Blogger Templates

Friday, January 16, 2009

MulanYa SaTu CinTa


Tajuk : Mulanya Satu Cinta
Penulis : Rose Harissa
Penerbit : Alaf21
Harga : RM18.00
Cetakan Pertama: 2009
Genre : Romantik
Bintang : 4



-----------------------------------------------------------------
“...Rindu itu subjektif, sayang itu universal..tapi cinta itu hakiki, tak boleh dijual beli..”

Resensi Si Ungu:

Setelah 3 novel dilahirkan penulis muda berbakat besar ini , kemunculan novel ke-4 yang merupakan novel terbaru beliau bersama Alaf21 ini sememangnya mengulangi kejayaan novel-novel beliau sebelum ini. Mulanya Satu Cinta (MSC) amat dekat di hati para peminat novelis comel ini. Saya sangat menggemari gaya penulisan beliau yang sentiasa segar, santai namun mengujakan di samping sulaman elemen-elemen romantik nan cantik dan tidak lupa menyelitkan mesej kekeluargaan cukup bermakna untuk dihayati khalayak pembaca.

MSC membawa pembaca menyusuri kehidupan seorang duda muda ; Eddy Ezli, jurutera rangkaian yang bercerai dengan isterinya; Khairina tatkala masih menuntut di luar negara kerana kecurangan isterinya yang berpaling kasih pada lelaki lain yang lebih berkemampuan dari segi material . Dengan kepayahan hidup di sana, Ezli menjaga satu-satunya anaknya, Adli Afizan a.k.a Afi sejak berusia 2 bulan. Ini menjadikan hubungan antara kedua beranak itu begitu akrab dan sekembali ke tanahair Afi dijaga oleh ibu Ezli hinggalah tatkala Afi mahu memulakan persekolahan, ibunya tiba-tiba ingin pulang dan tinggal di kampung. Disinilah bermulanya masalah Ezli dan pencarian untuk mendapatkan pengasuh untuk anaknya itu menemukannya dengan Iryanie.

MSC membawa tema kasih sayang yang sarat dengan mesej tersirat si penulis berbakat ini .Ia tema yang cukup indah dizahirkan penulis kerana jalan ceritanya penuh elemen kasih sayang yang tidak terbatas sempadannya.Penulis menggarap begitu indah rantaian hubungan istimewa ini sehinggakan kita cukup tersentuh dan merasai tiap detik yang dilalui watak-watak dalam cerita ini. Paling istimewa, paling menyentuh tatkala Ezli berjuang denga tuntutan hadhanah dari bekas isterinya yang cuba sedaya upaya dan pelbagai cara untuk mendapatkan Afi semula dari tangan Ezli.

Plot cerita berjajaran kronologi dan ia disempurnakan dengan begitu baik oleh penulis. Biarpun ada dalam situasi tertentu penggunaan flashback digunakan, ia bersesuaian dengan motif penyampaian jalan cerita agar lebih mudah difahami dan diikuti oleh pembaca.

Perwatakan yang dibina penulis dalam MSC menampilkan sang heronya sebagai peneraju utama. Penulis seperti pro lelaki dalam persembahan dalam naskhah ini namun bagi saya ia bertepatan dengan jalan cerita yang ditampilkan beliau. Eddy Ezli diperlihatkan penulis sebagai lelaki yang agak sempurna pakej fizikalnya namun pengalaman pahit dari perkahwinan pertamanya menbuatkan dirinya agak tidak mesra alam dengan para wanita yang diluar lingkungan kelurganya. Saya cukup tertarik cara penulis menampilkan watak Ezli, sapa tau disebalik kegarangannya yang seperti harimau jadian itu, rupa-rupanya dia anak manja mak!

Begitu juga keterampilan dengan Iryanie yang cukup manis dipotretkan penulis. Perwatakan Iryanie nampak begitu sejuk dimata..kita juga jadi kesian padanya tatkala dia dilanda musibah yang bukan dipintanya dan dia dijauhi semua insan hatta rakan akrabnya, Hana. Perwatakan Afi, budak kecil berusia 7 tahun nampak cukup menyakinkan..penulis bijak menzahirkan perwatakan anak kecil yang ketandusan kasih ibu sejak kecil menerusi watak Afi ini. Watak antagonis Zamri juga cukup berkesan dipersembahkan penulis hingga membuatkan pembaca meluat dan rimas pada wataknya.Tidak ketinggalan watak Khairina yang cukup menjengkelkan sekali..menyampah sungguh!

Penggunaan laras bahasa cukup santai, tiada penggunaan istilah-instilah yang keterlaluan atau memualkan deria telinga. Penulis bagi saya semakin bagus dalam pengolahan bahasa dalam karya beliau dan seperti biasa ada selitan lirik lagu kumpulan muzik sebagai perencah jalan ceritanya, saya rasa penulis ni memang meminati dunia muzik indie agaknya...hehehe

Buat penulis muda dan berbakat besar ini, tahniah diatas kelahiran karya terbaru anda ini. Semoga anda akan terus cemerlang berkarya dipersada seni penulisan kreatif tanahair dan terus gigih memenakan catatan kisah-kisah buat tatapan pembaca juga peminat-peminat anda. Buat pembaca,Mulanya Satu Cinta sememangnya sangat manis dihayati, jika mahu sama-sama merasai kemanisannya, pastikan anda mendapatkan segera.


No comments:

Post a Comment