Tuesday, November 22, 2011
NuanSa KoTa MeRah...
Nama Buku : Nuansa Kota Merah
Penulis : Khairyn Othman
Penerbit : Jemari Seni Sdn Bhd
Editor : Mohd Rohaizat
Harga : RM20.00
Cetakan Pertama : 2011
Genre : Historical Fiction
Bintang : 5
---------------------------------------------------------------
"Cinta apakah ini yang terlalu agung sehingga masing-masing sanggup kehilangan orang yang paling dicintai? Bukankah cinta itu untuk dipertahankan? Bukankah cinta itu seperti Hikayat dongengan, and they lived happily ever after? Hidup penuh bahagia hingga ke akhir hayat?Itulah cinta sejati. Cinta kerana Tuhannya..."
Kata Kucc:
Usai menamatkan naskhah berwarna merah bata ini, sukar mengambarkan perasaan. Bercampur-baur semua. Keinsafan paling banyak menguasai suasana. Betapa teruknya akidah golongan muda sekarang. Terhumban jauh dari landasan hidup. Itu realiti semasa, bukan sekadar cerita yang ditulis berdasarkan khayalan penulis.
Seperti kata penulis "sejarah itu cerita dari mulut ke mulut,Tuhan jugalah yang tahu segalanya." Inilah yang cuba digarap beliau dalam naskhah yang membawa pembaca merentasi dimensi masa yang berbeza didalam membentangkan susur galur sejarah kehebatan islam. Ratusan tahun dahulu di benua Eropah tercatat sejarah kegemilangan islam lalu ditumbangkan oleh kealpaan dan pengkhianatan segolongan manusia yang rakus dan tamak hingga tega menggadai agama, bangsa hatta negara. Penulis menyusuri jejak-jejak gemilang para pejuang silam yang syahid demi mempertahankan islam. Para pejuang yang lebih rela mati di medan perang demi rasa cinta pada agama dan tanahair. Naskhah ini memetakan perjuangan sebagai paksi tema. Perjuangan watak-watak yang digarap penulis. Perjuangan yang ternoktah di titik yang satu...atas nama agama yang suci...islam.
Pengenalan NKM menemukan pembaca pada Dina; seorang gadis muda yang sudah tersasar jauh dari kiblat diri sebagai muslim yang memayungi diri sejak lahir. Kematian nenek tersayang adalah titik tolak pada cetusan kesedaran Dina yang hadir menerusi kekerapan mimpi didatangi sepasangan suami-isteri yang jelas dari zaman silam. Dan mimpi itu mengheret Dina ke sebuah daerah yang beribu batu dari tanah kelahirannya. Sepanyol dijejaki Dina atas tiket mahu bercuti dan di daerah Granada menjadi saksi terungkai sebuah sejarah. Sejarah sebuah keluarga. Dina adalah subjek penceritaan, Dina adalah juga kunci untuk merungkai kisah silam yang penuh palitan kisah pahit manis dan Aaron adalah pencetusnya. Penulis ternyata bijak mengolah naratif berpaksikan sejarah kegemilangan tamadun islam di Eropah sebagai platform untuk menarik pembaca setia bersama mengikuti perjalanan kisah menarik ini hingga ke noktah terakhir.
Shuaib dan Salma pula adalah lambang kewajaan semangat pasangan anak muda yang tidak goyah iman dengan apa jua halangan dan rintangan musuh. Syahid kerana islam itulah matlamat mereka. Jika dilihat hampir 90% NKM dikuasai kisah Shuaib dan Salma. Kisah mereka yang penuh manis yang terkawal. Perjuangan mereka membakar semangat, pengorbanan mereka meruntun jiwa. Aaron, Dina, Shuaib dan Salma adalah watak-watak yang mewakili dua dimensi berbeza. Pertembungan dua zaman, dua peradaban, dua generasi, dua benua yang ditemukan demi sebuah perjuangan yang belum selesai. Sebuah susur galur salasilah keluarga yang tersimpan kemas terbongkar. Penghijrahan Dina adalah konklusi terindah. Penamat paling manis. Pertemuan dua jiwa di tanah penuh barakah paling bermakna. Dua jiwa, dua hati terikat menjadi satu...atas nama cinta. Cinta pada-Nya.
Lenggok bahasa penulis memikat. Mudah sampai maksudnya ke jiwa pembaca. Ada sedikit kesilapan suntingan di beberapa mukasurat (204 & 465). Sarah yang muncul saya rasa merujuk pada Salma. Perkara ini sedikit sebanyak mengganggu sedikit konsentrasi bacaan. Jika benar ia kesilapan, semoga akan diperbetulkan di cetakan seterusnya. Tiada yang boleh dikomentar tentang pembentukan plot. Tersusun kemas plotnya biarpun pertukaran latar naratif berlaku. Keperincian fakta, ketelitian maklumat yang disampaikan dalam proses penceritaan mencerminkan ketelitian dan pengalaman luas penulis sendiri tentang subjek yang dipilih. Sekalung Tahniah buat Khairyn untuk sebuah Nuansa Kota Merah yang begitu menyala semangatnya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment