Blogger Templates

Monday, November 9, 2009

Biarlah YM Berbicara

Tajuk Buku :Biarlah YM Berbicara
Penulis : Hanni Ramsul
Penerbit : Kaki Novel
Harga : RM20.00
Cetakan Pertama : April 2009
Genre: Romantik
Bintang : 3


-------------------------------------------------------
" everyone falls in love sometimes, sometimes it's wrong, sometimes it's right, For every win, some one lose..."

Resensi Si Ungu:

Kuasa cinta sememangnya ajaib. Manusia adakalanya sanggup melakukan apa sahaja deminya. Kerana cinta kuasa akal adakala tidak mampu mengambilalih aliran emosi seseorang...kerana cinta itu sebenarnya adalah aliran elemen rasa...elemen perasaan. Maka akal seakan dibius tatkala ia hadir. Namun, Ia juga sebenarnya mampu menggerakkan motivasi seseorang individu untuk berhempas pulas untuk merealisasikan impian. Impian cintanya. Inilah intipati yang diangkat didalam Biarlah YM Berbicara (BYMB); karya sulung penulis muda berbakat besar kelahiran negeri Darul Iman ini. Sebuah persembahan yang saya kira agak baik dari beliau walaupun ada serba sedikit perihal yang perlu diteliti penulis demi memantapkan mutu karyanya di masa hadapan.

BYMB bergerak sebagai sebuah naratif yang serba santai sifatnya dimana hampir 90% naskhah ini dipenuhi dengan dialog antara kesemua watak-watak utamanya. Konflik yang dibangkitkan didalam naratif ini adalah konflik cinta yang stereotaip sifatnya..soal curiga, ketidakpastian tentang perasaan, was-was pada pasangan lalu diseret dengan elemen rajuk yang membawa kepada pelarian sang bulan yang saya kira sudah terlalu sinonim dengan kisah cinta yang seringkali kita baca atau tatapi samada di layar kertas, kaca mahupun perak. Sebuah kisah cinta yang begitu klise.

Watak utama Dhiya @ Tiya dan Firdaus berganding dengan nisbah yang seimbang antara kedua-duanya. Tiada dominasi antara kedua-dua watak utama ini. Dalam situasi tertentu saya kira watak Firdaus selaku ketua di kilang agak sedikit tidak relevan dengan kedudukan professionalnya. Adakah masa ketua pejabat berchatting kala di waktu berkerja?. Pergaulan sosial antara pekerja pasti ada batasnya bukan. Saya bukan prejudis, jauh sekali memandang pangkat didalam etika bergaul tapi kita bicara soal logik disini. Dan persoalan logik jugalah yang agak membingungkan saya tatkala memikirkan bagaimana watak Dhiya yang dipotret sebagai akauntan boleh diarahkan menjadi setiausaha. Saya seorang setiausaha dan kerjaya saya dikelilingi oleh individu-individu yang bergelar akauntan...saya bertanya mahukah mereka bertukar tempat dengan saya ..saya kira anda tidak akan sanggup mendengar jawapannya. Justeru itu, saya kira agak tidak relevan tentang pertukaran jawatan Dhiya hanya kerana penulis ingin mendekatkan mereka berdua. Pilihlah situasi jawatan yang lebih logik dan mampu dihadam akal. Saya kira penulis juga perlu mengambilkira persoalan susila adap dan adat yang saya lihat tidak begitu ditekankan didalam naratif ini. Jangan kerana asyik memotretkan emosi cinta dan kasih antara kedua-dua watak utama, perkara ini terlepas pandang. Perlakuan Firdaus tatkala dikampung Dhiya saya kira sedikit keterlaluan. Memegang dan mengelus pipi, memeluk pinggang anak dara orang di halaman rumah, bukankah itu kurang sopan namanya?. Mungkin ini faktor penyumbang kepada kelonggaran naskhah penulis ini. Kita sedia maklum watak dan perwatakan sangat penting didalam sesebuah naratif. Kelemahan penulis mengolah setiap watak yang dicipta akan memberi kesan langsung yang cukup besar kepada persembahan naratifnya secara keseluruhan.

BYMB menyusuri kisah cinta romantis yang disulam di alam maya antara Ugly Betty dan Charming. Charming tahu siapa sebenarnya Ugly Betty tapi tidak Ugly Betty dan demi merapatinya, Charming menggunakan cara maya untuk memikat kerana dia pasti jika tidak begitu dia tidak mungkin dapat mendekati Ugly Betty. Dan kerana alasan itu jua lah identiti dirinya terpaksa dirahsiakan. Di alam nyata mereka adalah insan yang sebenarnya saling mengenali, sering berjumpa dan berhubung di dalam urusan kerja. Firdaus adalah ketua yang juga anak tuan punya kilang tempat Dhiya bekerja. Selain dicintai Firdaus, Dhiya juga diburu cinta abang sepupunya, Kamal yang sedari dulu tidak pernah putus asa mendapatkan cinta Dhiya. Di tempat kerja, Dhiya juga diminati dalam diam oleh Johan, rakan sepejabat namun sayang cinta Dhiya hanya untuk kekasih alam mayanya, Charming. Dhiya sebenarnya dalam diam juga menyukai Firdaus, tindak tanduk Firdaus adakalanya mengelirukan Dhiya yang sedikit keanak-anakkan. Penyamaran Charming akhirnya diketahui Dhiya dan kerana dihimpit rasa malu, tidak yakin juga ragu-ragu Dhiya tanpa berfikir panjang nekad meletak jawatan. Pelariannya di kampung akhirnya menemukan sebuah kepastian di dalam hatinya...bicara di YM nyata bukanlah semuanya tipu daya.

Mesej penulis dalam naratifnya kali ini menyimpulkan satu perkara tentang manusia yang adakala sukar atau mungkin tidak berupaya meluahkan perasaan sendiri pada insan yang dikasihi secara diam-diam. Kadangkala keputusan itu mungkin membawa kesan pada diri sendiri juga pada pihak yang satu lagi. Jika tidak diluahkan bagaimana mahu dipastikan jawapannya. Risiko pasti ada tapi adakala lebih baik begitu dari terus menerus memendam rasa. Naskhah ini turut menyimpulkan tentang satu perkara penting yakni, jodoh adalah suatu ketentuan yang pasti dari-Nya. Setiap yang terjadi pada setiap insan dalam perjalanan hidupnya pasti ada hikmahnya yang tersirat.

Pergerakan naratif BYMB tidak seratus peratus bersifat kronologi. Ada ketika teknik imbasan digunapakai namun cukup tersusun dan bijak ditangani penulis dengan baik agar tumpuan pembaca tidak tersasar . Dari satu bahagian ke bahagian yang lain, kesinambungan cerita nampak cukup kemas .Penggunaan laras bahasa mudah dan santai mewarnai naratif beliau ini.

Buat saudari penulis, semoga komentar saya ini diterima dengan hati terbuka. Sebagai pembaca yang mengagumi bakat anda, anggaplah catatan ini sebagai cabaran untuk anda menghasilkan yang lebih baik dan hebat pada karya akan datang. Saya akan menunggu karya terbaru anda itu.

No comments:

Post a Comment