Blogger Templates

Sunday, May 3, 2009

LeRaian NoVella...


TAJUK: LERAIAN NOVELLA
PENULIS : NORHISHAM MUSTAFFA
PENERBIT : CESB
CETAKAN KETIGA : 2001
HARGA : RM15.90
GENRE : DRAMA
BINTANG : 4.5


----------------------------------------------------------
“…dan kematian itu hanyalah penyudah kepada sebuah jalinan novella ciptaan mereka berdua...”

Resensi Si Ungu:

Ini merupakan buku kedua garapan penulis ini yang singgah di rak saya. Sejak jatuh hati pada bukunya yang pertama saya baca; Persinggahan saya jadi teruja untuk meneruskan misi menjejak karya-karya penulis ini. Dan seperti yang pertama, karya kedua yang saya tatap ini ternyata telah menjerumuskan perasaan sayu saya pada sebuah kisah dua insan yang sangat tragis dipotretkan penulis .

Tema cerita yang diketengahkan penulis kreatif ini adalah tentang sikap & penerimaan masyarakat pada hubungan antara lelaki dan perempuan yang berjarak umur yang jauh dan berbeza latar sosial. ini. Naskhah penulis kali ini membawa satu intepritasi yang cukup tragis tentang pandangan berat sebelah manusia terhadap manusia lain berpaksikan pada kedudukan sosial dan material. Ketidakadilan ini lah antara punca yang membawa kepada kekejaman tanpa sedar yang dilakukan hingga membawa kepada musibah yang tidak terduga…musibah yang sudah terlambat untuk dikesalkan!

Leraian Novella (LN) membawa kita menyusuri tentang kisah hubungan 2 insan; Nirwan Bakhtiar dan Atma Afiza. 2 pupu yang berbeza umur sekali ganda (Nirwan berusia 40an, Afiza di awal 20an) ini bertemu tanpa sengaja dalam satu majlis sastera. Nirwan yang merupakan seorang novelis, juga penyair, pelukis dan pemuzik telah lama menjadi pujaan Afiza dalam diam. Mereka yang saling tertarik antara satu sama lain tidak langsung mengetahui hubungan kekeluargaan antara mereka dan hubungan kasih sayang mereka berdua terjalin makin intim tanpa mampu digugat. Afiza dan Nirwan bagai berkongsi nyawa dan jiwa walau jasad antara kedua-duanya terpisah. Segala-gala tentang Nirwan dalam genggaman minda Afiza. Hubungan istimewa antara kedua-dua mereka sukar ditafsir dengan mata kasar tapi mampu diteroka oleh mata hati pada mereka yang arif. Rakan baik merangkap adik angkat Afiza; Nunung Rohana a.k.a Ana adalah saksi hubungan kedua-dua insan dari mula hinggalah ke titik kritikal yang membawa kepada satu perpisahan abadi antara kedua mereka dan hanya di kemuncak konflik hubungan inilah rahsia ikatan kekeluargaan antara mereka terbongkar!. Penamat kisah ini sangat memilukan dalam darjah penilaian saya…mungkin tidak pada pembaca lain…mungkin juga saya terlebih emosi saat itu, hehehe.

Perwatakan dalam LN cukup kuat dan selari dengan watak yang dipotretkan. Ternyata penulis ini cukup arif dalam kerja-kerja pemotretan watak-watak ciptaannya dalam naskhah ini. Nirwan Bakhtiar dan Atma Afiza menguasai keseluruhan ruang naratif ini dengan dibantu dengan cukup baik oleh watak pembantu utama, Ana. Menerusi pengkisahan Ana, kedua-dua tonggak utama LN ini menjadi lebih hidup dimata pembaca. Ana bagai jambatan yang menjadi penghubung antara pembaca dengan Nirwan dan Afiza. Ana jugalah penghubung dengan watak-watak pembantu yang lain yakni Abang Ramlan, Mak Non, Pak Yim juga Taufik.

Penggunaan lenggok bahasa dalam naskhah ini sangat puitis..penuh personifikasi, melankoliknya cukup rencah namun tidak memualkan. Penulis ini ternyata memanipulasi kepakarannya melarik bahasa dengan begitu cemerlang sekali…saya jadi jatuh hati dengan laras bahasa yang diguna beliau dalam naskhah ini. Paling menyentuh tatkala Ana membaca surat-surat kiriman Nirwan kepada Afiza juga kiriman Afiza kepada Nirwan...susunan bahasanya begitu cantik sekali!

Plot cerita dibina dengan cukup kronologi dengan sedikit sisipan teknik imbasan kembali. Keindahan plot yang dicipta banyak membantu pergerakan cerita yang disampaikan penulis dalam merealisasikan mesejnya kepada pembaca. Saya cukup terbuai dengan susunan jalan cerita ini yang cukup cantik dipersembahkan penulis biarpun ia bernada sayu dan penuh sendu!.
Dari saya, sekalung tahniah buat penulis untuk naskhah anda ini. Biarpun agak terlewat buat saya menghayati buah tangan anda yang hebat ini namun ia sedikit tidak akan menjejaskan kekaguman saya pada anda.Teruskan usaha, semoga terus cemerlang menghasilkan karya-karya hebat dan bermutu di masa hadapan buat tatapan, renungan dan pedoman buat kami semua, pencinta novel tanahair.

Buat pembaca, buat pencinta novel tanahair sesungguhnya banyak yang dapat dikutip, direnung dan difikirkan dalam naskhah kecil tapi padat dan mampat isinya ini. Bagi anda yang ingin menatap sebuah kisah perjalanan kasih sayang yang sangat istimewa, maka Leraian Novella ada jawapannya.

No comments:

Post a Comment