Tajuk Buku : Kala Mimpi Bersatu
Nukilan : Emma Maizura
Penerbit : Alaf21
Harga : RM19.90
Cetakan Pertama : 2008
Genre : Romantik & Kekeluargaan
* * * * * * *
RESENSI SI UNGU:
Kala Mimpi Bersatu merupakan karya ketiga nukilan penulis berbakat ini selepas Tiada Noktah Cinta dan Ada Cinta Di Hati. Saya secara amnya amat menggemari karya beliau yang agak ringan dari sudut tema dan penceritaan, mudah dihadam minda serta punya mesej yang positif untuk diterapkan dan disampaikan pada pembacanya. Penulis bagi saya amat pintar dalam memilih cerita yang bagaimana agar ia mudah diterima dengan baik oleh warga pembaca. Cerita yang tidak terlalu berat dari sudut tema, tidak meleret-leret plotnya, ringkas dan santai dialog juga persembahan yang segar lebih mudah disambut baik oleh warga pembaca.
Di dalam Kala Mimpi Bersatu, penulis membicarakan persoalan tentang dilema seorang gadis yang disingkirkan oleh ayah kandung akibat kepercayaan karut yang tidak masuk akal dan penyingkiran tersebut menemukan dirinya dengan sebuah kehidupan dan kalangan orang-orang yang akhirnya banyak mengubah hidupnya. Menerusi Asha Rajesh @ Dr Aisyah selaku peneraju utama, penulis berjaya membina perwatakan Aisyah dengan baik dan konsisten bersesuaian dengan sifat dirinya. Saya sendiri secara peribadi sukakan perwatakan Aisyah yang cukup warna-warni dan perwatakannya cukup cantik bila dipadankan dengan Zaiffudin @ Bidin yang penyabar dan cukup "cool". Kedua-dua watak ini cukup kuat dalam menunjangi cerita ini dibantu kehebatan persembahan Sabedah dan Marlia yang cukup memualkan itu. Bagi saya watak ibu bapa angkat Aisyah, Mak Yah @ Nuriah dan Pak Mail @Ismail cukup mendamaikan sekali dan menjadi idaman di alam realiti.
Tema cerita ini membawa pembaca menyelami konflik dalaman serta cabaran juga dugaan yang dialami seorang gadis yang berhijrah dari satu kehidupan yang kelam, tidak arah, tiada matlamat kepada satu kehidupan baru yang lebih bermakna dan benar. Dalam menangani cabaran yang mendatang, dirinya diuji pula dengan pelbagai dugaan. Kecekalan dan kegigihannya mengharungi setiap permasalahan tersebut dilayarkan dengan cukup berkesan oleh penulis dan wajar menjadi satu kisah tauladan yang baik untuk disempadani.
Buat Emma, tahniah atas buah tangan terbaru anda ini yang cukup ringkas namun cukup terkesan di hati. Semoga terus gigih berkarya dengan cemerlang di masa hadapan. Buat pembaca juga peminat penulis berbakat ini, karya ini berbaloi anda miliki kerna ia pasti tidak mengecewakan anda.
No comments:
Post a Comment