Blogger Templates

Sunday, May 23, 2010

NaMa AtaS KerTas...


Nama Buku : Nama Atas Kertas
Penulis : Nasron Sira Rahim
Penerbit : Jemari Seni Publishing
Harga : RM20.00
Cetakan Pertama : 2010
Genre : Thriller
Bintang : 4.5

-------------------------------------------------------------
" engkau boleh bersembunyi di mana saja...tapi aku akan tetap menjumpaimu!"

Resensi Si Ungu:

Sudah agak lama juga karya berpaksikan genre Thriller tidak saya baca. Terakhir adalah Labyrinth dan Gapura. Nama Atas Kertas (NAK) karya pertama penulis ini yang saya baca memberikan satu keterujaan rasa yang sukar dilafazkan. Satu karya yang saya kira sungguh uummph! Usai menamatkan pembacaan ke atas karya ini yang telah memaksa minda saya sama berfikir dan berlari untuk mengejar si licik nan bijak yakni sang pembunuh yang menjadi buruan pegawai penyiasat polis; Faiz dan pasukannya demi menamatkan sebuah siri kegilaaan yang sungguh sadis!

Perasaan dendam yang dipendam jika tidak dikelolakan dan ditangani dengan penuh berhemah bisa membuatkan manusia yang bijak hilang pertimbangan akal nan waras. Perasaan tertekan kesan dari rasa itu akan membentuk sebuah identiti diri yang mengundang bahaya bukan sahaja pada diri sendiri tapi juga pada insan lain disekitarnya. Inilah persoalan utama yang saya kira diangkat didalam karya hebat ini dan digarap dengan begitu bijaksana oleh penulis untuk diterjemahkan kepada pembaca untuk sama-sama berfikir kesan dan akibat dari persoalan berkenaan. Mesej penulis saya kira jelas, setiap kejadian biar baik atau buruk pasti ada hikmahnya. Setiap perbuatan pasti ada balasannya.

Perwatakan adalah nadi dalam setiap naratif. Tidak dapat dinafikan. NAK mengengahkan seorang pegawai polis, Faiz selaku hero yang menerajui naratif thriller hebat ini. Watak Faiz ditangani dengan sangat baik dan penulis saya kira begitu menjiwai emosi diri seorang pegawai polis yang tertekan dengan beban tugasan menjejak penjenayah bijak nan berbahaya dan pada waktu yang sama perlu mengendalikan gelodak dalaman jiwanya yang kehilangan isteri yang dibunuh demi dendam penjenayah pada dirinya. Kredibiliti Faiz selaku pegawai polis diterjemahkan ke kanvas oleh penulis dengan begitu berkesan sekali. Pembaca jadi begitu mengagumi pegawai polis muda nan berwibawa ini. Perwatakan Hanim saya kira stabil ditangan penulis. Biar tidak begitu menonjol berbanding Faiz, sisi watak Hanim dibangunkan secara sederhana lengkap dengan mainan perasaan wanita muda yang terjerat rasa kasih namun tidak pasti mahu meluahkannya. Komposisi watak Hanim di dalam menjalankan tugas kepolisian adalah pelengkap pada Faiz. Gambaran ini diterjemahkan dengan sangat baik sekali oleh penulis. Keakraban dalam tugas antara keduanya adalah buktinya. Aswadi Hamzah si wartawan agresif lagi sensasi dari Warta Harian adalah watak pembantu yang memberi warna dan rentak pada persembahan naratif ini. Begitu juga watak Prof. Zaman; si pakar psikologi dan Tuan Kamal. Masing-masing memberi sumbangan yang mengangkat naskhah ini menjadi cukup rencahnya. Perwatakan si gadis misteri Natasya Haliza begitu mengujakan, begitu mendebarkan dan dirinya dipersembahkan penulis dengan begitu bijaksana sekali!

Gaya bahasa naratif ini mengaplikasikan lenggok bahasa pertuturan biasa. Tiada penggunaan elemen estetika nan mempesona dan mengasyikkan tapi karya ini tetap mempunyai kelasnya yang tersendiri dengan pengenalan penuh berinformasi penulis terhadap dunia sains forensik, psikologi juga tidak ketinggalan informasi berkenaan ilmu grafologi. Ternyata perkongsian informasi dan maklumat ini secara tidak langsung menambahkan pengetahuan pembaca berkenaan bidang tersebut.

Plot disusun begitu teliti dengan latar masa, tempat dan waktu pada tiap bab. Menerusi suntingan yang cemerlang, urutan tiap peristiwa dijalin dengan cukup baik menerusi perletakan elemen berkenaan lalu berjaya membina sebuah landasan bacaan yang cukup mendebarkan pembaca!

NAK memperkenalkan pembaca dengan kejadian pembunuhan sadis bersiri yang dilakukan seorang penjenayah yang begitu licik namun cukup bijak! Pembunuh tersebut akan mengirimkan notis obituari setiap mangsanya kepada seorang wartawan sensasi dari Warta Harian; Aswadi Hamzah dengan tujuan untuk disiarkan. Didalam mulut mayat setiap mangsanya, akan ditinggalkan kertas/puzzle mengandungi sebuah teka-teki untuk diselesaikan oleh pihak polis dan pada teka-teki itulah terkandung maklumat kesalahan yang dilakukan mangsa-mangsa berkenaan. Faiz dan rakannya Hanim yang mengetuai siasatan menghadapi jalan sukar dan buntu untuk menjejak pembunuh kejam berkenaan dan juga menyelesaikan teka-teki yang ditinggalkan hinggalah seorang prof.matematik; doktor Sufiyan berjaya menyelesaikannya dan membawa Faiz dan pasukannya pada pembongkaran jenayah yang dilakukan mangsa-mangsa. Biarpun pada mula enggan percaya, namun siasatan terperinci pada setiap mangsa membuktikan kebenaran dakwaan pembunuh obituari tersebut. Menggunakan kaedah psikologi menerusi bantuan prof Zaman, penyiaran notis obituari yang dihantar pembunuh dihentikan penyiarannya dengan harapan agar rasa keterujaan pembunuh disekat namun malang, tindakan tersebut menimbulkan kemarahannya pada pihak polis lalu tanpa diduga, Hanim dipilih menjadi mangsa seterusnya!

Buat penulis, sukar digambarkan kekaguman saya tatkala menyelusuri Thirller nukilan anda ini dan seusai membacanya ingin saya pahatkan ucapan tahniah atas persembahan yang cukup cemerlang ini. Pena anda ternyata begitu berjaya membuatkan degup jantung saya berlari kencang. Pena anda berjaya memahat dan memaku pandangan mata saya untuk terus setia pada kanvas kertas putih kaku ini hingga ke laman akhirnya. Buat pembaca yang tercari-cari sebuah karya yang akan membuatkan minda anda diuji dan dicabar hebat maka Nama Atas Kertas adalah pilihannya.

Sunday, May 16, 2010

TiaDa SeperTimu...


TAJUK BUKU : TIADA SEPERTIMU
HASIL NUKILAN : ANITA ARUSZI
PENERBIT : KAKI NOVEL ENTERPRISE
HARGA : RM24.00
CETAKAN PERTAMA : 2010
GENRE : ROMANTIK
BINTANG : 4


------------------------------------------------------------
‘..Cinta atau benci semuanya bermula dari hati. Jika dua hati bersatu, maka cinta akan muncul. Jika satu hati terlerai, maka cinta akan hancur berderai...’

Resensi Si Ungu:

Setelah berhempas-pulas mencuri masa terluang yang begitu terhad kebelakangan ini kesan hambatan kerja yang sukar dibendung, akhirnya berjaya juga buku ini saya khatamkan. Karya ini seperti kebanyakan karya penulis ini bermula dengan format e-novel di blog beliau sebelum dipindahkan ke versi cetak.

Jika dilihat daripada judulnya sahaja, pembaca pasti sudah dapat mengagak isinya yang membawa makna sebuah kisah romantik. Ya, ini sebuah kisah genre romantik yang disulami sedikit sisipan unsur suspen sebagai rencah yang merancakkan lagi perjalanan cerita. Saya kira penulis semakin mahir mengolah naratif yang berformat sebegini namun penulis bagi saya secara peribadi lebih handal didalam menghidupkan naratif yang bergenre romantik.

Tiada Sepertimu (TSM) membawa pembaca mengenali seorang Kiefli Benjamin. Anak muda yang berjiwa besar, pekerti mulia namun sukar ditebak isi hatinya. Rasa kecewa pada perlakuan bapanya, Qadrim yang dianggap penyebab utama kematian satu-satunya adik; Fiza membawa Kiefli hidup jauh dari keluarga biarpun terpaksa membuatkan ibu tersayang bersedih hati dengan keputusannya. Kiefli yang mempunyai sebuah restoran; De’Raya begitu komited didalam memajukan perniagaan yang diceburi. Persahabatan tulus yang terjalin antara Kiefli dan Rubiah membawa dirinya mengenali anak Rubiah; Zara Melissa si ejen insuran yang keras kepala dan begitu sukar difahami rentak dirinya. Zara yang secara terangan tidak menyetujui persahabatan antara keduanya lantaran meragui niat Kiefli terhadap Rubiah. Zara yang lincah, degil adalah cabaran buat Kiefli tatkala tanpa diduga dia diminta Rubiah menikahi anak gadisnya itu. Demi permintaan Rubiah yang diambang maut, Kiefli yang masih terikat hatinya pada sang kekasih lama sukar menerima permintaan Rubiah namun hatinya yang lembut akur dengan rayuan sahabat yang tidak berdaya. Tidak Zara ketahui hasrat Rubiah itu terkandung kisah tersirat yang bakal mengubah persepsi dirinya pada Kiefli. Zara dan Kiefli akur melangkah ke gerbang perkahwinan bersyarat yang akhirnya tanpa dirancang membuka hati beku kedua-duanya untuk saling kenal, saling menerima kelebihan dan kekurangan masing-masing juga saling merasai ikatan antara mereka biarpun secara zahir ia cuba dinafi. Saat hati sudah saling seia dan sekata, kemunculan Intan merobek hati Zara dan kemunculan kembali Rania memaksa Kiefli bertindak demi Zara biarpun dia tahu keputusan itu bakal melukakan lagi Zara.

Rentak penulisan sang penulis ini yang saya kira lebih sinonim dengan unsur-unsur romantik ternyata berjaya digarap dengan baik sekali lalu memberi peluang pembaca menyusuri sebuah kisah kehidupan yang begitu menarik dibaca. Mungkin ada beranggapan kisah kahwin paksa atau kahwin kontrak ini sudah terlalu kerap dipersembahan dalam karya-karya di pasaran sebelum ini namun penulis memberikan nafas baru didalam pengolahannya menerusi kelainan jalan dan jalinan cerita yang diukir beliau didalam naratif ini.

Persembahan plot berjajaran kronologi ini cemerlang ditangani penulis. Bagi saya penulis semakin hebat mengawal pergerakan plot agar Nampak teratur, kemas dan tiada lompang yang berkemungkinan akan menjejaskan fokus pembaca. Plot TSM dibina dengan unsur dramatik demi mencuri perhatian pembaca dan ternyata penulis sangat Berjaya di sini. Tema cinta dan kasih sayang adalah yang tema yang begitu popular dan cinta yang diangkat di dalam TSM lebih kudus dan tulus didalam memberi pemahaman secara lebih mendalam hubungan kasih sayang sesama manusia itu begitu luas dan tiada sempadannya.

Laras bahasa pilihan penulis didalam naratif ini lebih bersahaja, selamba dan bersesuaian dengan persembahan jalan cerita. Tiada penggunaan elemen-elemen personifikasi juga metafora yang sukar difahami maknanya oleh pembaca. Sunting dikawal baik didalam memastikan persembahan naskhah ini nampak hidup dan tidak bercelaru dari satu peristiwa ke peristiwa yang lain.

Dari sudut perwatakan memperlihatkan kecemerlangan Kedua-dua watak utama; Kiefli dan Zara yang menerajui naratif ini. Watak Kiefli dan Zara seimbang dan cemerlang digarap penulis. Mainan emosi juga pergolakan dalaman kedua-dua watak utama ini dilayarkan dengan baik oleh penulis. .Rahsia yang melingkari kehidupan kedua-dua tunjang utama ini dalam mencari jawapan pada persoalan tersebut dibuka hijabnya dengan begitu baik sekali. Watak Rubiah, Jaherry, Gabriel, Romei, Rueben, Zakry, Intan juga Camelia adalah sokongan kepada lengkapnya kisah ini disamping kecemerlangan garapan watak Rania yang misteri.

Kepada penulis, sekalung tahniah atas persembahan hebat untuk naskhah ini.. Semoga Nita akan terus hebat melakar kisah-kisah lain dimasa hadapan untuk tatapan para pembaca juga penggemarmu.

Saturday, May 15, 2010

"SeLamaT Pagi CikGu!..."

Tanpa guru, rasanya aku tidak akan bisa kenal abjad juga nombor...

Tanpa guru, rasanya aku tidak akan bisa membaca, menulis juga mengira...

Tanpa guru, rasanya aku tidak akan bisa tahu apa itu makna sebuah kehidupan dan masa depan...

Dan pastinya tanpa ilmu juga tunjuk-ajar oleh guru-guruku dahulu, aku tidak mampu mengukir catatan ini...

Buat Mrs Wong, guru darjah kala aku di dalam darjah 1B Primary MGS Jln March Kuala Lumpur, million thks teacher Wong...for your care, for you patient, for your thought...for everything!

Buat barisan bekas guru-guru di Secondary MGS Jalan Cenderasari Kuala Lumpur dari tahun 1983-1989; Mrs Peter, Mrs Joseph, Mrs Oun, Mrs Nathan, Puan Hamidah, Puan Kalsum, Puan Salbiah, Puan Saodah, Puan Fatihah, Puan Siti Senja serta lain-lain yang tidak sempat aku senaraikan di sini.... jasa anda semua terlalu besar maknanya didalam diri ini.

Buat insan-insan mulia yang pernah aku panggil cikgu dari 1977 -1989, terima kasih atas segala ilmu yang diberi, tunjuk-ajar yang tidak berbelah bagi, nasihat juga teguran demi kebaikan diri. Tanpa cikgu, aku tidak akan sampai ke tahap ini...hari ini.

Buat semua bekas guru-guruku baik di Sekolah Rendah Perempuan Methodist juga di Sekolah Menengah Perempuan Methodist Kuala Lumpur...buat anda semua yang amat aku sanjungi dan hormati...Selamat Hari Guru!

Selamat Hari Guru buat semua insan bergelar guru dan cikgu di Malaysia...anda adalah nian yang menerangi tiap jiwa kerdil bernama murid!

Saturday, May 1, 2010

BidaDari HuJan...


Tajuk Buku : Bidadari Hujan
Penulis : Noor Azzahra
Penerbit : Jemari Seni Publishing
Harga : RM20.00
Cetakan Pertama : 2010
Genre : Romantik
Bintang : 4.5

-----------------------------------------------------------

"kadang-kadang kita harus belajar menerima takdir diri kita..."

Resensi Si Ungu:

Hanya Dia yang maha tahu apa yang terbaik buat seseorang hambanya di dunia ini. Apa yang difikirkan terbaik dimata kita tidak semestinya yang terbaik buat diri dan kehidupan kita secara keseluruhannya. Perancangan manusia tidak akan mampu mengatasi takdir-Nya. Itu satu kepastian. Takdir itu penentu segala. Takdir itu suratan dari-Nya yang maha arif lagi bijaksana. Tiada kuasa apatah lagi daya yang mampu menolak mahupun menghalang ia dari singgah. Segalanya sudah tertulis. Tersurat sejak azali. Rangkuman mesej-mesej inilah saya kira yang cuba dirangkumkan penulis untuk disampaikan kepada khalayak pembaca naskhah ini. Satu pendekatan santai, cukup selamba dengan selitan unsur humor tapi penuh berisi yang digabungkan penulis buat tatapan pembaca.

Bidadari Hujan( BH) naskhah pertama nukilan penulis berbakat besar ini saya kira begitu berjaya disampaikan mesejnya kepada pembaca. Mesej kehidupan yang ditinggalkan penulis disepanjang pembaca melayari BH bagaikan cermin diri buat kita menilai diri sendiri didalam tiap tingkah dan laku. Biarpun ini naskhah pertama beliau, penulis cukup cemerlang menampilkan sesuatu yang berbeza. Berbeza bila selaku penulis wanita, beliau tampil meneroka ke dasar jiwa lelaki yang menjadi peneraju utama BH. Saya kira pemilihan lelaki selaku editor naskhah ini banyak membantu penulis mengenali jiwa dan naluri insan bernama lelaki ini dengan lebih berkesan. Suntingan BH distruktur dengan cukup baik sekali untuk memberi kepuasan pada pembaca dan pertalian antara bab dijalin dengan cukup teliti demi kesempurnaan perjalanan cerita.

BH membawa kita mengenali seorang Raimy Haidar @ Rain, si akauntan muda yang jatuh cinta buat pertama kalinya pada Qamalia kala bertembung dengan sicantik manis kacukan siam-melayu itu buat pertama kalinya ketika dipayungi si cantik dari hujan! Tangan tidak bertepuk sebelah rupanya. Cintanya disambut. Cinta yang disangka mulus dan akan berakhir dengan bahagia bersama Qamalia terpanah ditengah jalan kala dia dikhabarkan permintaan nenek tersayang. Aduhai mana bisa berpisah dengan si belahan jiwa lalu menerima perempuan lain yang entah siapa-siapa untuk menduduki singgahsana sebagai permaisuri. Tidak mungkin! namun akhirnya situasi nenek yang tenat menbuatkan Raimy akur. Perkahwinan tidak langsung dihargai, tiada nilai dimata, ijabkabul yang dilafazkan bagaikan tidak ikhlas lalu tega dia menyiksa jiwa insan lain yang tidak berdosa! insan yang ikhlas menerima dirinya atas dasar tanggungjawab seorang anak. Kata orang Tuhan itu maha kaya. Maha segala-galanya. Musibah yang melanda menyedarkan diri, membuka mata yang selama ini buta. Namun masih sudikah hati yang sudah parah terluka menerima dia yang tidak sedar diri ini!

Plot cerita yang hampir 90 peratus mengaplikasikan jajaran kronologi ini walau tidak sukar diduga kesudahannya namun yang istimewanya naskhah sulung penulis ini adalah ia dapat lari dari nilai klise kisah "kahwin paksa" yang berlambak dan sering melekat dalam kepala pembaca novel tempatan tiap kali tema ini dibicarakan. Penulis mencorakkan BH dari dimensi yang cukup berbeza didalam mengolah tema kahwin paksa ini tanpa sedikitpun terpengaruh dengan kisah-kisah yang sedia ada sebelum ini.

Perwatakan BH dimonopoli Raimy Haidar @ Rain selaku tunjang utama dengan cukup cemerlang. Raimy sang akauntan di Power Tech, awal 30an, masih solo, kacak, anak tunggal yang cukup menghormati kedua ibubapa dipotretkan dengan baik sekali oleh penulis. Emosinya sebagai lelaki dilayarkan penulis dengan sebaiknya. Gerak geri dan ekpresi wajah yang mencerminkan kepelbagaian perasaan hati seorang lelaki diterjemahkan ke naskhah dengan cukup baik sekali oleh penulis. Sufi Sofea cemerlang ditangani penulis. Watak Sufi dizahirkan, diterjemahkan dan dihidupkan ke dalam naskhah dengan penuh rasional seorang perempuan. Identiti Sufi misteri yang selama ini bijak disembunyikannya disingkap satu persatu melalui catatan diari ungu kala dibaca Raimy dipersembahkan dengan cukup melankolik sekali. Gabungan dua watak utama yang bagaikan teka silangkata ini ternyata cukup menjadi. Apa yang dicari-cari mereka berdua rupanya ada didepan mata. Qamalia dan Rafique pelengkap yang mewarnai BH. Begitu juga watak sampingan lain; papa dan mama Rain, umi dan babah Sufi turut cemerlang dibangunkan watak-watak mereka oleh penulis didalam memperkukuhkan perjalanan cerita ini.

Saya gemarkan gaya bahasa yang diaplikasikan penulis didalam naskhah ini. Selamba sahaja! Dialog dan monolognya cukup santai namun tangkas menangkap pandangan dan pendengaran.

Buat penulis, sekalung tahniah atas garapan sulung anda yang cukup hebat dan menyentuh jiwa ini. Saya sukakan idea anda yang segar, lain dari yang lain. Moga terus menciptakan idea-idea segar dan berlainan untuk naskhah-naskhah anda yang akan datang.