Wednesday, April 29, 2009
SiGaraNinG
Tajuk Buku : Sigaraning
Penulis : Imaen
Penerbit : Jemari Seni Publishing
Harga : RM20.00
Cetakan Pertama : 2009
Genre: Thriller Ringan
Bintang : 5
----------------------------------------------------------
“betul atau salah itu terlalu subjektif. Dalam sesetengah perkara betul atau salah itu bukan soal hitam atau putih...selagi sesuatu benda itu tidak melanggar hukum agama, tidak melibatkan dosa pahala, betul salah itu terserah kepada pemahaman manusia...“
Resensi Si Ungu:
Judulnya sahaja begitu kuat menggamit mata dan tangan untuk mengetahui cerita di dalamnya. Tiada sebarang unsur klise yang dapat dijadikan bayangan untuk saya menebak isinya. Bila dimaklumkan maksud disebalik tajuk naskhah ini hati berdetik juga tapi bila memikirkan semula sepanjang mengikuti karya-karya terdahulu penulis ini yang begitu sinonim dengan keunikannya berkarya maka saya tinggalkan dahulu masalah hati yang berdetik itu kemudian. Biarlah jawapannya saya temui di noktah terakhir nanti.
Ini buku pertama yang saya beli di hari pertama PBAKL 2009. Menghayati karya penulis yang satu ini sebenarnya bukan kerja mudah biarpun secara lahirnya kita lihat macam mudah-mudah sahaja. Saya kena menerima hakikat itu. Cabaran yang diberikan olehnya kepada saya selaku pembaca cukup hebat. Kalau tidak masakan saya terpaksa mengambil masa 11 hari membacanya. Bukan kerna apa, karya ni buat saya sering berhenti seketika tatkala melalui adegan atau potongan perkataan tertentu di dalamnya...berhenti untuk bertanya diri sendiri tentang keterlanjuran perbuatan yang telah dilakukan....begitu banyak dosa tanpa sedar yang telah terpalit dalam buku catatan peribadi. Tarbiah yang disampaikan cukup membuat saya insaf. Saya sebenarnya banyak beristighfar sepanjang perjalanan menghayati naskhah ini di dalam merenung keterlanjuran diri yang lalu. Anda juga mungkin akan melalui frasa yang saya alami ini nanti. Kalau tak percaya...bacalah sendiri!
Sigaraning yang menyaring latar kehidupan seorang pengusaha pasaraya MusliMart; Ali Imran yang melestarikan budaya perniagaan berlandaskan hukum yang menjadi ikutkan hidupnya sebagai islam. Sebagai manusia Ali berusaha melakukan yang terbaik namun sebagai manusia Ali juga tidak lari dari tersilap langkah. Ujian yang diberi padanya cukup berat. Tekanan perasaan akibat putus cinta dengan si buah hati; Salina ditambah beban masalah kewangan yang memerlukan penyelesaian singkat menjerumuskan Ali ke satu tindakan spontan tanpa sedar yang kemudiannya menimbulkan rasa kesal yang teramat, tetapi untuk berpatah balik, mana mungkin...padah yang menanti tidak pasti bagaimana nanti. Rasa takut bercampur baur dengan bimbang dan kesal membuatkan rahsia itu disimpan kejap sendiri. Hidup diteruskan seperti biasa. Bagai tiada apa yang berlaku.
Perpisahan dengan Salina sebenarnya rahmat yang penuh tersirat buat Ali bila dia dipertemukan semula dengan Vivian/Evey; teman sekampus yang dahulunya pernah menjadi teman sengketa. Persahabatan mula terjalin antara mereka dan semakin berkembang mekar. Masing-masing faham bahasa hati mereka cuma belum berupaya mengumumkannya secara rasmi!. Ali yang sedang mabuk oleh panahan cinta dan sedang menikmati warna-warna cinta yang mekar berbunga dikejutkan dengan kehadiran sang musuh yang berjaya menjejakinya . Sang musuh yang mencari’ hartanya’ yang diambil Ali dalam kejadian dulu. Ali terlupa bahawa tindakannya dahulu memang cukup besar risikonya..risiko yang akhirnya harus di bayar dengan darah dan nyawa!...lalu rakan baik yang tidak tahu apa-apa jadi korban kekhilafannya itu. Ali juga harus membayar kesilapan itu dengan begitu mahal sekali bila cinta keduanya turut meninggalkannya gara-gara tindakannya itu.
Penulis begitu bijak menjerat pembaca antara naluri simpati, berbelah bahagi dan rasa marah pada Ali Imran kerna tindakannya itu. Perwatakan Ali Imran bagai matador dalam naskhah ini. Matador di kalangan perniaga bumiputera kecil yang berjuang dan memperjuangkan haknya tanpa menggadaikan pegangan diri juga prinsip hidup. Dia diangkat penulis didalam mewakili lelaki yang punya falsafah hidup berprinsip , falsafah cinta yang tersendiri dan unik, juga lelaki yang adakala tersasar dari landasan saat diberi ujian oleh-Nya. Vivian adalah satu contoh yang memang wujud di dalam masyarakat. Insan yang enggan akur pada keesaan-Nya kerana amarah yang terkumpul hanya kerna sebuah ujian...kematian!. Penulis cukup cantik melarikkan warna watak Vivian dengan gambaran metafora sifat dalaman dirinya yang tersembunyi yang berjaya dibongkar Ali sedikit demi sedikit. Watak jahat di dalam naratif ini adalah perwatakan pembantu yang ditampilkan penulis untuk mengampuhkan lagi jalan cerita didalam menterjemahkan nilai kemanusiaan yang semakin pudar di dalam masyarakat. Mr JR, Jah juga Detektif Azlan adalah contoh kritikan penulis pada manusia-manusia yang kecundang akibat kehalobaan nafsu.
Plot cerita disunting dengan cukup baik sekali. Pertalian cerita antara bab ke bab diperhalusi dengan cukup teliti. Di kemuncak plot cerita, penulis secara dramatik menghidupkan ketegangan juga cemas pada pembaca saat Ali Imran dibawa menemui Jah, ketua kumpulan pengedaran dadah. Situasi debar, gerak tubuh jua gerak rasa kedua-dua watak ini dirakam penulis sehingga kemuncak teka, siapa yang akan hidup dan siapa yang akan tewas!
Sesungguhnya naskhah ini ditukangi dengan bisikan-bisikan tazkirah yang senada rentak iramanya ditelinga pembaca. Bisikan yang perlu diterjemahkan maknanya yang tersirat disebalik penggunaan bahasa-bahasa indah yang disusun cantik!. Mesej penulis dalam naratifnya kali ini begitu cemerlang ditunjangi Ali Imran didalam menyalurkan kesimpulan penulis tentang nilai kehidupan untuk sama-sama diteladani pembaca.
Buat sang penulis yang teramat saya kagumi cetusan idea uniknya, yang begitu saya hargai nasihat-nasihatnya, penaan anda yang cukup tersendiri di dalam melestarikan lontaran kisah pada masyarakat begitu dekat di hati...sekalung tahniah atas kupasan kisah ciptaan anda nan istimewa ini, seistimewa diri anda. Buat pembaca, buat peminat juga pencinta Imaen, Belahan Jiwanya kali ini pasti akan membuat anda terpaku!.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment