Thursday, April 28, 2011
BLuEs ReTro...
Tajuk Buku : Blues Retro
Pengarang : Imaen
Penerbit : JS Adiwarna Sdn Bhd
Editor : Noor Suraya Adnan Sallehudin
Harga : RM17.00
Cetakan Pertama : 2011
Genre : Semi Drama
Bintang : 4.5
--------------------------------------------------------
"saya dah biasa susah. Saya manusia yang tak rasa apa-apa kalau baca novel sad ending.Jadi saya manusia yang boleh hidup dengan kesedihan.Jiwa saya kuat, seteguh karang, insyaallah."
Kata Kucc:
"kesian tak pada Ghazi?" Itu soalan pertama yang dilontar penulis pada saya. Saya memang tak jawab soalan saudara Imaen masa tu. Saya sebenarnya banyak terdiam seusai membaca naskhah ini. Seperti ada yang tersangkut di lubuk hati. Tak terluah. Jika mahu menjawab soalan penulis, saya akan kata perasaan saya ada macam-macam pada Ghazi. Bukan setakat kasihan. Lebih dari itu. Sungguh!
Kisah ini bukan setakat masam manis kehidupan. Masin, pahit, kelat, payau juga tidak terkecuali. Semuanya bercampur-gaul. Kata penulis, ini kisah benar. Kisah seorang teman yang dipenakan didalam naskhah nukilan terbaharu beliau ini. Saya cuba membayangkan teman penulis dan cuba meletakkan diri pada jarum kehidupan temannya pada waktu itu. Tidak terjangkau dihati rasa itu. Sukarnya membayangkan perasaan "G" yang ditubi dengan pelbagai rintangan, dugaan juga hambatan hidup. Kiri dan kanan, Atas dan bawah. Yang melihat tidak akan sama dengan yang menelan. Justifikasi tidak akan berpaksi pada garis linear yang sama kerana kiblatnya berbeza.
Blues Retro (BR), buah tangan terbaharu penulis yang sangat saya kagumi pena sinisnya bila berkarya. Sinis beliau kali ini melankolik warnanya. Kisah kehidupan dua darjat yang diangkat sebagai tema utama. Mungkin bukan satu tema yang asing didalam karya penulisan kreatif namun bila ia disandarkan dari sebuah realiti dan bukannya ciptaan semata-matanya, lakon layarnya pasti lebih hidup dan terkesan dihati. Berlatarkan Universiti Lembah Pantai sekitar tahun 1987-1990, BR dibangunkan dengan gambaran suasana mahasiswa dan mahasiswi disekitar latar masa berkenaan. Sinematografi jalan kisah ini berkembang cemerlang dan disunting dengan begitu teliti agar tiada lopak-lopak pada hamparan naratif yang boleh mengganggu perjalanan bacaan pembaca.
BR menobatkan Ghazi; si anak kampung miskin sebagai peneraju naskhah. Penuntut jurusan tidak glamour; antropologi Universiti Lembah Pantai yang seawal jejak ke menara gading sudah ditempelak dengan budaya suai kenal yang tidak memihak padanya. Perwatakan Ghazi mampat dan jitu ditangan penulis. Optimisnya mengujakan, langkah pantang undurnya mengagumkan dan kental jiwa juga semangat juang anak muda ini meruntun naluri. Peribadi luhurnya memikat, keunikan personaliti menggamit hati untuk dekat padanya. Sisi manis dirinya yang tersendiri menghiburkan. Ghazi hidup dimata pembaca dan sememangnya wajar begitu kerana dia bukan watak ciptaan biar hanya dilakar di kanvas lembar putih.
Nik Farhana @ Hana. Awal pembuka bicara watak gadis cantik bakal doktor yang ada bau istana ini memikat. Perwatakannya jernih dimata. Personaliti sederhananya sejuk mata. Buah hati Ghazi yang pada awal kata bicaranya teguh mempertahankan kasih mereka. Tidak kisah biar tahu betapa besar jurang beza status sosial dia dan arjunanya itu. Tidak kisah biar tahu tentangan besar yang bakal datang dari bondanya. Pada tahap ini Hana mengagumkan. Teguh prinsip dirinya yang tidak mudah goyah pada asakan dan dugaan hebat yang menimpa diri arjuna hatinya itu membuai rasa. Tetapi bila akhirnya kata lidah tidak sekata dengan kata hati, jiwa mula goyah pada dugaan yang terzahir didepan mata, mana mungkin boleh bersatu dua jiwa menjadi satu. Hidup ini bukankah perkongsian rasa antara dua jiwa.
Tengku Nordin. Aduhai menjengkelkan betul kerabat yang satu ini. Antagonisnya sekelam-kelam alam. Lagaknya memualkan. Egonya tidak kena tempat. Hipokritnya lelaki ini meletakkan darjah diri di sepatu sahaja layaknya. Sepupu Nik Farhana ini seburuk-buruk potret diri seorang lelaki. Mungkin begini juga sebenarnya doktor gigi ini diluar sana. Eei, menyampah sungguh!
Tengku Zainun. Bonda Nik Farhana ini bukan spesies mesra alam. Antagonisnya sama naik dengan anak saudara yang satu itu. Warna potret diri gelap. Hatinya juga sama. Tidak mungkin boleh cerah biar dicuci air tujuh lautan sekalipun. Melihat manusia pada tingkat-tingkat sosial. Bangga pada darah keturunan yang merahnya sama sahaja dengan insan-insan kelas bawahan. Bukan kuning atau hijau jingga!
Bahasa naratif bersahaja namun melankoliknya terserlah tanpa sedar. Sinisnya disulam penuh berhemah tapi tepat ke sasaran!
BR menebarkan layar tentang kisah Ghazi, si mahasiswa antropologi. Pemuda miskin harta namun kaya budi dan kental jiwa. Demi kelangsungan hidup dan menampung kos pengajian, bersama teman sekepala Alias, gerai burger melayu; Wrap & Roll Express terbina. Berdiri megah dari usaha tangan dua anak muda ini. Berkenalan dengan Nik Farhana, pelajar jurusan perubatan sewaktu minggu suai-kenal, persahabatan mereka makin mekar hingga melangkah ke frasa yang seterusnya. Biar adakala wujud pertentangan pendapat antara mereka lantaran prinsip yang tidak selari, ia tidak pernah menjejaskan perhubungan. Saling memahami diri masing-masing adalah pendekatan selamat yang diambil antara kedua-duanya. Jika Hana tetapkan pendirian dan berpegang pada kata janji yang dilafaz, mungkin bukan begini kesudahan mereka. Namun siapa kita mahu menolak takdir. Yang tersurat sudah tercatat tintanya di loh mahfuz.
Hidup ini landasannya berliku. Bukan satu garisan lurus. Inilah mesej yang saya kira cuba diterap penulis didalam naratif terbaharu beliau ini. Mesej yag menjadikan kita para insan pembaca berfikir tentang kehidupan dan bagaimana rentetan kehidupan itu bisa membantu kita menjadi tabah hati dan paling utama menghargai kehidupan dan nilai-nilai kemanusiaan.
Buat pembaca yang belum menelaah naskhah ini, ia wajib anda baca kerana bagi saya ia sememangnya mempunyai tarikan kontemporari tersendiri. Ia menebar jiwa yang masih mencari ruang dan makna kehidupan agar bangkit membakar semangat diri dan jangan sesekali berputus asa, biar nyawa sudah meniti dihujung jari!
Nota buat penulis:
Saya akan menunggu Blues Retro 2 anda, sebagaimana yang telah anda sebut pada saya dan teman-teman pada perbualan di PBAKL minggu lalu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment