Tajuk Buku : Kompilasi Kasih Orang Terbuang
Penulis : Norhisham Mustaffa
Penerbit : CESB
Cetakan Pertama : 2005
Harga : RM24.90
Genre : Kekeluargaan & Kemasyarakatan
Bintang : 4.5
------------------------------------------------------------
"hidup ini terbina antara dua rasa...suka dan duka...”
Resensi Si Ungu:
Kompilasi yang menghimpunkan 3 novel pendek; Kasih Orang Terbuang, Gerimis Senja dan Angin Permatang hasil nukilan sasterawan kelahiran Tanah Serendah Sekebun Bunga ini sememangnya begitu sarat dengan mesej kehidupan buat renungan pembaca. Saya yang sememangnya sangat mengagumi karya beliau begitu tersirna perasaan saat melalui perjalanan menamatkan pembacaan ini. Sungguhlah pengarang hebat ini begitu bijak mencuri airmata pembaca hanya dengan bait-bait kata yang dibina. Sebak, sedih, pilu, kasihan saling bertamu, silih berganti.
Tema kekeluargaan menjadi fokus pada ketiga-tiga cerita ini. Tema yang digarap dari sisi yang berbeza paksinya namun tersimpul dipenghujung yang sama. Begitu berseni sekali cara ia dinoktahkan biarpun mengundang airmata yang bukan sedikit.
Plot cerita-cerita di dalam kompilasi ini sangat cantik disusun. Berangkai-rangkai antara satu peristiwa ke peristiwa yang lain. Walau ada flashback, jalan cerita tidak sedikit pun tersasar. Itulah keistimewaan pengarang hebat ini. Persembahan cerita penaan beliau sangat mengagumkan.
Gaya bahasa didalam setiap karya beliau sentiasa indah. Olahan ayat yang cukup berseni, penuh nilai-nilai estetika yang sukar kita temui pada karya-karya lain. Personifikasi dan elemen metafora ciptaan beliau juga cukup cantik, penuh berseni. Suntingan sangat cemerlang menjadikan persembahan keseluruhan kompilasi ini begitu hebat.
Perwatakan sememangnya adalah tunjang sesebuah karya. Dan ditangan pengarang hebat ini, semua watak beliau begitu hidup dimata pembaca. Mahayun dan Fuad begitu mensyahdukan perasaan, menitis airmata dengan kehebatan perwatakan mereka. Kecekalan mereka begitu meruntun naluri. Hajah Habibah, Haji Sulaiman cukup membuat hati jadi sedih..sampainya hati!. Ramlan dan Asnah mencipta rasa kasihan yang bukan sedikit. Meluat betul dengan Zaleha dan Hajah Muyah!. Sumadi hero hebat. Walau tidak kaya, rupa seadanya sahaja, belajar hanya setakat mana namun tiupan aura pengarang pada wataknya membuatkan pembaca jatuh suka hero muda ini. Saya rasa kagum pada Sadariah. Sikap yang ada pada gadis muda ini wajar jadi teladan gadis-gadis di luar sana. Penghulu Saman, Karim, Jarjis..aduh hai, menyampahnya..tapi diakhir cerita...saya ingin katakan ini...padan muka mu!.
Buat pak Norhisham...saya tiada kata untuk menukilkan rasa kekaguman pada kompilasi ini. Sesungguhnya anda satu antara sejuta. Tiada tandingan di pesada ini.
Cerita 1: Kasih Orang Terbuang
Mahayun @ Ayun, gadis cantik namun sayangnya dia anak yang tidak tahu di mana malangnya, dibezakan perhatian dan kasih sayang dari ibubapa; Haji Sulaiman, Hajah Habibah dan adik-beradiknya kecuali adik bongsunya, Suhanum dan suami Rasyid. Tindakan Ayun menolak lamaran Doktor Razlan tapi mengahwini Fuad yang cuma seorang penarik beca dan tidak setaraf kedudukan dengan adik-beradik yang lain, lebih menyisihkan Mahayun dari keluarganya dan menambahkan lagi kebencian mereka padanya. Dia dibuang terus dari menikmati sebarang kekayaaan dan kesenangan keluarga. Namun begitu, Mahayun dan Fuad tidak mengalah dengan segala kata-kata nista juga umpat keji mereka padanya dan Fuad. Mereka tetap gigih berusaha memperbaiki taraf kehidupan dan kelahiran Ahmad Syukran bagai membuakkan semangat untuk lebih berjaya di dalam hidup. Untuk mencapai cita-cita ke menara gading mereka berdua gigih belajar bersama..namun takdir tuhan siapalah mampu menduga. Kisah yang sungguh menyayat hati. Kisah yang banyak pedoman untuk semua.
Cerita 2: Gerimis Senja
Ramlan dan Asnah. Cinta yang terhalang bukan sahaja kerana darjat tapi juga kerana peristiwa lama yang masih berbekas di hati Hajah Muyah; ibu Ramlan. Ramlan yang nekad tapi Asnah berhati lembut. Asnah yang tidak mahu memanjangkan sengketa rela berundur demi harapan seorang ayah...biar terpaksa mengorbankan perasaannya sendiri, ironinya hidup. Bila hati dan perasaan seakan mati...bagaimanalah hidup harus diteruskan. Berbaloikah pengorbanan Asnah, dan ikhlaskah kata-kata akhir Ramlan. Kisah yang penuh tauladan.
Cerita 3: Angin Permatang
Kisah yang membawa pembaca menyusuri kegigihan seorang anak muda kampung; Sumadi Tolib untuk menyempurnakan hidup adik-adik setelah kematian kedua orang tua dipaparkan dengan begitu menarik sekali . Sumadi seorang abang yang sangat bertanggungjawab. Disamping perlu memikirkan masa depan adik-asiknya; Sadariah, Numairah, Isa dia juha berhadapan dengan masalah lain di kampung yang menuntut kesabaran dan kecekalannya. Balas dendam dan dengki boleh menghuru-harakan kehidupan...ia juga boleh memudaratkan diri orang yang menciptanya jika tersilap langkah. Ada sedikit cahaya cinta dalam cerita ini tapi tidak begitu dikerlipkan. Langsung tidak menjejaskan keterujaan untuk terus membaca dan mengetahui penamat kisah ini. Sumadi sangat hero dimata saya. Hero pada keluarga, hero pada adik-adik, hero pada orang kampung yang tertindas.
Asalamualaikum. Bagaimana nak dapat Kompilasi KASIH ORANG TERBUANG INI?
ReplyDelete(pewariSepi70@gmail.com)