hazwanie adakalanya dilihat cerdik adakalanya pula kurang bijak bertindak.Begitu juga dengan watak Shahridwan. Tidak sewajarnya seorang CEO Syarikat digambarkan dengan perwatakan selemah dan beremosi sebegitu.
Baik pengucapan dialog juga plot cerita, dilihat sangat meleret-leret hingga menerbitkan rasa bosan yang amat sangat!!. Harus diingat plot cerita yang dibina diluar lingkup jajaran kronologi perlu lebih berhati-hati disampaikan agar pembaca dapat melihat dengan jelas dimana mereka berada,namun di dalam GDH ia gagal dipersembahkan dengan kaedah yang sepatutnya.Latar masa dalam cerita ini juga tidak diperhalusi dengan sewajarnya. Jarak masa yang ingin digambarkan seharusnya diteliti cara penyampaiannya agar pembaca tidak terasa perubahan tersebut.Ini antara sebab timbulnya masalah kehilangan fokus tatkala membaca dan bila tumpuan hilang maka mood membaca akan sama-sama terbang...
Idea asal cerita ini memang menarik, saya tidak menafikannya.Sebagai penulis baru Dhieya punya potensi untuk digilap bakat penulisannya.Apa yang perlu bimbingan dari pihak penerbit disamping usaha Dhieya sendiri untuk memperbaiki kelemahan yang timbul dari karya sulung anda ini. Banyakkan membaca karya-karya penulis senior, penulis-penulis hebat tanahair agar ia mampu menjana ilmu penulisan yang berguna untuk penghasilan karya yang lebih bermutu, lebih segar dan indah di masa akan datang.

Friday, November 7, 2008

DuNia Ini SeDerHaNa KeCiL


TAJUK: DUNIA INI SEDERHANA KECIL
PENULIS : BAHARUDDIN BEKRI
PENERBIT : PTS ONE SDN BHD
CETAKAN PERTAMA : 2008
HARGA : RM23.90
GENRE : NOVEL REMAJA (MOTIVASI)
* * * * * * *
"..Bas itu umpama cinta yang kita tunggu...
Kadangkala ada cinta yg hadir,
namun krn merasakan ia tidak sesuai dgn diri kita...
kita membiarkan ia terus berlalu...
Kemudian datang pula cinta yg kita rasa sesuai dgn hati kita...
Sayangnya cinta itu sudah berpunya...
Kita hanya mampu melihat ia pergi...
Kita terus menunggu dan terus menunggu...
hingga waktu sudah mulai lewat...
Usia sudah semakin jauh...
dan kita mula khuatir berkenaan masa depan...
Risau tidak sempat ke destinasi...
kita nekad naiki bas ke tiga...
Kita sudah kurang peduli rupa bas itu...
Sama ada ia buruk ataupun penuh...
asalkan kita sampai ke destinasi...
Itulah kita dlm menunggu cinta.
* * * * * * *
“… masalah itu umpama terowong yang gelap, tetapi di hujungnya pasti ada cahaya.Cuma terpulang kepada kita, sama ada bersabar dan terus berjalan ataupun kalah dan duduk meratapi nasib di dalam terowong itu. Ingat , di hujung terowong nanti pasti ada cahaya…”
-----------------------------------------------------------------------------------------------
Saya sebenarnya sudah memberi pendapat dan ulasan peribadi tentang karya pertama penulis muda berbakat ini di laman rasmi geng saya; Geng Kicap yang mana saya juga adalah ahli bersekutunya..hehehe. Saya sangat menggemari karya sulung beliau ini. Bagi saya ia sebuah naskhah yang bertindak sebagai hiburan juga motivasi kepada pembaca kerna setiap gerak dan laku dalam cerita yang dipaparkan banyak terkandung unsur nasihat yang tersirat untuk sama-sama kita fikir-fikirkan. Di sini saya paparkan semula komentar saya itu untuk tatapan pengunjung pondok saya ini pula.
* * * * * * *
Resensi Si Ungu:
Asas kepada pembentukan sesebuah karya melibatkan 3 elemen utama iatu rangka cerita, tema juga isi cerita. Isi cerita pula memfokus kepada 3 elemen utama kepada penghasilan sebuah naskah yang baik; pemerhatian, pengalaman & pembacaan. Harus diingat penulis yang baik selalunya adalah juga pembaca yang baik. Pada hemat saya ketiga-tiga elemen ini telah digunapakai dan digabungkan oleh penulis hingga terhasilnya naskah nan cantik ini.Bagi saya juga penulis yang baik adalah penulis yang mampu mengadaptasi sesuatu tema yang komplek dengan teknik penyampaian dan pengolahan cerita yang lebih santai, ringan tanpa sedikit pun mengurangkan mesejnya.Tulisan yang paling baik adalah tulisan yang mempunyai isi paling berat dan tepu tetapi disampaikan dengan lenggok bahasa yang paling mudah difahami. Ia akan jadi lebih mengagumkan sekiranya disampaikan dalam cara yang paling menarik tetapi mengesankan.Penulis ini bagi saya begitu berjaya dalam melaksanakan misi ini. Dalam kita senyum, ada maksud yang tersirat yang cuba disampaikan olehnya, dalam kita gelak ada makna yang terselindung yang cuba diselitkannya, dalam kita tawa ada pengajaran yang disemat di dada kita olehnya.
Kicap, perhentian bas dan bas adalah simbol kehidupan yang cuba dipaparkan oleh penulis dalam novelnya ini namun penulis menyerahkan pada pembaca yang budiman lagi arif untuk mentafsirnya dari sudut pandangan masing-masing.. 3 elemen ini sangat dekat dengan kehidupan kita…sejauhmana pengaruhnya dalam kehidupan kita, tepuk dada tanyalah hati kerna jawapannya ada disitu.
Walau secara fizikalnya novel ini nampak biasa sahaja, maksud saya kulit luar novel ini tidak langsung menampakkan ciri-ciri “kemewahan” namun keistimewaan yang terkandung di dalamnya begitu “mencuri hati” dan yang paling utama pengajaran yang tersirat di dalamnya sangat berharga dalam kita melihat kehidupan dari pelbagai sudut falsafah dan hukum adatnya. Sesungguhnya karya ini begitu kaya dan sarat dengan falsafah kehidupan. Menerusi watak utamanya, Syamir pembaca diajak menyusuri ruang kehidupan insan yang diuji dengan pelbagai dugaan hidup. Walau dalam penyampaian kisah hidupnya penulis selesa mengolahnya dengan selitan unsur humor yang spontan, namun ia cukup berkesan kerana mesej yang tersirat disebalik nya tetap sampai di jiwa pembaca. Plot cerita yang lebih segar, ringan nampak begitu serasi dan bergerak seiring dengan tema kehidupan yang difokuskan penulis.. Tambah terserlah dengan pembabitan watak-watak pembantu seperti Jid, Tasha,, Musa, Sophea, Haliza . Tidak ketinggalan watak-watak sampingan seperti si lelaki gempal, budak-budak black metal, pakcik KJ, En Harun, nenek tukang urut juga yang lain yang turut sama mendokong keberkesanan karya ini.Walau ada sedikit kesilapan cetakan watak pada beberapa bahagian di dalam novel ini ia tidaklah menjejaskan jalan cerita namun diharap pihak penerbit amnya juga bahagian suntingan khasnya agar lebih berhati-hati dimasa hadapan di dalam meminimakan kesilapan sebegini.
Buat penulis, sekalung tahniah atas penghasilan cemerlang anda di dalam Dunia Ini Sederhana Kecil. Semoga anda akan terus menghasilkan karya yang lebih ummphh di masa hadapan. Selamat maju jaya di dalam dunia penulisan.
Kisahnya...
Syamir, graduan ekonomi yang menghadapi kesulitan memperolehi pekerjaan yang setaraf kelulusannya akhirnya tertipu pada satu iklan kerja yang membawa beliau menjadi seorang penjual kicap..kicap kesihatan cap basikal sulaiman. Bagi saya ini adalah antara satu kisah antara ribuan kisah anak-anak muda yang pernah terperangkap dengan iklan ala2 putar alam yang sering berleluasa di media cetak negara ini dan Syamir mewakili mereka-mereka yang malang itu..namun begitu saya sukakan watak Syamir ini…begitu sukakan semangatnya, kerna bagi saya tidak semua insan dianugerahkan semangat sebegini tika menghadapi ujian/dugaan hidup. Ada yang dengan mudah kecundang, tersungkur begitu sahaja.
Bertemankan rakan sepejualan, Musa Marjoko juga si cantik,penyelia Sophea Miyagi sesi jualan kicapnya menemukan pembaca dengan pelbagai insiden lucu, suspen juga mengujakan. Pembaca pasti tidak berhenti tersenyum dan gelak tawa juga tidak terlepas dari terhambur dengan pelbagai kelucuan spontan yang terjadi disepanjang kerjaya penjual kicap ini.Walau akhirnya dia bersara dan bertukar menjadi si tukang urut, hidupnya tidak lepas dari dihinggapi ujian…hinggalah dia tekad mengiklankan diri demi untuk mencari kerja.Langkah inilah kemuncak kepada ujian dalam hidupnya..namun berkat juga niat ikhlas yang sedari awal disemat habuan yang diraih Syamir sangat berbaloi..benarlah seperti dikata, Dia tidak akan menguji hambanya dengan sesuatu yang tidak mampu dipikulnya dan dalam setiap ujian, redha yang diberi akan dibalas dengan setimpal..janji Dia memang benar.
Hubungan yang bermula di perhentian bas antara Syamir dan Tasha, Syamir dan Haliza, Syamir dan Si Lelaki Gempal terjalin secara abstrak tapi rentetan dari pertemuan demi pertemuan antara mereka membawa kepada suatu ikatan antara mereka…saling memerlukan dalam meneruskan kehidupan. Perkara yang sama terjalin antara Syamir dan Sophea, Cuma bezanya mereka dipertemukan buat pertama kali bukan di perhentian..tapi di dalam bas hingga menbawa kepada suatu hubungan yang cukup misteri namun mengujakan antara mereka berdua.Tidak ketinggalan hubungan Syamir dan rakan sebiliknya Jid /Majid @ Majidah…hubungan antara mereka cukup istimewa bagi saya..walau secara kasar nampak sumbang, namun yang tersirat cukup tulus tersimpul.
Paling menarik dalam hubungan antara Syamir, Tasha dan Haliza..adalah kewujudan unsur “hubungan jiwa”.Walau Syamir lebih kerap terserempak Haliza berbanding Tasha tapi hubungan jiwa antara mereka lebih dekat walau secara fizikal mereka jauh…mungkinkah Cik Pelangi akan berjumpa Encik Bedak Sejuk dan terbongkar identiti antara mereka.?hmm, biarlah Inchek penulis, Bahruddin Bekri menjawabnya bagi pihak saya…
Buat semua pembaca sekalian, selamat menghayati sebuah lagi naskhah hebat buah tangan dari seorang penulis muda yang sangat berbakat dan kreatif.
Notapipi : Inche Din, pernah ker MPH Wangsa Maju?...terduduk saya tatkala melihat DISK dan DUA dipamerkan di Rak BACAAN UNTUK KANAK-KANAK!!!!, atas dasar apa yer DISK dan DUA diklassifikasikan sedemikian rupa...

Wednesday, October 29, 2008

PaNggiL aKu DahLiA


Tajuk Buku :Panggil aku Dahlia
Penulis : Noor Suraya
Penerbit : Jemari Seni Publishing
Harga : RM21.00
Cetakan Pertama : 2008
Genre: Kekeluargaan (Cinta & Kasih Sayang)

------------------------------------------------------------------------------------------------------
Resensi Si Ungu:

“ kata ayah tentang teh:

tea brightens morning, refreshes afternoons and warms nights…”
------------------------------------------------------------------------------------------------------

Cabaran getir bagi setiap penulis tatkala menghasilkan karya terbaru cuma satu; mampukah karya berkenaan mengatasi karya mereka yang terdahulu.Bukan mudah untuk mencapai piawaian dan kehendak pembaca kerana sebagai pembaca kehendak mereka adalah pelbagai, tidak terbatas dan mereka hanya mahukan yang terbaik dari setiap sen yang mereka keluarkan. Maka, inilah tanggungjawab yang harus dipikul dan terbeban di bahu setiap penulis tatkala ingin merealisasikan kehendak itu. Dan ia ternyata bukanlah satu tugas yang mudah.

Sebagai seorang penulis yang cukup berpengalaman di arena dan pentas penulisan kreatif tanahair, kehebatan cetusan idea dan pena Noor Suraya tidak perlu dipersoalkan lagi. Beliau ternyata begitu teliti dan peka dengan apa yang berlaku di dalam masyarakat pembaca tatkala mengerah idea demi melahirkan sebuah karya baru yang benar-benar hebat, berkualiti dan mencapai aras piawaian yang dikehendaki pembaca. Kelahiran novel terbaru beliau yang juga novel kelapan nukilannya ternyata cukup kuat menggamit para pembaca,peminat juga pencinta novel tanahair untuk sama-sama duduk dan menghayati satu kisah, satu cerita yang sungguh dekat dengan kehidupan kita.Satu lagi kejayaan diulangi oleh si pemilik nama Noor Suraya ini.

Panggil Aku Dahlia (PAD), sebuah karya cantik hasil cetusan idea beliau yang tidak perlu dipersoalkan lagi kehebatan pena saktinya tatkala berkarya. Cantiknya PAD pada pandangan saya tersimpul dari cara penulis menggarap cerita ini menjadi sebuah naskhah yang bukan sahaja indah laras bahasa dan persembahannya, namun yang lebih utama isi dan mesejnya cukup terkesan di jiwa tatkala membacanya. Banyak pengajaran berguna yang ditabur olehnya untuk kita kutip sebagai renungan dan panduan. Ada ketika rasa sendu pasti singgah di jiwa melihat perjalanan hidup Putri Dahlia @ Dahlia, watak utama dalam PAD ini yang tidak seindah pelangi. Ada ketika pula senyum dan tawa bertamu di bibir melihat perang teluk antara Dahlia dan musuh tradisinya; Wadi Hannan @ Wadi yang tak kunjung padam. Lucu sekali.

Penulis yang lebih mesra dengan panggilan kaksu ini cukup bijak menebak fikiran dan naluri pembaca yang ketandusan cerita-cerita yang bertunjangkan tema dan mesej mantap tetapi disampaikan dengan cukup puitis, penuh pesona tapi cukup bersahaja. Kehebatan karya terdahulu kaksu, Surat Ungu Untuk Nuha(SUUN) ternyata berjaya diulangi PAD malah ia jauh lebih baik dari setiap aspek; baik persembahan, plot/jalan cerita juga tidak ketinggalan sisipan mesej-mesej berguna yang menyulaminya.

Penggunaan elemen-elemen bahasa yang cantik kerapkali digunapakai di dalam PAD dan ternyata ia sangat mempengaruhi mood pembaca untuk terus terpesona mengikuti perjalanan kisah si Putri Dahlia Megat Qais ini. Kaksu ternyata cukup pintar mengolah kata-kata manis yang penuh personifikasi dalam memakukan pandangan dan minda pembacanya agar tidak terkalih perhatian mereka pada yang lain, tapi hanya pada PAD hingga ke noktah terakhir. Sebagai penulis wanita, cara pengungkapannya lebih halus kerana penulis wanita lebih handal mengartikulasi emosi dengan lebih baik dan jelas berbanding penulis lelaki…(pendapat saya lah, hehehe)

Saya cukup tertarik dengan teknik suntingan dalam PAD ini lebih-lebih lagi apabila ia membabitkan plot cerita yang bukan bersifat jajaran kronologi langsung. Tanpa suntingan yang teliti, imbasan kembali yang dicuba dibawa pasti mengganggu tumpuan pembacaan dan ia pasti menjejaskan mood pembacaan. Kaedah yang digunapakai dalam PAD untuk pembaca kembali ke zaman persekolahan Dahlia, zaman permulaan tercetusnya perang gerila antara Dahlia dan Wadi digarap dengan cukup halus, teliti dan cemerlang sekali sehingga kita tidak sedar kita sedang dibawa ke masa lampau Dahlia.

Jika diperhalusi, kekuatan PAD terletak pada penceritaannya sendiri. MemangIah jika dilihat secara kasar, penceritaan begini bukanlah sesuatu yang baru, namun penulis bagi saya jauh ke hadapan kerana berjaya membentuk satu kesatuan paling integral yang cukup harmonis antara cerita dan penceritaan. PAD membawa pembaca menyusuri perjalanan masa lampau dan kini seorang Putri Dahlia Megat Qais yang disulami pelbagai catatan suka duka, pedih lara yang diungkap dengan permainan kata-kata juga bahasa tubuh yang cemerlang. Perwatakan 2 pendukung utama PAD ini juga istimewa. Saya seperti terpandang Nuha(SUUN) pada Dahlia, terkilas Alang(SUUN) di mata Wadi namun Dahlia jauh lebih ganas, lebih brutal dari Nuha, dan Wadi pula lebih sedikit akal jahatnya dari Alang. Yang nyata persembahan mereka sangat-sangat cemerlang.

Latar cerita yang mengabadikan Tanah Tinggi Cameron sebagai lokasi utama cerita diadaptasikan ke dalam PAD dengan cukup teliti. Ketelitian inilah yang membentuk satu gerak kerja yang menghasilkan gambaran sinematografi yang membanggakan walau cuma dizahirkan dilayar kertas. Kreativiti penulis benar-benar terpamer di sini.

Untuk Noor Suraya a.k.a kaksu yang sangat-sangat saya kagumi bakat penulisannya, sekalung tahniah atas persembahan hebat dan mantap anda dalam Panggil Aku Dahlia. Ternyata pengorbanan anda dalam menghasilkannya cukup berbaloi sekali. Semoga kaksu akan terus berkarya, terus mencurah dan berkongsi idea dan cerita hebat cetusan minda kreatif anda dengan kami, para pencintamu. Terima kasih juga kerana “mengundang” kami membuat penampilan cameo dalam PAD(kaksu tau siapa kami itu kan…hehehe).

Buat pembaca budiman di luar sana, jika anda mencari-cari satu kisah, satu cerita yang akan meninggalkan satu kenangan manis yang tidak akan anda lupakan sepanjang hayat, maka Panggil Aku Dahlia adalah jawapannya.

Tuesday, October 21, 2008

NaBiLa & NaBiLa 2


TAJUK BUKU : NABILA & NABILA 2
HASIL NUKILAN : HENDAN YAHYA
PENERBIT : CESB
CETAKAN PERTAMA : 1998 & 2000
HARGA : RM14.90
GENRE : KEKELUARGAAN & ROMANTIK
----------------------------------------------------------------------
RESENSI SI UNGU:


Agak lama barulah saya dapat kedua set lengkap novel Nabila ini. Proses mencari agak sukar bila salinan Nabila sukar saya temui malah di syarikat ia diterbitkan juga telah tiada langsung salinannya. Rata mencari akhirnya ketemu juga di satu laman web yang menjual novel-novel dan saya bernasib baik sebab memang itu satu-satunya salinan yang tinggal...alhamdulillah...dan barulah lega dan bersemangat untuk membacanya.

Kisah yang dipapar dalam Nabila dan sequelnya Nabila 2 bukanlah sesuatu yang baru. Kisah perkahwinan paksa, perkahwinan yang diaturkan, perkahwinan antara 2 darjat sosial yang kemudiannya dilanda badai sudah cukup biasa dengan halwa mata kita sebagai pembaca.Cuma yang membezakan bagaimana karya itu digarap oleh sang penulisnya hingga menjadikan ia sedikit berlainan dan istimewa.Kisah Nabila & Nabila 2 menjadi indah dibaca hasil kecemerlangan penulisnya menggarap tema yang stereotaip dengan teknik penulisan yang berbeza dan ternyata ia seronok dihayati.

Plot cerita tersisip unsur imbas kembali yang nyata digunapakai demi mengguatkan lagi jalan cerita.Daris egi perwatakan, saya agak keliru dengan perwatakan Nabila.Tidak statik.Dia boleh digambarkan dalam 2 sikap yang berbeza dalam satu-satu masa. Berbeza dengan Hadi yang nyata lebih jelas dan telus perwatakannya dari awal hingga akhir. Begitu juga watak Zaki yang dilihat lebih baik dipotretkan oleh penulis.

Saya mengagumi karya-karya penulis ini dan sudahpun membaca karya terbaru beliau, Ku Gapai Kasihmu. Semoga kan terus cemerlang berkarya di persada seni kreatif tanahair.

BunGa SyurGa


TAJUK BUKU : BUNGA SYURGA
HASIL NUKILAN : ANITA ARUSZI
PENERBIT : KAKI NOVEL ENTERPRISE
HARGA : RM23.00
CETAKAN PERTAMA : 2008
GENRE : ROMANTIK & KEKELUARGAAN

---------------------------------------------------------------------------------------------
RESENSI SI UNGU:


‘..mata adalah gambaran hati…bila mata bertentang, jantung dan jiwa turut bertemu..dan cinta pun bersemi..’
---------------------------------------------------------------------------------------------
Bunga Syurga buah tangan terbaru Anita Aruszi ini ditunggu-tunggu masuk ke pasaran kerana beberapa faktor. Satu darinya adalah kontroversi sebuah novel penulis ini; Sakti Cinta yang mengalami sedikit masalah penerbitannya. Novel yang diterbitkan pada Pesta Buku Antarabangsa 2008 lepas dan hanya dicetak dalam jumlah yang terhad ternyata gagal memenuhi permintaan dikalangan pencinta novel tanahair khususnya para peminat penulis ini sendiri. Kekecewaan pembaca terhadap apa yang terjadi pada Sakti Cinta terubat juga dengan kelahiran novel terbaru penulis, Bunga Syurga dan ternyata Anita tidak menghampakan. Seindah judul, begitu juga isinya. Hebat sekali Bunga Syurga ditangan si pendidik berbakat besar kelahiran Darul Iman ini.

Melihat judulnya, ia membawa makna sebuah kisah romantik. Bunga dan Syurga lebih sinonim dengan unsur-unsur romantik mengikut resam masyarakat penggemar novel tanahair. Tetapi lupakan seketika judul cerita ini kerana isi kandungannya memberi peluang kita menyusuri sebuah kisah kehidupan yang begitu menarik digarap. Barangkali ada yang mengganggap cerita ini mengulangi stereotaip beberapa kisah yang pernah singgah dipasaran sebelum ini. Kisah cinta tiga penjuru atau perebutan oleh dua lelaki terhadap seorang wanita serta elemen-elemen cemburu yang menjadi perantara antara ketiga-tiganya. Mungkin telahan anda benar. Ia sebuah cerita yang mengemukakan isu yang bukan baru. Tetapi yang menarik dan istimewa Bunga Syurga terletak pada kemampuan penulis menyusuri kalbu seorang wanita dan seorang lelaki yang bergelut dengan kecamukan dalaman perasaan mereka dengan penggunaan ekspresi rasa di kalbu mengatasi luahan kata-kata . Dari lakar gerak tubuh, sudut mata serta figura cinta yang diekpresi menerusi olahan berkesan bahasa “sinematografi” penulis yang penuh beremosi, penuh personifikasi.

Romantik adalah antara genre terawal dalam sejarah penulisan kreatif. Romantik menjadi unsure tarikan untuk membawa pembaca menyusuri kalbu watak-watak yang dibina penulis sekaligus alam bawah sedar mereka sendiri, belayar dan menggapai sesuatu yang ideal dalam hidup. Romantik juga menjadi semacam eskapisme untuk melupakan sejenak kisah pedih lara di alam reality dan penamat kisah romantic selalunya memberi harapan yang terang, gembira dan ternyata Bunga Syurga juga memberikan rasa yang sama pada pembaca tatkala menoktahkan pembacaan.

Plot cerita romantik selalunya tidak jauh berbeza antara satu sama lain. Pengemukaan tema pertentangan dan perebutan cinta yang kemudiannya dibina dengan penuh dramatik sekali untuk memagut perhatian pembaca adalah yang paling popular. Justeru itu, tema cinta tiga penjuru juga bukanlah suatu yang baru kecuali di dalam Bunga Syurga ia diberikan pendekatan yang baru oleh penulis dari sudut naratif dan kekuatan noveliknya. Biarpun bertolak daripada tema yang sama, kekuatan naratif yang diperhalusi penulis dengan baik ditambah persembahan “sinematografi” yang indah, cinta tiga segi dalam Bunga Syurga tidak terasa lapuk atau ketinggalan zaman.

Jangan berharap anda akan bertemu frasa, rangkaian ungkapan ayat-ayat cinta yang keterlaluan, bombastik, basi dan memualkan di naskhah ini. Saya fakir penulis-penulis kita sudah bijak belajar untuk meminimumkan pembaziran ungkapan dan luahan kata-kata yang bukan sahaja tiada makna tetapi tiada jiwa. Laras bahasa dalam naskhah ini tetap indah dan cantik di mata dan sedap dibaca walau tanpa bahasa-bahasa yang meliuk-meliuk.Malahan lebih menarik, Bunga Syurga sedikit terkeluar daripada lingkungan stereotaip apabila naskhah romantik ini amat kurang menggunakan ucapan cinta tetapi pembaca mengerti dan faham malah terasa ayunan romantisme yang dihidangkan penulis kepada mereka.

Aspek perwatakan memperlihatkan kecemerlangan Nurul Hijjaz yang mengatasi Riffki Aidan. Watak Hijjaz bagi saya lebih cemerlang digarap penulis berbanding Riffki yang adakala seperti terperangkap dengan wataknya sendiri. Sukar menelaah perwatakan Riffki yang berubah-ubah, tidak statik.Konflik yang melingkari kehidupan kedua-dua tunjang utama Bunga Syurga ini dalam mencari identiti sebenar mereka sedikit mencacatkan persembahan cemerlang penulis. Bagi saya, tidak perlu memberatkan naskhah indah ini dengan kisah-kisah keluarga yang bersimpul-simpul begini (konflik antara Datuk Amirudin, Hazmin Iskandar dan datuk Hijjaz) yang sedikit sebanyak akan menggurangkan tumpuan pembaca. Lebih bahaya jika konflik yang dicipta gagal diselesaikan penulis. Akibatnya, pembaca akan tertanya-tanya.

Aspek suntingan dalam Bunga Syurga harus diberikan pujian apabila berjaya mengadunkan pergerakan cerita dengan tempo suntingan yang selari, tidak bercelaru yang akan menjejaskan perjalanan cerita.

Sebagai pembaca, saya mengharapkan penamat yang lebih metafora warnanya buat Nurul Hijjaz dan Riffki Aidan. Setelah mengharungi pelbagai rupa dan bentuk kepayahan untuk bersatu sekelumit penutup cerita begitu sedikit mengecewakan apatah lagi dalam menoktahkan kisah yang dimulai dengan indah sekali dan diadun sebegitu cantik begini.

Kepada penulis, sekalung tahniah atas persembahan hebat anda dalam penghasilan Bunga Syurga. Semoga akan terus hebat menarikan pena anda di persada seni kreatif tanahair. Jutaan terima kasih kerana mencoretkan penghargaan anda pada Geng Kicap dan saya di naskhah Bunga Syurga ini.Kepada pembaca yang menggemari sebuah kisah, sebuah novel yang sentimental, cantik persembahannya, maka Bunga Syurga adalah pilihan yang tepat buat anda.