Thursday, November 19, 2009
EpiSoD CinTa di TaNaH HiJraH...
Tajuk Buku :Episod Cinta Di Tanah Hijrah
Penulis : Amaruszati Noor Rahim
Penerbit : Dewan Bahasa & Pustaka
Harga : RM35.00
Cetakan Pertama : 2009
Genre: Patriotisme & Kasih Sayang
Bintang : 4 1/2
--------------------------------------------------------------
“Kemajuan mengembangkan kemajuan, keyakinan menimbulkan keyakinan, kejayaan mengulangi kejayaan..
…dalam diri kita ini ada satu sumbu cinta. Bila kita nyalakan sumbu yang ini, hidup kita akan terang benderang. Cinta kepada Allah, pilihkah sumbu itu. Bila kita cinta kepada Allah, kita akan cintai diri kita sendiri. Sebelum mengharapkan orang lain mencintai kita sepenuh jiwa, kita mesti cintai diri kita sendiri, jaga diri kita sendiri..”
Resensi Si Ungu:
Agak lama penulis hebat ini menyepi. Pasti ramai yang merindui kehebatan penanya menari di lembar putih. Saya tidak terkecuali. Beliau antara penulis yang saya begitu kagumi…kagum pada ideanya tika dicoretkan di lembar kertas lalu menjadi sebuah naskhah yang hebat dimata, kagum pada gayanya yang tersendiri, karya beliau ada identiti diri. Lalu saat mengetahui beliau muncul dengan kisah baru, saya jadi sangat teruja untuk mendapatkannya. Saya sudah mendapatkannya pada bulan Julai dulu namun kekangan masa membuatkan “dia” terpaksa menunggu giliran dirinya. Alhamdulillah, Naskhah terbaru beliau; Episod Cinta di Tanah Hijrah ini berjaya saya sudahkan hujung minggu lalu. Buat makluman, naskhah ini bukanlah kisah cinta biasa…ia kisah cinta tersirat yang penuh sejarah, penuh suka duka...penuh pengajaran. Yang pastinya bagi saya naskhah ini sangat mengagumkan sekali.
Saya generasi pasca merdeka maka segala pahit getir ketika negara di zaman gelap, penuh kelam dan bermandi darah tidak saya lalui. Hanya melalui pembacaan juga penceritaan sedikit sebanyak segala memori pahit di kala itu ada tersimpan di minda sebagai makluman juga peringatan pada diri sendiri. Peringatan tentang perlunya saya bersyukur tidak perlu melalui keadaan dulu yang penuh catatan sedih. Lalu bila penulis ini membongkar laluan getir sejarah silam dengan catatan perjalanan watak utama naskhah ini; pakcik Ghaffar jiwa rasa sangat tersentuh dengan pengkisahan yang mengembalikan semula ingatan tentang sejarah silam…sejarah duka yang tidak mungkin terpadam. Sejarah yang seharusnya menjadi teladan dan ingatan pada kita semua khususnya generasi pasca merdeka.
Sejajar dengan penghasilannya yang bertitik tolak dari ulangtahun 50 tahun kemerdekaan negara, maka memang tepat naskhah ini berintipatikan tema dan mesej perjuangan. Perjuangan yang tidak menjurus pada ledakan senjata dan aliran darah namun lebih tersirat pada perjuangan diri…perjuangan memartabatkan pencapaian diri khususnya dan negara amnya. Perjuangan yang mengangkat semangat memajukan diri demi kesejahteraan generasi akan datang. Saya sangat kagum dengan cara penulis menyampaikan wacananya ini pada pembaca. Teknik aliran kesedaran yang dipilihnya cukup realistik dan beliau tidak perlu penceritaan yang penuh elemen bunga-bunga bagi memukau pembaca. Jiwa cukup tenang tika menghayati naskhah ini, seakan merasai diri berada di lokasi cerita.
Saya sering menyatakan peri penting perwatakan didalam sesebuah naratif kerana di situlah “nyawa” naskhah tersebut. Ghaffar adalah watak utama yang memberi warna dominan pada naskhah ini. Watak Ghaffar seorang peneroka gigih berusia 80-an Felda di Kg Awah, Pahang cukup kuat sekali pengaruh pada persembahan keseluruhan naratif ini. Segala rentetan hidupnya dari zaman bergelar anak teruna seawal usia 20 tahun hinggalah kepada catatan penglibatannya pada zaman pendudukan Jepun, Bintang Tiga ,British di Tanah Melayu tidak ketinggalan kisah cintanya pada tunangan; Salmiah yang akhirnya dikahwini setelah 41 tahun diikat dengan tali pertunangan hinggalah kepada zaman selepas kemerdekaan yang membawa kepada keputusannya menyertai Felda dipersembahkan dengan cukup teliti melalui nota pengkisahan pada Fragmen Perjuangan tulisan Ghaffar. Maisarah & Masitah anak kembar Ghaffar juga berdarah pejuang sepertinya. Perwatakan Maisarah; seorang pembantu pengurus kanan di Trend Excell yang akhirnya dibuang kerja akibat dengki kianat rakan sekerja begitu mengujakan saya. Saat dia bangkit dari kecewa dilempar seperti sampah oleh bekas majikan dan bagaimana penulis melakar dengan cukup cantik kewajaan jiwanya yang tidak mahu mengalah lalu memutuskan mahu menjadi penternak kambing baka import di Felda dengan menggunakan ladang sawit ayahnya sebagai tempat bermula, saya sudah jatuh cinta pada watak Maisarah. Dr.Masitah, pakar perbidanan dan sakit puan yang juga berpangkat adik kepada Maisarah. Seperti juga watak Maisarah, perwatakan Masitah sangat indah dipotretkan penulis. Cukup teliti digambarkan keutuhan watak doktor muda ini yang cukup berwawasan dan komitet dalam kerjaya. Rentetan sedih kehilangan umi; Nor Aisyah dan melihat kesulitan arwah umi saat melahirkan adik yang berkeadaan songsang mendorong Masitah mahu terus berbakti pada masyarakat di dalam bidang pilihannya. Kita dapat menyelami kesedihan Masitah dan kita turut teruja dengan semangat kecintaannya yang cukup tinggi dalam bidang kerjayanya. Watak Ikram lebih hebat dimata saya biarpun dia tewas di tangan Tanaka untuk bertakhta di hati Maisarah. Watak Ikram cukup idea dan wajar menjadi ikon yang baik buat generasi muda. Semangat dan usahanya di dalam meningkatkan martabat Felda Kg Awah begitu cantik diportetkan penulis. Biarpun Dr Eng @ Mohamad Amin cumalah watak sampingan, saya sukakan penampilan wataknya di dalam naskhah ini. Watak Salmiah cukup menghibakan saya. Trauma yang dialami cukup berkesan dipenakan penulis. Kita boleh merasakan derita batin yang dialami Salmiah. Sesukar mata kita yang melihat apatah lagi tubuhnya yang merasainya sendiri.
Episod Cinta Di Tanah Hijrah menemukan pembaca dengan pakcik Ghaffar seorang peneroka Felda di Kampung Awah, Pahang. Beliau yang juga bekas anggota Rejimen Askar Melayu di zaman pendudukan Inggeris di Tanah Melayu pernah melalui zaman getir ketika pemerintahan Jepun, Bintang Tiga dan merupakan juga anggota Tentera Pembebasan Melayu Nasional yang menentang British selepas kekalahan Bintang Tiga. Dalam usia sudah mencecah 80-an beliau cukup bersemangat dan dengan dibantu cucu saudara; Ikram Ghaffar mengambil keputusan melakarkan segala kisah getir yang dilalui dulu tika di zaman penjajah untuk dikongsi dengan generasi muda didalam sebuah Fragmen Perjuangan yang akhirnya berjaya dibukukan. Dalam mengharungi hidup yang tersisa, dugaan tidak terlepas darinya. Maisarah puteri sulungnya dibuang kerja tiba-tiba. Berbekal semangat yang ada, anaknya itu bangkit lalu berkeputusan mahu menjadi penternak di tanah kelahirannya. Ghaffar yang sedikit cuak namun cepat sedar lalu sokongan padunya melakar kejayaan buat sang puteri. Namun hubungan mereka yang mesra itu tiba-tiba muram. Kemunculan Tanaka, bekas rakan sekerja Maisarah tidak dialu-alukan Ghaffar. Maisarah buntu, tidak tahu sebab ayahnya bertindak sedemikian. Hatinya jadi pilu, jika bangsa dijadikan ukuran mengapa Dr Eng, teman istimewa adiknya Dr Masitah begitu diterima baik oleh Ghaffar. Puas bertanya, puas menyelidik, namun tetap gagal. Ikram yang menaruh hati pada Maisarah tetapi sedar diri bahawa dirinya cuma teman baik dimata Maisarah cuba menolong. Lalu Fragmen Perjuangan yang hampir siap diajukan pada Maisarah. Disitulah terletak jawapan pada persoalannya selama ini. Namun lebih hebat, catatan itu membongkar lebih dalam tentang siapa ayahnya itu. Dia punya abang rupanya selama ini, malah arwah umi bukanlah isteri pertama ayah mereka rupa-rupanya.
Gaya bahasa yang diaplikasikan penulis cukup ringkas, bahasa perbualan hari-hari. Tiada langsung sebarang elemen metafora, personikasi yang mewarnai naskhah ini namun ia langsung tidak menjejaskan keindahan naskhah ini di mata pembaca. Sebagai wanita, penulis ternyata begitu hebat mengartikulasi emosi dengan lebih baik dan jelas. Lihat sahaja watak Masitah dan Maisarah. Emosi kewanitaan mereka cukup terserlah ditangani penulis.
Teknik suntingan dalam naratfi ini hebat lebih-lebih lagi apabila ia membabitkan plot cerita yang bukan bersifat jajaran kronologi langsung. Tanpa suntingan yang teliti, imbasan kembali yang dicuba dibawa pasti mengganggu tumpuan pembacaan dan ia pasti menjejaskan mood pembacaan. Kaedah yang digunapakai dalam naratif ini untuk pembaca kembali ke zaman muda pakcik Ghaffar digarap dengan cukup halus, teliti dan cemerlang sekali sehingga kita seolah merasakan kita turut berada di zaman itu.
Latar cerita yang mengabadikan Felda Kampung Awah sebagai lokasi utama cerita diadaptasikan ke dalam naskhah ini dengan cukup teliti. Ketelitian inilah yang membentuk satu gerak kerja yang menghasilkan gambaran sinematografi yang membanggakan walau cuma dizahirkan dilayar kertas. Kreativiti penulis benar-benar terpamer di sini. Saya seolah boleh melihat si putih boer berlari riang di ladang sawit meragut rumput.
Untuk penulis, terima kasih untuk sebuah episod cinta yang cukup indah. Lakaran kisah perjuangan di sebuah tanah hijrah yang sangat mendamaikan. Buat pembaca budiman di luar sana, jika anda sedang tercari satu kisah, satu cerita yang akan meninggalkan satu kenangan bermakna yang tidak akan anda lupakan sepanjang hayat, maka pastikan Episod Cinta Di Tanah Hijrah berada di dalam senarai mesti beli anda.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Allahuakbar... Air mata saya menitis. Betapa saya rasa novelini tidal dipedulikan, tidal dihighlight langsung oleh media dan dbp sendiri. Terima kasih, Dari ulasan and a, saya tahu and a membaca Tanpa meninggalkan walau sebaris ayat.. Anda mengulas srbagai penghayat... Tiba2 saja saya rasa karya INI dihargai.
ReplyDelete