Blogger Templates

Tuesday, February 16, 2010

SepupuKu SuaMiku...



Tajuk Buku : Sepupuku Suamiku
Penulis : Lynn Allyna
Penerbit :Kaki Novel Enterprise
Harga : RM19.00
Cetakan Pertama : 2010
Genre : Romantik & Kekeluargaan
Bintang : 3


----------------------------------------------------

“Kehidupan ini seumpama bunga, maka cinta adalah madunya…”

Resensi Si Ungu;

Sepupuku Suamiku (SS) adalah nukilan penulis baru; Lynn Allyna yang pertama kali saya tatap karyanya. Karya yang bermula dengan format e-novel dan kemudiannya diversicetakkan ini memaparkan transformasi kehidupan juga suka duka seorang gadis muda; Nana yang bergelar isteri kepada sepupunya sendiri yakni doktor Hisham. Laluan pahit manis yang ditempuhi Nana selaku pendukung utama naratif disepanjang tempoh perkahwinan hingga ke kemuncak ikatan perkahwinan itu menjadi medan penulis melakar sebuah jalan cerita yang saya kira agak baik persembahannya dari seorang penulis baru.

Kisah ini merungkai tema cinta dan kasih sayang yang lebih menjurus pada cinta antara suami isteri. Kekuatan cinta mereka itu teruji tatkala rumahtangga mereka yang masih hijau itu dilanda badai yang yang membawa pada terlerainya ikatan itu. Dan kuasa cinta dan kasih sayang itu jugalah membawa mereka kembali bersatu semula. Sub tema juga merungkai hubungan kasih sayang antara ahli keluarga dan kalangan teman akrab. Talian hubungan antara kesemua individu ini kemudiannya digarap dan dijalin penulis didalam memaparkan hubungkait dan kekuatan nilai hubungan tersebut didalam kehidupan manusia. Inilah mesej yang saya kira cuba disampaikan penulis untuk sama-sama direnungkan oleh khalayak pembaca.

Naratif ini hampir sepenuhnya kronologi dan penulis ada menyisipkan flashback didalam membantu pembaca lebih mudah mengikuti penceritaannya ini. Plot cerita agak baik dipersembahkan penulis biarpun adakalanya ada bahagian penceritaan yang saya rasakan tidak penting sewajarnya boleh diabaikan penulis. Penceritaan yang sedikit meleret akan membosankan pembaca kerana perlu diingat fokus cerita yang terarah adalah kunci kepada sebuah persembahan naratif yang baik.

SS memaparkan rentetan perjalanan hidup Nana @ Diana Syakira yang menjadi pengantin gantian pada abang sepupunya; Hisyam disebabkan tunangan Hisyam memutuskan ikatan mereka disaat-saat akhir. Demi mengelakkan malu keluarga, jasa Nana amat diharapkan oleh mak longnya yang juga ibu Hisyam. Nana yang sememangnya sudah lama menyintai Hisyam dalam diam menerima perkahwinan itu dengan rela hati biarpun sedikit khuatir akan penerimaan Hisyam terhadap dirinya. Nana beruntung kerana Hisyam belajar untuk menerima dan menyintai dirinya sebagai isteri biarpun sebelum ini menganggap Nana seperti adiknya sendiri dan keikhlasan mereka berdua didalam perkahwinan ini ditambah dengan restu kedua ibubapa membawa sinar bahagia didalam perkahwinan mereka. Kata orang tiada rumahtangga yang tidak diduga, begitu juga pasangan muda ini. Kemunculan kembali bekas tunangan Hisyam; Hani Marina yang mahu menjalin semula ikatan mereka begitu mengkucar-kacirkan perasaan Hisyam. Penolakan Hisyam menimbulkan sakit hati Hani lalu Nana yang begitu lembut dan rapuh dijadikan sasaran untuk perlaksanaan misinya merebut kembali Hisyam.

Perwatakan Nana yang diangkat sebagai tunjang cerita dipersembahkan sebaiknya oleh penulis ini. Nana dipotretkan sebagai gadis yang baik, anak manja, wanita dan isteri yang cukup sempurna bagi seorang lelaki. Sebagai wanita yang agak muda tatkala bergelar isteri, emosinya yang agak goyah tatkala rumahtangganya diuji dipamerkan sebaiknya oleh penulis dan kegopohan Nana tatkala mengambil keputusan tanpa mahu mempertahankan rumahtangganya adalah jawapan pada kelemahan sifat dirinya yang satu itu. Pengorbanannya saya kira sedikit lemah bertunjangkan alasan yang tidak kukuh. Hisyam bagi saya watak yang cukup stabil digarap penulis bersesuaian dengan latar diri dan kematangannya sebagai lelaki. Watak antagonis Hani Marina sedikit kucar-kacir dan tidak diolah dengan sekemasnya bagi menimbulkan darjah kebencian yang ketara pembaca padanya. Begitu juga watak Johan yang saya fikir tiada langsung sumbangannya didalam memberi makna didalam naratif ini.

Buat guru muda ini, tahniah untuk persembahan sulung anda ini. Semoga akan terus berusaha gigih mempertingkatkan mutu penulisan anda untuk karya-karya akan datang kerana saya kira anda cukup berbakat didalam melontar idea. Teruskan usaha anda untuk sama-sama menyemarakkan lagi dunia penulisan kreatif tanahair.

No comments:

Post a Comment