Tuesday, October 21, 2008
BunGa SyurGa
TAJUK BUKU : BUNGA SYURGA
HASIL NUKILAN : ANITA ARUSZI
PENERBIT : KAKI NOVEL ENTERPRISE
HARGA : RM23.00
CETAKAN PERTAMA : 2008
GENRE : ROMANTIK & KEKELUARGAAN
---------------------------------------------------------------------------------------------
RESENSI SI UNGU:
‘..mata adalah gambaran hati…bila mata bertentang, jantung dan jiwa turut bertemu..dan cinta pun bersemi..’
---------------------------------------------------------------------------------------------
Bunga Syurga buah tangan terbaru Anita Aruszi ini ditunggu-tunggu masuk ke pasaran kerana beberapa faktor. Satu darinya adalah kontroversi sebuah novel penulis ini; Sakti Cinta yang mengalami sedikit masalah penerbitannya. Novel yang diterbitkan pada Pesta Buku Antarabangsa 2008 lepas dan hanya dicetak dalam jumlah yang terhad ternyata gagal memenuhi permintaan dikalangan pencinta novel tanahair khususnya para peminat penulis ini sendiri. Kekecewaan pembaca terhadap apa yang terjadi pada Sakti Cinta terubat juga dengan kelahiran novel terbaru penulis, Bunga Syurga dan ternyata Anita tidak menghampakan. Seindah judul, begitu juga isinya. Hebat sekali Bunga Syurga ditangan si pendidik berbakat besar kelahiran Darul Iman ini.
Melihat judulnya, ia membawa makna sebuah kisah romantik. Bunga dan Syurga lebih sinonim dengan unsur-unsur romantik mengikut resam masyarakat penggemar novel tanahair. Tetapi lupakan seketika judul cerita ini kerana isi kandungannya memberi peluang kita menyusuri sebuah kisah kehidupan yang begitu menarik digarap. Barangkali ada yang mengganggap cerita ini mengulangi stereotaip beberapa kisah yang pernah singgah dipasaran sebelum ini. Kisah cinta tiga penjuru atau perebutan oleh dua lelaki terhadap seorang wanita serta elemen-elemen cemburu yang menjadi perantara antara ketiga-tiganya. Mungkin telahan anda benar. Ia sebuah cerita yang mengemukakan isu yang bukan baru. Tetapi yang menarik dan istimewa Bunga Syurga terletak pada kemampuan penulis menyusuri kalbu seorang wanita dan seorang lelaki yang bergelut dengan kecamukan dalaman perasaan mereka dengan penggunaan ekspresi rasa di kalbu mengatasi luahan kata-kata . Dari lakar gerak tubuh, sudut mata serta figura cinta yang diekpresi menerusi olahan berkesan bahasa “sinematografi” penulis yang penuh beremosi, penuh personifikasi.
Romantik adalah antara genre terawal dalam sejarah penulisan kreatif. Romantik menjadi unsure tarikan untuk membawa pembaca menyusuri kalbu watak-watak yang dibina penulis sekaligus alam bawah sedar mereka sendiri, belayar dan menggapai sesuatu yang ideal dalam hidup. Romantik juga menjadi semacam eskapisme untuk melupakan sejenak kisah pedih lara di alam reality dan penamat kisah romantic selalunya memberi harapan yang terang, gembira dan ternyata Bunga Syurga juga memberikan rasa yang sama pada pembaca tatkala menoktahkan pembacaan.
Plot cerita romantik selalunya tidak jauh berbeza antara satu sama lain. Pengemukaan tema pertentangan dan perebutan cinta yang kemudiannya dibina dengan penuh dramatik sekali untuk memagut perhatian pembaca adalah yang paling popular. Justeru itu, tema cinta tiga penjuru juga bukanlah suatu yang baru kecuali di dalam Bunga Syurga ia diberikan pendekatan yang baru oleh penulis dari sudut naratif dan kekuatan noveliknya. Biarpun bertolak daripada tema yang sama, kekuatan naratif yang diperhalusi penulis dengan baik ditambah persembahan “sinematografi” yang indah, cinta tiga segi dalam Bunga Syurga tidak terasa lapuk atau ketinggalan zaman.
Jangan berharap anda akan bertemu frasa, rangkaian ungkapan ayat-ayat cinta yang keterlaluan, bombastik, basi dan memualkan di naskhah ini. Saya fakir penulis-penulis kita sudah bijak belajar untuk meminimumkan pembaziran ungkapan dan luahan kata-kata yang bukan sahaja tiada makna tetapi tiada jiwa. Laras bahasa dalam naskhah ini tetap indah dan cantik di mata dan sedap dibaca walau tanpa bahasa-bahasa yang meliuk-meliuk.Malahan lebih menarik, Bunga Syurga sedikit terkeluar daripada lingkungan stereotaip apabila naskhah romantik ini amat kurang menggunakan ucapan cinta tetapi pembaca mengerti dan faham malah terasa ayunan romantisme yang dihidangkan penulis kepada mereka.
Aspek perwatakan memperlihatkan kecemerlangan Nurul Hijjaz yang mengatasi Riffki Aidan. Watak Hijjaz bagi saya lebih cemerlang digarap penulis berbanding Riffki yang adakala seperti terperangkap dengan wataknya sendiri. Sukar menelaah perwatakan Riffki yang berubah-ubah, tidak statik.Konflik yang melingkari kehidupan kedua-dua tunjang utama Bunga Syurga ini dalam mencari identiti sebenar mereka sedikit mencacatkan persembahan cemerlang penulis. Bagi saya, tidak perlu memberatkan naskhah indah ini dengan kisah-kisah keluarga yang bersimpul-simpul begini (konflik antara Datuk Amirudin, Hazmin Iskandar dan datuk Hijjaz) yang sedikit sebanyak akan menggurangkan tumpuan pembaca. Lebih bahaya jika konflik yang dicipta gagal diselesaikan penulis. Akibatnya, pembaca akan tertanya-tanya.
Aspek suntingan dalam Bunga Syurga harus diberikan pujian apabila berjaya mengadunkan pergerakan cerita dengan tempo suntingan yang selari, tidak bercelaru yang akan menjejaskan perjalanan cerita.
Sebagai pembaca, saya mengharapkan penamat yang lebih metafora warnanya buat Nurul Hijjaz dan Riffki Aidan. Setelah mengharungi pelbagai rupa dan bentuk kepayahan untuk bersatu sekelumit penutup cerita begitu sedikit mengecewakan apatah lagi dalam menoktahkan kisah yang dimulai dengan indah sekali dan diadun sebegitu cantik begini.
Kepada penulis, sekalung tahniah atas persembahan hebat anda dalam penghasilan Bunga Syurga. Semoga akan terus hebat menarikan pena anda di persada seni kreatif tanahair. Jutaan terima kasih kerana mencoretkan penghargaan anda pada Geng Kicap dan saya di naskhah Bunga Syurga ini.Kepada pembaca yang menggemari sebuah kisah, sebuah novel yang sentimental, cantik persembahannya, maka Bunga Syurga adalah pilihan yang tepat buat anda.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment