Tajuk Buku : Teluki Itu Untuk Aku
Penulis : Nazawati Abd Manaf
Penerbit : Jemari Seni Publishing
Harga : RM19.00
Cetakan Pertama : 2009
Genre: Drama
Bintang : 4
-------------------------------------------------------------
“benarkah hati perempuan itu, kerasnya bagaikan kerak nasi?
“benarkah hati perempuan itu dalamnya tak terduga?
“benarkah begitu…?”
Resensi Si Ungu:
Mata adakala silap mentafsir apa yang dipandang…yang dilihat…yang terbentang…yang terhampar didepannya. Silapnya mata kerana kekhilafan akal untuk waras menilai. Ketajaman mata akal adalah kunci terpenting bagi menyokong pancaindera yang istimewa ini membuat pemerhatian dan penilaian dengan tepat. Namun fitrah manusia…seringkali kecundang dengan permainan mata. Kesilapan yang terjadi dari penilaian spontan yang terburu-buru pasti ada padahnya…pasti ada mangsanya. Hakikat yang seringkali melingkari kehidupan manusia.
Teluki Itu Untuk Aku (TIUA) merupakan naskhah kedua penulis muda yang berbakat ini membentangkan sebuah kisah yang cukup menyayat perasaan. Ia sebuah kisah tentang seorang perempuan dan konflik kehidupan masa lampau yang begitu menghantui dirinya, yang tidak henti-henti membayangi dirinya selama lebih 10 tahun yang digarap dengan olahan gaya bahasa yang begitu estetika dan artistik sekali. Kisah yang berpaksikan dengan tema cinta dan kehidupan. Dari sudut pandangan, mungkin akan wujud perbezaan dengan apa yang saya tulis dengan pandangan anda di luar sana, apa-apapun bagi saya ia tidak lebih dari bagaimana sesebuah kerangka cerita itu ditulis dan bagaimana kemudian setelah proses suntingan yang mengambilkira pelbagai pro dan kontranya pada khalayak pembaca yang terdiri dari pelbagai lingkungan usia dan kelas sosial, ia dipersembahkan kepada kita. Pasti akan wujud pelbagai cetusan rasa, itu bagi saya adalah gerak normal kerana naratif sesebuah kisah akan mengundang elemen-elemen reaksi pembaca yang pelbagai dan penilaian yang subjektif rupa bentuknya.
Struktur plot TIUA digarap dengan elemen emosi nan cantik serta dramatik dari awal hinggalah ke penghujung cerita. Itulah momentumnya. Indah dan cukup berseni sekali. Sisipan teknik imbasan kembali ditampilkan kala menjelaskan konflik yang melanda kedua-dua watak utama dalam naratif ini. Kita juga akan turut terkesan dengan perjalanan kisah watak-wataknya juga konflik yang tercetus di sepanjang tempoh penceritaan ini. Keberkesanan ini bertitik tolak dari kecemerlang penulis membangunkan watak-watak dengan penuh emosi, penuh jiwa dan mereka digerakkan dengan penuh rasa keemosian seorang manusia. Kecemerlangan watak utama yang menjadi nadi naratif ini; Seri Kurnia Iskandar dibina dengan kekuatan perwatakan yang sangat perlu bagi memastikan ia berjaya mencorakkan perjalanan cerita secara total. Perwatakan dan sifat Seri cukup bervariasi ditangan penulis. Dia lambang wanita yang diisi dengan sifat kewanitaan yang mengagumkan. Begitu juga perwatakan Firdaus Ikram yang cantik dipenakan penulis sebagai lelaki yang punyai perwatakan yang cemerlang secara zahir namun manusia walau sehebat manapun dirinya kadangkala tidak dapat lari dari ciri emosi kala diri dilanda badai. Begitulah jalinan perwatakan Seri dan Firdaus. Perwatakan Ajmal sangat diluar jangkaan. Sungguh tak terduga…tenang secara zahir, namun kocakan di dalam begitu mengemparkan sekali!
Kisah ini banyak mengadunkan adegan-adegan kehidupan manusia yang dicipta secara konvensional. Ia bersesuaian dengan latar cerita yang mengadaptasi kehidupan golongan professional yang penuh warna, penuh…penuh kisah…kisah masa kini, juga kisah silam….kisah yang indah..kisah yang hitam…sangat hitam!.
TIUA membawa pembaca mengenali seorang wanita muda; Seri Kurnia Iskandar..wanita berkerjaya professional..seorang arkitek yang mengukir sejarah kerjaya yang hebat di tanah Ratu selama 10 tahun menetap di sana. Namun disebalik gemilangnya rentetan kerjaya yang diukir dirinya dipalit sejarah lama yang pahit…maha pahit untuk ditelan. Sejarah lama yang sangat memalukan juga memilukan…yang mencampakkan dirinya ke dasar paling hina tanpa kerelaaannya…pembelaan diri tidak diendahkan dan hukuman sudah dijatuhkan…dirinya dicop perempuan kotor…perempuan yang tidak bermaruah!.Paling tragis bila ibu sendiri terlibat sama dan ayah pula enggan menerima dirinya. Dengan kekuatan diri, Seri Kurnia akhirnya pulang ke tanah tumpah darahnya setelah 10 tahun memalingkan wajah untuk menjenguk tanahair sendiri. Kepulangan yang sememangnya dinanti sahabat setia, Ajmal yang tidak jemu-jemu dari dahulu menjadi tiang menyokong tatkala dirinya rebah. Takdir memang tidak terjangka akal. Keputusaan Seri menerima tawaran kerja di Juta Bumi Holdings atas desakan Ajmal menjebak dirinya…dia dipertemukan semula dengan insan yang sangat dibenci dan membenci dirinya; Firdaus Ikram. Firdaus lah insan yang telah mencampak gelaran paling hina pada dirinya sebagai perempuan dan kerana Firdaus jugalah dia lari jauh..jauh dari tanahair membawa lara. Makin sulit buat Seri bila dia perlu berkerjasama dengan Firdaus yang terang-terangan tidak akan memberi laluan mudah padanya dan konflik sampai ke kemuncaknya bila mereka berdua ditangkap basah!. Setiap kejadian pasti ada hikmahnya biar pahit untuk diterima. Sesungguhnya perkahwinan tanpa rela pada mulanya ini akhirnya berjaya merungkai misteri sejarah silam yang menjadi punca dendam antara Seri dan Firdaus. Tidak terduga, tidak terjangka mereka itulah kisah sebenarnya…kasihannya ibu!…kasihannya ayah!…kasihannya umi!
Bagi anda yang gemarkan genre sebegini maka jangan lepaskan peluang memiliki naskhah terbaru penulis berbakat. Teluki Itu Untuk Aku nukilan terbaru Nazawati ini sangat sarat dengan emosi nan melankolik intinya.
Buat penulis, sekalung tahniah dari saya…karya kedua anda ini sangat istimewa sekali. Anda telah meletakkan wanita di suatu kedudukan yang cukup istimewa sekali. Semoga terus cemerlang berkarya di masa hadapan.
No comments:
Post a Comment