Blogger Templates

Sunday, October 19, 2008

DoA UnTuK AkU


TAJUK: DOA BUAT AKU
PENULIS : BAHRUDDIN BEKRI
PENERBIT : PTS ONE SDN BHD

CETAKAN PERTAMA : 2008
HARGA : RM22.90
GENRE : REMAJA DEWASA & KOMEDI RINGAN

-----------------------------------------------------------------------------------------------------
RESENSI SI UNGU


“…Doa itu Allah makbulkan dengan pelbagai cara…Allah sudah menjelaskan dalam Al-Quran. Berdoalah kepada-Nya, Dia akan tunaikan. Paling penting, jangan putus harapan dengan rahmat Allah. Selagi kita bersangka baik dengan Allah, selagi itu rahmat Allah terbuka luas...”
-------------------------------------------------------------------------------------
Sejak kecil kita sering mendengar ia disebut, ia dilafaz.… 3 huruf yang membentuk perkataan hikmat ini, dal wau ain sering kali singgah dan dibisik di telinga, ditanam di hati, disemai dijiwa.tentang kuasa yang dimiliki disebalik perkataan itu.Akan.tetapi sejauhmanakah pemahaman kita tentang pengertian, konsep dan amalannya. Mungkin tidak semua di kalangan kita benar-benar memahami kaedah sebenar dan tertib yang betul tatkala mengamalkannya agar ia benar-benar “berkuasa”. Dalam naskhah setebal 436 mukasurat ini, penulis membentangkan kepada kita sesuatu yang mungkin kita terlepas pandang atau mungkin kita juga tidak tahu sebelum ini tentang apa itu Doa dan makna disebalik perkataan ini.

Dengan mengekalkan resipi dan ramuan dari bukunya yang pertama; Dunia Ini Sederhana Kecil, Doa Untuk Aku (DUA) ditangan penulis yang sama cemerlang diterjemahkan dilayar cetak. Aplikasi formula cerita yang menggabungkan unsur humor spontan yang begitu mencuit hati walau dipenakan secara cukup bersahaja namun ia sudah cukup mengundang senyum dan tawa pembaca samada secara langsung mahupun tidak.

Melihat pada tema dan mesej cerita tentang misi pencarian 40 Doa watak utamanya; Adly yang kemudian dipisahkan mengikut sub golongan sasaran bukanlah suatu tema yang ringan namun kebijaksanaan penulis muda berbakat besar ini nyata berjaya menggarap tema yang sedikit berat ini kepada lebih santai dan menarik menerusi teknik penceritaan yang bersahaja dengan sisipan unsur-unsur komedi tanpa sedikitpun mengurangkan matlamat asal cerita. Penilaian terhadap sesuatu karya yang baik dari kacamata saya mudah sahaja. Penulis yang baik akan mampu mengadaptasi satu cerita yang berat atau kompleks tema/mesejnya menjadi satu cerita yang cukup ringan dan mudah diterima pembaca menerusi teknik penyampaian dan laras bahasa yang dipilih. Penulis naskhah ini bagi saya telah berjaya mencapai misi tersebut.

Perwatakan dalam DUA banyak mengingatkan saya pada karya penulis yang pertama. Ada banyak persamaan yang terpalit dalam Adly dan Syamir. Sebagai peneraju utama watak Adly ternyata dimanipulasi semaksimanya oleh penulis. Sebagai peneraju utama Adly hebat ditangani penulis.Misi pencarian 40 doa oleh Adly begitu cantik dilayarkan penulis walaupun secara bersahaja dan insiden-insiden lucu yang tercipta samada secara sengaja atau tidak dalam perjalanan Adly mencapai misi tersebut cukup hidup digambarkan penulis.Begitu juga watak-watak pembantu yang lain; Kassim, Amin bin Damit, Sarah, Zulaikha, Jefri, Elizabeth yang turut cemerlang dipaparkan bagi memantapkan jalan cerita DUA ini. Penggunaan lenggok bahasa yang mudah difahami pembaca memudahkan kisah ini diikuti. Penulis ternyata memahami apa yang dimahukan pembaca dalam karya-karya sebegini kerana penggunaan laras bahasa yang kurang tepat akan mempengaruhi mood pembaca untuk menghayati sesuatu cerita.

Plot cerita dibina dengan cukup kronologi dengan sedikit sisipan teknik imbasan kembali. Kesegaran plot yang dicipta banyak membantu pergerakan cerita yang disampaikan penulis dalam merealisasikan mesejnya kepada pembaca. Walau ada sedikit kesilapan cetakan nama watak yang menuturkan dialog ia tidaklah menjejaskan jalan cerita Cuma diharap pihak editor lebih peka kerana perkara yang sama pernah terjadi dalam karya pertama penulis ini.

Dari saya, sekalung tahniah buat penulis atas kelahiran novel kedua anda ini dan ternyata banyak peningkatan telah anda pamerkan. Teruskan usaha anda. Semoga terus cemerlang menghasilkan karya-karya hebat dan bermutu di masa hadapan buat tatapan, renungan dan pedoman buat kami semua, pencinta novel tanahair.

Buat pembaca, buat pencinta novel tanahair sesungguhnya banyak yang dapat dikutip, direnung dan difikirkan dalam naskhah kecil tapi padat dan mampat isinya ini. Dua Untuk Aku ternyata tidak akan sesekali mengecewakan anda kerana sebagai pembaca anda lebih tahu. Hanya Jauhari yang lebih mengenal Manikam.

1 comment:

  1. salam,

    semua pembaca novel in, mesti insyaAllah akan berkongsi satu perasaan yang sama iaitu KELAKAR. :)

    ReplyDelete