Blogger Templates

Monday, July 13, 2009

SaYangku AiNi SoFea...


TAJUK: SAYANGKU AINI SOFEA
PENULIS : NORHISHAM MUSTAFFA
PENERBIT : CESB
CETAKAN PERTAMA : 1998
HARGA : RM5.90
GENRE : DRAMA
BINTANG : 4



---------------------------------------------------------

“…Aku bagai pelancong asing. Datang tatkala kau sudah bukan milikku...”

Resensi Si Ungu:

Ini merupakan buku ketiga garapan penulis ini yang singgah di rak saya. Saya jadi sangat teruja untuk membaca karya penulis hebat kelahiran negeri cik siti wan kembang ini selepas pertama kali diperkenalkan dengan hasil tulisannya yang cukup indah. Dan seperti yang pertama dan kedua, karya yang ketiga ini juga ternyata telah menjerumuskan perasaan sayu saya pada sebuah kisah dua insan yang sangat tragis dipotretkan penulis. Memang penulis ini begitu sinonim dengan pengakhiran cerita yang begitu menyentuh jiwa pembaca.

Saya lebih cenderung menjuruskan tema cerita yang diketengahkan penulis kreatif ini tentang sikap tidak menepati janji . Janji tidak boleh dibuat mainan. Bila janji dilupa, bila janji dimungkiri, pasti buruk akibatnya. Natijah dari sikap tidak bertanggungjawab itu, maka pasti ada jiwa yang merana, ada jiwa yang menjadi korban. Hanya kerana merasakan jiwa remaja tentu tidak tetap dalam membuat keputusan…tanpa bertanya, tanpa menyelidik keputusan yang dibuat bagi pihak selalunya akan menyaksikan sebuah tragedi berlaku. Inilah yang dipaparkan penulis lewat naskhah yang cukup simbolik ini.

Sayangku Aini Sofea (SAS) membawa kita menyusuri tentang kisah seorang remaja, Syahrul Nizam berdarah kacukan melayu-amerika yang dilahir dan dibesarkan di Amerika. Kedatangannya yang tidak dimaklumkan mencipta kekalutan tatkala singgah di konglomerat peninggalan arwah ayahnya; Ahmad Sulaihi yang diuruskan Datuk Baharum. Penampilannya yang tidak langsung menampak ciri-ciri “kemewahan” seorang jutawan juga pewaris empayar perniagaan peninggalan arwah ayahnya itu telah disalahertikan oleh setiausaha Datuk Baharum lantas layanan buruk yang diterima cukup menjengkelkan sekali. Dibiarkan menunggu tanpa rasa kasihan, dia akur lantas meninggalkan bangunan tersebut dengan sebuah noktah yang cukup sinis yang membuat seisi pejabat terutama Datuk Baharum terpana!. Langkah diatur ke rumah Datuk Baharum, sayang sekali demikian juga layanan diterima dari anak dan orang gaji di rumah itu lantaran dirinya tidak dikenali. Tanpa sempat berjumpa, perjalanan diteruskan ke Tanjung Bidara. Di sanalah destinasi utamanya kala menjejakkan kaki ke tanah Melayu. Dia yang datang ke Malaysia dengan satu tujuan….menemui si belahan jiwa Aini Sofea dan melunaskan janji dan impian mereka berdua yang termetri ketika kunjungan Aini Sofea dan neneknya Alang Sibah ke Amerika. Namun sayang…hanya dia seorang yang berpegang utuh pada janji yang telah dibuat bersaksikan bonda tercinta, di pihak Aini…Alang Sibah tergamak memungkirinya, Aini Sofea bakal dinikahkan dengan jejaka pilihan Alang Sibah tanpa kerelaan Aini!

Perwatakan dalam SAS cukup kuat dan selari dengan watak yang dipotretkan. Ternyata penulis ini cukup arif dalam kerja-kerja pemotretan watak-watak ciptaannya dalam naskhah ini. Syahrul Nizam menguasai keseluruhan ruang naratif ini. Menerusi penceritaan Datuk Baharum pembaca diperjelaskan dengan lebih mendalam sejarah keluarga Syahrul Nizam khasnya arwah ayahnya juga ibunya dan bagaimana arwah ayahnya membina empayar perniagaan yang kininya diwarisi oleh anak muda ini. Perwatakan Aini Sofea hanya menonjol pada ¾ perjalanan cerita biarpun di peringkat awal ada kemunculannya bersama Syahrul Nizam ketika dia di Amerika menemani neneknya yang menjalani rawatan jantung.

Penggunaan lenggok bahasa dalam naskhah ini sangat indah..penuh personifikasi, melankoliknya cukup rencah namun tidak memualkan. Penulis ini ternyata memanipulasi kepakarannya melarik bahasa dengan begitu cemerlang sekali…saya jadi jatuh hati dengan laras bahasa yang diguna beliau. Biarpun naskhah ini begitu nipis namun ternyata isinya cukup mantap.

Plot cerita dibina dengan cukup kronologi dengan sedikit sisipan teknik imbasan kembali. Keindahan plot yang dicipta banyak membantu pergerakan cerita yang disampaikan penulis dalam merealisasikan mesejnya kepada pembaca. Biarpun agak terlewat buat saya menghayati buah tangan anda yang cantik ini namun ia sedikit tidak akan menjejaskan kekaguman saya pada anda.


Buat pembaca, buat pencinta novel tanahair sesungguhnya banyak yang dapat dikutip, direnung dan difikirkan dalam naskhah kecil tapi padat dan mampat isinya ini. Bagi anda yang ingin menatap sebuah lagi kisah perjalanan kasih sayang yang sangat istimewa, maka jangan sesekali terlepas membaca naskhah yang cukup istimewa nukilan penulis hebat ini.

No comments:

Post a Comment