Saturday, March 6, 2010
Menunggu CinTa TuHan...
Tajuk Buku : Menunggu Cinta Tuhan
Penulis : Lily Haslina Nasir
Penerbit: PTS Litera Utama Sdn Bhd
Harga: RM18.00
Cetakan Pertama : 2009
Genre: Kemasyarakatan & Pembangunan Diri
Bintang: 4
--------------------------------------------------------
“ ..Dan sesungguhnya tidak ada fitnah yang lebih besar pada akhir zaman selain fitnah yang berasal daripada kaum wanita…”
Resensi Si Ungu:
Biar hilang cinta sesama manusia, tidak mengapa kerana pasti akan ada galang gantinya suatu hari nanti tetapi jangan sampai hilang cinta Tuhan pada diri kita nan kerdil ini kerana di waktu itu hidup sudah tiada ertinya bila Tuhan sudah berpaling dari mencurahkan kasih sayangnya pada kita.Berpada-padalah hidup di muka bumi ini, jangan ingkar, jangan bongkak , jangan takbur, jangan lalai juga jangan berlebih-lebihan kerana kita cuma hamba-Nya sahaja yang sekadar menumpang seketika nikmat dunia. Jika tidak bersyukur lalu membuat onar pula nantikan sahaja azabnya yang dibayar tunai tanpa perlu menanti ketibaan kita di sana. Inilah saya kira mesej keseluruhan yang mahu dikongsi penulis senior hebat ini buat renungan para pembaca.
Sebagai seorang yang penuh pengalaman saya kira penulis mempunyai pendekatannya yang tersendiri di dalam menyampaikan wadah pemikiran kritis beliau untuk disampaikan pada pembaca. Suntikan kisah yang diharapkan menjadi bekalan serta memperkayakan jiwa pembaca menerusi pengisian dalam kisah yang dibentangkannya. Lalu pendekatan yang dipilih penulis menerusi naskhah ini saya kira sangat tepat didalam menyalurkan isinya kepada khalayak pembaca. Pengalaman luas beliau selama lebih 12 tahun didalam dunia kewartawanan yang penuh sepak terajangnya diaplikasikan semaksimanya didalam pengkisahan naratif terbaharu nukilan beliau ini. Lalu terhasillah Menunggu Cinta Tuhan( MCT) yang cukup kaya siratan isinya, penuh rencah manis dan pedasnya. Pahitnya juga terselit sama. Yang pasti, gaya selamba yang dilontar penulis untuk naratif ini cukup menjadi!
MCT sebuah naskhah kemasyarakatan yang cukup santai namun mampan dengan pengisian dakwah yang disampaikan dengan nada paling bersahaja, dipenuhi nilai-nilai hikmah, disertai suntikan elemen-elemen komersial disamping unsur-unsur humor spontan yang menjadikan ia cukup menarik untuk dibaca. Karya yang saya kira cuba mengangkat tema agama sebagai ruang untuk penulis memaparkan isu kemasyarakatan yang sangat dekat dengan kehidupan kita seharian. Amalan mistik, khurafat terus segar biar zaman sudah berubah. Manusia ini sifatnya mudah lupa…namun ada yang sedar maka pantas mencari jalan pulang, yang lupa diri akan terus terbenam dalam gaung laknat-Nya.
MCT membawa pembaca menyorot perjalanan hidup Khalida Atikah Akmal; seorang graduan syariah yang memilih bidang kewartawanan mengkhusus pula didalam seni & hiburan. Satu pilihan kerjaya yang sangat bertentangan dengan latar pendidikan mahupun sifat dan peribadinya sendiri. Namun dorongan kuat dari hati untuk dia memilih kerjaya sedemikian pasti ada hikmah yang tersirat dari-Nya. Berjaya ditempatkan di unit paling sensasi di Akhbar Dinamik adalah permulaan mimpi ngeri buat Khalida. Ketua unitnya; Azrul Rasyid yang sedari awal memang tidak menyukai Khalida yang disifatkan tidak langsung sesuai untuk unitnya. Penampilan fizikalnya yang bertudung labuh, hanya berbaju kurung, tiada tatarias di wajah yang asli cantik amat menyakitkan mata Azrul. Ketegasan Khalida didalam mempertahankan pendapat dan prinsipnya nyata sangat tidak disenangi Azrul . Biar diherdik, diperlekeh malah dimalukan Khalida punyai semangat jiwa yang kental. Azrul tidak sedikitpun didendami. Walau adakalanya terusik, rasa sedih dan malu diperlakukan sedemikian rupa, sokongan keluarga, teman akrabnya; Azrinaz juga rakan-rakan sekerja terutama kak Sham, Ameenah, Syed, Agus serta tidak ketinggalan ketua bahagiannya,; Muda Sulaiman menjadi penguat semangat untuk dia terus berjuang menjadi wartawan hiburan dengan caranya yang tersendiri. Dalam meniti kehidupan sebagai wartawan hiburan bermacam ragam kisah manusia yang disaksikannya. Dan di sini jugalah terbongkar sebuah perlakuan keji dan kotor manusia terkutuk yang haloba lalu menjadikan jin dan syaitan sebagai pendamping. Siapa sangka disebalik senyum manis bermadu, layanan penuh santun terselit hati nan hitam perilakunya. Khalida yang secara tidak langsung terbabit menjejak isu itu akhirnya menemui sesuatu…sesuatu penemuan yang begitu menjijikan!
Plot naratif ini digarap penulis dengan cemerlang dan menarik sekali menerusi penerapan mesej kehidupan yang sarat dengan pengajaran dan penuh keinsafan, penggunaan gaya bahasa, diksi dan lafaz dialog begitu santai dan selamba ditelinga. Penggunaan latar cerita di didominasikan lokasi di pejabat Akbar Dinamik dan berbekalkan pengalaman luas sebagai wartawan, penulis ternyata cukup teliti mencorakkan perjalanan kehidupan warga di sana. Kita sebagai pembaca secara tidak langsung boleh merasakan seolah-olah turut berada dilokasi. Paling berkesan saat proses pemujaan yang dilakukan cik Latifah..meremang bulu roma membaca mentera serapahnya…seram ooi Lily! Saya juga terkesan paparan penulis tika kejadian kondominium runtuh yang turut menimpa Azrul dan Nureen di malam 14 Februari. Saat Azrul dipaparkan dengan segala dosanya, saat Nureen dipaparkan siksanya…saat Azrul terkenangkan masa kecilnya, saat dia memohon ampun dan minta diberi peluang kedua untuk bertaubat…bahagian ini saya kira paling sayu sekali juga sangat menginsafkan!
Khalida Atikah sebagai watak utama di dalam MCT cukup berjaya diikonkan penulis sebagai contoh gadis pintar nan bijaksana, cekal, berani, tabah, cukup muslimah, punyai keperibadian indah, yang berwawasan dalam kerjaya . Azrul Rasyid adalah watak yang sering kita lihat didalam kehidupan. Manusia yang punyai didikan dan ilmu agama namun gagal memanafaatkannya. Nikmat dunia melalaikannya seketika. Dia beruntung kerana cinta Tuhan masih disisi lalu diberi peluang sekali lagi untuk hidup penuh insani. Watak-watak lain turut memperteguhkan MCT dengan kekuatan perwatakan masing-masing. Kak Sham, Ameenah, Muda Sulaiman, Puan Azah, Encik Hakim, Haji Akmal juga Hajah Khadijah, Kak Yam, Din juga Ismail diperincikan penulis dengan cukup perencahnya. Antagonis cik Latifah juga Nureen sangat hebat ditangani penulis…hitamnya sifat diri mereka begitu cemerlang dilayarkan penulis…mengerunkan sungguh kedua-dua wanita ini!...amat memualkan perbuatan mereka. Saya juga suka cara penulis mencipta watak Encik Murat. Beliau saya kira contoh yang sangat ramai dalam masyarakat. Kata orang ada mulut berpada-pada bila bercakap jika tidak badan yang merasa, pelawaan orang jangan mudah diterima..selidiki juga maksudnya, kerana manusia ini rambut sahaja sama hitam, hati entah apa la pula warnanya …
Naskhah ini sesungguhnya sesuai untuk semua lapisan masyarakat hatta dari tangga sosial manapun. Membaca dan menghayatinya memberikan satu lagi perkongsian maklumat yang sangat berguna untuk sekalian pembaca . Terlalu banyak yang dapat diteladani dalam naskhah indah berdurasi 469 halaman ini.
Buat Lily, walau agak terlewat membaca naskhah hebat anda ini, diharap tidak terlambat untuk lafaz tahniah ini untuk anda. Karya anda ini hebat sekali. Pembaca pasti menanti sentuhan ajaib anda pada naskhah sekuelnya nanti, insyaaallah. Saya juga tidak sabar mahu mengetahui kesudahan Azrul dan Khalida ini, hehehe. Selamat maju jaya untuk anda.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Terima kasih darling..
ReplyDeleteAlahai, terharu rasanya..
Almaklum karya itu kecil dan biasa biasa saja!
lily - biasa2 yg luar biasa sengatnya!
ReplyDelete