Blogger Templates

Tuesday, November 11, 2008

CinTanya...KiAn MemBaRa


TAJUK BUKU : CINTANYA...KIAN MEMBARA
NUKILAN : DIYA ELORA
PENERBIT : CREATIVE ENTERPRISE SDN BHD
HARGA : RM31.90
CETAKAN : 2008
GENRE : ROMANTIK
* * * * * * *
kasih dan cintaku akan membara selamanya…semerah kelopak-kelopak ros biarpun reranting kita pernah berserakan…”

RESENSI SI UNGU:

Ini merupakan karya pertama dari penulis ini yang singgah di rak buku peribadi saya walaupun mengetahui ini bukanlah karya pertama beliau di dalam dunia penulisan kreatif tanahair. Naskhah terbaru beliau ini ternyata sarat dengan persoalan cinta yang ditafsir dari dimensi yang berbeza. Cinta itu punya pelbagai makna dan konsep yang diterjemahkan menurut kamus hati masing-masing.

Cintanya…Kian Membara (CKM) bagi saya sebuah naskhah bergenre romantik yang cukup mendebarkan para pembacanya. Kejutan demi kejutan yang tidak disangka-sangka dicipta penulis dalam membongkar perjalanan cerita yang cukup menarik ini. Permulaan cerita sendiri sudah mencipta persoalan di minda pembaca tentang isi ceritanya dan ternyata penulis berjaya membuat pembaca tertarik dan teruja untuk terus mengikuti kisah selanjutnya.

Sebagai sebuah kisah yang bertemakan cinta sebagai teraju utama dengan sisipan hubungan kasih sayang sesama keluarga dan rakan CKM memperkenalkan pembaca dengan tunjang utama cerita; Nik Seri Nataliya a.k.a Liya /Erin Darleena seorang gadis yang sempat bergelar isteri selama 2 jam selepas pernikahannya. Perkahwinan yang diatur keluarga suami itu ternyata tidak menjanjikan bahagia.Dia diceraikan di malam perkahwinannya oleh suami, Engku Rajhan atas alasan yang cukup pahit untuk ditelan oleh seorang isteri. Suaminya sudah punya pilihan hati sendiri; si cantik manis Emilda!!.

Plot cerita ini tidak berpaksikan jajaran kronologi dan teknik imbasan kembali yang digunapakai penulis di dalam mengimbau perjalanan watak-watak di dalam CKM ini terutama Liya sendiri. Kita akan terasa kesayuan di sepanjang mengikuti hidup Liya setelah dibawa ke berpindah kediaman suami.Plot cerita berkembang dengan cukup berwarna-warni didalam menyusuri pergerakan kisah Liya yang cukup dramatik ini. Sisipan monolog juga mimpi Liya cukup menarik digambarkan dalam menimbulkan persoalan tentang perkara yang menghantui diri Liya.Teknik suntingan CKM sangat kemas cuma ada sedikit kecacatan kecil di dalam penggunaan dialog bahasa Inggeris yang tercerna kesilapan tatabahasa juga penyusunan katanya. Di harap pihak editor akan lebih berhati-hati agar perkara sebegini tidak berulang.

Penulis cukup bijak memancing simpati pembaca terhadap Liya dan mengundang benci pada perilaku Engku Rajhan yang keterlaluan juga rasa mual dan meluat yang amat sangat pada sikap Emilda. 3 watak utama ini berjaya dibina perwatakannya dengan baik hingga pembaca terlupa manusia boleh punya pelbagai wajah dan rupa. Jangan cepat menilai hanya dengan pandangan mata kasar sebab mata kadangkala juga tersilap. Saya kagum dengan kebolehan penulis “menipu” pembaca hingga dengan mudah menghakimi Engku Rajhan dan Emilda. Watak-watak pembantu seperti Hazziq, Fateen juga Engku Sofiah juga cemerlang dalam menjalankan tugas mereka mewarnai kisah dalam CKM ini terutama Hazziq yang digambarkan secara konsisten perwatakannya hingga ke akhir cerita.

Paling menarik bila kisah sebenar terbongkar. Tabir di singkap satu persatu secara perlahan-lahan membuat pembaca cukup tidak sabar dan tidak menduga begitu rupa kisah sebenarnya...sangat menarik bagi saya cara yang diguna penulis di dalam merungkai kisah sebenar disebalik kemelut perkahwinan dan penceraian Liya dan Engku Rajhan dan penyatuan mereka adalah kemuncak cerita yang cukup manis bagi saya biarpun cuma seketika...

Buat penulis, tahniah atas penghasilan sebuah kisah yang cukup manis, cukup mengujakan sekali. Semoga anda akan terus cemerlang memenakan kisah-kisah indah di masa akan datang.

Buat pembaca budiman di luar sana, anda tidak perlu ragu-ragu untuk mendapatkannya, kerna naskhah ini sungguh berbaloi dimiliki biarpun ia sedikit mahal dari biasa.

1 comment: