Nama Buku : Contengan Jalanan
Penulis : Hlovate
Harga : RM21.00
Penerbit : Jemari Seni Sdn Bhd
Cetakan Pertama : 2011
Editor : Mariah Mustapha
Genre : Pembangunan Spiritual
Bintang : 5
------------------------------------------------
Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?... (Fussilat 41:53)
* * * * * * *
Kata Kucc:
Agak lama juga tidak mengasah jari nan sepuluh ini menulis resensi. Ayat klise paling selamat jika ditanya pastinya mood hilang...hehehe. Bukan tidak mahu lagi melakukannya. Paling nyata belum berjumpa naskhah yang benar-benar membuatkan saya mahu menulis sesuatu tentangnya di sini untuk tatapan pembaca. Kebelakangan ini saya jadi sangat selektif. Saya masih rajin membaca tetapi tidak akan menulis semua yang saya baca disini jika saya rasakan tiada yang istimewa tentangnya untuk dikongsi di sini. Contengan Jalanan membuka kembali langkah saya ke medan ini untuk melakar sedikit tentangnya. Ada sesuatu tentang naskhah ini yang dipersembahkan secara agak unik berbanding pesaingnya di pasaran. Ada sesuatu yang istimewa tentangnya yang begitu menyentuh jiwa saya. Naskhah terbaharu penulis ini secara am memang sedikit berat berbanding karya-karyanya yang terdahulu dan kerana itu juga pengisian lebih istimewa berbanding yang terdahulu.
HIDAYAH adalah salah satu hikmah yang diberikan kepada hamba-Nya oleh sang pencipta sebagai satu cara untuk seseorang itu mencari jalan yang benar di sisi Islam sekali gus selamat di dunia dan akhirat. Itu matlamat kita semua. Walaupun ada kalangan hamba-Nya yang terpilih diberikan hidayah sebagai satu anugerah, namun ia sebenarnya perlu dicari oleh seseorang menerusi usaha. Ini kerana, hidayah sebenarnya satu pemberian Allah kepada manusia yang diberi dalam pelbagai bentuk. Inilah mesej yang diangkat penulis didalam naskhah terbaharu beliau ini untuk dikongsi kepada pembaca.
Contengan Jalanan(CJ) adalah naskhah kembara para pencari Tuhan. Sebuah travelog dua anak muda; Fend dan K² (baca: K-Square) yang ditiupkan cahaya hidayah dan dibukakan hati yang selama ini kabur mengenal yang Khaliq. Hati yang selama ini bagai tidak merasakan ada kekurangan didalam hidup yang perlu dilengkapkan lagi. Hati muda yang ghairah memburu cita-cita dan kecintaan yang melampau pada dunia seni masing-masing. Lalu saat nur itu ditiupkan didalam diri dan hati kedua-dua anak muda ini, perlahan-lahan persoalan tentang matlamat hidup yang sebenar-benarnya mula menghambat jiwa.
Plot perjalanan kedua-dua anak muda ini yang dibahagikan kepada dua segmen didalam naskhah ini digarap dengan kemas. Bermula di bumi Koala, plot pergerakan Fend mengembara dan bermusafir diheret Irsyad @ Chad; abang sepupunya yang begitu akrab sejak kecil untuk mengenal Dia dijalin indah lalu kita selaku pembaca bagai turut merasakan seolah-olah berada di sana. Sebuah titipan'The man that decided to change on the twelfth hour dies on the eleventh' yang dihulur seorang gadis; Lia @ Amalia yang baharu dikenali sebelum berangkat ke Australia benar-benar membuatkan Fend berfikir kembali tentang kehidupannya yang dilalui selama ini. Segala atur langkahnya selama ini berputar di minda menyebabkan dia diasak dengan pelbagai persoalan. Persoalan demi persoalan yang gagal ditemuikan jawapannya itu akhir terlerai dan paling bermakna ia terungkai di bulan penyucian bagi seluruh umat. Bertemu dan berkenalan dengan Tok 'Abdul Qadir, anaknya Imam Zakariyya, Brother Ade, Bapak Tono juga Akmal pelajar Malaysia di University of New South Wales benar-benar telah membuka mata anak muda ini akan makna sebenar hidup, selain mendekatkannya pada DIA yang satu. Dia benar-benar disucikan dari seorang Fend the Fendy Fender menjadi Affendy yang baharu.
Plot kembara Fend dan K² di tanah yang sama diteruskan menyusuri lorong sama yang pernah dilalui ketika bersama Chad. Ia digarap teliti dan kemas hasil sunting mantap sebagaimana perjalanan yang sebelumnya. Indah dan cukup mendamaikan. Itu yang saya rasakan. Begitu juga garapan ketika kembara K² di Tanah Jawa. Perjalanan sinematografinya yang digambarkan cukup memukau biar cuma dilakar di helai kertas putih. Berbekalkan sketchbook hitam pemberian Fend sebagai peneman yang diusung ke hulu hilir, anak muda ini bermusafir ke Tanah Jawa mencari diri dengan didampingi seorang anak muda kristian; Indra Sulaksana yang secara tidak sengaja dikenali ketika di sana. Perjalanannya mencari diri yang gagal ditemui di bumi Koala akhirnya terjawap di Tanah Jawa. Hidayah itu akhirnya bernoktah juga. Ditemukan Dia di sana.
Perwatakan adalah nadi sesebuah naskhah. Berjaya atau gagal sesebuah naskhah banyak digerakkan oleh faktor ini. CJ hebat membawa pembaca mengenali figura dua anak muda yang berdiri atas keistimewaan tersendiri. Perwatakan jelas memfokus kepada dua teraju utama ini yang menguasai segmen masing-masing didalam naskhah ini. Affendy @ Fend atau Fendy, anak kelahiran Kuala Perlis. Tidak banyak cakap biarpun adakala bila dia membuka mulut akan membuatkan teman rapat dikeliling bisa terkedu. Digambarkan sebagai pelajar jurusan fotografi juga jurugambar bebas di LimKokWing. Anak muda yang begitu cintakan fotografi dan muzik kerana didalam hidupnya perkara yang maha penting adalah kamera, gitar, Dell, HTC juga iPod. Bukannya yang lain! Watak Fend dibina dengan cool sekali! Sikap tidak banyak cakapnya menarik membuatkan kita mahu terus mengenali jejaka ini. Tika profil dirinya berubah menjadi Affendy yang baru, dia benar-benar telah memukau mata!
Perwatakan K² @ K-Square @ Ku Kamaruzzaman, sahabat Fend sedikit berlainan namun tetap menarik. Saya sukakan potret watak anak muda ini. Dia unik dan berada pada kelasnya yang tersendiri. Diri dan hatinya tidak selembut Fend. Dia ada aura tersendiri yang dibawa menerusi pemotretan wataknya yang dipena penulis. Pelajar Creative Studies ini hidup berkiblatkan seni. Jaguh alat muzik bertali. Sebutkan apa sahaja, dia bisa memainkannya dengan baik sekali. Memegang prinsip "there's no such thing as 'wrong' in arts" membuatkan dia dikenali sebagai lelaki 'gila' di kalangan teman-temannya.
Watak pembantu yang didukungi Chad paling istimewa di mata. Chad menyerlah berbanding watak pembantu yang lain. Dia jambatan yang membawa Affendy dan Ku Kamaruzzaman mengenal Dia yang satu dalam erti kata yang sebenarnya. Saya sukakan cara penulis menggarap keakraban Fend dan Chad. Saya sukakan garapan penulis tentang kemanjaan Fend pada Chad..manis! Pemergian Chad begitu menyentuh hati. Terpaku dan membuatkan saya terhenti membaca naskhah ini sebelum kembali menelaah hingga ke noktah terakhir. Kematian tragis Chad sememangnya menyedihkan sehingga kita sebagai pembaca boleh merasakan kesedihan yang bergalang di hati Fend juga K².
Gaya bahasa penulis cukup dimaklumkan. Lenggoknya tersendiri dan berdiri pada darjahnya yang tersendiri. Meskipun tiada bahasa sastera yang melankolik dan dihiasi personifikasi yang pelbagai, bahasa penulis yang tulus cukup menyentuh jiwa. Tinggalan mutiara kata pada baris akhir setiap bab sangat unik namun cukup bermakna untuk pembaca bermuhasabah diri.CJ menukilkan kisah dan kembara dua anak muda; Fend dan K-Square mencari diri..mencari Dia yang satu. Mereka dua sahabat yang membesar bersama sejak kecil lalu menimba ilmu di tempat yang sama namun di bidang yang berlainan. Bersama tiga teman yang lain; Pa'an, Azad dan Erdi yang juga pelajar Limkokwing mereka bergabung atas nama seni. Fend adalah pelajar fotografi manakala K-Square dan Pa'an adalah pelajar jurusan Creative Studies, Azad dibidang Architecture dan Erdi di jurusan Graphic Design & Ilustration. Biarpun latar jurusan mereka berbeza namun segalanya disatukan oleh muzik sebuah Creepy Hues. Segalanya seperti biasa hinggalah kepulangan Fend yang mengembara ke bumi Australia bersama abang sepupunya Chad. Fend mengantung Fender dan mengundur diri dari Creepy Hues. Sesuatu yang membuatkan K-Square menjadi pelik dengan perubahan mendadak Fend. Tidak pasti punca perubahan sahabat baiknya itu samada kerana kematian Chad atau sebab lain, pelawaan Fend untuk kembali ke bumi Koala dituruti demi mencari jawapan perubahan Fend. Melihat segala-galanya yang pernah dilalui Fend bersama Chad gagal membuka hati K-Square. Dia bukan seperti Fend. Hatinya tidak selembut Fend namun perubahan Fend membuatkan dia cuba mencari jawapannya di tempat lain. Dan dengan izin-Nya ditemui juga akhirnya. Dan di tanah Jawa nan bertuah itu ditemui juga dirinya yang baharu.
CJ membawa saya juga pembaca mengenal dengan lebih dekat apa itu muzik berat;heavy rock. Membawa saya dan pembaca menyusuri kehidupan anak-anak muda kreatif dan berjiwa seni. Sesuatu yang baru namun cukup menarik. Namun yang lebih bermakna adalah pengisian yang dibawa penulis didalam naskhah unik ini menerusi watak dan kembara Fend dan K-Square.
"Dan Dialah yang menjadikan bintang-bintang bagimu, agar kamu menjadikannya petunjuk dalam kegelapan di darat dan di laut, sesungguhnya Kami telah menjelaskan tanda-tanda kebesaran kepada orang-orang yang mengetahui." - [ surah al-An’am ;6:97]
Selamat menghayati sebuah karya yang begitu indah dan cukup memberi makna kepada kita insan bergelar manusia di bumi-Nya yang sementara ini.
No comments:
Post a Comment