Blogger Templates

Sunday, October 5, 2008

KemBaLikan CinTaKu


TAJUK BUKU : KEMBALIKAN CINTAKU
KARYA NUKILAN : NORHAYATI BERAHIM
PENERBIT : NB KARA
CETAKAN PERTAMA : 2008
HARGA : RM24.00
GENRE : CINTA & KEKELUARGAAN
--------------------------------------------------------------------------------------------------------
RESENSI SI UNGU:


Wang bukanlah kuasa yang boleh memberi dan membeli segala-galanya dalam kehidupan manusia di dunia ini.Wang juga bukan penunjuk dalam menentukan kebahagiaan hidup seseorang manusia. Ada unsur lain yang lebih berkuasa darinya. Manusia yang berpaksikan prinsip sedemikian adalah golongan yang akhirnya akan rugi/gagal dalam kehidupannya.Banyak telah dibuktikan. Banyak juga yang telah kita sama-sama saksikan. Justeru itu, ambillah iktibar dari kisah yang dipaparkan penulis hebat ini buat renungan bersama.

Mesej ini adalah intipati dalam kisah yang dicoretkan dalam karya terbaru penulis handalan yang saya kagumi ini. Menerusi 2 watak utama yang menjadi tunjang cerita; Wardina dan Zafrul kita dibentangkan dengan rentetan kehidupan 2 insan yang berbeda latar belakang dan prinsip tapi disatukan oleh lafaz ijab dan kabul demi satu matlamat yang telah disuratkan olehNya. Walau pelbagai rintangan, dugaan juga cabaran getir yang terpaksa ditempuh namun atas nama sebuah keredhaan kebahagiaan hakiki menjadi balasan.

Wardina adalah tunjang utama di dalam kisah ini. Wanita yang yatim piatu sejak kecil dan dipelihara ibu angkat yang berharta orangnya namun tidak melihat kelebihan itu satu yang perlu dimegahkan. Kekayaan bukanlah milik mutlak empunyanya kerna didalamnya telah ditetapkan syariat bahwa ada dari sebahagian kekayaan itu untuk dimilikkan kepada orang lain yang memerlukan. Konsep Inilah yang dipaparkan penulis menerusi Wardina yang adil dalam menyalurkan harta peninggalan ibu angkatnya yang menjadi miliknya untuk sama-sama dinikmati oleh insan lain.Atas dasar itu ,keberkatan pasti dilimpahkan olehNya atas setiap harta berkenaan. Dalam realiti kehidupan, terlalu sedikit manusia yang mengikuti juga mengamalkan syariat ini. Kerakusan juga ketamakan manusia tanpa rasa syukur atas kurniaanNya pasti mengundang bencana.

Plot cerita bergerak dengan lancar dan kemas sekali. Penggunaan teknik imbasan kembali demi menyokong perjalanan cerita juga diaplikasikan dengan cantik sekali oleh penulis. Walau ada sedikit kesilapan kecil yakni dalam dialog yang merujuk watak yang salah namun ia tidaklah mencacatkan perjalanan cerita secara keseluruhan. Diharap pihak editor lebih berhati-hati agar kesilapan sebegini tidak berulang di masa hadapan.

Dari sudut pembinaan watak oleh penulis, kesederhanaan juga ketegasan Wardina amat kontras dengan perwatakan Zafrul yang agak memualkan pada awalnya. Penulis nyata berjaya membina suatu perbezaan yang ketara antara 2 watak utama ini. Yang nyata ia amat menarik sekali agar pembaca bisa menyusuri latar belakang kehidupan yang membawa kepada perbezaan dua watak ini. Proses kematangan 2 watak utama ini juga cukup menarik. Rentetan peristiwa demi peristiwa dalam hidup tanpa kira apa warnanya menggukuhkan lagi kecemerlangan Wardina. Zafrul yang dari awal agak memualkan, namun perjalanan yang dilaluinya membuatkan pembaca jadi simpati dengannya. Dia bukanlah watak yang kelam sebenarnya cuma gagal mengenal warna diri yang sepatutnya.

Watak lain yang menarik untuk diselami adalah Tan Sri Jalal yakni bapa Zafrul. Prinsip juga sikap yang amat keterlaluan yang bukan shaja mencetuskan perasaan sakit hati, dendam, benci terhadapnya malahan paling menakutkan dia seolah-olah mencabar kekuasaanNya...dan akhirnya ia membawa padah yang amat mengerikan sekali. Hukuman juga balasan buatnya yang dilayarkan penulis cukup mengesankan sekali bagi saya. Benar seperti dikata, tidak perlu menunggu hingga mati untuk melihat pembalasan setiap perbuatan jahat, malah di dunia sudah diberikan, sudah disaksikan dan dipertontonkan sebagai amaran pada yang ingkar...

Buat kak yati, sekalung tahniah untuk KEMBALIKAN CINTAKU. Semoga akan terus cemerlang mencoretkan dan berkongsi kisah-kisah kehidupan manusia di masa hadapan. Buat pembaca khususnya peminat penulis prolifik ini, anda harus pastikan naskhah ini dalam genggaman.

No comments:

Post a Comment