Blogger Templates

Monday, January 5, 2009

SeTuLus HaTi


Tajuk : Setulus Hati
Penulis : Rozita Abd. Wahab
Penerbit : Alaf21
Harga : RM18.00
Cetakan Pertama: 2008
Genre : Romantik & Kekeluargaan
Bintang : 41/2


-----------------------------------------------------------------
“... kasih sayang yang tulus umpama air yang mengalir . ..damai dan amat menyamankan jiwa..”

* * * * * * *
Resensi Si Ungu :

Sekian lama menyepi, Penulis berbakat besar ini kembali merancakkan persada seni penulisan kreatif tanahair dengan naskhah terbarunya; Setulus Hati (ST). Dari dulu lagi saya sangat menggemari gaya penulisan Rozita yang sentiasa disulami elemen-elemen romantik di samping sisipan nilai-nilai ukhuwah kekeluargaan yang cukup cantik didalam beliau menyampaikan mesej karyanya kepada khalayak pembaca.

ST membawa pembaca menyusuri kehidupan seorang wanita muda; Zulaikha Zakaria @ Ika yang diceraikan suami kerana keengganannya bermadu. Dengan persetujuan perjanjian perceraian yang memberi hak jagaan 2 anaknya; Nur Farisya @ Risya dan Amirul Hakim @ Hakim kepada Zulaikha, episod kehidupan barunya bergelar janda muda bermula.

ST membawa tema kasih sayang yang tidak terbatas dan berbelah bagi antara 2 insan ; antara seorang suami terhadap isterinya juga seorang adik terhadap abang kandungnya. Ia tema yang cukup indah dizahirkan penulis kerana jalan ceritanya penuh nilai kasih sayang dan rasa saling memahami.Penulis menggarap begitu indah rantaian antara kedua-dua hubungan istimewa ini sehinggakan kita tersentuh dan merasai taip detik indah, manis, ceria, juga ketika sedih dan dugaan datang melanda.

Persembahan “sinematografi” ST bagi saya cukup berkesan sehingga membuatkan pembaca merasakan seolah-olah berada di "lokasi". Kita turut tidak sabar mengetahui jalan cerita selanjutnya. Penulis berjaya mengheret mata pembaca agar tidak berganjak dari naskhah hitam putihnya ini hingga ke noktah terakhir. Suntingan yang baik banyak membantu keberkesanan naskhah ST agar pergerakkan cerita beralun senada dengan jalan cerita juga mesajnya.

Perwatakan yang dibina penulis dalam ST juga begitu berketerampilan dengan Zulaikha yang menerajui jalan cerita sebagai tonggak utama dibantu watak pembantu utama; Zaidi juga Nik Azahan nampak seimbang sumbangannya di dalam mewarnai keseluruhan jalan cerita. Tidak dinafikan watak-watak pembantu lain yang dicipta penulis juga turut mencantikkan perjalanan ST ini. Zamri, Risya, Hakim turut sama bergandingan memberi impak maksima dalam ST.

Penggunaan laras bahasa amat sederhana, mudah diterima dan dihadam minda pembaca. Adakala tanpa perlu metafora dan personifikasi yang mendayu-dayu, ia tetap mampu membuai perasaan pembaca jika betul teknik dan kaedahnya. ST membuktikannya. Tanpa elemen-elemen berkenaan, naskhah ini tetap hebat membuai rasa, menyentuh naluri pembacanya.

Buat penulis muda nan berbakat yang amat saya kagumi ini, tahniah diatas kelahiran karya terbaru anda ini. Semoga anda akan terus hebat memenakan hikayat kehidupan buat tatapan pembaca juga peminat-peminat anda. Buat pembaca,Setulus Hati sangat indah hujah manusia dan kemanusiaannya, maka rugilah anda jika tidak memilikinya.

No comments:

Post a Comment