Blogger Templates

Thursday, April 9, 2009

PotRet WaJah KekaSiH...


Tajuk Buku :Potret Wajah Kekasih
Penulis : Antasya Balkis
Penerbit : Kaki Novel
Harga : RM19.90
Cetakan Pertama : 2009
Genre: Romantik
Bintang : 3


------------------------------------------------------------
“Di kala aku dipagari keliru, wajahmu hadir meleraikan kebuntuanku...”

Resensi Si Ungu:

Penulis ini saya kagumi hasil karyanya. Bersandarkan dua nama pena di persada dunia penulisan kreatif tanahair; Syamimi Aminolah dan Anatasya Balkis karyanya sentiasa ditunggu ramai. Saya melihat pendekatan yang berbeza diaplikasikan beliau tatkala berkarya menggunakan nama-nama pena berkenaan. Dibawah jenama Antasya Balkis karya beliau lebih ringan dan santai persembahannya. Saya mengharapkan sesuatu yang segar, suatu kelainan barangkali dari beliau namun apa yang dapat saya simpulkan tatkala usai membaca Potret Wajah Kekasih(PWK), saya tidak merasakan kenikmatan yang saya perolehi dari karya-karya beliau yang terdahulu. Naskhah kali ini begitu hambar saya rasakan. Perasaan kecewa itu tidak dapat saya nafikan kerana penulis ini adalah antara kelompok penulis kegemaran saya jadi pastinya harapan saya cukup tinggi pada tiap naskhah beliau.

PWK menyusuri perjalanan hidup Haryani Afifah anak yatim piatu yang dipelihara ibu saudaranya dan dibesarkan dengan seadanya. Hanya bila dia menolak jodoh yang diatur ibu saudaranya itu dan nekad melarikan diri di hari pertunangan dengan bantuan abang sepupunya Zaki, dia menjadi musuh yang sangat dibenci ibu saudaranya walau dia cuba memperbaiki hubungan tersebut. Zaki yang menaruh hati pada Haryani namun akur bahawa kasih Haryani yang terbatas kerana penolakan ibunya. Haryani yang bersahabat dengan Nadia diperkenalkan pada abangnya Faris Zakwan . Faris yang jatuh hati pandang pertama pada Haryani namun malu menyatakan perasaannya itu menerima akibat bila Haryani disunting abang sulungnya Nazrin yang berkenalan secara kebetulan dengan Haryani. Demi kebaikan keluarga yang memelihara dari kecil Faris akur melepaskan Haryani pada Nazrin. Nazrin yang kaki perempuan tanpa pengetahuan Haryani mempunyai seorang kekasih, Maya dan tindakan Nazrin yang curang dan mengahwini Haryani membuatkan Maya kecewa lantas merancang membalas dendam pada Nazrin. Pertengkaran yang terjadi membawa musibah bila Nazrin terkorban dalam kemalangan dan Haryani walau terselamat namun dia diduga dengan keadaan diri yang hilang ingatan!.

Mesej penulis dalam naratifnya kali ini menyimpulkan satu perkara tentang manusia yang adakala sukar atau mungkin tidak berupaya meluahkan perasaan sendiri pada insan yang dikasihi secara diam-diam. Kadangkala keputusan itu mungkin membawa kesan pada diri sendiri juga pada pihak yang satu lagi. Jika tidak diluahkan bagaimana mahu dipastikan jawapannya. Risiko pasti ada tapi adakala lebih baik begitu dari terus menerus memendam rasa. Naskhah ini turut menyimpulkan tentang satu perkara penting yakni, jodoh adalah suatu ketentuan yang pasti dari-Nya. Setiap yang terjadi pada setiap insan dalam perjalanan hidupnya juga kehidupan rumahtangganya pasti ada hikmahnya yang tersirat. Kalau Haryani tidak berkahwin dengan Nazrin, mana mungkin dia tahu perasaan sebenar Faris yang terpendam selama ini pada dirinya. Bagaimana mungkin dia lebih pasti tentang perasaannya pada Faris jika Nazrin tidak ditimpa natijah sedemikian.

Pergerakan naratif PWK tidak seratus peratus bersifat kronologi. Ada ketika teknik imbasan digunapakai namun cukup tersusun dsan bijak ditangani penulis dengan begitu baik agar tumpuan pembaca tidak tersasar . Dari satu bahagian ke bahagian yang lain, kesinambungan cerita nampak cukup kemas .Penggunaan laras bahasa mudah dengan sesekali sisipan elemen-elemen bahasa cantik bertujuan mewarnai naratif ini.

Perwatakan yang dibina penulis di dalam PWK terutama pada watak Haryani adakala tidak statik. Kadangkala kita keliru denga pendirian Haryani terutama melibatkan hati dan perasaannya pada Faris dan Nazrin. Faris juga sedemikian. Mungkin ini faktor penyumbang kepada kelonggaran naskhah penulis kali ini. Kita sedia maklum watak dan perwatakan sangat penting didalam sesebuah naratif. Kelemahan penulis mengolah setiap watak yang dicipta akan memberi kesan langsung yang cukup besar kepada persembahan naratifnya secara keseluruhan. Saya lebih cenderung menyatakan kejayaan penulis di dalam membina watak pembantunya. Nadia dan Zaki lebih cemerlang dipotretkan penulis berbanding teraju utama naskhah ini.

Buat saudari penulis, semoga komentar saya ini diterima dengan hati terbuka. Sebagai pembaca yang mengagumi baakat anda, anggaplah catatan ini sebagai cabaran untuk anda menghasilkan yang lebih baik dan hebat pada karya akan datang. Saya akan menunggu karya terbaru anda itu.

No comments:

Post a Comment