Blogger Templates

Sunday, December 14, 2008

SeraSi Di HaTi


Nama Buku : Serasi Di Hati
Penulis : Nora Ismail
Penerbit : NB Kara Sdn Bhd
Harga : RM21.00
Cetakan Pertama : 2008
Genre : Romantik
cinta tidak mungkin hadir jika manusia lebih suka menilai dan menjatuhkan hukuman sebelum mengenal hati budi dan keupayaan sebenar seseorang…”
----------------------------------------------------------------------------------------------
Resensi Si Ungu:
Saya diberitahu oleh seorang teman bahawa ini merupakan manuskrip pertama Nora Ismail yang juga dikenali dengan nama penanya Rose Harissa namun ia terperap begitu lama kerna beberapa masalah. Saya jadi kagum dengan penulis ini. Jelas dia memang berbakat besar dalam dunia penulisan kreatif. Saya katakan begini kerana buku pertama beliau yang saya baca; Berikan Cintamu sangat menarik sekali dan sebagai penulis baru persembahan beliau dalam Berikan Cintamu sudah bertaraf 4 Bintang dan bila Serasi Di Hati (SDH) ini dikhabarkan adalah sebenar-benarnya karya pertama beliau dari sudut teknikalnya, maka kekaguman saya pada penulis ini bertambah setingkat. Ternyata telahan saya tepat. Dia dikurniakan bakat penulisan yang mampu membawa dia pergi lebih jauh di dalam dunia penulisan kreatif ini.

Gaya“visual’ dan naratif SDH dipersembahkan dengan sangat manis, ringkas, menarik tapi sangat menghiburkan. Lupakan“unsur-unsur hangat “yang mengiringi karya ini kerana bagi saya apa yang lebih penting adalah apa yang ingin disampaikan penulis dalam naskhah terbaru beliau ini. Ia menghidangkan hikayat cinta yang bukan bersifat artifisial tetapi begitu menusuk kalbu dan sangat romantis pengkisahannya mengenai 2 jiwa, satu cinta dalam sebuah perjalanan yang dipanggil kehidupan. SDH adalah penzahiran kisah cinta dari kaca mata seorang wanita dan terjemahan seorang wanita tentang cinta.Menerusi SDH, penulis cuba menjelaskan bahawa keajaiban cinta hadir dalam pelbagai sudut dan rupa termasuk kebetulan dan insiden yang tidak disangkakan. Demikianlah suatu keajaiban yang dianugerahkan Tuhan kepada hamba-Nya.

Jalinan plot dan sub plot yang ringkas tapi selari di samping pembentukan watak-watak utama; Zarul dan Edrinaz yang cukup berjaya melahirkan roh menerusi karektor masing-masing banyak membantu menimbulkan perasaan dan jiwa pada keseluruhan naratif SDH. Penghayatan watak yang cemerlang banyak membantu kelancaran lenggok cerita ini. Baik watak utama yakni Zarul dan Edrinaz juga watak pembantu lain seperti Zalina Asha, Shamsul Azman, Ainon saling berdiri menyokong antara satu sama lain sehingga ia hidup mengikut keperluan watak.

Mungkin ada yang bertanggapan tema cinta tidak membawa idealisme yang besar, jauh sekali meninggalkan provokasi kepada masyarakat pembaca tetapi bagi saya yang tidak skeptikal terhadap cerita-cerita yang bertema sebegini kerana bagi saya cinta adalah satu elemen yang hakikatnya wujud dalam semua genre cerita waima cerita perang, thiller atau seram.

Penggunaan laras bahasa yang mudah, ringkas tanpa perlu sisipan istilah-istilah cinta yang memualkan cukup meletakkan cerita ini pada kelasnya yang tersendiri. Saya juga cukup gemarkan cara penulis mengaplikasikan segala pengetahuannya tentang dunia muzik di dalam cerita ini menerusi watak Zarul. Kita seolah boleh memvisualkan Zarul dan gitarnya di pentas, berdiri sambil tersenyum..asyik sekali…hehehe

Buat penulis berbakat besar ini, sekalung tahniah atas persembahan hebat anda dalam Serasi Di Hati ini. Semoga peluang dan ruang yang diberikan kepada anda saat melangkah dalam gelanggang penulisan kreatif ini dimanipulasikan sebaik mungkin dengan cetusan idea yang lebih baik di masa hadapan dan semoga akan kukuh berdiri sebagai barisan angkatan penulis baru yang bakal menjadi asset dalam industri ini.

Buat pembaca, buat penggemar kisah cinta, kisah cinta Zarul dan Edrinaz sangat manis untuk dihayati maka pastikan ia memasuki senarai mesti beli anda.

No comments:

Post a Comment