Blogger Templates

Sunday, January 11, 2009

BuKan SeKaDar RinDu


Tajuk : Bukan Sekadar Rindu
Penulis : Azian Zahra
Penerbit : NHF Media Corp Sdn Bhd
Harga : RM21.90
Cetakan Pertama: 2008
Genre : Romantik & Kekeluargaan
Bintang : 3 1/2



-------------------------------------------------------------------
“...kekeliruan itu sekadar pelarian, ia tetap tidak mengubah rasa kasih yang utuh terpahat..”

Resensi Si Ungu :

Penulis ini kembali dengan naskhah terbaru beliau; Bukan Sekadar Rindu (BSR). Saya mengikuti hasil tulisan penulis ini kerna menyukai cara penulisan beliau yang santai. Beliau juga sentiasa menyelitkan mesej kekeluargaan dalam setiap nukilannya didalam menyampaikan wadahnya kepada para pembaca.

BSR membawa pembaca menyusuri kehidupan seorang wanita muda; Seri Mustika Kariman yang ditinggalkan suami ketika saat melahirkan anak sulungnya Wawa. Enggan mengakui hakikat ditinggalkan suami tanpa sebab yang munasabah, selama 2 tahun dia berusaha menjejaki suaminya itu, Imran @ Iman dan akhirnya terjumpa maklumat yang kemudiannya membawa dia kerumah suaminya itu....dan bermulalah episod baru dalam hidupnya sebagai pembantu rumah di rumah suaminya sendiri.

Tema kasih sayang dan pengorbanan seorang isteri demi rasa kasih pada suami yang tidak berbelah bagi diangkat penulis menjadi manifestasi cerita kali ini. Kata orang cinta seorang isteri tiada bandingannya..inilah yang cuba dipaparkan penulis lewat watak Seri Mustika..gadis pulau yang naif, lurus tapi keluhuran hati budinya cukup mengagumkan.

Nampak klise temanya tapi jalan cerita dijalin dan digarap dengan cukup menarik sekali. Ternyata pengalaman sebagai penulis menerusi karya-karya beliau sebelum ini dimanafaatkan sepenuhnya sebagai pemangkin cerita.

Perwatakan yang dibina penulis dalam naskhah ini juga begitu berketerampilan dengan Seri Mustika yang menerajui jalan cerita sebagai watak utama dibantu watak pembantu Iman. Walau cerita ini lebih dimonopoli oleh 2 watak hero dan heroin ini, watak sampingan lain seperti Zulaikha, Salleh juga Datin Karimah turut tidak boleh dilupakan peranannya. Kesemua mereka nampak seimbang sumbangannya di dalam keseluruhan jalan cerita.

Penggunaan laras bahasa biarpun diwarnai keindahan bahasa , ia tetap mudah diterima dengan baik sekali oleh deria dan minda pembaca. Teknik imbasan kembali yang diguna pakai cukup baik didalam memahamkan pembaca situasi sebenar yang menimpa Seri hingga membawa dia ke situasi semasa.

Buat Azian, tahniah diatas kelahiran karya terbaru anda ini. Semoga anda akan terus aktif berkarya di masa hadapan. Bagi anda peminat penulis ini jangan ketinggalan mendapat naskhah terbaru ini.

No comments:

Post a Comment