Blogger Templates

Tuesday, April 6, 2010

DaMai...


Tajuk Buku : Damai
Penulis : Saidatul Saffaa, Noor Suraya & Syud
Penerbit : Jemari Seni Publishing
Harga : RM21.50
Cetakan Pertama : 2010
Genre : Cinta & Kekeluargaan
Bintang : 4
-----------------------------------------------------------------
Resensi Si Ungu:

Ceritera I: Damai oleh Saidatul Saffaa

“ Damai itu kan dalam hati…”

Selepas novel pertama beliau; Kemilau Mutiara Raudhah kali ini penulis mempersembahkan sebuah catatan kembara seorang Naseema di bumi Turki yang menunjangi sejarah kegemilangan empayar islam Uthmaniyyah . Melayari naskhah ini seumpama membaca sebuah journal sejarah islam bergerak yang memfokus kepada maklumat, fakta serta tinggalan silam empayar Uthmaniyyah di negara Turki. Tidak ketinggalan selingkar kisah para syuhada juga para sahabat junjungan besar kita, nabi Muhammad S.A.W yang turut sama mencurah bakti didalam menegakkan syiar islam di bumi Turki.

Saya sendiri secara jujur sudah ingat-ingat lupa tentang empayar kerajaan Uthmaniyyah ini sewaktu mempelajarinya ketika di tingkatan enam suatu masa dahulu namun yang pasti naskhah ini lebih mendalam kupasannya. Satu pendedahan berbentuk maklumat yang saya kira cukup baik untuk tatapan para pembaca khusus kepada mereka yang kurang tahu tentang susur galur pembentukan empayar Uthmaniyyah ini. Naskhah yang saya kira boleh mendidik pembaca tentang betapa gemilangnya sejarah islam suatu masa dahulu.

Sebuah naskhah yang bertema kisah kasih sayang biasa. Sangat biasa dari kacamata zahir pencinta kisah cinta kerana plot utama naratif ini begitu dominan terarah kepada penjejakan sejarah empayar Uthamniyyah sebagai pelengkap kertas ilmiah Naseema lalu kisah lain sudah menjadi sub plot sahaja didalam naratif ini.

Plot kronologi mendominasikan hampir keseluruhan naskhah ini. Suntingan yang cukup teratur. Perwatakan saya kira adalah dominan kepada Naseema dan watak-watak lain hanyalah sampingan. Saya kira Zubeyda sudah menjadi watak kedua terpenting didalam naskhah ini lalu menenggelamkan si Yusuf Islam Naseema . Sayang sekali watak Sadiq si Yusuf Islam ini begitu terbatas peranannya didalam naskhah ini. Cameo Raudhah yang kini sudah punya puteri; Maryam pasti mengubat rindu pembaca pada si cantik bermata hijau ini.

Gaya bahasa mudah yang diterapkan penulis dalam naskhah beliau ini cukup bersesuaian dengan corak persembahan naratifnya.

Buat penulis tahniah dan semoga akan terus memperbaiki mutu persembahan and auntuk karya akan datang . Buat pembaca, hayatilah sebuah momentum kegemilangan sejarah islam dari kembara seorang Naseema.

Ceritera II: Yang Jauh di Pulau oleh Noor Suraya

“saya juga tidak ingin berkahwin jika bukan dengan dia yang memanggil saya “pyar”…”

Kata pepatah tiada kata seindah bahasa, tiada cantik seindah rupa. Inilah Noor Suraya. Jemari saktinya pasti tidak sesekali mengecewakan para pembaca juga pencinta beliau. Dari sebuah catatan Ceritera Cinta Marhaen dengan Tajuk Piyah & Piyan di blog penulis ,naskhah indah ini akhirnya dipindahkan ke versi cetak dengan judul baru; Yang Jauh di Pulau.

Tajuk ini sebenarnya mengingatkan saya pada sebuah puisi nukilan Chairil Anwar; Cintaku Yang Jauh Di Pulau. Sebagaimana indahnya puisi ini ditangan Chairil Anwar, begitu juga indahnya kisah Yang Jauh di Pulau ini ditangan Noor Suraya. Penulis yang saya kagumi ini sentiasa berjaya melakar kisah yang pasti menyentuh jiwa dan perasaan hati pembaca. Perincian beliau sangat menakjubkan. Naskhah ini buktinya.

Yang Jauh di Pulau membawa pembaca mengenali jiwa halus milik seorang Piyah/ Piya/Pyar atau nama lengkapnya Ainnul Suffiah Syuhada Burhan. Gadis manis yang menanti keputusan STPM ini dikirim ayahnya ke kampung toknya nun jauh di pulau lagenda. Misi untuk belajar menjadi seorang perempuan dibawa seliaan tok cik Nahnya menemukan dirinya dengan si penjual ikan nan kacak; Piyan aka Sophan Sophian. Lalu di sinilah bermulanya sebuah kisah antara Piyah dan Piyan. Sebuah jalinan kasih sayang marhaen yang cukup menyentuh naluri biarpun dipersembahkan dengan rentak yang begitu santai. Inilah kehalusan karya Noor Suraya.

Naskhah yang di warnai ilmu masakan sebagai sub plotnya ini diperhalusi dengan penuh teliti tanpa sedikitnya menjejaskan plot utamanya. Ternyata pengalaman penulis berjaya mencorakkan naskhah ini dengan begitu indah sekali. Pelbagai tips masakan diperturunkan penulis untuk dikongsi juga sebagai pengetahuan kepada para pembaca.

Genre cinta dari air tangan penulis hebat ini sentiasa lain dari yang lain. Bukanlah cinta yang asyik masyuk tapi cinta yang tulus di jiwa! Cinta yang digarap dengan penuh susila, penuh adab bertunjangkan adat dan berteraskan hukum yang dijunjung.

Perwatakan yang dilakar penulis begitu cemerlang sekali. Penulis begitu hebat memberi jiwa pada tiap watak yang dicipta didalam naskhah ini tidak kiralah sama ada watak utama atau watak sampingan. Ainnul Suffiah sebagai tunjang naratif sangat cemerlang dipotretkan penulis. Halus jiwa perempuannya diangkat dengan penuh emosi, sifat diri wanitanya diserlahkan dengan begitu cantik dan memikat sekali. Pelarian diri tatkala salah sangka menguasai jiwa lantaran kekasih hati disangka mempermainkan kasih sucinya diterjemahkan ke teks dengan penuh melankolik. Syahdu sekali! Perwatakan Piyan sedari awal sudah terserlah kematangannya. Saya sukakan cara penulis membina watak hero nan manis ini. Sopan dan santunnya cukup menawan hati. Siapa sangka ye dia penjual ikan berstatus jurutera berijazah! Tok cik Nah adalah watak yang saya kira sangat penting didalam naskhah dan watak nenek kesayangan Piyah ini dipotretkan dengan cukup teliti hingga saya kira berjaya mencetuskan rasa kekaguman pembaca padanya. Liciknya Busu sungguh tidak disangka!

Kalau berbicara tentang penulis ini, tidak lengkap rasanya tanpa membicarakan alunan gaya bahasanya. Bahasa dan kaksu ibarat aur dan tebing. Gaya bahasa yang penuh personifikasi, elemen bahasa tersusun indah rima dan ritmanya adalah identity Noor Suraya. Maka tiada apa yang perlu saya diperkatakan lagi tentang keindahan laras bahasa yang diaplikasikan beliau untuk karya terbaru ini. Saya sentiasa terbuai dengan keasyikan lenggok bahasa kaksu yang memukau. Suntingan pada naskhah ini cemerlang direalisasikan kepada pembaca demi memberikan sentuhan yang lebih sempurna pada pembaca.

Bermesejkan kasih sayang sebagai paksi cerita, plot naratif penulis bergerak dengan cukup teralun, kemas digarap. Kasih sayang yang diterjemahkan dengan dimensi yang lebih halus, lebih sensitif namun cukup bermakna didalam kehidupan manusia sekeliling.

Buat penulis tersohor yang amat saya kagumi ini, tahniah dan terima kasih kerana mempersembahkan sebuah jalinan sebuah kasih sayang yang sangat indah.


Ceritera III: Langit Tetap Biru oleh Syud

dia yang aku hampir-hampir lupakan kewujudannya…dia yang telah bermastautin diingatan tanpa aku sedari…”

Menerusi Langit Tetap Biru, penulis muda ini membawa pembaca menerjah ke dasar hati seorang Nurul Zahra. Rasa yang sekian lama terpendam, rasa yang begitu kejap tersimpan di ujana hatinya tiba-tiba mekar bila tersua kembali si dia yang pernah suatu waktu dahulu menyentuh hati perempuannya dan hingga ke saat ini si dia masih kejap merantai pintu hatinya dari diketuk oleh arjuna yang lain.

Tema cinta yang dilayarkan penulis di dalam naratifnya kali ini begitu santai namun saya kira inilah cara penulis menyampaikan mesej naratifnya kepada pembaca. Tidak keterlaluan dengan unsur-unsur yang memualkan mata juga telinga, konflik jiwa remaja Zahra berjaya diterokai penulis sebaiknya.

Plot naratif ini konsisten pergerakannya dari mula hingga ke akhir cerita. Persembahan yang baik ditambah susunan teknik olahan dan suntingan yang cukup teliti membuatkan naskhah ini tampak indah dimata. Gaya bahasa penulis ini semudah dirinya yang sangat santai dimata saya. Laras bahasa yang dipilih saya kira tepat untuk kisah remaja sebegini.

Perwatakan di dalam Langit Tetap Biru memfokuskan pada dua watak utama Nurul Zahra Abd Malik juga Fikri Adlan Ahmad Ismail. Watak Zahra dibangunkan dengan cukup santai kepada pembaca. Zahra adalah simbol perempuan yang saya kira bijak menyimpul rasanya dari pengetahuan luar, hanya yang rapat sahaja tempat dia mencurah rasa itu. Fikri Adlan yang misteri begitu mengujakan, juga memikat! Umaira, Azri juga Banie bagaikan percikan warna yang mengindahkan lagi naskhah ini.

Buat penulis, tahniah untuk sebuah kisah yang begitu tenang, setenang langit nan biru di atas sana.

1 comment: