Thursday, April 15, 2010
VerSus...
Tajuk Buku : Versus
Penulis : Hlovate
Penerbit : Jemari Seni Publishing
Harga : RM19.00
Cetakan Pertama : 2010
Genre : Remaja & Pembangunan Diri
Bintang : 5
-------------------------------------------------------------
“bukan mudah untuk berubah…bukan senang untuk jadi baik .. it cost you hell to change!”
“versus…the hardest battle is when you’re against yourself.”
Resensi Si Ungu:
Jadi baik tidak semudah lafaz. Jadi baik tak semudah yang dilihat dengan mata zahir. Tanggungjawab untuk berubah ke arah menjadi insan yang berpaksikan amar makruf nahi mungkar itu sangat berat. Berat bagi diri yang selama ini tidak ambil pusing hal-hal hubungan dengan Dia. Berat bagi diri yang selama ini merasakan kiblat hidup hanyalah pada apa yang dilihat didepan mata sahaja. Bila diri melihat addin dari skop yang sebenar-benarnya alangkah kerdilnya diri. Mengislahkan diri itu ibadah yang mulia, wajar dan wajib demi hidup yang lebih sempurna, diredhai dan diberkati oleh yang maha Pencipta. Rangkuman mesej inilah yang saya kira melingkari naskhah berdurasi 432 halaman nukilan penulis yang terbaru menjengah para pengkagumnya.
Versus; sebuah lagi karya penulis muda ini yang sentiasa segar didalam membawa dimensi pemikirannya kearah matlamat yang begitu murni bersesuaian dengan landasan hidup muslim menerusi idea, kaedah juga olahan kisah kehidupan remaja yang bersahaja namun penuh pengisian. Pengisian yang dicetus bukan semudahnya dituntas akal. Ia penuh hujahan dan sokongan ayat-ayat cinta-Nya sebagai bukti. Sampingan kumpulan hadis serta cetusan kisah para ilmuan yang diselitkan demi pengukuhan sebuah matlamat di penghujung noktah para pembaca. Tanggungjawab sebagai penulis disudahi dengan cukup cemerlang; kisah dibentang buat tatapan, ilmu ditabur buat panduan juga renungan. Hidup menjadi insan yang gemilang di dunia dan akhirat itu tuntutan, kejarlah dunia hingga ke hujungnya asal sahaja diri tidak lupa akan adanya hari di sana.
Tema cinta dari skop pena penulis ini sentiasa mendamaikan jiwa. Perasaan cinta itu fitrah kejadian manusia. Tidak salah. Tiada dosa untuk rasa itu kerna ia kurnia dari-Nya. Cinta dari kacamata sesiapa pun hatta lelaki atau perempuan sememangnya tiada beda. Indah. Penuh warna. Lalu penulis menebarkan jalan bagaimana rasa itu direalisasikan dengan langkah yang betul , dilestarikan dengan akuran hukum dan adat yang menunjangi hidup manusia. Itulah cinta yang direstui, itulah cinta yang diberkati.
Plot naratif Versus konsisten pergerakannya dari mula hingga ke akhir cerita. Teknik flashback yang diaplikasikan penulis disebahagian cerita mewarnai plot dengan begitu kemas. Persembahan yang sangat cemerlang ini juga disumbangkan oleh susunan teknik olahan dan suntingan yang cukup teliti yang membuat bacaan tidak terganggu.
Bila berbicara soal aplikasi laras bahasa penulis ini wajar kiranya minda dibebaskan dengan belenggu ortodok kerana gaya bahasa penulisan kreatif tidak hanya tertumpu kepada satu konsep sahaja. Gaya bahasa perlu kena dengan lantai cerita, perlu sesuai dengan konsep naratif jika tidak pasti canggung jadinya naskhah, sakit telinga pula bila membacanya. Penulis bagi saya mencipta gaya bahasanya yang tersendiri. Tiada palagiat. Tiada klon. Inilah keunikan gaya bahasa ciptaan beliau. Ia berdiri pada kelasnya yang tersendiri.
Perwatakan di dalam Versus memfokuskan pada dua watak utama; Minn@ Minn Edina dan AO@ Ashraff Omar. Watak Minn juga AO adalah nadi keseluruhan naskhah ini. Dua remaja ini adalah potret insan yang ditiupkan cahaya kesedaran dalam memacu ke arah addin yang sebenarnya. Minn dan AO cemerlang dilakar pena penulis. Perwatakan kedua-dua bekas jagoan skater ini hidup pada paksi tersendiri didalam mewakili emosi gender masing-masing. Berjuang dan berperang dalam penuh kesukaran dan keperitan demi sebuah penghijrahan yang hakiki, penghijrahan yang lebih bermanafaat, penghijrahan yang sangat dituntut, penghijrahan yang membawa seribu kemanisan di penghujung kehidupan. Ked @ Khalid Faizal yang menunjangi Ked’s Story dalam naskhah Pelangi adalah watak sampingan yang cukup mewarnai Versus.Peranannya tidak sedikit didalam memantapkan naskhah ini. Di dalam naskhah ini jugalah kesudahan Ked dan Nawal diumumkan penulis. Misteri Jasmin sangat manis terungkai, Che' E sungguhlah comel dengan keletah dan manjanya,
Versus menyusuri hidup seorang bekas jagoan skater; Ed’Sassin of Wrath @ Minn Edina yang menukar kompas hidup demi sebuah wasiat. Berjuang untuk berubah daripada sebuah kehidupan yang sudah menjadi darah daging kepada yang baru dan mencabar bukan mudah. Perit. Siksa. Sukar sekali. Namun dengan izin-Nya, alhamdulillah, cahaya itu ditiupkan. Lupakan skater. Lupakan deck. Lupakan rail. Lupakan semuanya tentang kehidupan dahulu. Lembaran baru yang dibuka membawa dirinya pada seorang Minn Edina. Dugaan tiba. Di kolej, Minn dipertemukan dengan si tinggi lampai Ashraff Omar of Bronx, skater yang terbilang juga namanya. Tidak diduga AO, ustazah garang yang menjadi mentornya itu adalah Ed’Sassin si genit cantik seksi berlesung pipit yang dipuja dahulunya dalam diam. Dalam diam AO mengenal seorang Minn Edina dari sisi seorang Ed’Sassin. Rasa itu hadir. Ketidakpastian itu lumrah. Terpisah. Jarak yang jauh mendekatkan rasa itu. Cemburu itu biasa. Hukum alam memang begitu. Pertemuan semula di bumi kanggaru begitu manis.Tersurat janji seperti yang termetri di loh mahfuz adalah penamat teka-teki di hati selama ini.
Siapapun diri kita,muhasabah dan istiqamahlah selalu. Hidup ini sudah dibentangkan landasan dan jalannya, kitalah yang memilih dan memutusnya. Jika mahu berubah, berazamlah dan teguhkan niat ke arah itu.
Buat penulis, anda sentiasa mengagumkan. Tahniah buat sebuah perjuangan diri yang pastinya akan terukir indah di memori para pembaca. Buat pembaca, bacalah Versus jika mahu tahu apa itu erti sebuah perjuangan diri.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment