Nama Buku : Noktah Di Hujung Rindu
Penulis : Hafizah Iszahanid @ Mia Khaidina
Penerbit : Times Editions-Marshall Cavendish
Tahun Cetakan : 2005
Genre : Romantik & Kekeluargaan
Bintang : 4
---------------------------------------------------------
"hati memang cepat berbelah bahagi apabila kita mahu melakukan perkara baik..."
Kata Kucc:
Ini adalah novel pertama penulis namun merupakan karya ke-3 beliau yang saya baca. Walau ini merupakan novel pertama beliau akan tetapi berbekal pengalaman yang luas dalam bidang penulisan cerpen, karya ini cemerlang digarap penulis. Tidak terasa seolah-olah membaca karya penulis yang baru cuba-cuba menjengah ke dunia penulisan kreatif. Sentuhan beliau sangat melankolik menerusi adaptasi gabungan lenggok bahasa juga dialog yang dicipta. Keserasian dua elemen ini menjadikan naskhah ini segar dan menarik dibaca.
Naskhah Noktah Di Hujung Rindu (NDHR) ini membawa tema tentang kesetiaan dan kejujuran. Kesetiaan yang boleh diterjemahkan didalam rangkaian kisah-kisah dari watak-watak yang menjadi pendukung naratif ini. Kesetiaan dan kejujuran pada tunang, kesetiaan dan kejujuran pada kekasih, kesetiaan dan kejujuran suami pada isteri. Gabungan kisah-kisah yang disimpulkan atas tiket tema yang satu lalu terciptakan sebuah jalinan naratif yang cukup menyentuh perasaan.
Penciptaan watak didalam NDHR ini sangat cemerlang. Penulis begitu peka didalam memastikan tiap watak yang dicipta mampu memberi kesan pada pembaca dan ternyata beliau berjaya melakukannya. Irdina Zukhri; arkitek muda cantik bergaya. Pernah putus tunang dengan rakan sekolah kala ditahun akhir pengajiannya di universiti. Putus tunang yang tidak dapat dielakkan kala hati sudah dicuri sang arjuna yang sejak di hari pertama menjejak kaki ke menara gading. Sang arjuna yang bernama Nielham Abdullah itu tidak jemu-jemu memburu Irdina. Walau cuba bertahan, Irdina tidak dapat membohongi jiwa dan perasaannya sendiri. Cinta pada sang tunang nun jauh diseberang laut kian pudar lalu terus berkubur. Namun mungkinkah ini balasan tuhan padanya, jika dahulu dia tega memutuskan ikatan kasih yang sekian lama terjalin kerana panahan cinta sang arjuna sedangkan tunangnya setia dengan janji, kali ini dia pula perit merasakan bila cintanya dikhianati oleh sang arjuna. Watak Irdina cemerlang dipotretkan penulis. Setiap inci rasa dan gelora dijiwa watak ini disempurnakan dengan baik oleh penulis. Irdina adalah kisah duka gadis malang yang tersepit antara pertembungan cinta setia yang sedaya upaya dipertahankan. Saya sukakan watak Irdina dan tambah suka bila akhirnya dia berjaya juga membuat keputusan tepat bagi dirinya.
Nielham Abdullah. Watak ini sebaiknya diselami jiwanya oleh penulis. Bukan mudah untuk meneropong di lubuk hati insan bernama lelaki lebih-lebih lagi lelaki yang hatinya pernah lara ditinggalkan dan bila ia dinukil dari mata pena seorang penulis wanita tugas ini berat saya kira namun penulis saya kira berjaya melakukannya. Nielham; pensyarah muda yang pernah putus kasih dengan belahan jiwa berdarah inggeris kerana tentang ibu yang tidak mahu bermenantukan keturunan Yahudi. Kate yang tidak sanggup menunggu meninggalkan Nielham walau dahulu pernah berjanji sumpah setia. Watak Nielham sedari awal begitu mempesonakan sekali auranya. Kesungguhan didalam mengejar cinta Irdina sangat mengesankan; biarpun perlu menunggu hingga ke tahun akhir pengajian si gadis yang sungguh sukar dipikat, tekadnya tidak pernah pudar. Kecelaruan jiwa dan perasaan Nielham didalam membuat pilihan juga dipenakan sebaiknya oleh penulis. Sifat ketaatannya pada emak yang tertekan jiwa kerana perbuatan abah yang berkahwin muda juga dipenakan dengan baik sekali. Sebagai anak Nielham memang mendamaikan namun sayang sebagai lelaki dia gagal didalam mengatur perasaannya sendiri.
Suria. Wataknya yang tega berhadapan risiko demi mempertahankan haknya untuk menentukan jalan hidupnya sendiri. Saya sukakan ketegasan Suria walau tidak setuju dengan jalan yang dipilih. Puan Sofiah dan Puan Zarina dua wanita, dua isteri, dua ibu yang berpijak pada tanah yang sama; dimadukan suami dengan wanita yang lebih muda. Namun mereka berbeza didalam menangani racun yang menjalar jiwa wanita. Pemotretan watak sampingan ini berkesan dipenakan penulis. Inilah rasa yang menikam kala jiwa tidak rela. Lalu jiwa lain pula menjadi mangsa amukan amarah dihati. Abdullah; suami yang terlalu mementing diri. Biar apapun alasan dan hujahnya benang yang terang-terang sudah basah manakan mungkin kering hanya dengan sekadar tiupan kata-kata manis, kesimpulannya disini cuma satu; jauhi lelaki begini.
Khalrizal. Lelaki yang ditinggalkan kerana kasih tunang berpindah pada jejaka lain. Watak Khal memang menyedihkan. Rasa kasihan pasti ada dihati pada watak ini kerana dia hanya mangsa pada kesetiaan yang dimungkiri. Saya sukakan watak Khal kerana kasihnya teguh, tidak pernah berpaling dan sanggup berkorban demi kebahagiaan gadis yang dicintai sepenuh jiwa.
Plot naratif yang berpaksikan kronologi ini sangat tersusun. Persembahan dan jalinan antara satu bab ke bab yang lain baik dan tiada yang mengganggu pembacaan. Ini kesan dari kerja-kerja suntingan yang saya kira sebaiknya dilakukan demi memberi kepuasan pembacaan kepada pembaca.
Kesetiaan dan kejujuran begitu mahal harganya lalu janganlah sesekali mensia-siakannya. Inilah saya kira mesej yang disimpulkan penulis daripada persembahan naratif berdurasi 384 halaman ini. Buat yang belum membaca naskhah ini, bacalah dan anda pasti tidak akan rugi. Layari lah kisah penuh melankolik yang mengusik jiwa ini.
Buat penulis, biarpun lewat mendapatkan karya sulung anda ini saya harap masih tidak terlewat untuk ucapan tahniah atas penghasilan sebuah naratif yang cukup baik.
No comments:
Post a Comment