Blogger Templates

Sunday, June 14, 2009

DaMe ZoEte SaRah...


Tajuk Buku : Dame Zoete Sarah
Penulis : Khairyn Othman
Penerbit : Jemari Seni Publishing
Harga : RM18.00
Cetakan Pertama : 2009
Genre: Sweet & Comedy Thiller
Bintang : 5



--------------------------------------------------------------

“..wah!, aku yang dalam musibah ini pun sanggup kau bebelkan?Sampai hati sungguh!Sombong! kerek! Ingat dia hero ke? Hero datang lambat!....”

Resensi Si Ungu:

Selamba, kelakar, penuh debar dan unik . Inilah rangkaian kata-kata yang dapat saya simpulkan tatkala selesai mengikuti novel terbaru nukilan si nona manis yang berbakat besar ini. Tajuknya sahaja sudah cukup memikat! Sewaktu membeli novel ini bersama rakan, saya sempat bertanya abang Rosdi yang tidak saya sangka adalah editor bagi naskhah ini tentang bagaimana menyebut tajuknya, bukan apa nanti lain yang patut disebut lain pulak bunyi yg keluar dari pangkal lidah saya…hehehe. Boleh pecah perut dengan lawak spontan ciptaan sang penulis kali ini…lawak yang cukup bersahaja sekali, dalam situasi genting, kita masih boleh menguntum senyum, mengundang tawa tanpa sedar...hebat sungguh penulis ini!

Dame Zoete Sarah(DZS) atau Si Manis Sarah adalah buah tangan kedua hasil karya Khairyn Othman selepas Zahrah Di Tigris. Seperti juga dalam naskhah pertama, DZS penuh dengan sisipan informasi yang cukup berguna kepada pembaca namun kali ini penulis memilih untuk menukar haluan persembahan wadah naratifnya ke format yang lebih santai dan cukup menghiburkan sekali. Dalam DZS kita dibentangkan dengan perihal susur galur sejarah asal usul bunga tulip yang menjadi ikon Negara Belanda. Ia bagi saya sangat berguna sebagai makluman pembaca. Disamping bergelak sakan, disulami rasa teruja kita dapat menimba maklumat yang mungkin langsung tidak kita ketahui sebelum ini. Berlatarkan Malaysia dan Belanda, naskhah kali ini bagaikan menonton sebuah persembahan filem aksi dan penyiasatan global.

DZS menemukan pembaca dengan seorang Sarah Adam, gadis lingkungan 27 tahun, bertugas sebagai wartawan di Johor Baharu. Seorang yang cukup dedikasi terhadap tiap tugas yang diberi. Sarah yang bersifat sukar diramal ini dilibatkan secara tidak terancang didalam kemelut sindiket dadah apabila maklumat formula dadah terbaru telah diselitkan didalam beg tangannya didalam kejadian ragut yang sengaja dicipta oleh si “peragut”; Rod a.k.a Chan Wee Kong demi menjayakan misinya agar tidak diketahui sindiket berkenaan. Malang bagi Sarah bila dirinya menjadi buruan sindiket yang mahukan maklumat tersebut yang juga mengandungi informasi penting berkenaan orang-orang penting sindiket itu. Lebih malang bila Sarah ditimpa “kemalangan” kedua yang telah memberinya satu “benda” yang boleh menjadi bahan bukti terpenting kepada sindiket berkenaan. Sarah yang teruja untuk membongkar kisah disebalik semua kejadian yang menimpanya menerima kejutan yang paling menakutkan bila dia secara tiba-tiba menjadi buruan polis kerana dituduh menjadi pengedar dan pembunuh!. Tersepit dengan situasi yang menimpa, Sarah terpaksa bertindak menyembunyikan diri dari buruan polis dengan azam untuk membersihkan namanya yang sudar tercemar. Pelarian Sarah dengan kepintaran dan rantaian hubungan sosial yang dibina dengan masyarakat luar semasa menjadi wartawan membantunya melepasi sempadan negara. Sarah selamat sampai di negara Belanda, namun dia tidaklah selamat sepenuhnya apabila Encik Selamat a.k.a Tuan Salim , sang pegawai polis nan pintar yang berjaya menjejaki dirinya dan pemburuan Encik Selamat untuk mencari Sarah pun bermula…dan disini bermulalah pelbagai aksi menarik antara keduanya, dipenuhi segala macam aksi yang diluar jangkaan…Bila si luar jangka bertemu si banyak auta kita boleh maklum bagaimana hasilnya bukan…havoc sungguh! Satu kombinasi yang cukup lemak berkrim dan penuh huru-hara namun diakhiri dengan begitu manis sekali…

DZS cukup kaya dengan elemen emosi untuk dikongsi bersama pembaca . Ini kerana watak-watak dibina dan dibangunkan dengan penuh elemen kemanusiaan dan mereka bergerak dengan penuh rasa tersebut. Mesej didalam naratif kali ini bercorak perjuangan diri / self-survival. Sebagai manusia, sebagai individu di dalam mengharungi kehidupan mekanisme perjuangan diri ini penting demi kita menghadapi kemelut hidup yang adakala tidak terduga. Menerusi watak Sarah yang kuat semangat, berani, degil penulis menyampaikan mesej beliau ini untuk dikongsi bersama pembaca.

DZS dipersembahkan dengan cukup bergaya terutama menerusi olahan jalan cerita dan plot yang cukup cemerlang. Struktur plot cukup mencipta kesan dramatik biarpun diolah secara santai. Momentum naratif dibina dengan cukup mengujakan dari awal hingga akhir dan adegan-adegan mendebarkan yang dicipta bagai kita melihat visual-visual yang penuh aksi di atas kepingan-kepingan kertas putih yang kaku!. Kombinasi Khairyn Othman sebagai penulis dan Mohd Rosdi selaku editor cukup menyemarakkan naskhah hebat ini. Suntingan yang cukup berhati-hati dan cemerlang berjaya meletakkan DZS pada kelasnya yang tersendiri.

Kekuatan DZS banyak terletak ditangan penulis yang cukup cemerlang menonjolkan karektor watak-watak dalam naratifnya tidak kira watak utama mahupun watak sampingan. Setiap watak saling menyokong antara satu ama lain. Perwatakan Sarah Adam, sang wartawan muda yang blur namun sukar diramal akan tindakbalasnya, keras hati, bersemangat waja, tidak mudah putus asa cukup hebat di tangan penulis. Sarah adalah lambang wanita yang tidak gentar dengan setiap cabaran dan berusaha sehabis upaya demi kelangsungan sebuah perjuangan diri. Salim Abdul Rahman, si Timbalan Penguasa Polis yang sedari awal dipotretkan dari sisi yang cukup menjengkelkan cukup menarik sekali. Salim yang perasan, Salim yang kerek, Salim yang macam bagus-bagus aja cukup menarik untuk diteroka dan bila sudah diteroka alangkah cantiknya peribadi mulia yang terselindung disebalik sifat luaran yang sangat kontras itu. Saya juga sukakan watak Suryati yang sangat bersahaja, kelakar dan bersifat sahabat sejati. Perwatakan antagonis yang agak ramai di dalam naratif ini tidak begitu menonjol dan bagai ditenggelamkan oleh kedua-dua watak utama ini juga oleh watak-watak sampingan yang lain. Penampilan cameo Khairunnisa dan Dr Taufik dr Zahrah Di Tigris bagai mengubat kerinduan pada dua nama ini.

DZS sangat bernilai di mata saya kerana ia dibina untuk memperlihatkan sebuah pemikiran manusia yang dizahirkan dengan penuh rasa sedar dan diperkasakan dengan suntikan elemen nilai sosial yang semakin pudar di dalam masyarakat. Buat si nona manis, penulis berbakat besar ini, sekalung tahniah untuk persembahan anda yang cukup cemerlang kali ini. Ingin rasanya memeluk anda bagi menzahirkan kepuasan saya pada Sarah anda yang cukup manis ini.


Nota buat Penulis:
Khairyn, kucc nak tambah seorang lagi Salim dalam senarai sedia ada Khairyn dalam DZS ni…Salim I, penyanyi pop yeh yeh…hahahaha (tapi dia tak hensem aar…hikhik).

No comments:

Post a Comment