Tajuk Buku : 143
Penulis : Pingu Toha
Penerbit : Jemari Seni Publishing
Harga : RM20.00
Cetakan Pertama : 2010
Genre: Novel Remaja
Bintang : 4.5
----------------------------------------------------
i – Cerita Cinta Biasa (selepas 1 tahun...)
" Love ia a losing game..."
Kesinambungan hubungan Uth Huzair dan Lana Anggrainy yang menjadi nadi kisah didalam naskhah LUVE diusaikan penulis muda ini disini. Saya kira manifestasi Uth terhadap cinta mungkin mencetuskan bara pada pembaca. Saya tidak terkecuali. Menyusuri bahagian (i ) ini pembaca dihambat gelodak rasa yang pelbagai; saya kira begitulah kerana saya juga merasainya. Geram, marah, menyampah, meluat saling bertingkah. Teka-teki tentang rahsia hati Uth tidak terkecuali. Saya kira penulis hebat mempermainkan emosi pembaca disini. Jelas kematangan penulis didalam garapannya kali ini sangat cemerlang.
Penulis memanipulasi watak Uth dengan baik sekali. Kita terdorong amarah dengan lembabnya Uth didalam menzahirkan rasa itu secara terus menerus pada si cantik belahan jiwanya; Lana namun penulis saya kira cuba memotretkan seorang Uth dari kacamata seorang lelaki..Uth bukanlah pasif , bukan juga mamat spesies lembab. Dia bukan tidak romantik. Dia sebenarnya jika dilihat dari dimensi yang lebih halus adalah seorang pencinta yang cukup istimewa. Dan kelebihan itu hanya Lana yang tahu. Perwatakan Lana hebat ditangani penulis. Cetusan rasa di jiwa Lana berjaya dizahirkan penulis sebaiknya. Gelodak hati Lana, perasaan Lana pada Haikal, cinta yang tersimpan utuh di hati buat Uth digabungkan dan dipancarkan dengan baik sekali oleh penulis muda ini. Pemotretan watak Haikal tidak terkecuali cantik ditangani penulis. Haikal saya kira lelaki yang tidak kurang hebatnya. Lelaki yang amat memahami kecelaruan jiwa Lana. Lelaki sejati yang mempertahankan cintanya pada Lana hingga ke akhir denyut nadinya. Simpati pembaca pasti tumpah padanya.
Tema cinta selayaknya diberikan pada kisah ini. Penulis membawa pembaca meneroka dimensi cinta dari sudut yang lebih tersirat.Melankoliknya kisah cinta Uth-Lana tersurat pada persepsi pembaca...tepuk dada, tanya hati! Gaya bahasa yang santai dan mudah sangat bersesuaian dengan corak persembahan naratif yang bergenre sebegini.
Plot kronologi menggerakkan naratif ini dengan cemerlang. Tiada sisi yang kelam untuk memperkatakan tentang faktor suntingan di sini. Penulis membawa pembaca menjelajahi CCB dengan gaya dan pesonanya yang tersendiri. Cerita cinta setiap orang pasti berbeza lenggoknya. Biasa atau luar biasa, hanya yang mengalami sahaja yang bisa menjawabnya. Inilah mesej yang cuba dihantar penulis untuk sama-sama direnung pembaca.
ii – Exs (setahun dahulu...4 bulan darinya)
‘rasa itu jangan diacah-acah, dibuat main-main...'
Rasa itu cinta. Rasa itu luahan perasaan. Di platform rasa inilah Ahmad Mukhri a.k.a Keri membawa hati yang lara jauh nun ke London kesan kecewa dengan Lana. Siapa menduga tapi takdir-Nya memang manis. Di awan biru, Keri dan Nurul Elina si dua Exs ini dipertemukan. Dua hati mereka yang lara bagai saling menjumpai medan magnetnya. Saling tertarik .Saling menarik. Keri paling pantas lalu terzahirlah di awan biru lafaz ‘can i fall in love with you?‘ Romantik bukan?... cuma Elina belum mahu menoktahkan pengakuannya. Keri dibiar menanti...aduhai, seksanya hero nan satu ini!
Keri ternyata sangat hebat dan mempersonakan para pembaca dengan personaliti dirinya di sini. Perwatakan romeonya sudah terhapus dan peralihan diri Keri yang baru cemerlang dilayarkan penulis. Kematangan diri Keri begitu mengujakan. Potret watak hero ini saya kira dilestarikan seindahnya oleh penulis. Semangat, aura juga keperibadian Keri sebagai lelaki sangat memikat! Perwatakan Nurul Elina, si sleeping beauty merah jambu ini terserlah dengan sifat wanita yang terusik dengan rasa itu!Ternyata penulis bijak menyelami rasa seorang Elina dengan baik sekali. Sofia, Dayang dan Teja sangat comel..umi Keri tidak kurang memikat perwatakannya. Sandaran watak-watak pembantu berkenaan begitu mewarnai kisah sang Exs berdua ini.
Redhalah pada tiap kegagalan kerana siapa tahu ia adalah laluan untuk sebuah kebahagiaan yang lestari suatu hari nanti. Intipati inilah saya kira cuba dicorakkan penulis untuk dikongsi bersama pembaca. Tema cinta pada naratif ini diangkat dengan sangat indah. Cinta kata orang perlukan pengorbanan. Lalu sanggupkah anda jika dituntut sedemikian. Bukan calang-calang taruhannya..sekali lagi, tepuk dada tanyalah hati. Keri sudah membuktikannya.
Plot terbentuk dengan jajaran kronologi yang menjalin sebuah persembahan indah antara tautan dua hati yang sangat dekat berbicara biar jasad terpisah beribu batu!Alunan plot yang baik digarap dibantu suntingan yang cemerlang banyak memainkan peranan penting kearah keberkesanan perjalanan kisah cinta nan tulus ini. Gaya bahasa yang bercampur antara santai dan estetik digabung dengan baik sekali oleh penulis berbakat besar ini.
iii – Merah Biru Violet (tiga tahun ke masa hadapan...)
‘umur sekadar angka yang tarlalu relatif untuk menimbang perasaan..'
Si scary girl didalam LUVE sudah dewasa di sini. Sudah tamat pengajian. Sudah bergelar penolong pengurus di cafe Marooned. Di sini penulis mencoret manifetasi seorang Violet Bustamam mencari sebuah bahagia. Dalaman diri Violet sentiasa berbicara. Ross tak mungkin kembali. Uth sudah sah-sah milik Lana. Lalu kemunculan Bucks bukan sekadar satu persinggahan di sini. Dia itu destinasimu, Violet. Tapi...dia muda, sangat-sangat muda untukku. Jadi?, adakah itu masalah rumit yang maha besar buatmu...umur itu kan cuma sebuah angka! Inilah mesej yang saya kira sangat dekat dizahirkan penulis pada pembaca untuk sama-sama difikir-fikirkan.
Di medan kisah ini, si comel Violet dipertemukan dengan si pemilik Burgerbucks; Ali Bakhtiar a.k.a Bucks yang meminati juga menaruh hati pada Vee secara diam-diam. Rasa tidak suka yang sengaja ditanam sejak mula demi sebuah penolakan halus rasa itu dari hatinya ternyata gagal. Semakin ditolak, semakin ia dekat ia hadir..semakin dihindari semakin kerap ia muncul.
Vee dipotretkan sangat selamba disini namun selamba Vee sangat indah ditangan penulis. Setiap tingkah, gerak, peri laku juga tutur kata Vee adalah lambang provokasi zahir yang ternyata gagal dilaksanakan Vee. Yang tersirat dihati adalah sebaliknya. Bucks juga selamba dipotretkan penulis. Bucks lelaki yang bijak menangani perasaan dengan caranya yang tersendiri. Satu padanan watak yang sangat comel antara kedua-duanya. Watak Rose Mawar begitu memainkan peranan pada pertautan antara Vee dan Bucks. Saya kira watak Rose begitu memainkan peranan pada kejayaan naratif ini.
Laras bahasa naratif ini juga mengaplikasikan konsep lenggok bahasa yang santai dan mudah bersesuaian dengan konsep dan jalan cerita. Plot terbentuk dengan jajaran linear yang membentuk sebuah jalinan persembahan cerita yang sangat menarik. Suntingannya saya kira terpelihara dengan baik sekali.
Cinta adalah anugerah kurnia dari-Nya, sebuah rasa yang indah untuk dinikmati dalam hidup lalu manafaatkanlah ia sebaik-baiknya demi sebuah bahagia yang diredhai disisinya.Buat penulis muda dan berbakat besar ini, tahniah atas sebuah sekuel yang sangat indah, sangat matang dan penuh makna tersirat. Sebuah happy ending yang dilestarikan dengan cantik sekali. Semoga akan terus cemerlang berkarya di masa hadapan.