PBKL 2010 sudah tamat...fuhh, lega! akhir selamatlah sudah misi menghabiskan duit yang tak sebanyak mana..hahaha
tahun ni kucc tak beli banyak macam tahun lepas. Kalau tahun lepas 33 buah, tahun ini tidak sebanyak itu. Beli buku yang betul-betul nak baca sahaja dan bukan beli ikut kata nafsu semata-mata...akhirnya nanti buku-buku tu jadi bahan pameran di rak aje. Kesian kat buku tu, duduk kat rak lama-lama sampai expired...hehehe. Dengan tambahan buku baru yang sudah dibeli, maka sudah ada 55 buku yang menanti untuk dibaca...tu dia, ambik ko!
Selalunya yang seronok masa pesta buku ialah peluang jumpa penulis-penulis..lagi-lagi penulis yang susah nak jumpa i.e mereka tinggal di luar KL atau memang hanya akan muncul kala ada pesta besar-besar macam PBAKL ni. Tahun ni dapat jumpa Anita Aruszi, kak Dyza Ainun yang sanggup turun dari bilik walaupun dlm keadaan kurang sihat semata-mata nak jumpa kucc alahai terharunya hati kucc kak! juga Kak Indah Haryani yang juga dari negeri Darul Iman macam Nita dan Kak Dyza, dapat jumpa Mia Khaidina yg cun, Nurul Syuhada yang selamba macam Safi dalam AKN dia tu! Kucc kira sesi jumpa Kak Indah paling bermakna. Kak Indah faham kucc, kucc faham kak Indah...so kak, ni cerita kita berdua la ye..hehehe
Di booth KN jumpa Hanni Ramsul yg manis, Di PTS jumpa cik Din aka Baharuddin Bekri yang selamba+lawak macam karya2 dia juga. Jumpa Lily Haslina + Rose yang sentiasa merah menyala..ahaaks
Di JS, jumpa Xarine, Noor Azzahra, Syud, Adeliah, Ruby, Rynsa, Iman, Mazni dan tidak lupa penulis favourite saya Kaksu dan abg Imaen...tapi PBAKL tahun ni sedey sikit sebab Seikat Kembang Merah Imaen belum cukup berkembang mekar untuk dipersembahkan di PWTC..huhukkk..takper kucc tunggu, kata Julai kan...hehehe
Hari akhir PBAKL @28 March 2010 dapat jumpa Kak Ila @Ramlah Rashid juga Ramlee Awang Murshid. Dan paling seronok dapat ambik gambar dengan Sinaganaga..terima kasih pada cik din yang sudi menarik abg Naga yang sedang dikerumuni peminat wanitanya untuk bergambar dengan kucc dan rinn...hehehe
Pesta sudah tamat...duit pun dah hampir diselesaikan...maka sekarang bermulalah misi membaca.
Mari kita semua membaca. Jika kajian data terkini merumuskan masyarakat Malaysia secara umum hanya membaca 8 -12 buku setahun (pelbagai jenis) berbanding masyarakat negara maju yang membaca 35-85 buku setahun, kita harap angka 12 itu akan bertambah dua ganda tahun hadapan. Sekurang-kurangnya kita baca 3 buku sebulan...alhamdulillah, kalau lebih lagi bagus..mesti penerbit pun suka. Kerajaan kenalah sokong kalau ingin melihat angka 12 ni berubah...ingin lihat angka ni meningkat sekali atau dua kali ganda di tahun hadapan. Makanya:
1. Dana untuk para penerbit buku patut diwujudkan . Kalau kerajaan boleh mewujudkan pelbagai dana galakan dan insentif untuk para pemain industri kecil dan sederhana negara mengapa tidak untuk para penerbit buku dimasukkan sekali. Mereka juga turut memberi sumbangan pada carta ekonomi dan sosio budaya masyarakat.
2. Buku perlu diindustrikan. Mengindustrikan buku dengan kawal selia sebuah Kementerian dan menerusi skim bantuan kepada penerbit, sasaran 27, 000 buku setahun itu kucc kira tidak mustahil. Boleh!
3. Majlis Buku Kebangsaan perlu dilibatkan didalam pembincangan draf awal bajet 2011 agar boleh memberi cadangan kepada kementerian perihal insentif dan galakan kepada para pemain industri buku juga kadar potongan cukai yang lebih menarik kepada para pembeli buku. Kadar RM1000 itu sudah terlalu lama dan tidak relevan lagi dengan perkembangan semasa. Kalau mahu orang banyak membaca maka tentunya orang kena banyak membeli. Lalu kalau kadar yang tercatat di Borang BE masih ditakuk lama, bukan itu tidak menyokong namanya..huhukk MoF jangan marah ye...
apa-apapun kucc tetap suka membaca....
Monday, March 29, 2010
Thursday, March 18, 2010
DimaNa TeRangnYa BuLan...
TAJUK: DIMANA TERANGNYA BULAN
PENULIS : BAHRUDDIN BEKRI
PENERBIT : PTS LITERA UTAMA SDN BHD
HARGA : RM17.90
CETAKAN PERTAMA : 2010
GENRE : REMAJA DEWASA & KOMEDI RINGAN
BINTANG : 4
-----------------------------------------------------
“…Hati ini umpama cahaya bulan dan ia akan memancar pada kelakuan & sikap kita.”
Resensi Si Ungu:
Identiti karya penulis ini saya kira memang tersendiri dan unik. Sejak dari naskhah beliau yang pertama lagi. Ditangannya, naskhah terbaru ini; Dimana Terangnya Bulan (DMTB) cemerlang diterjemahkan dilayar cetak. Aplikasi formula cerita yang menggabungkan unsur humor spontan yang begitu mencuit hati walau dipenakan secara cukup bersahaja namun ia sudah cukup mengundang senyum dan tawa pembaca samada secara langsung mahupun tidak. Seawal-awal muka surat pertama senyum saya sudah tersuring.
Melihat pada tema dan mesej cerita tentang yang mengangkat semangat juga jatidiri seorang mahasiswa yang terpaksa berdepan dengan pelbagai masalah, halangan dugaan juga cabaran didalam dia menyempurnakan impian keluarga untuk bergelar graduan sebenarnya menyuraikan mesej bahawasanya kehidupan ini sebenarnya penuh warna-warni, pelbagai ragam dan rencam manusia yang kita temui sebenarnya akan mematangkan diri didalam mengharungi kehidupan. Tiap musibah yang menimpa maka harungi ia dengan penuh redha dan usaha itu jangan sesekali ditinggalkan separuh jalan. Tiap pekerjaan yang baik pasti ada ganjarannya. Saya kira ini bukanlah satu tema yang ringan namun kebijaksanaan penulis muda berbakat besar ini nyata berjaya menggarap tema yang sedikit berat ini kepada lebih santai dan menarik menerusi teknik penceritaan yang bersahaja dengan sisipan unsur-unsur komedi tanpa sedikitpun mengurangkan matlamat asal cerita.
Perwatakan dalam DMTB didominasikan oleh watak utamanya; Kamarul bin Zamarul. Sebagai peneraju utama watak Kamarul ini ternyata dimanipulasi semaksimanya oleh penulis. Saya sukakan watak Kamarul. Dalam lurusnya dia pemuda berhati mulia, semangat setiakawannya sangat tinggi, sifat jujurnya sangat mencuit hati. Pembentukan watak Kamarul mewarnai perjalanan naratif ini dan pergolakan dalaman watak ini berjaya dizahirkan dengan baik sekali oleh penulis. Kita pasti rasa sayu dengan pelbagai dugaan yang menimpa diri Kamarul silih berganti namun semangat dirinya itu sangat meruntun hati. Begitu juga watak-watak pembantu yang lain; Bondan, Teng An Ni, Selamat, Irfan, Saripuddin, Junaidi, Yazid turut cemerlang dipaparkan. Antagonis Sihanop, Salman & Sulaiman dari Geng The Real Pelangi begitu melucukan. Dalam keadaan kritikal, antara orang jahat dan orang baik adegan persembahan nasyid di tangga kediaman yang disewa Kamarul membuatkan saya gagal mengawal ketawa. Penggunaan lenggok bahasa yang mudah difahami pembaca memudahkan kisah ini diikuti. Penulis ternyata memahami apa yang dimahukan pembaca dalam karya-karya sebegini kerana penggunaan laras bahasa yang kurang tepat akan mempengaruhi mood pembaca untuk menghayati sesuatu cerita.
Isu penggunaan bahasa melayu tinggi dan rendah yang dibawakan penulis didalam karya ini saya kira satu krtitikan sosial kepada umum untuk menyuraikan maksud tersirat penulis. Begitu juga isu menggunakan elemen cukai dan LHDN sebagai satu kaedah menangkap penjenayah licik untuk dihadapkan ke muka pengadilan saya kira begitu baik sekali dipersembahkan penulis.
Plot cerita dibina dengan cukup kronologi dengan sedikit sisipan teknik imbasan kembali. Kesegaran plot yang dicipta banyak membantu pergerakan cerita yang disampaikan penulis dalam merealisasikan mesejnya kepada pembaca.
Dari saya, sekalung tahniah buat penulis. Teruskan usaha anda. Semoga terus cemerlang menghasilkan karya-karya hebat dan bermutu di masa hadapan buat tatapan, renungan dan pedoman buat kami semua, pencinta novel tanahair.
Saturday, March 6, 2010
Menunggu CinTa TuHan...
Tajuk Buku : Menunggu Cinta Tuhan
Penulis : Lily Haslina Nasir
Penerbit: PTS Litera Utama Sdn Bhd
Harga: RM18.00
Cetakan Pertama : 2009
Genre: Kemasyarakatan & Pembangunan Diri
Bintang: 4
--------------------------------------------------------
“ ..Dan sesungguhnya tidak ada fitnah yang lebih besar pada akhir zaman selain fitnah yang berasal daripada kaum wanita…”
Resensi Si Ungu:
Biar hilang cinta sesama manusia, tidak mengapa kerana pasti akan ada galang gantinya suatu hari nanti tetapi jangan sampai hilang cinta Tuhan pada diri kita nan kerdil ini kerana di waktu itu hidup sudah tiada ertinya bila Tuhan sudah berpaling dari mencurahkan kasih sayangnya pada kita.Berpada-padalah hidup di muka bumi ini, jangan ingkar, jangan bongkak , jangan takbur, jangan lalai juga jangan berlebih-lebihan kerana kita cuma hamba-Nya sahaja yang sekadar menumpang seketika nikmat dunia. Jika tidak bersyukur lalu membuat onar pula nantikan sahaja azabnya yang dibayar tunai tanpa perlu menanti ketibaan kita di sana. Inilah saya kira mesej keseluruhan yang mahu dikongsi penulis senior hebat ini buat renungan para pembaca.
Sebagai seorang yang penuh pengalaman saya kira penulis mempunyai pendekatannya yang tersendiri di dalam menyampaikan wadah pemikiran kritis beliau untuk disampaikan pada pembaca. Suntikan kisah yang diharapkan menjadi bekalan serta memperkayakan jiwa pembaca menerusi pengisian dalam kisah yang dibentangkannya. Lalu pendekatan yang dipilih penulis menerusi naskhah ini saya kira sangat tepat didalam menyalurkan isinya kepada khalayak pembaca. Pengalaman luas beliau selama lebih 12 tahun didalam dunia kewartawanan yang penuh sepak terajangnya diaplikasikan semaksimanya didalam pengkisahan naratif terbaharu nukilan beliau ini. Lalu terhasillah Menunggu Cinta Tuhan( MCT) yang cukup kaya siratan isinya, penuh rencah manis dan pedasnya. Pahitnya juga terselit sama. Yang pasti, gaya selamba yang dilontar penulis untuk naratif ini cukup menjadi!
MCT sebuah naskhah kemasyarakatan yang cukup santai namun mampan dengan pengisian dakwah yang disampaikan dengan nada paling bersahaja, dipenuhi nilai-nilai hikmah, disertai suntikan elemen-elemen komersial disamping unsur-unsur humor spontan yang menjadikan ia cukup menarik untuk dibaca. Karya yang saya kira cuba mengangkat tema agama sebagai ruang untuk penulis memaparkan isu kemasyarakatan yang sangat dekat dengan kehidupan kita seharian. Amalan mistik, khurafat terus segar biar zaman sudah berubah. Manusia ini sifatnya mudah lupa…namun ada yang sedar maka pantas mencari jalan pulang, yang lupa diri akan terus terbenam dalam gaung laknat-Nya.
MCT membawa pembaca menyorot perjalanan hidup Khalida Atikah Akmal; seorang graduan syariah yang memilih bidang kewartawanan mengkhusus pula didalam seni & hiburan. Satu pilihan kerjaya yang sangat bertentangan dengan latar pendidikan mahupun sifat dan peribadinya sendiri. Namun dorongan kuat dari hati untuk dia memilih kerjaya sedemikian pasti ada hikmah yang tersirat dari-Nya. Berjaya ditempatkan di unit paling sensasi di Akhbar Dinamik adalah permulaan mimpi ngeri buat Khalida. Ketua unitnya; Azrul Rasyid yang sedari awal memang tidak menyukai Khalida yang disifatkan tidak langsung sesuai untuk unitnya. Penampilan fizikalnya yang bertudung labuh, hanya berbaju kurung, tiada tatarias di wajah yang asli cantik amat menyakitkan mata Azrul. Ketegasan Khalida didalam mempertahankan pendapat dan prinsipnya nyata sangat tidak disenangi Azrul . Biar diherdik, diperlekeh malah dimalukan Khalida punyai semangat jiwa yang kental. Azrul tidak sedikitpun didendami. Walau adakalanya terusik, rasa sedih dan malu diperlakukan sedemikian rupa, sokongan keluarga, teman akrabnya; Azrinaz juga rakan-rakan sekerja terutama kak Sham, Ameenah, Syed, Agus serta tidak ketinggalan ketua bahagiannya,; Muda Sulaiman menjadi penguat semangat untuk dia terus berjuang menjadi wartawan hiburan dengan caranya yang tersendiri. Dalam meniti kehidupan sebagai wartawan hiburan bermacam ragam kisah manusia yang disaksikannya. Dan di sini jugalah terbongkar sebuah perlakuan keji dan kotor manusia terkutuk yang haloba lalu menjadikan jin dan syaitan sebagai pendamping. Siapa sangka disebalik senyum manis bermadu, layanan penuh santun terselit hati nan hitam perilakunya. Khalida yang secara tidak langsung terbabit menjejak isu itu akhirnya menemui sesuatu…sesuatu penemuan yang begitu menjijikan!
Plot naratif ini digarap penulis dengan cemerlang dan menarik sekali menerusi penerapan mesej kehidupan yang sarat dengan pengajaran dan penuh keinsafan, penggunaan gaya bahasa, diksi dan lafaz dialog begitu santai dan selamba ditelinga. Penggunaan latar cerita di didominasikan lokasi di pejabat Akbar Dinamik dan berbekalkan pengalaman luas sebagai wartawan, penulis ternyata cukup teliti mencorakkan perjalanan kehidupan warga di sana. Kita sebagai pembaca secara tidak langsung boleh merasakan seolah-olah turut berada dilokasi. Paling berkesan saat proses pemujaan yang dilakukan cik Latifah..meremang bulu roma membaca mentera serapahnya…seram ooi Lily! Saya juga terkesan paparan penulis tika kejadian kondominium runtuh yang turut menimpa Azrul dan Nureen di malam 14 Februari. Saat Azrul dipaparkan dengan segala dosanya, saat Nureen dipaparkan siksanya…saat Azrul terkenangkan masa kecilnya, saat dia memohon ampun dan minta diberi peluang kedua untuk bertaubat…bahagian ini saya kira paling sayu sekali juga sangat menginsafkan!
Khalida Atikah sebagai watak utama di dalam MCT cukup berjaya diikonkan penulis sebagai contoh gadis pintar nan bijaksana, cekal, berani, tabah, cukup muslimah, punyai keperibadian indah, yang berwawasan dalam kerjaya . Azrul Rasyid adalah watak yang sering kita lihat didalam kehidupan. Manusia yang punyai didikan dan ilmu agama namun gagal memanafaatkannya. Nikmat dunia melalaikannya seketika. Dia beruntung kerana cinta Tuhan masih disisi lalu diberi peluang sekali lagi untuk hidup penuh insani. Watak-watak lain turut memperteguhkan MCT dengan kekuatan perwatakan masing-masing. Kak Sham, Ameenah, Muda Sulaiman, Puan Azah, Encik Hakim, Haji Akmal juga Hajah Khadijah, Kak Yam, Din juga Ismail diperincikan penulis dengan cukup perencahnya. Antagonis cik Latifah juga Nureen sangat hebat ditangani penulis…hitamnya sifat diri mereka begitu cemerlang dilayarkan penulis…mengerunkan sungguh kedua-dua wanita ini!...amat memualkan perbuatan mereka. Saya juga suka cara penulis mencipta watak Encik Murat. Beliau saya kira contoh yang sangat ramai dalam masyarakat. Kata orang ada mulut berpada-pada bila bercakap jika tidak badan yang merasa, pelawaan orang jangan mudah diterima..selidiki juga maksudnya, kerana manusia ini rambut sahaja sama hitam, hati entah apa la pula warnanya …
Naskhah ini sesungguhnya sesuai untuk semua lapisan masyarakat hatta dari tangga sosial manapun. Membaca dan menghayatinya memberikan satu lagi perkongsian maklumat yang sangat berguna untuk sekalian pembaca . Terlalu banyak yang dapat diteladani dalam naskhah indah berdurasi 469 halaman ini.
Buat Lily, walau agak terlewat membaca naskhah hebat anda ini, diharap tidak terlambat untuk lafaz tahniah ini untuk anda. Karya anda ini hebat sekali. Pembaca pasti menanti sentuhan ajaib anda pada naskhah sekuelnya nanti, insyaaallah. Saya juga tidak sabar mahu mengetahui kesudahan Azrul dan Khalida ini, hehehe. Selamat maju jaya untuk anda.
Subscribe to:
Posts (Atom)