Blogger Templates

Wednesday, August 5, 2009

RemBuLan BerDaraH...


TAJUK BUKU : REMBULAN BERDARAH
HASIL NUKILAN : ANITA ARUSZI
PENERBIT : KAKI NOVEL ENTERPRISE
HARGA : RM24.00
CETAKAN PERTAMA : 2009
GENRE : ROMANTIK, KEKELUARGAAN & THRILLER RINGAN
BINTANG : 4



--------------------------------------------------------

‘..love can be magic.. but magic can sometimes be illusion..’

Resensi Si Ungu:

Rembulan Berdarah adalah naskhah penulis yang diangkat dari e-novel nukilan beliau yang mula menjengah pengunjung blog beliau sekitar penghujung 2007. Melihat pada judulnya yang begitu tersirat maknanya, begitulah juga perjalanan kisah yang dipaparkan oleh penulis cantik berbakat besar kelahiran Darul Iman ini. Tajuk naskhah ini pada pandangan saya membawa pengertian gadis yang terluka yakni kelukaan akibat ditimpa pelbagai peristiwa sedih, penuh duka sepanjang pelarian dirinya.

Gabungan tema cinta , kekeluargaan dan thriller menjadikan naratif penulis kali ini cukup mengujakan minda untuk sama-sama menjelajah menyusuri perjalanan kisahnya yang cukup dramatik hingga ke noktah terakhir. Pergolakan dalam organisasi kongsi gelap, komplot perebutan harta di kalangan ahli keluarga sendiri akibat ketamakan yang tidak bertepi, pencarian dua hati yang terpisah sejak sekian lama dirangkum di dalam satu rantaian menjadi sebuah kisah yang sungguh indah namun kaya dengan elemen-elemen penuh debaran.

Perjalanan naratif penulis kali ini mengajak pembaca mengenali seorang Duha Maisarah, gadis muda yang kaya dengan sejarah pahit hidupnya seawal usia 12 tahun. Duha yang terpaksa menyembunyikan identiti dirinya yang sebenar; Raihana Munif demi keselamatan diri lantaran dirinya pernah cuba dihapuskan dari mukabumi oleh insan terdekat yang berkiblatkan ketamakan demi kesenangan hidup di dunia. Dalam meniti usia remaja yang penuh duri, dia yang dipelihara si kaki judi Bustaman diperah keringat dan menghambakan diri pada insan yang dipanggil ayah itu demi membalas budi menyelamatkan diri suatu waktu dahulu. Hidup sebagai penyanyi kelab malam walau tanpa rela namun demi tuntutan hidup dia pasrah. Tugas yang dilakukan hanya pada waktu malam itu cuba di selindungkan dari abang angkatnya Zafran dan dikaburi dengan kerjanya sebagai pembantu di kedai buku di siang hari. Di Blue Ocean, kelab tempat dia bernaung tanpa diketahui adalah milik pertubuhan kongsi gelap yang turut terlibat dalam melakar sejarah hitam dalam hidupnya suatu waktu dulu. Petubuhan yang bertanggungjawab menjadikan dirinya yatim piatu secara tiba-tiba. Di kelab itu jugalah dia bertemu kembali Nashriq Adli Zainal Ikram; insan yang sangat dikasihi sejak kecil. Sama-sama saling tidak mengenali lantaran jarak perpisahan antara mereka namun hati bagai tidak mengizinkan mereka terus kabur dalam pencarian ini. Kasih yang bertaut membawa Duha Maisarah ke Mega Timur Construction sebagai pembantu Nashriq. Perhubungan mesra antara keduanya menjadi perhatian umi Nashriq, Engku Latifah yang nyata tidak senang dengan Duha dan lebih menyukai Suraya untuk dijadikan pasangan anaknya. Suraya nyata bertepuk sebelah tangan kerana hati Nashriq hanya pada Duha. Engku Iskandar yang mengetahui latar sebenar Duha-Nashriq cuba menghapuskan kedua-dua lantaran kegagalan berbuat demikian dahulu demi menutup kesalahannya yang akan mengheretnya ke penjara. Campurtangan Estella Wong, anak bekas pemimpin Black Parade; kongsi gelap yang terlibat dalam kematian Zainal Ikram juga kemunculan semula Asri Ikram membongkar sejarah 12 tahun dahulu…sejarah yang cukup memeranjatkan!

Plot naratif seimbang dan bergerak secara kronologi namun di dalam situasi-situasi tertentu penulis menyelitkan teknik flashback demi mengembalikan pembaca pada kisah dahulu demi lebih memahami lenggok cerita dengan lebih berkesan.

Gaya dan laras bahasa yang diaplikasikan penulis dalam naskhah ini ringkas namun cukup indah dan menarik sekali. Walau tanpa penggunaan bahasa-bahasa romantis yang berlebih-lebihan, alunan nada romantisnya tetap terserlah. Suntingan dalam naskhah ini sangat baik dan dipersembahkan dengan begitu tertib sekali. Tahniah pada editor juga penulis.

Perwatakan di dalam Rembulan Berdarah memberikan kesimbangan watak antara Duha Maisarah/Raihana Munif dan Nashriq Adli. Sebagai tunjang utama dalam naratif ini perwatakan kedua-duanya digarap dengan begitu baik sekali oleh penulis. Penulis berjaya membuat pembaca jatuh hati pada watak Duha juga Nashriq. Sebagai gadis yang punya sejarah hidup yang menyedihkan, penulis cukup cemerlang membina watak Duha hingga kita turut terkesan dan tumpang kasihan pada nasib yang menimpa dirinya. Begitu juga Nashriq, pertempuran perasaan yang dialami anak muda cukup cantik dilayarkan penulis. Seperti juga Duha, pembaca akan simpati pada kisah Nashriq. Antagonis Engku Iskandar cukup bagus dipenakan penulis. Watak Engku Latifah, Zafran dan Suraya juga watak pembantu yang lain; Emran, Asri juga Bustaman cukup menlengkapkan Rembulan Berdarah menjadi sebuah naratif yang cukup perisanya.

Kepada Anita, sekalung tahniah atas persembahan hebat ini. Semoga anda akan terus hebat melarikan kisah-kisah dari pena anda di persada seni kreatif tanahair. Buat pencinta novel bergenre romantis yang mendebarkan, Rembulan Berdarah adalah pilihan yang tepat untuk mengisi kekosongan di rak anda.

4 comments:

  1. salam,liza suka dengan komen kamu tentang RB..semoga nita terus berjaya dalam bidang penulisan..liza hanya jadi pembaca dan pemerhati saja..

    ReplyDelete
  2. liza - ini pandangan peribadi kucc sebagai pembaca, oranglain mungkin ada pendapat mereka pula...apapun terima kasih sbb suka komentar kucc n sudi singgah di sini.

    ReplyDelete
  3. ya,nak panggil apa ya?pasti ada namanya ..ya memang pandangan pembaca memang kita perlu tapi sebagai pembaca kita tahu apa selera kita dan siapa penulis kita minat dan bentuk apa bacaan yg kita minat dan banyak bacaan yg ada masa ni tapi liza suka bentuk novel untuk menghiburkan hati dan ada juga kadang2 certa tu dapat ilmu dan pengajaran,dan selera pembaca terserah masing2 tapi liza suka certa yg disampaikan AA..dan antara penulis dan pembaca saling perlu memerlukan..he..he..saya pun minat kat kucc ni..suka komen yg membersangkan buat penulis..

    ReplyDelete
  4. hehehe..panggil kucc pun ok dah ...macih liza sbb suka baca resensi kat sini. Terima kasih atas sokongan ye..

    ReplyDelete