Blogger Templates

Sunday, September 6, 2009

IziNkan KubaHagiA

Tajuk Buku : Izinkan kubahagia
Penulis : Leeya Myra
Penerbit : Alaf 21
Harga : RM18.00
Cetakan Kedua : 2008
Genre : Cinta & Kekeluargaan
Bintang : 3

----------------------------------------------------------
“ Bahagia akan datang apabila kita membuka pintu hati untuk menerimanya. Bahagia atau tidak…kitalah yang memilih untuk merasainya. ”


Resensi Si Ungu


Izinkan kubahagia merupakan naskhah pertama yang saya baca hasil nukilan penulis ini walau sebelum ini sudah terbit “Mencari Cinta” yang diberitahu oleh seorang rakan ada sedikit perkaitan dengan watak didalam naskhah yang sudah saya baca ini. Insyaallah, akan cuba saya sudahi naskhah Mencari Cinta itu nanti.

Menerusi naskhah ini penulis cuba berkongsi falsafah cinta yang memfokuskan makna bahagia itu sendiri. Bahagia bagi penulis punyai banyak definisi dan terpulang pada tuan empunya diri menterjemahkannya. Setiap manusia punyai tingkat pengukur aras kebahagiaan mereka. Perbezaan pendapat memang wujud. Itu biasa kerna kita hanya manusia yang tidak sempurna. Maka penafsiran kita pasti tidak akan sama. Terpulang pada diri sendiri dalam mengukur erti bahagia. Itulah tema dan intipati terpenting yang diketengahkan penulis ini buat pembaca. Bagaimana anda mengukur dan mendefinisikan bahagia?,tanyalah diri anda sendiri. Hanya kita sendiri yang lebih tahu dimana letaknya bahagia dalam hidup kita ini.

Perwatakan didalam naratif ini memfokus kepada 3 watak utama; Soraya Zainal Abidin seorang bekas guru juga seorang janda muda beranak satu. Nadya Johari gadis manis lulusan luar negara yang juga bekas anak murid Soraya yang sudah bertunang dengan teman sekolahnya; Zafir Arsyad yang juga bekas anak murid Soraya. Watak-watak utama didalam naskhah ini masing-masing punyai konflik didalam mengenal pasti naluri hati mereka sendiri. Keliru antara rasa kasih dan simpati, antara cinta dan tanggungjawab maka terjadilah kecelaruan perasaan anatara ketiga-tiganya. Soraya lebih matang wataknya sesuai dengan usianya seperti yang ditampilkan penulis. Konflik jiwa Soraya lebih hebat jika dibandingkan dengan Nadya. Nadya watak yang terburu-buru sifatnya. Sebagai gadis muda yang tiba-tiba merasakan dia disaingi oleh bekas gurunya sendiri, maka pergolakan perasaannya itu sangat terserlah walau cuba disembunyikan. Zafir watak lelaki yang sangat mengecewakan. Lelaki yang tidak punyai pendirian. Cepat goyah. Bagai lalang sahaja sifatnya. Watak-watak pembantu didalam naskhah ini kurang menonjol kerana penulis sangat memfokuskan kepada 3 watak utama ini sahaja.

Laras bahasa yang diaplikasikan didalam naskhah ini menggunakan bahasa pertuturan harian. Tidak ada unsur-unsur bahasa melankolik yang digunakan walau naskhah ini walaupun ia bergenrekan cinta. Mungkin penulis lebih selesa menggunakan gaya bahasa sebegini. Ringkas dan mudah difahami pembaca.

Plot cerita sedikit mendatar dengan sisipan teknik imbas kembali digunakan pakai didalam situasi tertentu. Perkembangan cerita bagai tidak langsung mengujakan pembaca. Terlalu statik. Sifat klisenya begitu terasa. Tiada kejutan.

Izinkan kubahagia membawa pembaca menyusuri perjalanan kisah 3 watak utamanya; Soraya Zainal Abidin bekas guru yang juga seorang janda muda yang diceraikan suami; Razlan akibat salah-faham. Dia membawa diri bersama anak tunggalnya; Arisa ke Melaka dan bertugas sebagai pengurus dichalet milik teman baiknya. Di chalet ini lah dia dipertemukan semula dengan bekas anak muridnya; Zarif yang 10 tahun dahulu pernah meluahkan rasa cinta padanya. Kedatangan Zafir bertujuan untuk mencari jawapan tentang hala tuju hubungannya bersama tunangnya Nadya yang juga bekas anak murid Soraya. Kemunculan Zafir bagai memberi sinar dalam hidup Soraya. Zafir pula mula keliru dengan perasaannya sendiri terhadap Nadya bila bertemu semula dengan Soraya. Dia merasakan hatinya masih ada cinta pada Soraya dan percutian itu bagai menyemarakkan semula perasaannya yang sekian lama terpendam. Kemunculan Nadya mengejutkan kedua-duanya. Soraya yang mengetahui status hubungan Nadya-Zafir sedikit kecewa lantas menjarakkan diri dari Zafir. Zafir yang keliru marah dengan kehadiran Nadya. Kecewa, Nadya lantas pulang ke Kuala Lumpur namun peristiwa Zafir-Soraya ditangkap khalwat paling menguris hati Nadya. Dia nekad. Pertunangan segera diputuskan. Soraya kembali sedar cinta Zafir bukan padanya, yang ada cuma rasa simpati dan rasa tanggungjawab. Zafir akur dengan keputusan Soraya lalu kembali cuba menagih kasih Nadya bila menyedari dia masih menyintai bekas tunangannya itu namun kemalangan yang menimpa Nadya merubah segalanya.

Manusia tidak pernah lari dari kesilapan. Kesilapan yang terjadi menjadikan manusia lebih menghargai kehidupan. Menghargai erti sebuah kebahagiaan. Bahagia akan tercipta bila kita menerima hidup ini seadanya. Tanpa rungutan, tanpa beban. Syukur pada apa yang dikurniakan oleh-Nya pada kita. Inilah mesej tersirat yang dicoretkan penulis buat renungan semua pembaca. Hanya kita yang lebih mengenali diri kita. Bukan orang lain.

Buat penulis muda ini, tahniah kepada anda .Semoga anda akan terus berusaha melontar idea tentang kisah kehidupan untuk tatapan pembaca.

No comments:

Post a Comment