Penulis : Norhisham Mustaffa
Penerbit : CESB
Cetakan Pertama : 2004
Harga : RM18.90
Genre : Kemasyarakatan
Bintang : 4.5
Resensi Si Ungu:
Secara jujur saya bukanlah penggemar kisah-kisah yang berakhir dengan format "sad ending" namun pada suasana tertentu saya mengecualikan diri saya untuk halangan yang satu itu. Prejudiskah saya?, entahlah...tapi bagi saya, kisah sebegini ada karismanya yang tersendiri dan hanya penulis tertentu sahaja yang mampu menghasilkan kisah-kisah sebegini dengan baik. Tidak semua penulis mampu menerbitkan kesedihan di jiwa pembaca, adakalanya bukan rasa sedih yang singgah...tapi tanda tanya yang muncul, pembaca bagai hilang arah dalam mencari apa yang cuba disampaikan penulis. Justeru itu, saya "tabik" pada penulis yang berjaya mencipta dan menghidupkan suasana sedih didalam naratif mereka dan secara tidak langsung mampu memecahkan kolam airmata pembaca, menyesakkan dada pembaca dengan rasa sebak hanya dengan mata penanya. Salah seorangnya adalah penulis ini...Norhisham Mustaffa.
Mungkin pada sesetengah orang karya beliau agak berat tetapi pada saya itulah keistimewaan Norhisham. Karya-karyanya begitu mencabar minda saya, mendesak pemikiran saya agar lebih peka pada suasana persekitaran, pada kehidupan, pada apa yang saya lihat disekeliling. Bagi saya yang sudah selesai menempuh 4 novel dan 1 kompilasi coretan pak Norhisham, kisah sedih yang beliau lakarkan dalam tiap naskhah buat tatapan khalayak pembacanya begitu istimewa sekali. Rasa dan suasana sedih yang diciptakan beliau bagi saya begitu "hidup" dan cukup menyentap perasaan. Air mata pembaca dengan mudah dicuri oleh beliau hanya dengan bait kata-katanya yang begitu menyentuh naluri. Begitulah keistimewaan pena penulis hebat yang satu ini.
Seperti karya-karya beliau yang terdahulu saya baca, Bila Musim Berganti (BMB) sekali lagi mengundang sebak di hati saya. BMB berlatarkan kehidupan manusia-manusia kerdil tapi berjiwa waja di sebuah estet getah; Estet Getah Ladang Bukit Tempua yang menjadi latar tempat pilihan penulis dalam naskhah ini. Tema kehidupan menjadi nadi utama naratif penulis dan kehidupan yang bertunjang konsep kasih sayang sesama manusia tidak kira latar sosial juga bangsa mencerminkan sebuah ikatan kekeluargaan yang berpaksikan rasa saling hormat-menghormati tanpa batasan agama.
Ikhwan Zaidi adalah penggerak utama naratif kali ini. Anak muda yang bersifat pemimpin sejati ini yang bergelar Pengurus Besar Estet Ladang Bukit Tempua adalah ikon kebanggaan penduduk disitu namun tiada siapa tahu disebalik girang dan ceria serta sifat tanggungjawabnya yang cukup tinggi ini rupa-rupanya dia menyimpan begitu banyak rahsia kehidupan peribadi dari pengetahuan khalayak yang mengelilinginya saban hari. Ikhwan Zaidi adalah simbol kekuatan perwatakan ciptaan penulis untuk naskhah ini. Perwatakan Ikhwan Zaidi sangat cemerlang ditangani penulis. Penulis mencorakkan watak Ikhwan Zaidi dengan penuh jiwa dan semangat . Kita yang membaca akan turut merasai, menyelami rasa hati dan gelora jiwa yang merantai kehidupan insan bernama Ikhwan Zaidi ini.
Perwatakan Ikhwan Zaidi menguasai tiap ruang dan penjuru BMB. Kecemerlangan tonggak utama narattif ini juga dibantu oleh kemunculan watak-watak pembantu yang lain. Di sini penulis mewarnakan watak-wataknya dengan pelbagai rupa dan gaya. Manickavellu, Imam Syafawi, Pak Kudrat, Nur Fatanah yang penuh rasa kasih pada ketua mereka biar berbeza fahaman dan tingkat sosial, Ahmad Hatmi, Khairani Salwana si merpati dua sejoli yang membongkar satu pertalian darah yang sekian lama tersimpul,Datuk Fikri yang punya sejarah lampau yang tidak terduga juga Astuti sang ratna belahan jiwa yang tewas dipertengahan jalan. Kesemua watak-watak ini digerakkan dengan cukup hebat, teliti dan begitu berjaya oleh penulis.
Pergerakan plot banyak membantu kelancaran persembahan sesebuah naratif. Plot yang pincang, kucar-kacir, tunggang-langgang kiblatnya pasti menghuru-harakan arah pembacaan pembaca. Akibatnya, mood pembaca akan tersasar, paling teruk terhumban entah kemana. Pasti yang jadi mangsa, buku itu sendiri...terlontar ke dinding!. BMB terkecuali dari semua elemen yang saya sebut tadi. Dengan suntingan yang cemerlang plot naratif ini begitu tersusun, teliti digubah bagi memastikan kelancaran kisahnya. Penulis sangat takzim membentuk olahan kisahnya menjadi cukup cantik, bagai hidup dimata pembaca biarpun cuma di helaian-helaian kertas yang kaku!
Gaya bahasa penulis sangat saya kagumi. Gaya bahasa karya–karya beliau sentiasa estetik, penuh metafora dan kaya dengan elemen personifikasi yang memukau. BMB tidak terkecuali. Kaedah pengayaan bahasa dalam naratif ini sangat indah, bait-bait kata-kata yang dirangkai penulis sangat menyentuh rasa dan naluri.
BMB membawa pembaca ke sebuah daerah bernama Bukit Tempua yang membentuk sebuah ladang, sebuah estet getah. Sebuah penempatan yang memberi kehidupan para penghuninya yang saban dinihari setia membilang pohon-pohon getah, menakik aliran susu yang terbit dari pokoknya demi sebuah kelangsungan hidup. Disinilah seorang insan, pemuda lewat 30an bernama Ikhwan Zaidi; Pengurus Besar ladang ini menabur bakti dan jasa kepada semua. Ikhwan yang masih bujang namun cukup berwibawa dan matang sebagai ketua menjadi tempat setiap orang di ladang itu mengadu untung nasib, meminta nasihat dan buah fikiran juga sebagai penyelesai masalah berbangkit. Tiada siapa mengetahui dalam kehebatan dirinya itu, Ikhwan sebenarnya menyimpan kisah pilu dirinya...kisah yang membawa dirinya terdampar ke ladang itu. Demi tidak mahu mengulangi sejarah diri yang dirasakan tidak sewajarnya berlaku jika dia bertindak berani, tangan dihulur, diri didepang membentengi sepasang suami isteri muda; Ahmad Hatmi & Khairani Salwana yang datang berteduh di ladang seliaannya. Kisah mereka yang mirip kisah dirinya suatu waktu dulu rupa-rupanya tidak berakhir disitu. Tanpa diduga, pasangan ini menjadi jambatan untuk Ikhwan merungkai sebuah pencarian, jejak kasih yang sekian lama dimulai dulu namun tidak jua bertemu penghujungnya. Rasa kasihnya pada nasib Nur Fatanah, sang kerani di pejabatnya yang akhirnya dicerai sang suami yang cemburu buta sering menimbulkan tanda tanya di hati, di mata semua. Sikap ambil beratnya disalahertikan. Rasa kasih itu kurniaan ilahi maka tiada siapa mampu menolaknya. Lalu kehadiran Nur Fatanah ibarat cahaya yang mula menerangi kegelapan jiwa Ikhwan Zaidi semenjak dia kehilangan Astuti bagai terpancar pada sesiapa sahaja yang melihat. Tapi mampukah, sempatkah kasih yang mula tersirna ini bertaut?.
Kasihnya pada ladang, cinta pada setiap penghuni ladang sukar ditafsirkan lalu dia berjuang memastikan hak mereka semua terbela bila pihak syarikat berura-ura menukar status ladang. Kerja keras yang tidak mengira masa, tidak menghirau diri demi mahu melupakan sebuah kesedihan diri tidak mungkin dapat ditanggung sendiri. Rasa lelah dalam diri berserta jiwa yang parah yang sekian lama dipendam, disorok, disimpan tersirna jua. Dia rebah juga akhirnya. Rebah yang penuh dengan azam dan semangat. Keutamaan diri diketepikan...hak dan kepentingan ladang juga penghuninya diulang-ulang hingga ke nafas terakhir. Dia pergi akhirnya. Pergi sebagai seorang wira.
Norhisham membuatkan jiwa saya terjerat dengan rasa sedih dan kasihan yang menggunung terhadap kehidupan Ikhwan Zaidi hinggakan 'rasa' itu terbawa-bawa hingga ke noktah terakhir naskhah ini. Sungguh tak terduga saya ia dinoktahkan sebegitu. Sedih dan pilunya perasaan kala membaca ayat-ayat terakhir Bila Musim Berganti. Kasihannya!.
Buat penulis terima kasih untuk sebuah karya yang cukup hebat ini. Buat pembaca diluar sana yang belum berpeluang menatap Bila Musim Berganti…cabarlah perasaan anda dengan sebuah kisah nan cukup menyentuh perasaan ini.