Tajuk Buku : L.U.V.E
Penulis : Pingu Toha
Penerbit : Jemari Seni Publishing
Harga : RM16.50
Cetakan Pertama : 2008
Genre: Novel Remaja
Bintang : 4
------------------------------------------------------------
“Does anyone know what love really is?". Cinta itu emosi...emosi tak boleh dirasionalkan. Emosi hanya dapat dirasakan. Sebab itu ia dibahasakan sebagai “perasaan ". Cinta itu hanya boleh dirasakan."
Resensi Si Ungu:
Benarkah cinta itu hanya satu ungkapan, satu aliran rasa bernada emosi semata-mata?. Justeru kerana itu kadangkala kerana cinta manusia jadi alpa, gagal berfikir, bertindak buru-buru. Cinta adakala bisa membuat manusia berubah 360’. Menerusi naskhah pertamanya ini, penulis membawa para pembacanya berlintas langsung menyelami hati insan-insan yang dihinggap rasa itu. Rasa yang disebut Cinta.
Dalam hidup ini, bila menyebut soal cinta, kita adakala akan dihadapkan dengan pilihan-pilhan. Pilihan-pilihan itu pula akan membuatkan kita perlu berfikir. Berfikir walau sebenarnya jawapan sudah ada didalam tangan..Cuma sebagai manusia, kita tidak dapat lari dari dihujahi rasa keliru...rasa tidak yakin. Antara yang dicintai , kekasih lama, pihak ketiga, teman rapat , mana satukah yang perlu dipilih, mana satukah yang jadi keutamaan...cinta atau persahabatan?.
Luve membawa pembaca melihat cinta dari kacamata seorang lelaki. Dilema cinta seorang lelaki. Seorang lelaki yang sukar melafazkannya walau rasa itu sudah terzahir di jiwanya sejak pertama kali diterpa perasaan itu. Menyusuri naskhah penulis ini, kita bagai menonton sebuah pementasan. Pementasan untuk tujuan penzahiran sebuah lafaz cinta...pementasan yang dipenuhi pelbagai rencam; ada dialog, ada monolog, ada muzik...suatu pendekatan karya yang saya anggap baru namun cukup segar dan begitu menarik sekali.
Menerusi Luve, penulis muda ini membawa pembaca mengenali seorang Uthman Huzair @ Uth yang saya anggap mewakili segelintir lelaki diluar sana yang masih was-was dalam menzahirkan perasaan mereka pada wanita yang mereka cintai. Takut di tolak. Tidak yakin pada diri sendiri, mungkin. Paling sukar bila teman rapat sendiri juga mencintai gadis yang sama dan sudah memulakan langkah awal mendapatkan si dia. Lalu bagaimana harus bertindak. Perlukan rasa itu dizahirkan atau dipendamkan sahaja. Pilihan sudah ada di depan mata, namun masih gagal menggamitnya walau si dia (The Love) sudah secara halus memberi jawapan hatinya. Perwatakan Uth sangat cemerlang dipenakan penulis. Sebagai lelaki, saya rasa beliau mencurahkan segala emosinya didalam diri Uth, maka lahirlah seorang Uth yang cukup beremosi sekali. Emosi cinta Uth cukup berwarna-warni sekali. Setiap mainan perasaan, jelmaan mimpinya dizahirkan penulis dengan cukup baik demi memberikan gambaran pada pembaca pergolakan perasaan yang dialami Uth. Perwatakan Lana memberikan satu menifestasi bahawasanya wanita itu sememangnya lebih sensitif dalam persoalan perasaan namun keterbatasan adat, budaya juga agama tidak memungkinkan rasa itu dizahirkan secara terang-terangan. Kiasan yang dijelmakan diharap mampu diterjemahkan dengan lafaz yang dinanti. Masa ada penentunya. Lana adalah simbol wanita yang berjuang untuk menzahirkan emosi cintanya. Emosi yang dilafazkan dengan lenggok bahasa tubuh yang baik. Keri dan Vee adalah watak penuh keberanian yang dicipta penulis. Mewakili lelaki dan wanita yang tidak malu-malu menyatakan rasa hati, melafazkan kata cinta tanpa selindung. Bagi mereka, cinta itu perlu dinyatakan secara terang-terangan, tidak perlu menyembunyikannya.
Gaya bahasa yang ditampilkan penulis sangat santai, bersesuaian dengan corak persembahan naskhah yang berpaksikan tema cinta remaja ini. Lenggok bahasa yang mudah, ringkas mencerminkan perjalanan ceritanya juga yang cukup mudah diikuti tanpa sekatan atau unsur-unsur yang boleh menimbulkan kebosanan.
Naskhah penulis ini mempunyai pernyataan mesej tentang persoalan cinta yang disampaikan menerusi gabungan luahan rasa kesemua watak-watak utamanya. Cinta dari sisi pandang seorang lelaki. Cinta dari sisi pandang seorang wanita. Aliran emosi yang menterjemahkan luahan rasa yang disebut perasaan. Perasaan cinta yang cukup halus, cukup bermakna pada mereka yang benar-benar memahaminya.
Buat penulis, tahniah atas cetusan idea kreatif anda yang saya anggap cukup unik, segar dan tersendiri di dalam menyampaikan wadah penulisan anda ini. Semoga akan terus cemerlang berkarya di masa hadapan.
cerita yang cute :) dan tidak meleret. lepas baca review hang, rasa nak baca buku ni lagi sekali ;)
ReplyDeleteterima kasih yang terlalu, si kucing ungu. ku ingin menangis sekarang juga....
ReplyDeleterinn - erk, tu round yg ke berapa beb?..5 kan..hehehe
ReplyDeletePingu - jgnlah menangis, akak xdpt nk cari si dia L utk hulurkan saputangan nnt..hikhik...terima kasih sudi dtg ke pondok ungu akak yg xseadanya ini..tahniah, akak suka LUVE awak..