Blogger Templates

Monday, June 8, 2009

Setiap Jumaat...


Tajuk Buku: Setiap Jumaat
Nama Penulis: Norhayati Berahim
Penerbit : NB Kara Sdn Bhd
Harga : RM24.90
Cetakan Pertama : 2009
Genre : Kekeluargaan
Bintang : 4

------------------------------------------------------------------
"Bagi sesetengah orang, cinta kadangkala terlalu agung...terlalu sukar untuk dibandingkan dengan perkara lain. Cinta membuat orang adakalanya tersalah tingkah, terlajak langkah...”

Resensi Si Ungu:


Satu kelebihan penulis hebat ini yang cukup saya kagumi adalah keupayaannya memenakan kehidupan desa yang nampak hidup biarpun dilayarkan pada helaian kertas putih. Latar belakangnya yang datang dari golongan ini digunakan sebaik-baiknya oleh penulis hebat ini didalam menterjemahkan setiap naratif yang dibawa beliau terus kepada khalayak pembaca.

Naskhah terbaru beliau kali ini dengan tajuk yang cukup simbolik maknanya; Setiap Jumaat membawa pembaca melihat kehidupan 2 insan; Jasmine & Tengku Mohamad Safian @ Ku Pian yang berlainan latar, kelas sosial juga prinsip kehidupan lalu kedua-dua dipertemukan di bumi asing yang menjadi medan pelarian mereka .Pelarian kerana keengganan mereka menerima hakikat kehidupan yang sudah tersurat buat mereka. Hakikat kehidupan yang tidak disedari tersirat hikmah yang cukup manis buat mereka berdua pada penghujung cerita.

Kisah Setiap Jumaat(SJ) mempersembahkan tema dan persoalan hubungan kasih sayang dalam konteks sebuah ikatan kekeluargaan dan hubungan persahabatan yang cukup akrab, erat yang dipersembahkan penulis dengan begitu berhemah sekali dengan sesekali terlihat elemen humor diselitkan agar naratif ini nampak lebih santai isinya. Naskhah ini menggabungkan elemen kasih sayang, maruah diri dan pengkhianatan didalam merungkai mesej yang ingin disampaikan penulis menerusi cerita ini .Sebuah persembahan yang cukup seimbang dari sudut tema/mesej, plot dan jalan cerita, latar, gaya bahasa juga tidak ketinggalan perwatakan. Persoalan yang dibawa dalam SJ walau dari lapis mana sekalipun bukanlah sesuatu naskhah yang berat bawaannya .Naratifnya mudah diikuti, difahami dan dijiwai, maka tiada sebarang stigma yang dapat menghalang pemahaman khalayak pembaca untuk menghayati kisah ini dengan sebaik-baiknya.

Kehebatan SJ banyak disokong oleh kekuatan pembinaan watak-watak utama yang menerajui cerita ini. Pemahaman watak dan krisis perwatakan yang diperhalusi penulis tampak begitu baik sekali dipenakan menerusi watak Jasmine dan Ku Pian. 2 watak ini dibina dengan sokongan psikologi yang cukup kuat yang membawa keserlahan perwatakan mereka dalam keseluruhan perjalanan cerita. Penulis cukup teliti didalam membina dan menzahirkan 2 watak ini dalam mengangkat konflik dalaman yang menimpa 2 teraju utama naratif ini. Konflik diri yang dipengaruhi sifat ego diri yang membawa kepada pemberontakan jiwa hingga mendorong mereka tersalah langkah hingga tega menguris hati insan-insan yang cukup dekat di dalam hidup mereka sendiri. Watak-watak pembantu seperti Zulfakar, Tengku Ahmad Saman, Nita, Jabar juga Makcik Milah cemerlang dilayarkan penulis dan mereka turut menyumbang kekuatan kepada naskhah ini.Paling menarik watak bersifat gunting dalam lipatan yang didukungi Daun dipenakan penulis dengan begitu cemerlang sekali.

SJ membawa pembaca menyelami hati seorang Jasmine, seorang Ku Pian yang merasa dirinya dikhianati. Rasa kecewa dikhianati oleh mak, oleh ayah mendorong mereka membuat keputusan nekad...nekad yang akhirnya memakan diri sendiri!.Hakikat yang terbentang didepan mata adakala tidak menggambarkan realiti yang sebenarnya. Rajuk Jasmine pada mak membawanya terus menetap di bumi matahati terbit yang menjadi medannya menimba ilmu 5 tahun dahulu. 8 tahun membawa lara, bertarung dengan tuntutan hidup yang sangat mendesak di bumi orang maka hanya rakan yang menjadi tiang bersandar. Ku Pian yang rajuk dengan sikap ayah yang dianggap terlalu mengongkong membawa diri jauh ke bumi matahari terbit itu. Ayah yang berniat baik telah disalahanggap. Pertemuan Jasmine dan Ku Pian yang simbolik pada setiap jumaat ketika menanti waktu solat membina persahabatan yang cukup indah antara kedua. Enggan mempertaruhkan apa-apa perasaan di dalam perhubungan tersebut lantaran kedua-dua punya sejarah hati yang pernah dilukai maka mereka berdua membiarkan masing-masing dengan identiti asing; seorang Ultraman dan seorang Masako. Kesedaran yang sedikit datang membawa Jasmine kembali ke tanahair walau atas tiket perkahwinan abangnya membawa pembongkaran onar yang dilakukan ayah pada mak juga mereka sekeluarga cukup menyedarkan akan kekhilafan yang dilakukan pada mak. Kehilangan Masako menyedarkan Ku Pian tentang perasaan sebenarnya pada gadis itu. Sangkaan bahawasanya dia tidak akan menemui semula Masako dan kesal dengan kelewatannya melafazkan perasaan sebenarnya telah menyebabkan dia kehilangan gadis itu buat selama-lamanya. Lara hati membawanya pulang semula ke tanahair demi menebus kesilapan pada ayah. Kepulangan yang tersirat catatan kehidupan yang cukup manis buat keduanya...Ultraman dan Masako.

Plot SJ berlangsung secara terus menerus dan urutan kronologi yang cukup kemas. Latar cerita yang mendominasikan naratif kali nya, baik di Malaysia mahupun di Jepun disinematografikan dengan cukup teliti. Pemilihan lokasi di dalam penceritaan yang dipenakan dengan cukup cantik oleh penulis bagai membawa kita melancong sama ke Jepun. Saya ingin menyentuh sedikit berhubung penggunaan sistem/hukum tatabahasa yang sedikit bercampur-campur di dalam naskhah ini. Suntingan yang sedikit kurang kemas ini harus diteliti oleh sang editor untuk naskhah akan datang kerana kekurangan sebegini akan sedikit menjejaskan mutu naratif sebagus ini...alangkah sayangnya bukan!

Mesej yang dibawa SJ cukup jelas. Lihatlah kehidupan dari pelbagai sisi. Jangan hanya tertumpu pada satu sudut sahaja yang memungkinkan kita terjerumus pada kekhilafan. Hakikat kehidupan sememangnya tidak terjangkau oleh akal, namun sebagai manusia yang percaya pada-Nya,peganglah pada janji-janji-Nya, redhalah dengan apa yang terjadi kerana Dia tidak pernah mengambil sesuatu tanpa bersebab. Hikmah yang tersirat pasti manis buat golongan yang sentiaas redha dan bersyukur.

Buat Kak Yati...anda sentiasa kaya dengan idea kreatif, idea yang penuh elemen personifikasi kehidupan. Bagai tiada kata yang dapat menterjemahkan kekaguman saya pada kehebatan cetusan idea kreatif anda, dari dahulu anda begitu saya kagumi, sentiasa hebat dan istimewa sekali di mata saya...semoga jemari hebat anda akan terus cemerlang melakar kisah-kisah kehidupan yang penuh berwarna-warni buat tatapan para pembaca sekalian.

No comments:

Post a Comment