Blogger Templates

Sunday, November 23, 2008

KaLa HuJan MeNiTis


TAJUK BUKU : KALA HUJAN MENITIS
PENULIS : MIA KHAIDINA
PENERBIT : BUKU PRIMA SDN BHD
HARGA : RM17.90
CETAKAN PERTAMA : 2008
GENRE : DRAMA & ROMANTIK
* * * * * * *
“…love will leads the way if she really belong to you…”

“…sudah berapa lama kau berkurung dalam bilik?Sudah berapa lama kau hanya pergi kuliah dan terus berkurung dalam bilik. Sudah berapa lama kau tak jumpa kawan-kawan lain? Kau ni apa hal? Jiwang karat!. ”

“Cerita apa? Cerita awak gigolo belaan? Lelaki simpanan?...”
-------------------------------------------------------------------------------------------------------
RESENSI SI UNGU:
Kala Hujan Menitis (KHM) sebuah persembahan yang cukup baik dari penulis yang baru pertama kali saya tatapi karyanya. Menerusi ruang kacamatanya yang cukup hebat, beliau menurunkan pena mencoret sebuah kisah, sebuah tragedi yang sudah acapkali kita baca dan harungi ceritanya dalam masyarakat. Kisah hitam yang maha jijik namun tidak sekelumitpun memualkan para pengamalnya.

Tema sebegini bukanlah baru di mata para penggemar novel tempatan namun istimewanya KHM di tangan Mia Khaidina adalah cara persembahan keseluruhan cerita yang cukup menarik dengan kesan-kesan khas yang ternyata cukup merencahkan cerita ini hingga kita terbuai tanpa menyedari kita sudah sampai ke penghujung cerita.

Watak dan perwatakan seringkali menjadi kunci kehebatan sesebuah cerita. Jatuh bangun sebuah kisah banyak bergantung kepada keberkesanan mereka menerajui cerita. Nadia, Khairil, Ahmad Danial, Tan Sri Borhan & Puan Seri Aishah adalah penggerak utama KHM dan mereka sangat berjaya ditangani penulis. 5 wajah, 5 kisah yang berbeza tapi tersimpul antara satu sama lain…

Nadia a.k.a Nad – tunangan Khairil yg terperangkap dengan muslihat Ahmad Danial lantas terjebak dengan dunia pura-pura Ahmad Danial, menjadi pertukaran sebuah urusan perniagaan yang membawa dirinya bergelar isteri kedua Tan Sri Borhan…si tua kutuk yang layak bergelar bapa pada Nadia.

Khairil a.k.a Kay - tunangan Nadia yang kecewa dengan ikatan yang terputus, hilang arah, tersasar haluan hidup lantas terjebak dengan dunia gigolo dan mengikat diri menjadi lelaki simpanan seorang isteri kenamaan bergelar Puan Seri…Puan Seri Aishah/Aish, isteri pertama Tan Sri Borhan yang tiba-tiba jatuh hati padanya dan tega melakukan apa sahaja untuk memilki dirinya..milik yang mutlak.

Ahmad Danial – teman rapat Nad dan Kay yang tega mengkianati kawan..hanya kerna irihati…menjerumuskan Nad yang tidak bersalah, mempermainkan hati dan perasaan Nad yang ikhlas… akhirnya memakan diri sendiri.

Tan Sri Borhan – “pakcik” tua yang sudah biasa dengan maksiat…namun di tangan Nadia, akhirnya dia bergelar insan.

Puan Seri Aishah/ Aish – si tua 60an yang tidak pernah puas dengan kurnia yang ada, tidak ada istilah bersyukur dalam dirinya…namun terlupa Dia lah yang maha segala-galanya, bukan wang, bukan jua dukun Suparman.

Plot cerita berkembangan dengan cukup tersusun, segar biarpun tidak berkonsepkan kronologi. Saya sangat sukakan persembahan plot KHM ini. Ia dibina untuk mengujakan pembaca agar berada dalam situasi yang tidak sabar untuk mengetahui kisah seterusnya tanpa sedikitpun menjejaskan tumpuan pembacaan. Plot diteliti dengan sebaik mungkin dengan mengambil kira mood dan sensitiviti pembaca.

Dia yang maha ar-Ghafur, maha ar-Rahman dan ar-Rahim.. Justeru itu peluang kedua sentiasa ada dan terbuka pada setiap hamba-Nya yang insaf, bertaubat dan sungguh-sungguh ingin berubah. Inilah mesej yang terkandung di sebalik naskhah sang penulis berbakat ini. Setiap yang terjadi, setiap yang terbentang di depan mata, ada hikmah yang tersirat...maka bijaklah menbuat perhitungan, baik dan buruk bukan takdir tapi kita sendiri yang memilihnya.

Buat Mia Khaidina...anda cukup hebat, bagus sekali..tahniah diatas kecemerlangan anda melayarkan Kala Hujan Menitis dengan cukup berkesan sekali...semoga akan terus berjaya berkarya di masa hadapan.

Buat rakan pembaca di luar sana...ada banyak yang dapat anda kutip disepanjang kisah ini, memilikinya tidak akan sia-sia kerna ia cukup bagus dan berhak berada dikelompok karya-karya berstatus 4 Bintang anda yang lain.

Monday, November 17, 2008

SeLagi BinTanG MasiH di LanGiT


TAJUK BUKU : SELAGI BINTANG MASIH DI LANGIT
PENULIS : ZARYL AMZARI
PENERBIT : PTS PUBLICATIONS & DISTTRIBUTORS SDN BHD
HARGA : RM24.00
CETAKAN PERTAMA : 2008
GENRE : PERSAHABATAN & KEKELUARGAAN

* * * * * * *
“ Walau di mana kita berada, walau apa yang kita lakukan, kita masih di bumi Tuhan, masih menatap bintang yang sama. Saya umpamakan Belt of Orion adalah kita…Ingat, walau di mana kita berada, walau beribu batu jarak antara kita, selagi bintang itu masig berkelip, saya tak akan lupakan awak..”

“..manusia tidak pernah berubah melainkan dia hanya menerima perubahan. Masa juga tidak pernah berlalu melainkan dia hanya mengikut laluan..”
-----------------------------------------------------------------------------------------------

RESENSI SI UNGU:
Buku ini sedari awal sudah mencuri perhatian saya. Selain warnanya kulitnya yang merupakan warna favourite saya, petikan di belakangnya cukup menangkap minda..mesti belinya, kata hati ketika itu. Dan seperti dapat dibaca gerak hati saya itu, buku ini dihadiahkan pada saya oleh seorang rakan penulis yang amat saya kagumi bakatnya, seronoknya saya tika itu...terharu pun ada. Terima kasih saya padanya yang menghadiahkan buku ini. Ternyata gerak hati saya benar, selesai membacanya hanya satu kesimpulan yang dapat saya coretkan….buku ini benar-benar telah mencuri hati saya. Ia sebuah naskhah yang cukup bagus dan cukup indah sekali.

Selagi Bintang Masih Di Langit (SBMDL) membawa tema yang sangat dekat dengan hati nurani kita. Dengan menggabungkan genre persahabatan dan kekeluargaan, kisah yang digarap cukup hampir dengan kehidupan seharian kita. Penulis ternyata cukup peka, cukup arif dengan persekitaran kehidupan yang digambarkan beliau menerusi SBMDL ini.

Nor Dalina @ Nora D, Rafiq @ Musafir Zaman & Faiz adalah peneraju utama yang menjadi nadi kekuatan naskhah SBMDL ini. Saya cukup tertarik dan jatuh hati dengan perwatakan mereka biar putih atau hitam warnanya. Ia dibina dan diperhalusi penulis dengan cemerlang sekali. Tersua juga senyum bila mengenang cetera mereka tatkala di Tadika.

Dalina si gemuk yang garang:
“..letak balik kuih tu!..Itu Faiz punya.."
“…Apa ni..kami tak ajak awak main pun!!”

Dalina yang sedari kecil terperangkap dengan rasa kerendahan diri yang melampau kerana rupa bentuk fizikalnya yang agak berisi ditambah dengan momokan sepupunya; Nadia yang berjaya menjatuhkan keyakinan dirinya ke lantai. Perwatakan Dalina dikembangkan dengan begitu berhati-hati dari peringkat kanak-kanak hingga menginjak remaja dewasa dan kita sebagai pembaca turut sama menyelami perasaannya disepanjang tempoh tersebut. Penulis bagi saya cukup berjaya mencuri hati pembaca dengan perwatakan Dalina yang cukup istimewa ini.

Rafiq, jika dilihat secara kasar, dia memang bukan calon pilihan. Perwatakannya yang menjengkilkan itu cukup mengundang amarah dan rasa meluat…namun tiada sapa menduga ada cerita suram, cerita pahit disebalik sikapnya itu. Dia hanya seorang Rafiq yang malang dan itulah cara dia menarik perhatian.

Rafiq si nakal yang tak pernah serik:
“…Hoi, budak baru!..”
“…pinjam pensel warna!!”
“…Ikut suka akulah, nak main di mana pun.."

Faiz, si kecil bongsu yang sering diperisai Dalina tatkala dibuli Rafiq, Faiz yang sedari kecil cukup mempersonakan sesiapa sahaja dengan perwatakannya yang putih salju. Mendamaikan sesiapa yang mendekatinya. Dia umpama si pelengkap Dalina, teman akrab yang menjadi pencetus semangat, pemujuk dan pendengar yang baik juga kekasih yang setia . Kemana mereka pasti berdua sehinggalah Dublin memisahkan mereka...selama-lamanya.

Faiz si keding yang lembik:
“.Ra..Rafiq ambil kuih saya, lepas tu..lepas tu Rafiq kena simbah dengan air"
“…Faiz lembik! Faiz lembik! Faiz lembik!..."

Pembinaan watak pembantu utama yang antagonis, Nadia cukup hebat dan berkesan sekali perwatakannya biarpun kemunculan yang hanya sebentar-sebentar sahaja, namun berperanan penting didalam mencorakkan perwatakan Dalina di kemudian hari. Tersayat hati juga bila mengenang butir bicara lidahnya yang tajam menikam.

Nadia yang sinis :
“...kalau dah gemuk tu, pakai baju apa pun tak lawa..."
“...anak badak jangan berangan dengan Fakhrul..aku yang tulis nota tu..."
“...sebab awak sudah gedempol. Kalau awak makan lagi, nanti hendak masuk bilik pun tak muat, tersangkut pada pintu..."

Perwatakan Hairi yang dibina secara misteri cukup mendebarkan bagi saya. Kita dikelirukan sebentar oleh penulis dengan kesopananan Hairi tanpa menduga dia berjaya memukau pandangan mata dengan kebaikan dan rupa fizikalnya yang sedemikian…, tetapi dia sebenarnya api di dalam sekam…membakar dalam diam!!

Kedewasaan mereka penuh personifikasi dilayarkan penulis. Saya sesungguhnya cukup tertarik dan jatuh cinta dengan perwatakan Rafiq. Dalam diam suaranya, dalam redup pandangan matanya dia penuh pesona, penuh aura..cukup berkarisma. Dia menyimpan segala duka, segala ketidakpuasanhati tanpa siapa tahu. Dia membiarkan dirinya disalahtafsir oleh semua orang. Dia tetap hitam dimata setiap yang memandang.

Kita juga akan turut tersayat dengan kesedihan Dalina bila Faiz mula menjauhkan diri sedangkan Faiz sudah berjanji…namun Faiz bukan sengaja, ketentuan yang sudah tersurat buat dirinya tidak boleh diubah. Di saat ini kita diperlihatkan warna sebenar diri Rafiq…amanah yang digalas dibahu harus dilaksana lebih-lebih lagi Dalina adalah insan yang telah lama bertakhta di hati…sedari kecil hingga kini. Mampukah dia mendapatkan Dalina dan mampukah Dalina menerima dirinya dan melupakan Faiz dan kenangan serta janji yang telah termeterai sekian lama. Pemergian Dalina ke Dublin membongkar segala-galanya…rahsia yang disimpan kemas oleh Rafiq tentang Faiz terlerai akhirnya.

Plot cerita dibina tidak berorientasikan jajaran kronologi dan setiap imej imbasan kembali yang disingkap, ia disampaikan dengan cukup kemas, berhati-hati tanpa sedikitpun menghilangkan tumpuan pembacaan. Pergerakkan plot yang selari dengan mood penceritaan telah menambahkan lagi keindahan warna SBMDL. Di sinilah kehebatan sang editor terserlah, dan ternyata kerja-kerja suntingan telah diperhalusi dengan cukup baik sekali ke atas naskhah ini.

Penggunaan laras bahasa yang mudah yang kadangkala disulami susunan ayat-ayat yang indah, puitis namun penuh bermakna sangat memberi kesan kepada mood pembacaan. Saya cukup senang dengan bahasa dalam naskhah ini...cukup memikat!!.

Buat penulis, sekalung tahniah atas persembahan hebat anda dalam Selagi Bintang Masih Di Langit. Semoga akan terus menghasilkan karya-karya yang cemerlang di masa hadapan.

Buat anda pembaca di luar sana, zaman kanak-kanak adalah suatu masa yang cukup istimewa, akan dikenang selama-lamanya biar apa-apapun catatannya...manis mahupun pahit, suka atau duka. Naskhah ini akan membawa anda kembali pada zaman tersebut...sangat manis perjalanannya, Maka naskhah ini wajar anda miliki kerana catatan kisahnya sangat istimewa
.

Sunday, November 16, 2008

KaLa MimPi BersaTu


Tajuk Buku : Kala Mimpi Bersatu
Nukilan : Emma Maizura
Penerbit : Alaf21
Harga : RM19.90
Cetakan Pertama : 2008
Genre : Romantik & Kekeluargaan
* * * * * * *
RESENSI SI UNGU:

Kala Mimpi Bersatu merupakan karya ketiga nukilan penulis berbakat ini selepas Tiada Noktah Cinta dan Ada Cinta Di Hati. Saya secara amnya amat menggemari karya beliau yang agak ringan dari sudut tema dan penceritaan, mudah dihadam minda serta punya mesej yang positif untuk diterapkan dan disampaikan pada pembacanya. Penulis bagi saya amat pintar dalam memilih cerita yang bagaimana agar ia mudah diterima dengan baik oleh warga pembaca. Cerita yang tidak terlalu berat dari sudut tema, tidak meleret-leret plotnya, ringkas dan santai dialog juga persembahan yang segar lebih mudah disambut baik oleh warga pembaca.

Di dalam Kala Mimpi Bersatu, penulis membicarakan persoalan tentang dilema seorang gadis yang disingkirkan oleh ayah kandung akibat kepercayaan karut yang tidak masuk akal dan penyingkiran tersebut menemukan dirinya dengan sebuah kehidupan dan kalangan orang-orang yang akhirnya banyak mengubah hidupnya. Menerusi Asha Rajesh @ Dr Aisyah selaku peneraju utama, penulis berjaya membina perwatakan Aisyah dengan baik dan konsisten bersesuaian dengan sifat dirinya. Saya sendiri secara peribadi sukakan perwatakan Aisyah yang cukup warna-warni dan perwatakannya cukup cantik bila dipadankan dengan Zaiffudin @ Bidin yang penyabar dan cukup "cool". Kedua-dua watak ini cukup kuat dalam menunjangi cerita ini dibantu kehebatan persembahan Sabedah dan Marlia yang cukup memualkan itu. Bagi saya watak ibu bapa angkat Aisyah, Mak Yah @ Nuriah dan Pak Mail @Ismail cukup mendamaikan sekali dan menjadi idaman di alam realiti.

Tema cerita ini membawa pembaca menyelami konflik dalaman serta cabaran juga dugaan yang dialami seorang gadis yang berhijrah dari satu kehidupan yang kelam, tidak arah, tiada matlamat kepada satu kehidupan baru yang lebih bermakna dan benar. Dalam menangani cabaran yang mendatang, dirinya diuji pula dengan pelbagai dugaan. Kecekalan dan kegigihannya mengharungi setiap permasalahan tersebut dilayarkan dengan cukup berkesan oleh penulis dan wajar menjadi satu kisah tauladan yang baik untuk disempadani.
Buat Emma, tahniah atas buah tangan terbaru anda ini yang cukup ringkas namun cukup terkesan di hati. Semoga terus gigih berkarya dengan cemerlang di masa hadapan. Buat pembaca juga peminat penulis berbakat ini, karya ini berbaloi anda miliki kerna ia pasti tidak mengecewakan anda.

Tuesday, November 11, 2008

CinTanya...KiAn MemBaRa


TAJUK BUKU : CINTANYA...KIAN MEMBARA
NUKILAN : DIYA ELORA
PENERBIT : CREATIVE ENTERPRISE SDN BHD
HARGA : RM31.90
CETAKAN : 2008
GENRE : ROMANTIK
* * * * * * *
kasih dan cintaku akan membara selamanya…semerah kelopak-kelopak ros biarpun reranting kita pernah berserakan…”

RESENSI SI UNGU:

Ini merupakan karya pertama dari penulis ini yang singgah di rak buku peribadi saya walaupun mengetahui ini bukanlah karya pertama beliau di dalam dunia penulisan kreatif tanahair. Naskhah terbaru beliau ini ternyata sarat dengan persoalan cinta yang ditafsir dari dimensi yang berbeza. Cinta itu punya pelbagai makna dan konsep yang diterjemahkan menurut kamus hati masing-masing.

Cintanya…Kian Membara (CKM) bagi saya sebuah naskhah bergenre romantik yang cukup mendebarkan para pembacanya. Kejutan demi kejutan yang tidak disangka-sangka dicipta penulis dalam membongkar perjalanan cerita yang cukup menarik ini. Permulaan cerita sendiri sudah mencipta persoalan di minda pembaca tentang isi ceritanya dan ternyata penulis berjaya membuat pembaca tertarik dan teruja untuk terus mengikuti kisah selanjutnya.

Sebagai sebuah kisah yang bertemakan cinta sebagai teraju utama dengan sisipan hubungan kasih sayang sesama keluarga dan rakan CKM memperkenalkan pembaca dengan tunjang utama cerita; Nik Seri Nataliya a.k.a Liya /Erin Darleena seorang gadis yang sempat bergelar isteri selama 2 jam selepas pernikahannya. Perkahwinan yang diatur keluarga suami itu ternyata tidak menjanjikan bahagia.Dia diceraikan di malam perkahwinannya oleh suami, Engku Rajhan atas alasan yang cukup pahit untuk ditelan oleh seorang isteri. Suaminya sudah punya pilihan hati sendiri; si cantik manis Emilda!!.

Plot cerita ini tidak berpaksikan jajaran kronologi dan teknik imbasan kembali yang digunapakai penulis di dalam mengimbau perjalanan watak-watak di dalam CKM ini terutama Liya sendiri. Kita akan terasa kesayuan di sepanjang mengikuti hidup Liya setelah dibawa ke berpindah kediaman suami.Plot cerita berkembang dengan cukup berwarna-warni didalam menyusuri pergerakan kisah Liya yang cukup dramatik ini. Sisipan monolog juga mimpi Liya cukup menarik digambarkan dalam menimbulkan persoalan tentang perkara yang menghantui diri Liya.Teknik suntingan CKM sangat kemas cuma ada sedikit kecacatan kecil di dalam penggunaan dialog bahasa Inggeris yang tercerna kesilapan tatabahasa juga penyusunan katanya. Di harap pihak editor akan lebih berhati-hati agar perkara sebegini tidak berulang.

Penulis cukup bijak memancing simpati pembaca terhadap Liya dan mengundang benci pada perilaku Engku Rajhan yang keterlaluan juga rasa mual dan meluat yang amat sangat pada sikap Emilda. 3 watak utama ini berjaya dibina perwatakannya dengan baik hingga pembaca terlupa manusia boleh punya pelbagai wajah dan rupa. Jangan cepat menilai hanya dengan pandangan mata kasar sebab mata kadangkala juga tersilap. Saya kagum dengan kebolehan penulis “menipu” pembaca hingga dengan mudah menghakimi Engku Rajhan dan Emilda. Watak-watak pembantu seperti Hazziq, Fateen juga Engku Sofiah juga cemerlang dalam menjalankan tugas mereka mewarnai kisah dalam CKM ini terutama Hazziq yang digambarkan secara konsisten perwatakannya hingga ke akhir cerita.

Paling menarik bila kisah sebenar terbongkar. Tabir di singkap satu persatu secara perlahan-lahan membuat pembaca cukup tidak sabar dan tidak menduga begitu rupa kisah sebenarnya...sangat menarik bagi saya cara yang diguna penulis di dalam merungkai kisah sebenar disebalik kemelut perkahwinan dan penceraian Liya dan Engku Rajhan dan penyatuan mereka adalah kemuncak cerita yang cukup manis bagi saya biarpun cuma seketika...

Buat penulis, tahniah atas penghasilan sebuah kisah yang cukup manis, cukup mengujakan sekali. Semoga anda akan terus cemerlang memenakan kisah-kisah indah di masa akan datang.

Buat pembaca budiman di luar sana, anda tidak perlu ragu-ragu untuk mendapatkannya, kerna naskhah ini sungguh berbaloi dimiliki biarpun ia sedikit mahal dari biasa.

Ku SeRu NaMamu KekaSiH


TAJUK BUKU : KUSERU NAMAMU KEKASIH
NUKILAN : MAYA IRIS
PENERBIT : PTS ONE SDN BHD
HARGA : RM24.50
CETAKAN PERTAMA : 2008
GENRE : KETUHANAN

* * * * * * *
RESENSI SI UNGU:


Kisah Maya kali ini agak berat dengan membawa mesej ketuhanan menerusi paparan perjalanan dan liku kehidupan yang dilalui 4 watak utama nya yang diketuai Rayyan dibantu Zaim, Hanisa dan Mark @ Mahdi Abdullah. 4 watak , 4 wajah yang berbeza rupa dan tingkah tapi dengan satu matlamat yang sama... kisah kehidupan yang mewarni perjalanan mereka dalam mencari nur-Nya.
Saya cukup tertarik dengan pembinaan watak2 utama dalam cerita ini. Setiap mereka punya sejarah kehidupan sendiri. Baik putih mahupun hitam, mereka akhirnya bertemu dan bersatu dalam mencari matlamat hidup yang satu. Bahasa yang diguna adalah bahasa yang biasa sahaja namun selitan potongan hadis di setaip permulaan bab amat menarik sekali. Serampang dua mata dari penulis yang sangat baik hasilnya. Perdebatan anatara Rayyan dan Mark mengenai Islam dan Kristian juga sangat menarik dan dipersembahkan dengan cemerlang oleh penulis.
Sebagai naskhah yang membawa genre sedemikian, saya lebih berhati-hati tatkala membacanya kerna salah pemahaman mungkin juga akan membuatkan fokus dan mood membaca hilang, maka disebabkan itu juga saya mengambil masa yang agak lama untuk menghabiskannya. Bila penulis memilih genre cerita sebegini, plot dan persembahan cerita perlu lah segar agar mampu mengundang minat pembaca untuk terus terpaku di naskhah tersebut. Saya melihat plot cerita ini agak sedikit lemah dalam mencerna idea yang dapat memikat pembaca.
Berbekal pengalaman belajar di luar negara dan dalam cerita ni Sydney adalah latar cerita, penulis dpat memberi gambaran yang cukup jelas tentang corak kehidupan para pelajar tanahair disana juga suasana masyarakat islam di sana. Ukhuwah anatara mereka dilayarkan sebaik mungkin oleh penulis.
Buat Maya, semoga terus berkarya, mencerna idea yang lebih bagus dalam penghasilan karya-karya di masa hadapan.

Sunday, November 9, 2008

GeRhaNa Di HaTi

TAJUK BUKU : GERHANA DI HATI
PENULIS : DHIEYA ADLYNNA
PENERBIT : BUKU PRIMA SDN BHD
HARGA : RM18.90
CETAKAN PERTAMA : 2008
GENRE : ROMANTIK
* * * * * * *
"..cinta letaknya di hati...meskipun tersembunyi, tapi getarnya tetap terasa..."
Resensi Si Ungu:
Berbekalkan tagline yang agak menarik cerita ini menggamit saya untuk mencapainya di rak jualan di sebuah kedai buku baru-baru ini. Saya sebenarnya was-was untuk membeli buku keluaran penerbit ini. Bukan prejudis, bukan juga sentimen peribadi namun kerna pengalaman lampau dengan keluaran mereka banyak mengajar ajar saya jangan mudah diperdayakan lagi oleh saranan dan kata-kata indah... namun bak kata pepatah pelanduk selalu lupakan jerat, tapi jerat tidak pernah sekali-kali melupakan pelanduk!!!..dan ironinya, saya lah pelanduk yang terjerat itu dan terus terjerat lagi kali ini...sadisnya kisah saya ini bunyinya kan..hehehe
saya tidak tahu kata-kata apa yang harus diungkap tatkala selesai membacanya...cuma satu yang pasti, KECEWA sangat dengan Gerhana Di Hati (GDH) ini. Saya tidak tahu harus menyalahkan siapa; penulis atau pihak penerbit khususnya pihak penyunting/editor buku ini.Yang nyata, buku ini sewajarnya disunting dengan lebih teliti, diperhalusi jalan ceritanya sebelum ia diluluskan untuk penerbitan. Saya melihat bila langkah ini dilewakan oleh pihak yang berkenaan maka, mangsanya adalah kami;para pembaca, para pembeli.
Jika dilihat dari sudut jalan cerita, ia memperlihatkan terlalu banyak lompang yang "lupa" ditutup sang editor. Saya sangat -sangat kecewa dengan kerja-kerja suntingan dalam GDH ini, terlalu lemah dan sambil lewa sahaja!!..Maka jadilah cerita ini melompat-lompat persembahannya.Pengolahan cerita terlalu lemah dengan pembinaan watak yang tidak statik. Sebagai pendukung utama cerita, Hazwanie adakalanya dilihat cerdik adakalanya pula kurang bijak bertindak.Begitu juga dengan watak Shahridwan. Tidak sewajarnya seorang CEO Syarikat digambarkan dengan perwatakan selemah dan beremosi sebegitu.
Baik pengucapan dialog juga plot cerita, dilihat sangat meleret-leret hingga menerbitkan rasa bosan yang amat sangat!!. Harus diingat plot cerita yang dibina diluar lingkup jajaran kronologi perlu lebih berhati-hati disampaikan agar pembaca dapat melihat dengan jelas dimana mereka berada,namun di dalam GDH ia gagal dipersembahkan dengan kaedah yang sepatutnya.Latar masa dalam cerita ini juga tidak diperhalusi dengan sewajarnya. Jarak masa yang ingin digambarkan seharusnya diteliti cara penyampaiannya agar pembaca tidak terasa perubahan tersebut.Ini antara sebab timbulnya masalah kehilangan fokus tatkala membaca dan bila tumpuan hilang maka mood membaca akan sama-sama terbang...
Idea asal cerita ini memang menarik, saya tidak menafikannya.Sebagai penulis baru Dhieya punya potensi untuk digilap bakat penulisannya.Apa yang perlu bimbingan dari pihak penerbit disamping usaha Dhieya sendiri untuk memperbaiki kelemahan yang timbul dari karya sulung anda ini. Banyakkan membaca karya-karya penulis senior, penulis-penulis hebat tanahair agar ia mampu menjana ilmu penulisan yang berguna untuk penghasilan karya yang lebih bermutu, lebih segar dan indah di masa akan datang.

Friday, November 7, 2008

DuNia Ini SeDerHaNa KeCiL


TAJUK: DUNIA INI SEDERHANA KECIL
PENULIS : BAHARUDDIN BEKRI
PENERBIT : PTS ONE SDN BHD
CETAKAN PERTAMA : 2008
HARGA : RM23.90
GENRE : NOVEL REMAJA (MOTIVASI)
* * * * * * *
"..Bas itu umpama cinta yang kita tunggu...
Kadangkala ada cinta yg hadir,
namun krn merasakan ia tidak sesuai dgn diri kita...
kita membiarkan ia terus berlalu...
Kemudian datang pula cinta yg kita rasa sesuai dgn hati kita...
Sayangnya cinta itu sudah berpunya...
Kita hanya mampu melihat ia pergi...
Kita terus menunggu dan terus menunggu...
hingga waktu sudah mulai lewat...
Usia sudah semakin jauh...
dan kita mula khuatir berkenaan masa depan...
Risau tidak sempat ke destinasi...
kita nekad naiki bas ke tiga...
Kita sudah kurang peduli rupa bas itu...
Sama ada ia buruk ataupun penuh...
asalkan kita sampai ke destinasi...
Itulah kita dlm menunggu cinta.
* * * * * * *
“… masalah itu umpama terowong yang gelap, tetapi di hujungnya pasti ada cahaya.Cuma terpulang kepada kita, sama ada bersabar dan terus berjalan ataupun kalah dan duduk meratapi nasib di dalam terowong itu. Ingat , di hujung terowong nanti pasti ada cahaya…”
-----------------------------------------------------------------------------------------------
Saya sebenarnya sudah memberi pendapat dan ulasan peribadi tentang karya pertama penulis muda berbakat ini di laman rasmi geng saya; Geng Kicap yang mana saya juga adalah ahli bersekutunya..hehehe. Saya sangat menggemari karya sulung beliau ini. Bagi saya ia sebuah naskhah yang bertindak sebagai hiburan juga motivasi kepada pembaca kerna setiap gerak dan laku dalam cerita yang dipaparkan banyak terkandung unsur nasihat yang tersirat untuk sama-sama kita fikir-fikirkan. Di sini saya paparkan semula komentar saya itu untuk tatapan pengunjung pondok saya ini pula.
* * * * * * *
Resensi Si Ungu:
Asas kepada pembentukan sesebuah karya melibatkan 3 elemen utama iatu rangka cerita, tema juga isi cerita. Isi cerita pula memfokus kepada 3 elemen utama kepada penghasilan sebuah naskah yang baik; pemerhatian, pengalaman & pembacaan. Harus diingat penulis yang baik selalunya adalah juga pembaca yang baik. Pada hemat saya ketiga-tiga elemen ini telah digunapakai dan digabungkan oleh penulis hingga terhasilnya naskah nan cantik ini.Bagi saya juga penulis yang baik adalah penulis yang mampu mengadaptasi sesuatu tema yang komplek dengan teknik penyampaian dan pengolahan cerita yang lebih santai, ringan tanpa sedikit pun mengurangkan mesejnya.Tulisan yang paling baik adalah tulisan yang mempunyai isi paling berat dan tepu tetapi disampaikan dengan lenggok bahasa yang paling mudah difahami. Ia akan jadi lebih mengagumkan sekiranya disampaikan dalam cara yang paling menarik tetapi mengesankan.Penulis ini bagi saya begitu berjaya dalam melaksanakan misi ini. Dalam kita senyum, ada maksud yang tersirat yang cuba disampaikan olehnya, dalam kita gelak ada makna yang terselindung yang cuba diselitkannya, dalam kita tawa ada pengajaran yang disemat di dada kita olehnya.
Kicap, perhentian bas dan bas adalah simbol kehidupan yang cuba dipaparkan oleh penulis dalam novelnya ini namun penulis menyerahkan pada pembaca yang budiman lagi arif untuk mentafsirnya dari sudut pandangan masing-masing.. 3 elemen ini sangat dekat dengan kehidupan kita…sejauhmana pengaruhnya dalam kehidupan kita, tepuk dada tanyalah hati kerna jawapannya ada disitu.
Walau secara fizikalnya novel ini nampak biasa sahaja, maksud saya kulit luar novel ini tidak langsung menampakkan ciri-ciri “kemewahan” namun keistimewaan yang terkandung di dalamnya begitu “mencuri hati” dan yang paling utama pengajaran yang tersirat di dalamnya sangat berharga dalam kita melihat kehidupan dari pelbagai sudut falsafah dan hukum adatnya. Sesungguhnya karya ini begitu kaya dan sarat dengan falsafah kehidupan. Menerusi watak utamanya, Syamir pembaca diajak menyusuri ruang kehidupan insan yang diuji dengan pelbagai dugaan hidup. Walau dalam penyampaian kisah hidupnya penulis selesa mengolahnya dengan selitan unsur humor yang spontan, namun ia cukup berkesan kerana mesej yang tersirat disebalik nya tetap sampai di jiwa pembaca. Plot cerita yang lebih segar, ringan nampak begitu serasi dan bergerak seiring dengan tema kehidupan yang difokuskan penulis.. Tambah terserlah dengan pembabitan watak-watak pembantu seperti Jid, Tasha,, Musa, Sophea, Haliza . Tidak ketinggalan watak-watak sampingan seperti si lelaki gempal, budak-budak black metal, pakcik KJ, En Harun, nenek tukang urut juga yang lain yang turut sama mendokong keberkesanan karya ini.Walau ada sedikit kesilapan cetakan watak pada beberapa bahagian di dalam novel ini ia tidaklah menjejaskan jalan cerita namun diharap pihak penerbit amnya juga bahagian suntingan khasnya agar lebih berhati-hati dimasa hadapan di dalam meminimakan kesilapan sebegini.
Buat penulis, sekalung tahniah atas penghasilan cemerlang anda di dalam Dunia Ini Sederhana Kecil. Semoga anda akan terus menghasilkan karya yang lebih ummphh di masa hadapan. Selamat maju jaya di dalam dunia penulisan.
Kisahnya...
Syamir, graduan ekonomi yang menghadapi kesulitan memperolehi pekerjaan yang setaraf kelulusannya akhirnya tertipu pada satu iklan kerja yang membawa beliau menjadi seorang penjual kicap..kicap kesihatan cap basikal sulaiman. Bagi saya ini adalah antara satu kisah antara ribuan kisah anak-anak muda yang pernah terperangkap dengan iklan ala2 putar alam yang sering berleluasa di media cetak negara ini dan Syamir mewakili mereka-mereka yang malang itu..namun begitu saya sukakan watak Syamir ini…begitu sukakan semangatnya, kerna bagi saya tidak semua insan dianugerahkan semangat sebegini tika menghadapi ujian/dugaan hidup. Ada yang dengan mudah kecundang, tersungkur begitu sahaja.
Bertemankan rakan sepejualan, Musa Marjoko juga si cantik,penyelia Sophea Miyagi sesi jualan kicapnya menemukan pembaca dengan pelbagai insiden lucu, suspen juga mengujakan. Pembaca pasti tidak berhenti tersenyum dan gelak tawa juga tidak terlepas dari terhambur dengan pelbagai kelucuan spontan yang terjadi disepanjang kerjaya penjual kicap ini.Walau akhirnya dia bersara dan bertukar menjadi si tukang urut, hidupnya tidak lepas dari dihinggapi ujian…hinggalah dia tekad mengiklankan diri demi untuk mencari kerja.Langkah inilah kemuncak kepada ujian dalam hidupnya..namun berkat juga niat ikhlas yang sedari awal disemat habuan yang diraih Syamir sangat berbaloi..benarlah seperti dikata, Dia tidak akan menguji hambanya dengan sesuatu yang tidak mampu dipikulnya dan dalam setiap ujian, redha yang diberi akan dibalas dengan setimpal..janji Dia memang benar.
Hubungan yang bermula di perhentian bas antara Syamir dan Tasha, Syamir dan Haliza, Syamir dan Si Lelaki Gempal terjalin secara abstrak tapi rentetan dari pertemuan demi pertemuan antara mereka membawa kepada suatu ikatan antara mereka…saling memerlukan dalam meneruskan kehidupan. Perkara yang sama terjalin antara Syamir dan Sophea, Cuma bezanya mereka dipertemukan buat pertama kali bukan di perhentian..tapi di dalam bas hingga menbawa kepada suatu hubungan yang cukup misteri namun mengujakan antara mereka berdua.Tidak ketinggalan hubungan Syamir dan rakan sebiliknya Jid /Majid @ Majidah…hubungan antara mereka cukup istimewa bagi saya..walau secara kasar nampak sumbang, namun yang tersirat cukup tulus tersimpul.
Paling menarik dalam hubungan antara Syamir, Tasha dan Haliza..adalah kewujudan unsur “hubungan jiwa”.Walau Syamir lebih kerap terserempak Haliza berbanding Tasha tapi hubungan jiwa antara mereka lebih dekat walau secara fizikal mereka jauh…mungkinkah Cik Pelangi akan berjumpa Encik Bedak Sejuk dan terbongkar identiti antara mereka.?hmm, biarlah Inchek penulis, Bahruddin Bekri menjawabnya bagi pihak saya…
Buat semua pembaca sekalian, selamat menghayati sebuah lagi naskhah hebat buah tangan dari seorang penulis muda yang sangat berbakat dan kreatif.
Notapipi : Inche Din, pernah ker MPH Wangsa Maju?...terduduk saya tatkala melihat DISK dan DUA dipamerkan di Rak BACAAN UNTUK KANAK-KANAK!!!!, atas dasar apa yer DISK dan DUA diklassifikasikan sedemikian rupa...