Thursday, March 18, 2010
DimaNa TeRangnYa BuLan...
TAJUK: DIMANA TERANGNYA BULAN
PENULIS : BAHRUDDIN BEKRI
PENERBIT : PTS LITERA UTAMA SDN BHD
HARGA : RM17.90
CETAKAN PERTAMA : 2010
GENRE : REMAJA DEWASA & KOMEDI RINGAN
BINTANG : 4
-----------------------------------------------------
“…Hati ini umpama cahaya bulan dan ia akan memancar pada kelakuan & sikap kita.”
Resensi Si Ungu:
Identiti karya penulis ini saya kira memang tersendiri dan unik. Sejak dari naskhah beliau yang pertama lagi. Ditangannya, naskhah terbaru ini; Dimana Terangnya Bulan (DMTB) cemerlang diterjemahkan dilayar cetak. Aplikasi formula cerita yang menggabungkan unsur humor spontan yang begitu mencuit hati walau dipenakan secara cukup bersahaja namun ia sudah cukup mengundang senyum dan tawa pembaca samada secara langsung mahupun tidak. Seawal-awal muka surat pertama senyum saya sudah tersuring.
Melihat pada tema dan mesej cerita tentang yang mengangkat semangat juga jatidiri seorang mahasiswa yang terpaksa berdepan dengan pelbagai masalah, halangan dugaan juga cabaran didalam dia menyempurnakan impian keluarga untuk bergelar graduan sebenarnya menyuraikan mesej bahawasanya kehidupan ini sebenarnya penuh warna-warni, pelbagai ragam dan rencam manusia yang kita temui sebenarnya akan mematangkan diri didalam mengharungi kehidupan. Tiap musibah yang menimpa maka harungi ia dengan penuh redha dan usaha itu jangan sesekali ditinggalkan separuh jalan. Tiap pekerjaan yang baik pasti ada ganjarannya. Saya kira ini bukanlah satu tema yang ringan namun kebijaksanaan penulis muda berbakat besar ini nyata berjaya menggarap tema yang sedikit berat ini kepada lebih santai dan menarik menerusi teknik penceritaan yang bersahaja dengan sisipan unsur-unsur komedi tanpa sedikitpun mengurangkan matlamat asal cerita.
Perwatakan dalam DMTB didominasikan oleh watak utamanya; Kamarul bin Zamarul. Sebagai peneraju utama watak Kamarul ini ternyata dimanipulasi semaksimanya oleh penulis. Saya sukakan watak Kamarul. Dalam lurusnya dia pemuda berhati mulia, semangat setiakawannya sangat tinggi, sifat jujurnya sangat mencuit hati. Pembentukan watak Kamarul mewarnai perjalanan naratif ini dan pergolakan dalaman watak ini berjaya dizahirkan dengan baik sekali oleh penulis. Kita pasti rasa sayu dengan pelbagai dugaan yang menimpa diri Kamarul silih berganti namun semangat dirinya itu sangat meruntun hati. Begitu juga watak-watak pembantu yang lain; Bondan, Teng An Ni, Selamat, Irfan, Saripuddin, Junaidi, Yazid turut cemerlang dipaparkan. Antagonis Sihanop, Salman & Sulaiman dari Geng The Real Pelangi begitu melucukan. Dalam keadaan kritikal, antara orang jahat dan orang baik adegan persembahan nasyid di tangga kediaman yang disewa Kamarul membuatkan saya gagal mengawal ketawa. Penggunaan lenggok bahasa yang mudah difahami pembaca memudahkan kisah ini diikuti. Penulis ternyata memahami apa yang dimahukan pembaca dalam karya-karya sebegini kerana penggunaan laras bahasa yang kurang tepat akan mempengaruhi mood pembaca untuk menghayati sesuatu cerita.
Isu penggunaan bahasa melayu tinggi dan rendah yang dibawakan penulis didalam karya ini saya kira satu krtitikan sosial kepada umum untuk menyuraikan maksud tersirat penulis. Begitu juga isu menggunakan elemen cukai dan LHDN sebagai satu kaedah menangkap penjenayah licik untuk dihadapkan ke muka pengadilan saya kira begitu baik sekali dipersembahkan penulis.
Plot cerita dibina dengan cukup kronologi dengan sedikit sisipan teknik imbasan kembali. Kesegaran plot yang dicipta banyak membantu pergerakan cerita yang disampaikan penulis dalam merealisasikan mesejnya kepada pembaca.
Dari saya, sekalung tahniah buat penulis. Teruskan usaha anda. Semoga terus cemerlang menghasilkan karya-karya hebat dan bermutu di masa hadapan buat tatapan, renungan dan pedoman buat kami semua, pencinta novel tanahair.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment